Assalamualaikum dan Selamat Datang ke Blog Saya

Blog ini diadakan khas untuk penulis berkongsi idea, pendapat dan kepakaran untuk pembaca semua. Diharap blog ini bermanfaat kepada semua khususnya kepada pelajar dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang ingin mendapat info yang berkaitan.

Ingin berkongsi info? bole emailkan ke hasnah@ump.edu.my. Saya merasa bangga kerana dapat berkongsi ilmu yang Allah berikan kepada saya untuk dikongsi dengan orang lain. Saya cuma berharap mereka yang membacanya turut sama mendoakan agar saya sentiasa sihat dan tidak berhenti meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan.




Sunday, 18 October 2015

MENGURUS KEHIDUPAN DI MASA KEGAWATAN EKONOMI





 



Kegawatan ekonomi merupakan satu igaun ngeri bagi sesebuah negara bangsa sama ada ia sebuah negara maju, membangun apatah lagi negara kurang maju. Walaupun ia memberikan reaksi dan kesan yang berbeza bagi sesebuah negara, tetapi perasaan rakyat tetap sama iaitu sudah pasti ia akan memberikan kesan negatif kepada kehidupan mereka. Dalam hal ini, Malaysia sebagai sebuah negara bangsa tidak terkecuali terkena tempias kegawatan ekonomi dunia yang berlaku di sekitar tahun 1997. Sebagai rakyat Malaysia dan juga sebagai seorang mahasiswa pada masa itu, penulis ingin berkongsi pengalaman pahit manis mengalami sendiri suasana semasa negara ditimpa kegawatan ekonomi. Pendedahan pengalaman berharga ini bukan bermaksud untuk mengatakan kegawatan ekonomi itu tidak baik, tetapi lebih kepada untuk menyedarkan para pembaca di luar sana bahawa di sebalik kegawatan ekonomi, ada rahsia dan hikmah yang terbaik untuk sesiapa sahaja. Diharap dengan pendedahan pengalaman ini akan menjadikan pembaca di luar sana lebih bersedia dan berlapang dada jika sekiranya negara ini ditimpa kegawatan ekonomi.
Apa yang dapat saya lihat sebagai seorang mahasiswa yang baru tamat pengajian, kegawatan ekonomi yang melanda telah menyebabkan banyak sektor pekerjaan membekukan pengambilan pekerja. Pelbagai kerja telah saya mohon semuanya tidak berjaya disebabkan kebanyakan majikan ingin mengurangkan kos dan mereka begitu selective dalam memilih pekerja. Disebabkan itu, saya memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang pendidikan agar saya dapat diserap menjadi guru. Memang saya meminati bidang perguruan sejak kecil dan saya memang bercita-cita tinggi untuk menjadi guru. Walau bagaimanapun, bidang pengkhususan yang saya minati sudah penuh dan permohonan saya telah ditolak. Akhirnya saya ditawarkan untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana di salah sebuah universiti awam tempatan yang juga universiti tempat saya menghabiskan pengajian peringkat Sarjana Muda. Saya akhirnya akur, walaupun saya lebih berminat untuk mengenggam diploma pendidikan, tetapi nampaknya itu bukan rezeki saya. Bermula dari sini, saya telah diberikan peluang untuk menjadi Tutor/pengajar dan akhirnya apabila tamat pengajian peringkat Sarjana saya telah ditawarkan pula menjadi pensyarah di beberapa IPTS dan juga universiti awam tempatan. Seterusnya saya menyambung lagi pengajian ke peringkat Doktor Falsafah dan kini saya mempunyai kerjaya yang tidak pernah saya impikan iaitu sebagai pensyarah yang mempunyai status dan tanggungjawab yang tersendiri. . Apa yang berlaku telah menjadi iktibar kepada saya bahawa, kegawatan ekonomi yang lalu telah meletakkan diri saya ke peringkat yang lebih tinggi dari apa yang saya cita-citakan selama ini. Sejak dari itu, saya tidak lagi melihat kegawatan ekonomi sebagai satu musibah tetapi ia terkandung seribu hikmah yang boleh mengubah kehidupan seseorang menjadi yang lebih baik dari sebelumnya.

Apa yang pasti masa depan adalah terletak atas kebijaksanaan seseorang itu menguruskan kehidupannya. Dalam hal ini, semasa kegawatan ekonomi, rakyat Malaysia perlu bijak bukan sahaja dalam menguruskan kewangan keluarga malahan mereka juga harus bijak mencari peluang untuk menambahkan pendapatan. Saya katakan begitu kerana masa kini tidak sama dengan zaman dahulu. Dunia hari ini menuntut setiap dari kita untuk bekerja keras dan perlu mencari pendapatan tambahan disebabkan taraf hidup yang semakin meningkat dan ia telah memberi kesan kepada penduduk yang tinggal di bandar mahupun di luar bandar.

Sebenarnya ada banyak pekerjaan di dunia ini yang tidak memerlukan modal atau modal yang banyak tetapi boleh memberikan hasil yang lumayan. Di sini saya gariskan beberapa pekerjaan yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja asalkan berminat serta boleh berkorban masa dan tenaga. Langkah pertama adalah tanyalah diri anda apa minat anda atau hobi anda? Adakah anda seorang yang suka menjahit, menulis, memasak, melukis dan sebagainya? Sebenarnya daripada hobi atau minat tersebutlah yang perlu kita pupuk dan jadikan ia sebagai hobi yang boleh mendatangkan pendapatan kepada anda. Di sinilah saya katakan rakyat Malaysia perlu bijak cari pendapatan tambahan.

Saya ambil satu contoh hobi yang boleh dikomersilkan iaitu menulis. Jika seseorang itu bekerja atau bekerjaya serta mempunyai masa yang suntuk untuk mencari pendapatan sampingan, menulis adalah jalan yang terbaik. Ini kerana menulis tidak memerlukan masa yang spesifik cuma ia bergantung kepada kebolehan seseorang mengaturkan masa terluang untuk menulis. Menulis membuatkan anda fleksibel, kerana anda boleh mencanai idea untuk menulis bila-bila masa di mana jua yang anda selesa. Mungkin ada di antara kita yang tidak tahu bahawa menulis boleh mendatangkan pendapatan yang lumayan. Pada hari ini sudah terdapat dalam kalangan wanita terutamanya yang sanggup berhenti kerja makan gaji semata-mata ingin menumpukan perhatian kepada kerja-kerja menulis.

Dunia penulisan kini telah mendapat tempat dan sambutan yang menggalakkan seperti penulisan kreatif, novel, bahan akademik dan bukan akademik.  Justeru itu, tidak hairanlah ada yang sanggup berhenti kerja semata-mata mahu menulis. Ingat!!! ada individu yang sudah menjadi jutawan hanya dengan menulis. Tengok sahaja novel Harry Potter yang telah membuatkan penulisnya jadi billionaire. Perkara ini tidak mustahil untuk rakyat Malaysia mencipta sesuatu karya penulisan yang boleh diterima di seluruh dunia. Malaysia juga telah mempunyai beberapa orang penulis yang telah berjaya menjana pendapatan lumayan hanya dengan menulis novel. 

Mungkin ramai di antara kita yang ingin menulis tetapi tidak tahu bagaimana hendak bermula, di mana harus bermula dan nak menulis pasal apa. Sebenarnya setiap orang pasti ada sesuatu yang ingin diperkatakan dan dikongsi bersama orang lain. Ada juga yang tidak perasan bahawa setiap orang pasti ada cerita sepanjang hidupnya. Ayuhlah berkongsi dengan orang di luar sana sama ada ia dalam bentuk pengalaman hidup, pengalaman rumahtangga, alam pekerjaan, travelog, dan sebagainya. Di kesempatan ini saya ingin berkongsi dengan sesiapa sahaja yang baru belajar hendak menulis. Ada banyak peluang untuk kita menulis sama ada di suratkhabar, majalah, novel, buku dan sebagainya. Di sini saya berikan sedikit tips secara umum bagaimana untuk seseorang itu memulakan penulisan. 

Perkara yang pertama, idea akan datang bila-bila masa dan di mana jua. Oleh itu, kita mesti pandai menguruskan idea tersebut. Tidak perlu menyimpan idea itu mengikut susunan. Yang penting simpan sahaja idea tersebut secara lakaran di sana sini yang anda selesa. Secara amnya, apabila seseorang itu menyimpan hasrat untuk menulis sesuatu, idea itu akan datang sama ada semasa anda bekerja, memandu, berehat, bersembang bersama rakan, membeli belah dan sebagainya. Tugas anda adalah mencatat apa jua idea yang datang.

Perkara yang kedua, tidak perlu memikirkan apakah yang hendak ditulis untuk intro atau permulaan cerita, andainya anda ada idea untuk bab pertama atau bab akhir tulis sahaja. Ini kerana idea yang datang tidak mengikut susunan seperti mana yang kita inginkan. Tidak perlu khuatir kerana suatu masa kita akan susun semula idea itu mengikut turutan. Ada sesetengah penulis terpaksa berhenti di tengah jalan atau tidak mahu meneruskan penulisan disebabkan tidak mendapat idea hendak memulakan penulisan. Jadi dalam hal ini, menulis tidak perlu mengikuti proses yang rigid kerana pada peringkat awal sudah memadai seseorang itu sekadar melakarkan idea.
Seterusnya, tulislah apa sahaja yang anda suka sama ada ia berbentuk pendapat, buku rujukan andainya seseorang itu guru atau pensyarah dan novel atau penulisan kreatif berdasarkan pengalaman hidup anda atau pengalaman orang lain, atau berdasarkan keadaan dan isu masyarakat sekeliling. Semua itu boleh kita bukukan kerana pengalaman dan kisah hidup setiap manusia adalah berbeza-beza. Terpulanglah kepada diri individu itu sendiri untuk menggarapnya menjadi sesuatu yang menarik untuk dibaca oleh orang di luar sana.

Akhir sekali, tulislah atau catatlah di mana sahaja anda selesa sama ada komputer riba atau dalam buku dan sentiasa membawa buku nota untuk mencatat. Dewasa kini terlalu banyak gajet-gajet yang boleh membantu anda menyimpan idea penulisan walaupun tidak membawa buku nota. Jadi gunakanlah gajet-gajet ini untuk membantu anda menyimpan memori atau idea penulisan anda. Berdasarkan pengalaman penulis sendiri, jika kita sudah berniat untuk menulis sesuatu perkara, Yang Maha Kuasa akan melontarkan idea kepada kita di mana-mana sahaja dan bila-bila masa sahaja seperti semasa memandu, dalam bas, semasa melepak, masa tengah bercuti, tengah bershopping, tengah bersembang dengan member, semasa mandi dan sebagainya. Jom tambah pendapatan dengan menulis kerana menulis tidak memerlukan modal, cuma perlukan sedikit masa dan tenaga. Jika kena dengan gaya, pendapatan lumayan menanti anda. Walau bagaimanapun, untuk menjadi penulis yang versatile, anda perlu sentiasa menambah ilmu didada kerana garapan idea juga memerlukan ilmu dan pengetahuan.

Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian, 12 ogos 2015.

HAYATI SEJARAH PEMERINTAHAN NEGARA BANGSA MELAYU PADA ZAMAN DAHULU






Perumpamaan “rakyat dan pemerintah berpisah tiada” merupakan satu kata keramat yang menggambarkan keakraban hubungan golongan yang memerintah dengan golongan yang diperintah pada suatu masa dahulu. Asas utama  yang mendasari  pemerintahan negara bangsa antara rakyat dan Raja atau pemerintah zaman dahulu terlahir berdasarkan kepatuhan kepada wadah (perjanjian) yang termeterai antara Seri Teri Buana dengan Demang Lebar Daun. Dalam hal ini, Demang Lebar Daun mewakili rakyat jelata manakala Seri Teri Buana mewakili Raja/pemerintah. Antara isi perjanjian tersebut adalah:
Titah baginda Seri Teri Buana,
“Barang siapa hamba Melayu derhaka mengubah perjanjiannya, dibalikkan Allah bumbungan rumahnya ke bawah kaki ke atas”.

Sembah Demang Lebar Daun,
“Jikalau Raja Melayu itu mengubahkan perjanjian dengan hamba Melayu, dibinasakan Allah negerinya dan takhta kerajaannya”.
            (Sejarah Melayu)

Melalui perjanjian ini, kedua-dua pihak iaitu rakyat dan Raja berjanji akan sentiasa menjaga kedudukan masing-masing serta tidak menganiaya atau memalukan antara satu sama lain dan jika sesuatu pihak mengkhianati perjanjian ini, maka setiap pihak akan menerima balasan daripada Allah s.w.t.

Bermula daripada perjanjian tersebut, dapat dilihat ianya telah memberikan kejayaan kepada negeri Melayu. Antaranya peristiwa semasa Raja Suran hendak menyerang negeri China. Apabila mendengarkan raja hendak menyerang negeri China, maka seluruh  rakyat jelata bersatu untuk menolong raja mereka menentang negara China. Sebagaimana yang diceritakan dalam Sejarah Melayu, seluruh lapisan rakyat jelata datang untuk mempertahankan negara tidak kira yang sempurna, cacat, berpenyakit, tinggi, rendah dan sebagainya. Ini menunjukkan bahawa masyarakat Melayu pada waktu itu tidak kira tua muda bahkan seluruh rakyat jelata datang untuk membantu raja mereka menentang negara  China. Kesungguhan mereka ini bolehlah dijelaskan sebagai kesedaran bahawa demi untuk kepentingan negara, semua rakyat perlu bersatu padu dan berkorban apa saja walaupun mereka serba kekurangan.

Kegemilangan pemerintahan Melaka pada abad ke-15 bukan kerana pemerintahnya tetapi kerana adanya perpaduan antara pemerintah dan rakyat serta peranan pembesar Melaka yang sentiasa mengadakan musyawarah bersama dari semasa ke semasa mengenai perjalanan sistem pemerintahan negara. Kegemilangan kerajaan Melayu Melaka banyak bergantung kepada kerjasama antara raja, pembesar dan rakyat jelata. Ini ditegaskan oleh Tun Sri Lanang (pengarang Sejarah Melayu) di mana tiga unsur yang mendasari penubuhan kerajaan Melayu Melaka ialah Raja/Sultan, para pembesar dan rakyat. Secara kasarnya, walaupun tiga unsur tadi telah mendasari kegemilangan tamadun Melayu Melaka, tetapi kita  tidak boleh menafikan  kehadiran kerja sama, saling sokong – menyokong sama ada secara langsung atau tidak langsung di antara ketiga-tiga pihak di atas. Pernah suatu masa diceritakan peranan seorang pembesar Melaka iaitu Seri Maharaja pada waktu itu yang sangat mengambil berat tentang keamanan negara di mana beliau sendiri telah keluar menyamar pada waktu malam untuk menangkap pencuri. Hasil penyamaran beliau, menyebabkan negeri Melaka  bebas dari masalah kecurian. Ini sepatutnya dijadikan contoh kepada generasi masa kini di mana seorang pembesar Melayu yang sanggup turun padang melakukan perkara yang dianggap di luar dari tugas beliau, tetapi sanggup bergadai nyawa untuk kepentingan rakyat jelata.

Keutuhan konsep kerjasama dalam kegemilangan kerajaan Melayu Melaka tergugat apabila Portugis menyerang Melaka pada 1511. Kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka ke tangan Portugis bukan disebabkan faktor luaran semata-mata, malahan faktor dalaman juga perlu diambil kira. Masalah dalaman yang paling ketara selain ketidakjujuran dan penderhakaan rakyat Melaka sendiri, ialah kelunturan semangat kerjasama di kalangan rakyat Melaka yang selama ini begitu patuh dalam kerja berpasukan, bersatu padu dan tolong menolong. Pada masa ini dapat dilihat hubungan antara rakyat dan pemerintah telah terputus sama sekali. Pada waktu ini juga dapat dilihat tiga unsur yang mendasari kerjasama masyarakat Melayu iaitu raja, pembesar dan rakyat tidak lagi diamalkan. Masing-masing membawa haluan mereka  sendiri. Pengajaran yang boleh dikutip hasil dari serangan Portugis ke atas Melaka ini ialah tanpa kerjasama yang erat, negara boleh musnah dalam sekelip mata. Ini kerana kekuatan negara bangsa adalah hasil perpaduan antara pemerintah, pembesar dan rakyat.

Apabila membincangkan tentang penjajahan, perkara yang selalu digembar gemburkan oleh banyak pihak ialah mengenai faktor penjajahan serta kesan penjajahan ke atas sesebuah negara. Tidak ramai yang berfikir kenapa Tanah Melayu yang pada asalnya kuat perkasa dan digeruni musuh dengan mudah ditawan dan dijajah oleh kuasa luar. Pada masa ini kawan yang dulunya menjadi rakan dagang telah bertukar menjadi harimau yang membahang mangsanya. Kenapa? Tidakkah kita terfikir apakah rahsia disebalik penjajahan kuasa asing (Portugis, Belanda, British dan Jepun) ke atas Tanah Melayu? Dalam hal ini kita perlu melihat bagaimanakah keadaan atau apa yang sedang berlaku di Tanah Melayu sebelum kedatangan kuasa penjajah tersebut. Dari peringkat awal lagi sejak jatuhnya kerajaan Melaka ke tangan Portugis adalah kerana rakyatnya tidak bersatu padu dengan kata lain tiada lagi perpaduan antara pemerintah dan rakyat. Keadaan ini berkesinambungan sehinggalah semasa British mula nak mengintai menjejakkan kaki ke bumi Melayu pada awal abad ke 18. Pada abad ke-18 sehinggalah ke awal abad ke 19, masyarakat Melayu di bumi Melayu ini asyik bertelagah sehingga melupakan semangat perpaduan dan kerjasama yang menjadi pegangan dan budaya orang Melayu sebelum ini. Contohnya seperti di Selangor, Perak, dan Pahang, para pembesar bertelagah sesama sendiri merebut kawasan lombong. Penentangan terhadap sistem Residen di negeri Tanah Melayu juga hanya dimainkan oleh para pembesar sahaja dan beberapa orang rakyat jelata. Dengan lain perkataan, hanya orang-orang tertentu yang sedar akan campurtangan asing sahaja yang bangun berjuang. Semangat kerjasama antara negeri-negeri Melayu semakin sukar diamalkan apabila pihak British mula membahagikan negeri-negeri Melayu ini kepada 3 unit yang terpisah iaitu Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-negeri Selat. Pemisahan ini sebenarnya lebih menyenangkan British untuk menjajah Tanah Melayu.

Antara pengajaran yang dapat diambil daripada sejarah kebangkitan dan kejatuhan kerajaan Melayu zaman dahulu adalah disebabkan runtuhnya ikatan antara pemerintah dan rakyat. Pemerintah dan rakyat telah tidak bekerjasama dalam pentadbiran negara menyebabkan kerajaan Melayu pada masa itu dengan mudah diganggu gugat oleh musuh negara.  Hasilnya negara ini telah terjajah selama beberapa ratus tahun. Tidak mustahil sejarah lama akan berulang semula jika sesuatu masyarakat itu tidak menjadikan sejarah lampau sebagai panduan untuk mentadbir dan menguruskan negara pada masa akan datang.

Monday, 5 October 2015

Wahai Pelajar-pelajarku





Wahai Pelajarku…
Janganlah kau lupa
jasa dan pengorban ibubapamu
mencari rezeki untuk sesuap nasi dan perbelanjaan hidupmu


Wahai Pelajarku…
Janganlah kau lupa tanggungjawabmu beriman kepada Tuhanmu…
Allah….
kerana Dia yang menciptkan kamu dan memberi nikmat kepadamu
Setiap saat, setiap waktu bermohonlah
bermunajatlah pada Dia yang SATU



Wahai Pelajarku…
Janganlah kau leka dengan cinta dan cereka
yang sengaja direka
dan kau sendiri yang mencari
kelak merana diri



Wahai Pelajarku…
Janganlah kau leka dengan smartphone
sehingga kau lupa ibu bapa
sehingga kau lupa pukul berapa
sehingga kau lupa untuk membaca


Wahai Pelajarku…
Jangan kau lupa
esok akan ditanya
apa yang telah kau perbuat semasa di dunia

BICARA TENTANG DIRI



BICARA TENTANG DIRI

Sesekali biarlah kita berbicara….berbicara tentang diri. Kita melihat begitu ramai orang di sekeliling kita. Ada yang berjaya, ada yang berduka, ada yang happy, ada yang derita. Ada yang kaya, ada yang miskin, ada yang berjaya ada yang gagal. Inikah nasib manusia di muka bumi ini? Cuba kita renung ke dalam diri kita pula.
Pernahkah kita bertanya siapakah diri kita?
Mengapakah kita dilahirkan di dunia ini?
Untuk apa ini semua?
Adakah kelahiran kita di dunia ini semata-mata untuk hidup dan bersuka ria?
Adakah kita hidup di dunia ini dan selepas itu kita akan mati dan tidak hidup lagi?
Adakah kita dibiarkan hidup di dunia ini melakukan itu dan melakukan ini tanpa sebarang balasan nanti? sebagai manusia sudah tentu mereka mengharapkan balasan bukan?
Sedarlah wahai teman-teman sekalian. Sesungguhnya semua kejadian di muka bumi ini tidak diciptakan untuk sia-sia dari sekecil-kecil hingga sebesar kejadian semuanya ada peranan masing-masing dan sebagai manusia yang menumpang di bumi Allah ini, kita mempunyai peranan yang sangat besar iaitu beriman kepada Allah dan melakukan segala suruhan Allah. Janganlah kita menidakkan segala nikmat yang kita dapat setiap hari…kesihatan, bernafas, melihat, mendengar, berjalan, berfikir, dan banyak lagi. Lihatlah dan sedarlah berapa ramai orang di luar sana yang terpaksa menggunakan peralatan oksigen untuk meneruskan nafas mereka, berapa ramai yang tidak dapat melihat keindahan alam kerana mereka buta, berapa ramai yang pekak di luar sana sehingga mereka menggunakan bahasa isyarat, berapa ramai yang menjadi gila, berapa ramai yang tinggal di hospital bukan berhari bahkan berbulan…bertahun dengan wayar berselirat di badan mereka…cuba renungkan ke dalam diri kita yang sihat walafiat ini…pernahkah kita mengucapkan syukur kepada pencipta terhadap nikmat yang diberikan olehNya? Kita…kita selalu lupa…kepada pencipta yang menciptakan kita dan memberikan kita nikmat sihat dan kesihatan ini. Jangan kamu pula menidakkannya…kerana segala yang ada di dunia ini semuanya ada yang membuat dan menciptanya. Kereta…ada orang yang membuatnya…rumah pun ada orang yang membuatnya…apatah lagi manusia yang merupakan makhluk yang paling indah kerana mereka diberikan otak…otak untuk manusia berfikir…tetapi manusia terlalu banyak memikirkan tentang teori dan falsafah matematik, sains, engineering...tidak ramai yang menggunakan otaknya untuk meneliti kejadian alam, kejadian manusia, langit, serta kehidupan. Sedarlah sebelum terlambat sebelum namamu dipanggil untuk ditanya tentang 3 perkara iaitu umurmu, ilmu dan hartamu. Ke manakah kamu gunakan untuk perkara tersebut semasa kamu di dunia. Semoga kita semua di bawah lindungan Allah selalu. Amin..
Harap ini menjadi terapi minda untuk kita sentiasa ingat akan diri kita dan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah.

Wednesday, 3 December 2014

Perkongsian untuk para pelajar

Assalamualaikum dan salam sejahtera.....

Berjumpa lagi dengan para pelajar dan pembaca blog yang saya sayangi. Di sini saya ingin sampaikan beberapa tips jika kita ingin berjaya dalam pelajaran. 

Para pelajar perlu fikirkan bahawa sebagai manusia kita wajib menuntut ilmu walaupun ibu bapa kita kaya raya atau jutawan. Ini kerana kita memerlukan ilmu untuk mengemudi kehidupan ini. Jika kita telah berjaya masuk belajar di universiti, ia juga bukanlah tiket untuk kita terus berjaya dan cemerlang. Harus diketahui bahawa tidak semua orang berjaya walaupun dia masuk universiti. Semuanya bergantung kepada usaha kita sendiri. Kalau kita tidak berusaha kita tidak akan berjaya. Sememangnya ibu bapa kita telah berkorban wang ringgit bagi memastikan anaknya berjaya dalam pelajaran. Justeru itu, janganlah kita menghampakan harapan dan cita-cita orang tua kita. Belajarlah rajin2 dan bersungguh supaya kita tidak hanya lulus sahaja dalam peperiksaan. Kita mesti kejar untuk dapat cemerlang.

Di sini saya ingin kongsi beberapa tips yang mana ia banyak membantu saya semasa saya belajar dahulu dan ianya didapati telah berjaya mengubah gred saya yang sebelum itu cukup2 makan sahaja. Di antara perkara yang saya lakukan adalah saya mengulangkaji setiap subjek setiap hari. Maknanya di sini ialah saya akan peruntukkan beberapa minit untuk membaca setiap subjek dalam masa satu hari dan saya tidak menghafal cuma memahami sahaja. Jadi apabila kita membaca setiap hari maka sudah tentu kita akan terbiasa dan ingat, bukan?

Perkara kedua yang saya buat ialah setiap subjek untuk setiap chapter saya akan belajar membuat soalan untuk dijawab oleh saya sendiri. Dalam hal ini, saya akan mencipta soalan dari pelbagai aspek dan sudut chapter berkenaan. Proses ini boleh dilakukan secara sendirian atau berkumpulan. Cubalah tips ini dan anda akan lihat kesannya.

Seterusnya, apa yang telah kita belajar kita perlu merenungi dan berfikir mengenai apa yang kita telah dan sedang belajar. Elakkan dari menghafal...

Buatlah satu nota kecil untuk memudahkan kita membuat ulangkaji....jangan gunakan buku yang tebal untuk mengulangkaji kerana dari segi psikologi dia akan membuatkan kita malas untuk study dan sangat tidak sihat kerana apabila buku tebal2 bertimbun depan mata, ia akan menyebabkan seseorang pelajar itu stress, betul tak?

Dan yang terakhir berbuat baiklah kepada ibu bapa dan orang sekeliling kita serta jangan lupa perkara yang paling penting sekali iaitu Allah...jangan lupa lakukan suruhan Allah dan berdoa. Sebab yang bagi kita dapat A atau tidak adalah Allah...

Sekian untuk perkongsian...