Tuesday, 25 June 2013

Nota Untuk Kursus Hubungan Etnik



SEJARAH KEWUJUDAN MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA


Pengenalan
Malaysia merupakan sebuah negara berbilang bangsa, agama, budaya dan bahasa. Dengan kata lain Malaysia merupakan sebuah negara masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai etnik dan kaum di mana yang paling terbesar adalah Melayu, Cina dan India. Manakala etnik-etnik lain pula adalah merupakan etnik minoriti seperti Singh, Siam, Jawa, Minangkabau, dan beberapa etnik di Sabah dan Sarawak seperti Kadazan, Melanau, Dusun, Bajau dan sebagainya.

Definisi Masyarakat Majmuk
Menurut J.S.Furnivall, masyarakat majmuk merupakan masyarakat yang muncul disebabkan oleh penjajah di sesebuah negara. Dalam kes Malaysia, kewujudan masyarakat majmuk di negara ini juga berkaitan dasar British sebelum ini yang telah membawa masuk buruh-buruh daripada China dan India untuk bekerja di ladang getah dan lombong bijih timah. Kedatangan buruh-buruh ke negara ini untuk bekerja dan akhirnya terus menetap menjadi warganegara telah membentuk masyarakat baru bagi Tanah Melayu iaitu masyarakat majmuk. Pembentukan masyarakat baru ini digelar oleh J.S.Furnivall sebuah masyarakat majmuk yang mana mereka bercampur tetapi tidak bersama. Dengan lain perkataan, mereka hidup bersama sebagai rakyat negara ini tetapi terpisah dari segi tempat tinggal, pendidikan, budaya, agama, pekerjaan dan sebagainya. Fenomena sebegini masih lagi wujud selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Menurut J.S Furnivall, antara ciri-ciri sebuah masyarakat majmuk adalah:
o   Terdapat pelbagai bangsa, ras dan etnik
o   Mereka hidup bersama tetapi tidak bercampur atau tidak bersatu
o   Terpisah disebabkan unit politik yang berbeza
o   Setiap bangsa mempunyai agama, bahasa, kebudayaan yang tersendiri
o   Berinteraksi semasa di pejabat, pasar dan tempat2 awam
o   Sektor pekerjaan mengikut kaum
Secara kasarnya, masyarakat majmuk terpisah dari aspek berikut:
o   Agama
o   Bahasa
o   Ras
o   Ideologi
o   Politik
o   Pendidikan




Siapakah Orang Melayu?

Masyarakat Melayu merupakan kaum majoriti di negara ini dan merupakan penduduk asal Tanah Melayu. Dari segi sejarah, masyarakat Melayu telah lama menghuni Tanah Melayu kerana sejak awal abad ke-12 lagi masyarakat Melayu telah tinggal di sini. Kebanyakan mereka adalah berasal dari Kepulauan Melayu. Justeru itu, masyarakat Melayu mempunyai etnik-etnik mereka sendiri seperti Jawa, Minangkabau, Aceh juga Mandailing.
            Pemerintah Malaysia telah mendefinisikan masyarakat Melayu atau Melayu itu sebagai penduduk pribumi Tanah Melayu atau kini Malaysia sebagai seseorang yang bertutur bahasa Melayu, mengamalkan budaya Melayu serta beragama Islam. Pada peringkat awal, masyarakat Melayu kebanyakannya tinggal di kawasan pedalaman, pesisiran pantai dan kampung-kampung. Mereka mengamalkan kegiatan ekonomi saradiri seperi penangkapan ikan, memungut hasil hutan dan yang paling popular di kalangan masyarakat Melayu adalah menjadi petani iaitu penanam padi dan sedikit yang menanam buah-buahan dan sayur-sayuran. Sehingga masuknya penjajah British di Tanah Melayu, masyarakat Melayu masih lagi tinggal di kawasan luar bandar dan sangat sedikit yang tinggal di bandar-bandar. Kegiatan ekonomi mereka juga masih lagi tertumpu kepada sektor pertanian. Ekonomi kapitalis pada masa ini adalah dipegang oleh orang British dan orang bukan Melayu seperti Cina dan India.
            Dari segi politik pula, masyarakat Melayu pada zaman awal ini telah pun mempunyai sistem politik mereka sendiri iaitu ada golongan pemerintah iaitu Sultan dan golongan di perintah iaitu rakyat biasa. Pada masa ini masyarakat Melayu mengamalkan sistem pemerintahan monarki di mana pemerintah dilantik berdasarkan keturunan dan mempunyai kuasa mutlak dalam pemerintahan.
            Dari segi kepercayaan pula, masyarakat Melayu majoritinya adalah beragama Islam. Walaupun pada peringkat awal, masyarakat Melayu mengamalkan kepercayaan anamisme dan pengaruh hindu, kedatangan Islam dilihat telah mempengaruhi keseluruhan hidup masyarakat Melayu. Tetapi, saki baki pengaruh Hindu masih lagi ada dan ini dapat dilihat dalam istiadat perkahwinan orang Melayu, perubatan tradisional, dan seni persembahan seperti wayang kulit, mak yong dan juga dari aspek senibina.
            Masyarakat Melayu pada zaman awal ini sangat menekankan kepada sistem kekeluargaan. Dalam hal ini masyarakat Melayu perlu menghormati orang yang lebih tua dan institusi keluarga perlu dijaga kerana ia akan memberi kesan kepada keturunan selepasnya. Selain daripada itu, jika dilihat dari segi pendidikan, masyarakat Melayu pada peringkat awal mereka lebih tertumpu kepada pendidikan agama atau pendidikan pondok.Pendidikan sekular untuk orang Melayu hanya diperkenalkan setelah British menjajah Tanah Melayu di mana pendidikan sekolah Melayu dan sekolah Inggeris diperkenalkan. 

Siapakah Orang Cina?
Masyarakat Cina yang menjadi penduduk Malaysia sekarang ini pada awalnya adalah berasal daripada negara China. Orang Cina telah datang ke Tanah Melayu secara besar-besaran pada abad-abad ke 15 sehinggalah ke abad ke-19 semasa penjajahan British. Orang Cina sebenarnya telah datang ke Tanah Melayu sejak awal abad ke-13 lagi dengan penemuan beberapa buah kerajaan Tanah Melayu yang menggunakan nama Cina seperti Kerajaan Chih Tu di Kelantan dan Pan Pan di Terengganu. Semasa kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka pada abad ke-15, negeri China telah bersahabat baik dengan kerajaan Melaka sehinggalah berlakunya perkahwinan antara keluarga diraja China dengan Kerajaan Melayu Melaka. Semasa penjajahan British, kebanyakan pendatang orang Cina adalah berasal dari China Selatan seperti dari wilayah Guangdong dan juga Fujian. Mereka dibawa masuk oleh British untuk bekerja di lombong bijih timah dan ada juga antara mereka yang terlibat dalam sektor perdagangan di bandar-bandar. Di antara dialek utama orang Cina adalah Hakka, Kantonis, Hokkien, Hainan dan Teochew. Kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu semasa penjajahan British seperti di Melaka dan Pulau Pinang telah memperkenalkan satu kelompok yang baru iaitu Cina Peranakan atau Cina Selat tetapi biasanya orang Malaysia menggelar mereka sebagai Cina Peranakan. Dalam hal ini mereka pandai berbahasa Melayu dan memakai baju kebaya Melayu tetapi masih mengekalkan amalan orang Cina. Sehingga kini orang Cina kebanyakan bertumpu di pantai barat semenanjung seperti Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Melaka dan Johor dan menceburkan diri dalam sektor perniagaan dan perdagangan.

Siapakah Orang India?
            Masyarakat India juga merupakan sebahagian daripada komponen masyarakat majmuk di Malaysia. Mereka juga memainkan peranan penting dalam pembangunan negara ini dari sejak merdeka hinggalah pada masa kini. Dari segi sejarah, kedatangan orang India juga seiring dengan kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu yang berlaku secara besar-besaran semasa penjajahan British. Sebagaimana orang Cina, orang India juga telah masuk ke Tanah Melayu melalui penjajah British iaitu mereka di bawa oleh British ke Tanah Melayu pada waktu itu untuk mengerjakan ladang-ladang getah milik British dan ada juga di antara mereka yang melibatkan diri dalam sektor perdagangan dan perniagaan di bandar-bandar. Secara asasnya, orang India juga telah lama membuat hubungan perdagangan dengan Tanah Melayu seawal abad ke-13 lagi tetapi pada masa ini kedatangan mereka adalah atas motif perdagangan apabila merujuk kepada hubungan negara India dengan Kerajaan Melayu Melaka. Hubungan negara India dengan Tanah Melayu sejak awal lagi dapat dilihat dengan tersebarnya agama Hindu, senibina Hindu dan budaya Hindu yang diamalkan oleh masyarakat Tanah Melayu pada waktu itu. Sebelum kemerdekaan kebanyakan masyarakat India yang datang ke Tanah Melayu adalah berasal dari Selatan India seperti Ceylon dan Sri Lanka. Ada juga yang datang dari Utara India. Mereka terdiri daripada pelbagai etnik seperti Telugu, Malayalee, Gurjarati, Benggali, Punjabi dan Sindhi. Apa yang membezakan orang India dan orang Cina adalah orang India telah membentuk kasta antara mereka antaranya adalah chettiar. Sebagaimana orang Cina, orang India juga ramai yang mendiami negeri-negeri tertentu seperti Selangor, Perak, Johor, dan Pulau Pinang. Bilangan orang India paling sedikit di negeri-negeri seperti Terengganu dan Kelantan. Kebanyakan masyarakat India adalah beragama Hindu, dan ada juga yang beragama Kristian dan Islam. Bahasa yang biasa digunakan oleh orang India di sini adalah bahasa Tamil. Kedatangan orang India ke Tanah Melayu telah mewujudkan satu kumpulan atau komuniti baru iaitu Chitty dan Mamak.

 
Harus diingat bahawa kedatangan bangsa asing ke Tanah Melayu telah berlaku seawal abad ke-13. Pada masa ini penghijrahan bangsa asing ke sekitar Kepulauan Melayu dan pelbagai tempat. Pergerakan etnik yang berbeza ke pelbagai tempat telah mewujudkan hubungan etnik yang erat khususnya melalui aktiviti perdagangan iaitu sistem barter. Bukti kepada wujudnya kepelbagaian etnik di Kepulauan Melayu pada masa ini adalah dengan wujudnya kerajaan-kerajaan besar seperti Srivijaya dan Majapahit. Manakala di Tanah Melayu pula dapat disaksikan dengan wujudnya kerajaan Pan Pan yang terletak di antara Terengganu dan Kelantan. Kerajaan Pan Pan merupakan sebuah kerajaan Hindu. Bukti lain adalah dengan wujudnya kerajaan Gangga Negara di Perak dan Lembah Bujang di Kedah. Semua kerajaan ini merupakan kerajaan Hindu Buddha berdasarkan monument dan artifak yang dijumpai. Selain penyebaran agama dan budaya Hindu Buddha, kerajaan-kerajaan ini juga melambangkan kewujudan bangsa asing yang telah datang ke Tanah Melayu untuk berdagang dan pada masa yang sama menyebarkan agama Hindu Buddha.
Kesultanan Melayu Melaka adalah diasaskan oleh Parameswara sekitar tahun 1400-1403. Melaka pada peringkat awal bukanlah sebuah kerajaan Islam tetapi telah bertukar menjadi sebuah kerajaan Islam apabila Parameswara memeluk Islam dan berkahwin dengan puteri Pasai. Perlantikan Sultan Muzaffar Syah telah menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi Kesultanan Melayu Melaka. Islam telah memberi cahaya dan jalan kepada sistem pemerintahan yang lebih sistematik di mana organisasi pemerintahan, sosial, ekonomi, perundangan dan budaya berasaskan Islam. Semasa kegemilangannya, Melaka telah didatangi oleh pedagang Arab, Parsi, China, India, Jepun dan juga pedagang daripada Asia Barat dan Eropah sehingga dilapurkan terdapat lebih daripada 80 bahasa dipertuturkan di Melaka pada waktu ini. Ini menunjukkan betapa ramainya etnik atau bangsa yang datang berdagang di Melaka. Kedatangan pedagang ini bukan sahaja atas dasar perdagangan, malahan kerajaan Melaka sendiri telah mengadakan hubungan diplomatik dengan negara-negara seperti China dan India. Pedagang-pedagang ini pula telah bercampur dengan masyarakat tempatan dan ada di antaranya yang berkahwin dengan masyarakat tempatan, lalu berlakulah penyerapan budaya masyarakat tempatan sama ada dari segi bahasa, budaya, kesusasteraan, kesenian dan sebagainya. Melaka telah kalah di tangan Portugis pada 1511 dan Belanda pada 1641.


No comments:

Post a Comment