Assalamualaikum dan Selamat Datang ke Blog Saya

Blog ini diadakan khas untuk penulis berkongsi idea, pendapat dan kepakaran untuk pembaca semua. Diharap blog ini bermanfaat kepada semua khususnya kepada pelajar dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang ingin mendapat info yang berkaitan.

Ingin berkongsi info? bole emailkan ke hasnah@ump.edu.my. Saya merasa bangga kerana dapat berkongsi ilmu yang Allah berikan kepada saya untuk dikongsi dengan orang lain. Saya cuma berharap mereka yang membacanya turut sama mendoakan agar saya sentiasa sihat dan tidak berhenti meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan.




Monday 16 December 2013

PUISI JANJI YANG PASTI



PUISI JANJI YANG PASTI

Allah telah mengingatkan manusia
semua manusia akan mati
setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati
Tapi….kita bekerja seolah kita tidak akan mati
kita akan hidup selamanya
kita lupa segalanya
kita buat rumah yang paling besar
kita beli kereta yang paling besar, paling mahal
kita bermegah dengan saudara mara yang kaya
kita bangga dengan anak yang ramai dan pandai belaka
tapi kita lupa…..
semua itu akan kita tinggalkan
kerana…..
janji Allah itu pasti…..

Allah berjanji bahawa suatu masa dunia ini akan hancur berkecai….
Semua manusia akan hancur… akan mati
Pabila sangkakala ditiupkan…semua akan mati….
Pabila sangkakala ditiupkan buat kali kedua…semua manusia akan hidup kembali
Ketika ini semuanya berkata-kata
mata, mulut, segala anggota menjadi saksi
atas segala perbuatan baik dan jahat
Tapi….kita saja buat tidak ingat
kita saja lupa-lupakan
kita tetap buat apa yang kita suka
mengumpat, menghina, menipu, membunuh,tidak bersolat…..
Astaghfirullah….
apa bekal yang kita bawa untuk ke sana????
di sana yang kekal abadi…
Maka Allah turunkan tanda-tanda akan hampirnya hari itu..
Tapi kita masih menafikannya…
Sesungguhnya janji Allah itu pasti….

Maka Allah menyuruh hambanya dan seluruh sekian alam beriman kepadaNya…
Dialah yang menciptakan alam dan manusia
Tuhan yang Esa….yang satu…
Tapi manusia masih tidak mahu beriman
tidak percaya kepada Allah
tidak percaya kepada Al-Quran pembawa rahmat
manusia percaya kepada batu yang boleh memberi mereka kuasa, kekayaan, kekuasaan
manusia percaya kepada berhala-hala yang diukir mengikut kemahirannya
manusia percaya kepada sesama manusia
manusia menyembah manusia
manusia yang serba kekurangan dan kelemahan
mereka sembah, mereka minta pertolongan
Ya Allah….
Betulkanlah, tunjukilah, berilah hidayah
kepada mereka-mereka itu
kerana….
janjiMu pasti..
Maka berdoalah kepadaKu, nescaya aku kabulkan doa orang yang beriman kepadaKu
dah hanya padamu kami semua dikembalikan….

MEMAHAMI HIKMAH DISEBALIK MUSIBAH BANJIR




 MEMAHAMI HIKMAH DISEBALIK MUSIBAH BANJIR

Dr Hasnah Hussiin


Saban tahun musim tengkujuh akan melanda negeri-negeri di Pantai Timur. Negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang sudah sedia maklum banjir merupakan fenomena biasa yang berlaku setiap hujung tahun antara bulan November dan December. Jika musim berubah, negeri-negeri Pantai Barat juga turut mendapat tempias banjir. Tidak kira banjir besar atau kecil ia tetap meninggalkan kesan dan juga hikmah yang manusia tidak ketahui. Fenomena banjir besar di Kuantan baru-baru ini telah mengejutkan seluruh negara kerana ia merupakan banjir terburuk pernah berlaku selain banjir tahun 2001. Tidak pernah bandar Kuantan berubah menjadi seperti lautan. Tidak pernah juga mangsa banjir tinggal di jambatan bagi mengelakkan air pasang luar biasa. 

Mungkin bagi sesetengah orang, banjir itu tak lebih dari fenomena air banyak, orang terpaksa berpindah, harta benda musnah, sistem perhubungan terputus, kekurangan bekalan makanan dan sebagainya. Tetapi, jika difikirkan sejenak, kenapa berlakunya banjir sehinggakan ada orang hilang tempat tinggal, harta benda musnah sehingga mereka sehelai sepinggang? Apakah semua ini? Sudah tentu ada hikmah yang kita sendiri tidak perasan apabila berlakunya musibah secara besar-besaran. Pada kacamata penulis, terdapat beberapa hikmah disebalik bah besar yang berlaku di Kuantan baru-baru ini. Antaranya ialah pentingnya silaturrahim, persahabatan, persaudaraan dan kerjasama yang selama ini masyarakat telah mengabaikannnya disebabkan dek kesibukan masyarakat masa kini dengan kerja-kerja duniawi bagi mengumpul harta dan kebendaan. Masyarakat masa kini sudah pudar semangat kejiranan dan persaudaraan. Ada antara kita yang tidak ambil pusing siapa jiran mereka dan apa yang jiran mereka buat. Masyarakat kini sudah rasa janggal untuk bertanya khabar orang sekeliling yang satu taman dengan mereka. Mereka kini merasa malu untuk bertegur sapa melainkan kawan yang mereka kenal sahaja. Masyarakat kini kebanyakannya hidup dalam dunia mereka sahaja dan tidak mengambil tahu tentang masyarakat kejiranan mereka. Masyarakat kini berlumba-lumba untuk membina tembok rumah sama ada tinggi atau rendah. Ini sudah cukup membuktikan masyarakat kita suka hidup terasing dan mahukan privacy yang melampau. Ini kerana ada yang membina tembok rumah beberapa meter sehingga tidak nampak orang di sebelah rumah. Tetapi, dengan berlakunya musibah banjir ini, kita mula melihat semua orang di kawasan kejiranan yang sama bersama-sama menolong mengangkat barang, membawa ahli keluarga ke pusat pemindahan dan bersama membaiki kerosakan di kawasan perumahan. Tidakkah ini menunjukkan pentingnya nilai persaudaraan dalam kehidupan kita hari ini. Jadi inilah hikmah yang Allah nak tunjukkan agar masyarakat masa kini jangan terlalu tidak mengambil tahu perihal saudara kita yang lain disebabkan kesibukan kita mengenai hal-hal keduniaan.

Hikmah seterusnya adalah mungkin Allah mahu menguji hambanya yang selama ini hidup senang lenang, bermewah-mewahan dengan harta yang dimiliki. Mereka tidak pernah diuji dengan kesusahan, kelaparan, kesejukan. Justeru itu, dapat dilihat dipusat-pusat pemindahan banjir, mangsa banjir melalui kehidupan yang tidak selesa iaitu terpaksa tidur berhimpit-himpit, kekurangan selimut, bantal, tikar. Masa ini tiada lagi tilam empuk yang menyenyakkan tidur manusia. Hanya kebisingan, tidak dapat melelapkan mata, kesejukan dan kelaparan.

Seterusnya, pada pendapat penulis dapat dilihat banjir kali ini telah memusnahkan banyak harta benda masyarakat. Ada yang cuma tinggal rumah, segala keperluan rumah rosak binasa. Daripada sini boleh ditelaah bahawa mungkin Allah hendak membersihkan harta benda manusia. Ini kerana masyarakat hari ini mungkin tidak sedar ada antara harta mereka itu datangnya dari sumber yang tidak baik. Justeru itu, Allah menurunkan bala bagi membersihkan segala kekotoran yang ada pada harta benda masyarakat tersebut.