Assalamualaikum dan Selamat Datang ke Blog Saya

Blog ini diadakan khas untuk penulis berkongsi idea, pendapat dan kepakaran untuk pembaca semua. Diharap blog ini bermanfaat kepada semua khususnya kepada pelajar dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang ingin mendapat info yang berkaitan.

Ingin berkongsi info? bole emailkan ke hasnah@ump.edu.my. Saya merasa bangga kerana dapat berkongsi ilmu yang Allah berikan kepada saya untuk dikongsi dengan orang lain. Saya cuma berharap mereka yang membacanya turut sama mendoakan agar saya sentiasa sihat dan tidak berhenti meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan.




Tuesday 27 October 2015

MENYELAMI TENTANG KEUNIKAN NEGARA MALAYSIA






Malaysia merupakan sebuah negara bangsa yang telah lama merdeka iaitu pada 31 Ogos 1957. Apa yang dapat dipelajari dan diambil iktibar daripada peristiwa penjajahan suatu masa dahulu ialah mengapa begitu banyak negara besar dan berkuasa di dunia ingin menguasai Tanah Melayu? Semua telah sedia maklum bahawa Tanah Melayu telah didatangi oleh beberapa kuasa besar iaitu bermula dengan Portugis, Belanda, British, Jepun dan British kembali. Tidakkah kita terfikir mengapa mereka ingin menguasai negara ini? Sudah tentu sebab negara kita mempunyai pelbagai sumber atau hasil ekonomi yang diperlukan oleh kuasa-kuasa tersebut. Apa yang ingin dibincangkan di sini ialah tentang negara kita iaitu Malaysia adalah sebuah negara yang unik berbanding negara-negara yang lain walupun Malaysia tidaklah segah dan sebesar kuasa besar tersebut. Mengapa Malaysia unik ya? Sebagai rakyat Malaysia, adakah kita tahu keunikan negara kita sendiri?

Antara perkara yang menjadikan Malaysia negara unik ialah tentang kepelbagaian kaum yang ada di negara ini. Sebagaimana yang telah kita ketahui bahawa orang Cina dan India telah mengembara datang ke Tanah Melayu semasa penjajahan British dan bilangan mereka semakin ramai pada awal abad ke-20. Atas tolak ansur orang Melayu akhirnya orang Cina dan India telah diterima sebagai warganegara Tanah Melayu pada waktu itu. Peristiwa ini akhirnya telah memberi kesan kepada negara ini apabila wujudnya masyarakat majmuk pelbagai kaum di negara ini. Kemajmukan ini bukan sahaja dilihat dari segi kaum dan ras, malahan ia telah mewarnai budaya, cara hidup, pemakanan, pemakaian penduduk di negara ini sehingga ia menjadi tarikan kepada pelancong asing ke negara ini. Di negara luar, mereka cuma ada satu jenis makanan iaitu tiada kepelbagaian dari segi makanan kerana tidak ada banyak kaum dan bangsa di negara mereka. Tetapi di Malaysia, hasil daripada kepelbagaian kaum, menyebabkan terdapatnya pelbagai jenis makanan mengikut bangsa dan ini semestinya menjadi keistimewaan kepada penduduk negara ini kerana mereka boleh merasa semua jenis makanan.

Perkara kedua yang menjadikan negara ini unik adalah sistem pemerintahan negara ini yang mewujudkan layanan yang sama rata kepada semua kaum di negara ini. Perkara ini diperkukuhkan lagi dengan wujudnya Perlembagaan negara Malaysia yang memperuntukkan secara terang tentang dasar kerajaan negara ini yang meraikan semua kaum yang ada di negara ini dengan wujudnya beberapa perkara dalam Perlembagaan Malaysia seperti Perkara 152, Perkara 153, Perkara 3 dan sebagainya. Sebagai contoh, walaupun Perkara 152 memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, namun bahasa-bahasa lain bebas diamalkan dengan aman dan tenteram. Begitu juga dengan peruntukan mengenai Agama Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi agama-agama lain bebas diamalkan dengan aman dan tenteram selagi ianya tidak menganggu dan mendatangkan sensitiviti kepada kaum lain.

Seterusnya, negara Malaysia unik di mata dunia kerana setiap negeri mempunyai Sultan/Raja yang menjaga pentadbiran setiap negeri. Manakala Yang Dipertuan Agong dilantik sebagai kepala negara. Keadaan ini sangat berbeza dengan negara lain seperti di United States mereka cuma ada seorang Presiden yang mentadbir seluruh negara tersebut.

Malaysia sangat unik kerana adanya tinggalan penjajah dari Eropah dan Asia Barat. Di Malaysia kita dapat melihat banyak monumen tinggalan penjajah Portugis, Belanda, British dan juga Jepun. Dari sini jika kita minat mengkaji bangunan, seseorang itu boleh mengetahui perbezaan seni bina orang Melayu, Barat dan juga Asia.

Keunikan negara ini yang seterusnya adalah walaupun rakyat negara ini terdiri dari pelbagai bangsa, agama dan kepercayaan, mereka dapat hidup bersatu padu dalam sebuah negara. Setakat ini belum wujud konflik atau peperangan antara kaum disebabkan perbezaan kepercayaan dan agama. Lihatlah sahaja apa yang berlaku di negara luar, berapa banyak yang terkorban akibat perbalahan dari aspek agama dan kepercayaan. Kebanyakan negara yang bersengketa tersebut adalah negara yang mempunyai satu bangsa sahaja, tetapi di Malaysia ada banyak bangsa tetapi mereka boleh hidup dengan aman, bertolak ansur, bekerjasama, makan bersama, bekerja bersama dan sebagainya.

Demikianlah di antara keunikan tentang negara Malaysia yang dapat saya kupaskan di sini, insyaAllah jika ada idea lain lagi akan saya paparkan di sini.

Thursday 22 October 2015

PERLEMBAGAAN MALAYSIA YANG BERKAITAN DENGAN HUBUNGAN ETNIK






Perlembagaan Malaysia atau dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan, mengandungi 183 Perkara, 15 Bahagian dan 13 Jadual. Perlembagaan Malaysia merupakan Perlembagaan Bertulis yang berasaskan kepada dua dokumen sebelumnya iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan 1957.  Perlembagaan Malaysia pada asalnya telah digubal oleh Suruhanjaya Reid pada tahun 1956 dan ia mula berkuatkuasa sebaik sahaja Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Apa yang menarik tentang Perlembagaan Malaysia ini adalah, daripada 184 Perkara yang terkandung di dalam dokumen tersebut, ada 4 perkara yang mana telah menjadi “kontrak sosial” atau dipanggil juga sebagai “elemen tradisi”. Kewujudan 4 perkara ini dalam Perlembagaan Malaysia mempunyai lipatan sejarah yang tersendiri. Ia merupakan hasil perjanjian dan tolak ansur antara orang Melayu dan bukan Melayu suatu masa dahulu. Ia berikutan daripada rentetan sejarah di mana orang Cina dan orang India yang sudah begitu lama bekerja di Tanah Melayu berhasrat untuk menjadi warganegara Tanah Melayu. Setelah lama membuat permohonan dengan kerajaan British dan juga raja-raja Melayu akhirnya menjelang kemerdekaan orang Melayu sudah boleh menerima kedatangan orang Cina dan India ke Tanah Melayu dan sekaligus menerima permintaan mereka untuk menjadi warga tetap negara ini. Oleh itu, satu perjanjian murni telah dipersetujui bersama antara orang Melayu dan orang bukan Melayu (Melayu, Cina dan India melalui UMNO, MIC, MCA) iaitu mengenai agama Islam, bahasa Melayu, Hak Istimewa orang Melayu serta institusi Beraja. Secara ringkasnya, orang bukan Melayu menerima syarat bahawa jika mereka menjadi penduduk tetap negara ini, agama Islam akan menjadi agama utama/rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa Persekutuan, orang Melayu akan mendapat hak istimewa dalam aspek tertentu dan mengakui sistem Beraja Melayu.

Perkara 152 (1) – Bahasa Kebangsaan. Bahasa Kebangsaan adalah bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, tidak seorang pun boleh dihalang daripada menggunakan, mempelajari dan mengajarkan apa-apa bahasa selain dari bahasa Melayu. Begitu juga tidak ada larangan bagi Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri untuk membenarkan apa-apa bahasa digunakan dalam Persekutuan. Walau apa pun yang dinyatakan dalam Fasa (1) di atas, bahasa Inggeris boleh digunakan bagi maksud-maksud rasmi yang lain. Dengan itu walaupun bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan Negara ini, tetapi bahasa-bahasa kaum yang lain seperti Mandarin, Tamil, Thai boleh diamalkan tanpa sekatan dan halangan selagi ia tidak melibatkan keselamatan negara dan masyarakat. Lihatlah sahaja kepada penubuhan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan di negara ini yang menggunakan bahasa ibunda masing-masing dalam pengajaran dan pembelajaran mereka.

Rasional – Bahasa Melayu merupakan bahasa ibunda penduduk asal Tanah Melayu iaitu orang Melayu. Sejak abad ke-13 lagi, bahasa Melayu telah terkenal seluruh dunia sehingga ia digelar sebagai Lingua Franca. Dinyatakan bahawa pedagang-pedagang yang berdagang ke Tanah Melayu terutamanya Melaka pada abad ke-15 pandai berbahasa Melayu. Bahasa Melayu juga merupakan bahasa utama bagi penduduk disekitar Kepulauan Melayu termasuklah Indonesia dan pulau-pulau di sekitarnya. Jadi rasional kenapa bahasa Melayu perlu menjadi bahasa kebangsaan adalah ia merupakan bahasa penduduk asal negara ini sebagaimana yang dinyatakan di atas tadi.

Perkara 153 – Peruntukan Hak Istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Adalah menjadi tanggungjawab Yang di- Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri di Sabah dan Sarawak serta kepentingan hak-hak kaum yang lain di negeri ini. Dalam hal ini, Yang di-Pertuan Agong berhak memastikan perizaban orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak pada kadar yang munasabah dalam perkhidmatan awam, biasiswa, permit perniagaan serta pendidikan. Walau apa pun dalam peruntukan ini, kaum-kaum yang lain juga diberi hak yang tertentu dalam sektor-sektor tersebut. Dalam hal ini, kaum-kaum yang lain mendapat hak yang sewajarnya apabila dapat dilihat orang Cina telah berjaya dalam sektor ekonomi di Malaysia. Begitu juga dengan kaum-kaum yang lain tidak ada sekatan langsung untuk mereka menjalankan perniagaan atau menceburi sektor lain.
Rasional – Rasiona kewujudan Perkara 153 adalah disebabkan pada suatu masa dahulu kaum peribumi iaitu orang Melayu kebanyakannya hidup dalam kesusahan, kemiskinan dan mundur berbanding bangsa-bangsa lain dalam semua sektor seperti ekonomi, pendidikan serta sosial. Justeru itu, sebagai penduduk pribumi semestinya mereka perlu diberi peluang yang lebih bagi memastikan kedudukan mereka terbela dan dapat maju setanding dengan bangsa-bangsa yang lain.

Perkara 3 – (1) Agama bagi Persekutuan. Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Bagi mana-mana negeri yang tidak mempunyai Raja/Sultan, maka Yang di-Pertuan Agong akan menjadi ketua agama Islam seperti Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan dan Kuala Lumpur. Di negara ini dapat dilihat agama-agama lain seperti Buddha, Hindu, Kristian dan lain-lain diberi hak yang sama untuk menjalankan dan mentadbirkan agama mereka, mereka diberikan cuti perayaan masing-masing serta diberi ruang untuk menyambut adat istiadat dan amalan agama masing-masing selagi ia tidak menimbulkan sensitiviti kaum-kaum yang lain.
Rasional – Agama Islam adalah agama bagi penduduk asal negara ini iaitu orang Melayu. Agama Islam telah sampai ke Alam Melayu sejak awal abad ke-13 malah lebih awal dari itu. Semasa zaman kegemilangan pemerintahan Raja-raja Melayu, agama Islam telah menjadi asas kepada sistem pemerintahan pada waktu itu. Dinyatakan dalam Sejarah Melayu bahawa istana telah menjadi medan untuk memperkembangkan ajaran Islam. Malahan semasa Tanah Melayu dijajah oleh British, agama Islam tetap terpelihara dan British tidak campurtangan dalam hal ehwal berkaitan agama Islam.

Pemerintahan Monarki – Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan. Dalam hal ini, pemerintah adalah dilindungi di bawah Perlembagaan. Malaysia mempunyai institusi Kesultanan yang wujud sejak awal lagi dan ia tetap utuh semasa Tanah Melayu di bawah pemerintahan British. Kini Yang di-Pertuan Agong, Sultan-sultan dan juga Majlis Raja-raja menjadi institusi penting dalam sistem Raja Berperlembagaan negara ini. Perkara ini memperuntukkan kuasa-kuasa tertentu kepada pemerintah. (sila rujuk Perlembagaan Persekutuan Malaysia).
Rasional – peruntukan ini penting bagi memastikan kelestarian dan kedaulatan negara ini terjamin sehingga ke generasi seterusnya. Sistem beraja negara ini akan tetap utuh seperti mana negara-negara lain yang mempunyai kepala utama negara dan menjadi lambang perpaduan rakyat di negara ini.


Kewujudan perkara-perkara yang disebutkan di atas, seharusnya dihargai dan diketahui oleh semua kaum di negara ini. Kewujudan perkara-perkara di atas tidaklah menidakkan hak-hak kaum yang lain, tetapi lebih kepada menghormati hak-hak kaum peribumi yang mana ia merupakan satu perkara yang normal dalam hidup bermasyarakat. Tetapi apa yang uniknya bagi negara ini adalah walaupun kaum peribumi diberi keistimewaan, tetapi hak-hak kaum yang lain tetap terjaga dan mereka dilayan sama rata sebagai rakyat negara ini. Semuanya bergantung kepada diri individu untuk berjaya, bukannya disebabkan oleh suku kaum-kaum tertentu. Peluang untuk berjaya dibuka untuk semua kaum dan terpulanglah siapa yang ingin merebut peluang tersebut. Siapa yang tidak ingin merebut peluang maka dia akan ketinggalan tidak kiralah kaum apa sekalipun.

Rujukan Utama
Undang-undang Malaysia, Perlembagaan Persekutuan. Mengandungi Pindaan Terkini – Akta 1260/2006.

Tuesday 20 October 2015

CONTOH ESEI: KESAN KEDATANGAN ORANG CINA DAN INDIA KE TANAH MELAYU










Gambar Hiasan

Pada hari ini Malaysia telah menjadi sebuah Negara yang unik di dunia memandangkan ia merupakan sebuah negara yang bermasyarakat majmuk. Malaysia terdiri dari pelbagai bangsa iaitu Melayu, Cina, India, Sikh dan lain-lain lagi. Dari segi sejarah, Tanah Melayu pada awalnya diduduki oleh orang Melayu yang merupakan penduduk asal negara ini. Walau bagaimanapun, semasa British menduduki negara ini mereka telah membawa masuk buruh-buruh dari negara China dan India untuk bekerja di lombong bijih timah dan getah. Hasilnya Tanah Melayu menjadi pengeluar bijih timah dan getah utama dunia pada waktu itu. Kedatangan orang Cina dan India yang pada asalnya untuk bekerja sebagai buruh di negara ini akhirnya telah meninggalkan banyak kesan kepada negara ini dalam pelbagai aspek sama ada ekonomi, politik dan juga sosial.

Kewujudan masyarakat majmuk. Kedatangan orang Cina dan India ke negara ini pada suatu masa dahulu menyebabkan terbentuknya masyarakat majmuk. Ini kerana pada suatu masa dahulu Cuma ada orang Melayu, tetapi dengan kehadiran orang Cina dan India yang akhirnya menjadi warganegara Tanah Melayu maka terbentuklah masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Seiringan dengan itu juga maka terbentuklah kepelbagaian samada dari segi kepercayaan, pemikiran, budaya, agama, pakaian, makanan, struktur binaan, dan lain-lain lagi. Kebanyakan orang Cina terutamanya tinggal di kawasan bandar, manakala orang Melayu di kawasan pinggir bandar dan kampung-kampung. Selain itu, kebanyakan orang Cina menghuni di kawasan Pantai Barat berbanding Pantai Timur dan kebanyakan orang Melayu adalah tinggal di kawasan Pantai timur.

Penubuhan sekolah pelbagai aliran. Kedatangan orang Cina dan India ke Tanah Melayu telah mewujudkan sekolah-sekolah seperti sekolah Cina dan Tamil serta sekolah Melayu bagi orang Melayu. Setiap kaum pada masa dahulu mempunyai sekolah mereka sendiri dengan menggunakan kurikulum dan bahasa yang berbeza. Keadaan ini dapat dilihat sehingga ke hari ini di mana wujudknya SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) serta SJKT (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil).

Perubahan demografi Tanah Melayu. Kehadiran orang Cina dan India ke Tanah Melayu sememangnya telah memberi impak yang besar ke atas demografi Tanah Melayu pada waktu itu. Antaranya adalah terbentuknya kawasan bandar dan luar bandar. Pada suatu masa dahulu penduduk Tanah Melayu hanya menghuni di kawasan pinggir hutan dan juga kampung-kampung. Tetapi apabila British memperkenalkan ekonomi bijih timah dan getah, membawa masuk buruh Cina dan India secara tidak langsung telah menyebabkan beberapa kawasan menjadi bandar dan sebagai pelabuhan utama untuk mengumpul bahan-bahan mentah tersebut. Jadi Tanah Melayu telah mempunyai dua bentuk demografi iaitu bandar dan luar bandar.

Kewujudan kepelbagaian agama dan kepercayaan. Jika sebelum kedatangan orang Cina dan India hanya wujud satu agama sahaja bagi orang Melayu iaitu Islam. Tetapi dengan kewujudan masyarakat majmuk di Malaysia maka wujudlah beberapa ugama di negara ini seperti agama Buddha, Hindu, dan Singh. Kewujudan pelbagai agama ini menyebabkan Negara ini merayakan beberapa perayaan utama seperti Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji, Thaipusam, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Gawai dan lain-lain lagi.

Wujudnya Kepelbagaian makanan dan pakaian tradisi. Masyarakat majmuk telah menyebabkan wujudnya pelbagai makanan mengikut kaum masing-masing. Keadaan ini telah mewujukan konsep seperti akulturasi, amalgamasi serta asimilasi. Dalam hal ini ada kaum minoriti seperti orang Cina yang terpengaruh dengan budaya Melayu seperti Kaum Baba dan Nyonya, serta orang Cina di negeri Kelantan sehingga mereka digelar Cina Kampung. Selain itu di Malaysia ini telah banyak berlaku perkahwinan campur antara orang Melayu dengan orang Cina, orang Cina dengan orang India dan sebaliknya. Selain itu ada makanan kaum India telah digemari oleh bangsa Melayu dan Cina seperti roti canai. Manakala makanan orang Melayu seperti nasi lemak juga telah digemari oleh orang Cina dan India juga. Selain itu ada juga orang Cina yang memakai baju kurung serta orang India memakai Cheongsam.

Wujudnya Kontrak Sosial atau elemen tradisi dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Hasil tolak ansur antara orang Melayu dan bukan Melayu sebelum kemerdekaan dicapai, telah menyebabkan wujudnya kontak sosial ini yang mana ia menjadi satu perjanjian murni datuk nenek moyang zaman dahulu. Di antara perkara yang menjadi kontrak sosial tersebut adalah perkara mengenai bahasa Melayu, agama Islam, hak istimewa orang Melayu serta pemerintahan beraja. Dalam hal ini orang Melayu dan bukan Melayu iaitu orang Cina dan India bersetuju agar perkara itu menjadi perjanjian bersama dan memasukkan perkara tersebut dalam Perlembagaan Negara. Ia sebagai membalas jasa orang Melayu pada ketika itu yang sanggup menerima orang Cina dan India untuk menjadi warganegara Tanah Melayu.


Kedatangan orang Cina dan India ke Tanah Melayu pada suatu masa dahulu menyebabkan wujudnya kepelbagaian di negara ini yang mana ia telah menjadi salah satu elemen keunikan negara ini di mata masyarakat dunia. Sedar atau tidak banyak negara dunia merasa kagum dengan negara Malaysia yang mempunyai masyarakat pelbagai agama dan kepercayaan, kaum dan bangsa tetapi mereka tetap hidup aman dan tenteram berbanding sesetengah negara yang ada hanya satu bangsa tetapi mereka sukar untuk hidup bersama sehingga wujud konflik dan perang berpanjangan.