Assalamualaikum dan Selamat Datang ke Blog Saya

Blog ini diadakan khas untuk penulis berkongsi idea, pendapat dan kepakaran untuk pembaca semua. Diharap blog ini bermanfaat kepada semua khususnya kepada pelajar dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang ingin mendapat info yang berkaitan.

Ingin berkongsi info? bole emailkan ke hasnah@ump.edu.my. Saya merasa bangga kerana dapat berkongsi ilmu yang Allah berikan kepada saya untuk dikongsi dengan orang lain. Saya cuma berharap mereka yang membacanya turut sama mendoakan agar saya sentiasa sihat dan tidak berhenti meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan.




Thursday 29 May 2014

Apa Dah Jadi Sekarang?




Fenomena Di Alaf Baru

Sedar atau tidak sedar, kita kini berada dalam dunia siber dan dunia tanpa sempadan. Inilah yang dikatakan zaman globalisasi di mana teknologi maklumat menjadi agen utama perubahan gaya hidup manusia. Perkembangan teknologi menyebabkan sesuatu maklumat berada di hujung jari, tersebar dalam masa yang singkat, mempercepatkan sistem penyampaian maklumat, serta pergerakan manusia menjadi pantas. Globalisasi menyebabkan negara  menjadi tumpuan utama pelabur asing lantas memperkembangkan ekonomi negara ini. Akibat globalisasi juga Malaysia menjadi antara destinasi pilihan pelancong seluruh dunia. Malaysia bukan sahaja menjalin hubungan perdagangan, malahan jalinan hubungan diplomatik dengan negara luar telah menjadikan Malaysia antara negara yang disegani oleh kawan dan lawan.

Apa yang perlu diberi perhatian adalah ancaman negatif globalisasi terhadap gaya hidup masyarakat di negara ini. Jika gejala negatif ini tidak dibendung ia akan memberi kesan kepada generasi pelapis negara, keselamatan negara, pembentukan negara bangsa serta kemakmuran negara pada masa hadapan. Jatuh bangun sesebuah negara sangat bergantung kepada rakyat dan modal insan yang dimilikinya. Negara memerlukan modal insan yang kreatif, inovatif, bermaklumat, berintegriti, patriotisma, kuat jati dirinya serta mampu menangkis ancaman luar sama ada berbentuk fizikal atau mental. Tetapi, akibat ledakan teknologi maklumat yang tidak terbatas serta kemabukan terhadap gajet-gajet terkini menjadikan masyarakat negara ini semakin lalai dan lupa akan tugas dan tanggungjawab mereka.
Ancaman gajet seperti telefon pintar, tablet atau Ipad kepada kehidupan masyarakat masa kini sangat membimbangkan. Masyarakat seakan menjadi hamba kepada gajet-gajet tersebut. Ia telah mewujudkan satu fenomena baru dalam kehidupan masyarakat iaitu ketidakpedulian masyarakat terhadap alam sekeliling. Ketaksuban melampau individu terhadap gajet-gajet tersebut  menyebabkan mereka tidak peduli algi akan apa yang berlaku di sekeliling mereka. Jika kita semua perasan di mana-mana sahaja sekarang ini sama ada tempat menunggu bas, ruang menunggu di lapangan terbang, kedai makan, restoran, dalam bas, dalam komuter, semasa memandu dan lain-lain ruang awam, manusia tidak lagi berbual-bual sesama sendiri, malahan fenomena masing-masing dengan gajet masing-masing  sudah tidak asing lagi pada zaman ini. Di meja makan di sebuah restoran, anda akan lihat satu keluarga masing-masing sibuk melayani gajet. Suami isteri tidak bertegur sapa, mereka sibuk mengemaskini status di facebook, dan twitter masing-masing. Anak-anak pula sibuk mencuba permainan atas talian. Apabila masing-masing leka, maka akan tiadalah komunikasi antara keluarga. Perkara ini perlulah menjadi kebimbangan semua pihak kerana ia boleh menjadi “barah” kepada kerukunan sesebuah rumahtangga. Ia secara tidak sedar boleh membunuh ikatan silaturrahim antara suami dan isteri, anak-anak dan ibu bapa. Ia juga boleh bertukar menjadi bibit-bibit perpecahan dalam keluarga kerana kurangnya komunikasi antara keluarga.

Ancaman gajet-gajet ini juga telah menyebabkan kurangnya kecenderungan ahli masyarakat kita untuk membaca bahan bacaan yang bermutu dan ilmiah. Ini memandangkan ada sesetengah masyarakat yang lebih selesa mencari maklumat dalam talian tanpa perlu membeli buku, majalah atau akhbar. Keadaan ini disebabkan telefon pintar mereka boleh melakukan semua perkara termasuklah membaca suratkhabar serta mendapatkan maklumat yang boleh diperolehi secara online. Tidak mustahil suatu hari nanti masyarakat tidak lagi membeli buku dan membaca buku kerana segalanya boleh didapati melalui talian. Ancaman paling besar dalam hal ini ialah usaha kerajaan untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia sukar tercapai dan sekaligus akan menjadikan rakyat Malaysia tidak lagi membaca buku untuk mendapatkan ilmu yang bermanfaat. Masyarakat harus sedar bahawa maklumat yang dimuatkan dalam talian belum tentu sahih, lengkap dan tepat. Harus disedari bahawa masyarakat yang berilmu datangnya dari masyarakat yang membaca, dan jika masyarakat tidak membaca tiadalah ilmu dalam masyarakat.

Ancaman gajet terkini tidak sahaja kepada golongan orang dewasa, malahan kanak-kanak juga turut menerima tempiasnya.  Sebagaimana orang dewasa, kanak-kanak sekolah kini dilihat semakin lalai dengan permainan dalam talian. Apatah lagi kanak-kanak seusia 6 tahun sudah ada akaun facebook sendiri. Permainan dalam talian, akaun facebook, twitter, instagram serta kebolehan melayari laman sesawang menjadikan kanak-kanak sekolah turut hanyut dalam dunia gajet yang serba canggih, moden, pelbagai warna dan bentuk. Zaman awal kanak-kanak seharusnya dipupuk dengan membaca bahan-bahan dan ilmu yang bermanfaat sesuai dengan usia mereka. Tetapi malangnya, dalam usia yang terlalu muda mereka telah disogokkan dengan segala bentuk permainan dalam talian dan laman sesawang yang tidak sesuai dengan mereka. Permainan dalam talian tanpa kawalan seperti permainan yang menonjolkan aksi-aksi ganas yang keterlaluan boleh mengundang bahaya dan kesan kepada pemikiran kanak-kanak yang sedang membesar. Jika tabiat ini dibiarkan tanpa kawalan, dikhuatiri kanak-kanak ini membesar dengan gajet-gajet tersebut dan tidak lagi mengharapkan bahan bacaan yang sesuai dengan usia mereka. Mungkin mereka tidak lagi berminat dengan buku-buku bacaan yang sarat dengan maklumat dan boleh mengembangkan pemikiran mereka. Bayangkan jika generasi pelapis negara ini adalah generasi yang membesar hasil dari permainan gajet-gajet yang berunsurkan keganansan serta tiada pengisian rohani dan jasmani.

Ancaman gajet juga telah berjaya mempengaruhi para remaja masa kini. Gajet-gajet terkini sememangnya menjadi kegilaan remaja di luar sana. Sudah ramai yang lalai dengan aplikasi internet terkini. Mereka bebas melayari internet tanpa batasan dan sekatan. Apa sahaja yang mereka mahukan hanya ada dihujung jari. Tidak hairanlah pada masa kini, telefon pintar yang pelbagai bentuk dan jenama menjadi kegilaan remaja dan pelajar IPT. Memiliki gajet yang bergaya dan berjenama seakan menjadi satu trend dan keperluan kepada mereka. Mereka yang tidak mempunyai gajet canggih dan terkini dilihat tersisih, tidak bergaya serta ketinggalan zaman. Bagi remaja, hidup mereka tidak lengkap dan tidak sempurna tanpa telefon pintar. Akibatnya banyak masa mereka terbuang dan dihabiskan untuk melayari internet dan pelbagai aplikasi yang tersedia. Kualiti masa untuk mengulangkaji pelajaran semakin berkurangan memandangkan mereka sibuk memuat naik gambar bersama teman, memperbaharui status di facebook, memuat turun lagu, permainan dalam talian, fesyen dan sebagainya untuk kepuasan diri yang tiada batasan. Tidak keterlaluan jika dikatakan pelajar IPT kini sudah kurang fokus semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas kerana asyik melayani telefon pintar mereka.

Dalam kalangan orang dewasa khususnya pekerja dalam pelbagai sektor, mereka juga tidak dapat lari dari menerima pengaruh gajet-gajet terkini di pasaran. Sebilangan mereka juga mempunyai aplikasi wassup, instagram, twitter dan sebagainya. Mereka juga dilihat tidak mahu ketinggalan dengan teknologi tersebut. Tidak salah jika mereka menggunakan teknologi untuk menyiapkan kerja dan tugasan di tempat kerja. Dalam keadaan tertentu pula, mereka tidak perlu keluar meninggalkan kerja untuk menguruskan hal-hal bil serta perbankan. Ini memandangkan segala-gala boleh dilakukan dalam talian. Apa yang tidak baik adalah ada sesetengah pekerja yang lalai dengan teknologi tersebut sehingga melupakan tugas hakiki mereka apabila asyik melayani twitter, facebook serta wassup sehingga menjejaskan mutu kerja mereka. Barangkali sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan aplikasi teknologi tersebut tidak menganggu prestasi pekerja di tempat kerja.

Semua sudah tahu bahawa di zaman teknologi canggih sekarang ini apa-apa pun boleh berlaku khususnya terhadap keselamatan negara. Ledakan teknologi maklumat tidak sahaja memberi impak kepada orang perseorangan malahan sebuah negara juga boleh dimusnahkan dalam beberapa saat. Keadaan ini memberikan tamparan kepada seluruh warga negara ini agar sentiasa berwaspada dalam apa keadaan sekalipun. Jangan sekali-kali kita memberikan peluang kepada anasir luar yang sentiasa mencari ruang untuk menjatuhkan maruah sesebuah negara.
Semua ahli masyarakat perlu kembali ke dunia asal di mana sebelum ini kita biasa hidup bermasyarakat, berjiran, dan berkawan. Sebelum ini kita ada masa untuk menjalankan tanggungjawab sebagai hamba Allah, tugas sebagai pelajar, tugas sebagai pekerja, tugas sebagai suami, tugas sebagai isteri dan juga ibu bapa kepada anak-anak. Kita perlu sedar tanggungjawab kita kepada negara, majikan, agama, bangsa dan negara. Selidikilah diri sendiri di mana kita berada sekarang dan di mana kita berpijak agar jangan sampai kita terlena diulik gajet-gajet terkini yang melalaikan kita dari menunaikan tanggungjawab di atas.

Pada Suatu Masa Dahulu 
 1. Jika kita tinggal di kampung, sebesar-besar mana pun kampung kita, seluruh orang kampung kenal kita, ayah kita dan saudara mara kita. Orang sekarang jiran pun tak kenal.
2. Orang dulu-dulu nak pergi mana-mana, tak perlu risau nak tinggalkan rumah sekejap atau lama-lama, mereka tak bimbang rumah akan dimasuki pencuri atau penyamun kerana walaupun rumah mereka tak berkunci keselamatan rumah dan harta benda terjamin kerana waktu itu kebanyakan orang tidak mempunyai barang berharga di rumah mereka. Orang sekarang siap buat tembok tinggi-tinggi, pasang gril, pasang cctv bagai tak nak bagi pencuri masuk. Tapi pencuri masuk juga.
3. Dulu-dulu kalau pergi pasar kalau kita bawa duit RM10.00, kita boleh beli macam-macam sampai penuh bakul kerana dengan RM10.00 kita boleh beli sayur, ikan, kuih dan juga baju...hahahaaa tak percaya ke...dulu-dulu sayur cuma 20 sen seikat, ikan 10 ekor seringgit, kuih 5 sen sebijik, baju ada yang harga RM3.00 dan RM5.00...sekarang kalau bawa RM10.00 pergi pasar bole beli lauk apa? Ikan 2 ekor pun dah RM6.00... beza sangat kan?...
4. Dulu-dulu, waktu malam dan waktu pagi boleh rasa kesejukannya. Kalau waktu pagi nak mandi air telaga nak ke sekolah sampai menggigil ada suatu masa keluar asap kat mulut..sejukkkkk....sekarang pulak tak kira masa siang, malam dan pagi sentiasa rasa panas kan? Dulu-dulu seronok main air sungai sejuk dan jernih boleh minum lagi...sekarang air sungai warna macam teh susu dan hijau gelap...nak mandi dan minum mesti dah tak boleh....
5. Orang dulu-dulu mak ayah mereka sekadar pandang atau bagi isyarat  mata, anak-anak terus takut,  tapi anak-anak sekarang suara mak dan ayah tinggi pun tak meninggalkan bekas bagi mereka.
6. Orang dulu-dulu memang bagi keizinan kepada guru-guru untuk merotan anak mereka jika anak mereka buat salah, dan jika cikgu marah, kita tak berani tak bagitau ibu bapa sebab nanti kena marah balik atau kena pukul. Orang sekarang kalau cikgu pukul anak mereka, mereka akan saman cikgu, dan jika tidak bernasib baik anak murid pulak pukul cikgu....sangat berbeza kan....
7. Orang dulu-dulu kalau kat kampung tu ada orang dapat masuk universiti, seluruh kampung berbangga kerana ada anak kampung mereka dapat masuk U...Orang sekarang, masuk U adalah perkara biasa kerana sekarang banyak sangat IPTA dan IPTS dan sesiapa sahaja boleh sambung belajar asalkan ada duit. 
8. Dulu-dulu tak semua orang ada TV, radio, telefon, peti ais dan mesin basuh. Siapa-siapa yang ada benda ni kat rumah dia, kira orang kaya la waktu itu...
9. Pada masa dahulu, air milo dan nescafe adalah minuman orang kaya atau berada. Orang kampung yang hidup susah mereka cuma minum air kopi dan teh sahaja.  

Itulah antara perbezaan dulu dan sekarang yang dapat saya lihat. Diharapkan ia dapat membantu generasi baru hari ini yang tidak berkesempatan melihat keadaan masyarakat dan negara pada suatu masa dahulu.