Umum menyedari bahawa
Tanah Melayu telah dijajah oleh beberapa buah kuasa asing yang bermula dengan
kedatangan Portugis, Belanda, British, Jepun dan British semula. Dalam hal ini
apa yang kita lihat adalah penjajahan British memakan masa lebih lama
berbanding dengan Portugis, Belanda dan Jepun. Penglibatan British dalam hal
ehwal sosioekonomi Tanah Melayu berlaku seawal tahun 1786 dan terhenti seketika
setelah penjajahan Jepun di Tanah Melayu yang bermula pada tahun 1942-1945.
Setelah kekalahan Jepun, British balik semula ke Tanah Melayu pada tahun 1946
sehinggalah akhir tahun 1957 apabila pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu mencapai
kemerdekaan. Manakala Portugis dan Belanda pula hanya tertumpu di Melaka dan
bertapak di situ dalam beberapa dekad sahaja.
Salah satu perkara yang
dirasakan kurang disentuh dalam mempelajari penjajahan kuasa asing di Tanah
Melayu ialah apakah kesan positif disebalik penjajahan tersebut. Ini
memandangkan apa yang berlaku sama ada baik atau buruk akan tetap ada hikmah
disebaliknya. Pernahkan kita memikirkan akan hal ini? Di antara kesan positif
disebalik penjajahan kuasa luar ke atas Tanah Melayu pada masa dahulu adalah:
Munculnya
Semangat Kebangsaan
Semangat
kebangsaan atau semangat cintakan bangsa dan negara merupakan sifat yang perlu
ada dalam semua individu yang menganggap dirinya warganegara ini. Semangat ini
akan terus berkembang dalam jiwa anak bangsa selagi mana ada kuasa tertentu
yang cuba menganggu gugat negara, agama dan bangsanya. Dalam konteks penjajahan
kuasa asing di Tanah Melayu ia telah memberikan sumbangan yang amat besar
kepada berkembangnya semangat nasionalisma penduduk di negara ini. Asal usul
bertumbuhnya semangat ini adalah disebabkan peranan penjajah yang telah membawa
masuk bangsa asing ke Tanah Melayu untuk bekerja di ladang getah dan lombong bijih
timah dan juga perkembangan sistem pendidikan yang telah menyedarkan bangsa
Melayu untuk bangun menentang kuasa asing yang begitu rakus menyelongkar hasil
mahsul negara ini. Paling awal adalah penentangan terhadap penjajahan British
oleh beberapa individu seperti Dato’ Bahaman, Tok Janggut, Mat Kilau, Mat
Salleh, Dato’ Maharajalela dan lain-lain lagi. Peringkat kedua penentangan
terhadap penjajahan British dilakukan oleh golongan yang berpendidikan agama,
Melayu dan Inggeris.
Pendudukan Jepun tidak
terkecuali telah menaikkan lagi semangat nasionalisma penduduk Tanah Melayu
untuk menentang penjajah. Dalam hal ini, pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada
1942-1945 telah memberi keyakinan kepada penduduk Tanah Melayu bahawa orang
Asia mampu menentang orang Barat yang dikatakan kuat dan berpengaruh. Ia juga
memberi impak kepada penduduk Tanah Melayu untuk berjuang mempertahankan
tanahair mereka disebabkan slogan yang dibawakan oleh tentera Jepun iaitu Asia
untuk orang Asia.
Orang
Melayu mula bersatu
Tidak
keterlaluan jika dikatakan penjajahan British menjadi antara faktor penting
yang menyebabkan orang Melayu pada ketika itu untuk bersatu. Orang Melayu pada
waktu itu tidak bergaduh atau berkonflik cuma mereka hidup secara terasing dan
mengikut kenegerian. Justeru itulah dapat dilihat tertubuhnya
persatuan-persatuan yang bercorak kenegerian seperti Persatuan Melayu Selangor,
Persatuan Melayu Kelantan, Persatuan Melayu Perak, Persatuan Melayu Pahang dan
sebagainya. Jadi, dalam hal ini, penjajahan British telah berjaya
menyatupadukan seluruh penduduk Tanah Melayu. Buktinya adalah wujudnya
penentangan orang Melayu secara besar-besaran terhadap pengenalan Malayan Union
pada tahun 1946. Ekoran daripada inilah terbentuknya Parti UMNO pada tahun 1948
dengan nama United Malayan National Organization.
Berkembangnya
sekolah-sekolah Vernakular Melayu dan Inggeris
Sebelum
kedatangan British ke Tanah Melayu, penduduk Tanah Melayu telahpun mempunyai
sistem pendidikan mereka sendiri iaitu pendidikan agama dan sekolah pondok.
Pada waktu itu pendidikan sekular belum diperkenalkan lagi dalam kalangan
masyarakat Melayu. Setelah kedatangan penjajah British, beberapa sekolah
vernacular diperkenalkan seperti penubuhan Penang Free School yang merupakan
sekolah Inggeris pertama dibina di Tanah Melayu. Selain itu ada juga sekolah
Melayu, Sekolah Cina dan Sekolah Tamil dibina untuk kemudahan penduduk Tanah
Melayu mendapatkan pendidikan. Walau bagaimanapun, kebanyakan sekolah-sekolah
ini tertumpu di kawasan bandar. Manakala pendidikan tinggi bagi orang Melayu
juga telah diadakan oleh pihak British iaitu MCKK atau Malay College Kuala
Kangsar (khas untuk golongan aristocrat Melayu) dan MPSI atau Maktab Pendidikan
Sultan Idris.
Penubuhan
Sekolah Inggeris di Tanah Melayu pada waktu itu telah memberi peluang kepada
penduduk Tanah Melayu mempelajari bahasa Inggeris dan menyambung pengajian
mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Selain daripada itu, British juga memperkenalkan
tulisan rumi kepada penduduk Tanah Melayu selain tulisan Jawi yang digunakan
oleh orang Melayu pada waktu itu.
Berkembangnya
sektor kesihatan bandar dan luar bandar
Masyarakat
Melayu sebelum kedatangan penjajah British kebanyakannya mengamalkan perubatan
secara tradisional dan bergantung kepada pawang atau bomoh untuk mengubati
penyakit. Penjajahan British di Tanah Melayu telah memperkenalkan sistem
perubatan moden dengan adanya doktor, jururawat, klinik, palang merah dan
pusat-pusat kesihatan. Penubuhan pusat-pusat kesihatan pada peringkat awal
adalah untuk membantu mengubati pekerja-pekerja ladang dan juga penduduk
tempatan yang mengidap penyakit Malaria, beri-beri, taun dan sebagainya.
Walaupun pada peringkat awal ia tidak mendapat sambutan daripada penduduk Tanah
Melayu, lama-kelamaan makin ramai orang kampung telah mengunjungi dispensary
atau pasukan perubatan bergerak untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan. Lama
kelamaan pusat-pusat kesihatan ini telah berkembang daripada bandar ke kawasan
luar bandar.
Munculnya
masyarakat majmuk
Pernahkah
kita memikirkan bagaimanakah masyarakat majmuk terbentuk dan siapakah yang
bertanggungjawab di atas kemunculan masyarakat pelbagai kaum dan agama di
negara ini? Jawapannya sudah tentu pihak
British kerana merekalah yang memberi ruang kepada orang Cina dan India untuk
berhijrah ke negara ini pada suatu masa dahulu. Pada masa itu buruh-buruh
daripada China dan India di bawa masuk ke Tanah Melayu untuk bekerja di lombong
bijih timah dan ladang getah kepunyaan British. Suasana politik di negara asal
yang tidak menentu menyebabkan buruh Cina dan India merasa terpanggil untuk
mencari rezeki di Tanah Melayu. Justeru itu, pada awal tahun 1920-an hingga
1930-an telah menyaksikan kemasukan buruh-buruh dari China dan India yang ramai
ke Tanah Melayu. Bermula dari sinilah bermulanya masyarakat majmuk di Tanah
Melayu dengan kehadiran orang Cina dan India yang akhirnya menjadi penduduk tetap
Tanah Melayu.
Wujudnya
kawasan bandar
Masyarakat
Tanah Melayu sebelum penjajahan British kebanyakannya tinggal di kawasan
pedalaman, kampung-kampung dan juga di sepanjang sungai. Mereka menjalankan
kegiatan ekonomi secukup hidup dengan bertani, menangkap ikan dan memungut
hasil-hasil hutan. Kedatangan British telah mengubah lanskap atau demografi
Tanah Melayu apabila wujudnya kawasan bandar akibat perkembangan pesat
perlombongan bijih timah dan getah. Ekoran daripada perkembangan tersebut menyebabkan
pihak British membina infrastruktur seperti kemudahan jalan raya, jalan
keretapi serta pelabuhan. Kawasan ini juga dijadikan pusat pentadbiran British
dengan kelengkapan telegraf, bangunan pentadbiran, sekolah dan sebagainya.
Bermula dari sinilah wujudnya dua kawasan pembangunan yang berbeza di Tanah
Melayu iaitu kawasan pentadbiran British menjadi bandar dan kawasan penduduk
tempatan di kampung-kampung.
Tinggalan
monumen bersejarah
Kesan
tidak langsung hasil penjajahan British pada masa dahulu adalah monumen atau
bangunan yang menjadi kesan kepada penjajahan British di negara ini. Antara
tinggalan sejarah penjajahan asing di negara ini banyak didapati di Melaka
kesan pendudukan Portugis dan Belanda, dan beberapa negeri di Malaysia masih
menyimpan beberapa bangunan lama penjajahan British dan Jepun. Tinggalan ini
juga telah memberi sumbangan kepada pembangunan pelancongan negara dan ini
secara tidak langsung juga menjadi antara asas untuk menarik pelancong luar
datang ke negara ini.
Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian 15 June 2013
Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian 15 June 2013
terima kasih atas perkongsian ilmunya... :)
ReplyDeleteSama-sama NurFatin.
ReplyDeletemcm mne nak buat tajuk tentang peninggalan penjajahan??
ReplyDeletemintak tolong bagi idea
Thanks for the sharing
ReplyDeletebolehkah anda membantu saya dalam topic ini ( pandangan anda tentang cabaran cabaran penjajah bentuk baru dan bagaimanakah langkah yang perlu rakyat ambil bagi menghadapinya) i have no idea with this
DeleteBoleh email ke hasnah@ump.edu.my
ReplyDeletetq ya . bagus ilmu nya
ReplyDeletePenjajahan British di Tanah Melayu banyak kebaikan dan keburukannya. Orang melayu mulai sedar dari tidur lena yang lama. Mereka kini perlu berhati-hati dengan kemaraan ekonomi dan tipu helah pendatang asing yang dulunya kuli di lombong bijih timah ini, Cita-cita mereka tidak lain hanya ingin menguasai setiap inci bumi kita Tanah Melayu tercinta ini.
ReplyDeleteTerima kasih atas perkongsian ilmu
ReplyDeleteTerima kasih atas perkongsian ilmu ini Puan Hasnah Hussiin..anak saya dapat menyiapkan folio sejarahnya dari sumber di sini.
ReplyDeleteTerima ksih di atas perkongsian ilmu ini. Alhamdulillah terbuka minda dalam memahami sejarah di Malaysia apabila baca tentang kedatangan British berkait dengan Sejarah di negara kita.
ReplyDeleteTerima ksih di atas perkongsian ilmu ini. Alhamdulillah terbuka minda dalam memahami sejarah di Malaysia apabila baca tentang kedatangan British berkait dengan Sejarah di negara kita.
ReplyDeleteSaya sangat berterima kasih diatas perkongsian ilmu ini.
ReplyDeleteterima kasih. Ianya sangat membantu saya dalam memahami dengan lebih jelas.
ReplyDelete