Orang Melayu
sering dikaitkan dengan “Takkan Melayu Hilang Di dunia”. Perumpamaan atau
ungkapan klasik ini seakan menjadi darah daging orang Melayu apabila kedudukan
mereka sebagai pribumi dipersoalkan. Mereka harus sedar di era globalisasi di
mana dunia tanpa sempadan akan menyebabkan Melayu akan hilang suatu hari nanti.
Tidak mustahil orang Melayu suatu hari nanti hanya memiliki “baju Melayu”
sahaja setelah selipar pun sudah menjadi milik Jepun “selipar Jepun”. Persoalan
yang ingin dikemukakan di sini ialah masyarakat Melayu perlu bangun mengubah
kedudukan mereka agar setanding dan dihormati oleh bangsa bukan Melayu. Bukan
maksud nak menafikan kedudukan dan hak bukan Melayu, tetapi lebih kepada ingin
membuka mata masyarakat Melayu hari ini agar membuka minda dan sentiasa
berusaha memajukan diri demi masa depan yang penuh mencabar. Persoalan mengenai
perubahan minda kearah kemajuan orang Melayu bukan isu yang baru bahkan ia
telah lama diperdebatkan sejak tahun 1930an lagi. Pada masa ini akhbar dan
majalah sentiasa menyeru orang Melayu agar maju dalam pelbagai bidang. Sehingga
ke hari ini isu mengenai orang Melayu tidak pernah padam. Persoalannya
mengapakah orang Melayu mengambil masa yang agak lama untuk berubah? Keadaan
ini ada logiknya memandangkan beberapa perkara atau isu yang berlaku dalam
negara masih lagi dikaitkan dengan orang Melayu. Di antaranya ialah dari segi
perpaduan. Perpaduan di kalangan masyarakat Melayu masih lagi berlaku
kepincangan disebabkan oleh ideologi politik yang berbeza, telah
memecahbelahkan masyarakat Melayu ke
dalam kelompok yang taksub politik. Rentetan daripada sini ideologi politik berbeza
menyebabkan mereka tidak senang tinggal sekampung dan tidak selesa bersama
dalam majlis. Harus disedari bahawa masyarakat Melayu pada zaman dahulu sangat
terkenal dengan sifat kerjasama, tolong-menolong serta aktiviti gotong-royong.
Bagaimanakah sifat ini boleh hilang dan pudar dari diri orang Melayu?. Lupakah
kita pada peribahasa “bersatu kita teguh bercerai kita roboh”. Dalam hal ini
jika orang Melayu masih lagi berpuak-puak, kemajuan yang ingin dicapai akan
lambat lagi untuk berlaku. Wawasan 2020 juga takkan tercapai kerana ia
memerlukan komitmen semua pihak.
Aspek kedua ialah irihati yang
berpanjangan. Masalah irihati juga sukar dibuang dalam diri orang Melayu pada
hari ini. Keadaan ini dapat dilihat di semua sektor sama ada sektor swasta
ataupun kerajaan. Sama ada yang berpangkat atau orang bawahan. Semuanya
sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan yang lain. Ada segelintir yang merasa irihati dengan
kejayaan orang lain tetapi tidak mahu untuk berusaha agar menjadi lebih baik
daripada orang lain. Bahkan ada di antara mereka berusaha mencari jalan
bagaimana nak menjatuhkan orang lain. Jika keadaan ini berterusan orang Melayu
tidak akan maju sampai bila-bila dan ini bertentangan dengan ciri-ciri
masyarakat bertamadun. Peribahasa Melayu ada mengatakan “duduk sama rendah,
berdiri sama tinggi” melambangkan perlunya orang Melayu itu bersama berkongsi
kejayaan dan bersama mencari kesilapan dalam merencanakan sesuatu pekerjaan.
Begitu juga dengan semangat
patriotisme atau semangat kebangsaan yang semakin luntur dalam diri orang
Melayu. Semangat kebangsaan ini perlu ada dalam diri setiap individu yang
mengaku dirinya sebagai warganegara Malaysia. Perlu disedari tanpa semangat sayangkan
negara yang kuat, negara ini akan runtuh bila-bila masa. Tetapi apa yang
berlaku sekarang ini ialah kurangnya penghayatan orang Melayu sendiri terhadap
program-program yang berunsurkan patriotisme. Contoh yang paling simple sekali
ialah semasa sambutan bulan kemerdekaan. Ada
di antara mereka pada hari ini yang merasakan sambutan terhadap bulan tersebut
tidak memberi apa-apa erti dan tidak ada kaitan dengan mereka yang hidup dalam
dunia yang sudah ada segalanya. Bagi mereka perjuangan menentang penjajah sudah
tamat, Komunis sudah lari, negara dah maju, nak buat apa lagi? Pemikiran sebegini perlu dibuang dalam diri
setiap generasi baru Melayu pada hari ini kerana setiap individu itu ada
tanggungjawab atau amanah yang perlu dipikul. Kalau orang Melayu dulu berjuang
mempertahankan tanah air daripada penjajah, Melayu baru pula harus berjuang
bagi memastikan mereka tidak mudah dijajah dari segi ekonomi dan pemikiran.
Dari segi penguasaan ilmu juga,
orang Melayu seakan ditinggalkan oleh orang bukan Melayu. Lihat sahajalah
pencapaian anak Melayu dengan pencapaian yang diperolehi oleh bangsa bukan
Melayu di IPTA/IPTS. Pencapaian pelajar bukan Melayu paling tinggi jika
dibandingkan pelajar Melayu. Mengapa hal ini terjadi? Rasanya warga universiti
sudah sedia maklum akan hal ini. Mengapa pelajar Melayu sukar untuk menguasai
sesuatu ilmu? Di mana silapnya? Sebagai pensyarah, penulis sendiri dapat
memberikan jawapannya iaitu kesungguhan dan usaha yang dilakukan oleh pelajar
bukan Melayu. Pelajar bukan Melayu jika dilihat begitu komited dengan apa yang
dilakukan, mengapa pelajar Melayu sukar melakukannya. Ini juga perlu dikaji
untuk mengetahui apakah faktor yang membelenggu anak-anak Melayu sehingga
mereka tidak komited dengan pembelajaran. Pelajar Melayu perlu sedar jika
mereka ketinggalan dalam bidang ilmu mereka akan ketinggalan dalam semua
bidang. Orang Melayu perlu sentiasa dahagakan ilmu dan ungkapan “longlife
learning” perlu disematkan dalam jiwa setiap generasi Melayu. Percayalah tanpa
ilmu yang kukuh orang Melayu akan senang ditindas.
Dari segi ekonomi, mengapakah
orang Melayu masih kurang berjaya dalam sektor ekonomi?. Pelbagai langkah telah
dijalankan oleh pihak kerajaan untuk membantu orang Melayu dalam bidang ekonomi
agar setanding dengan bangsa lain. Antaranya ialah pengenalan DEB (Dasar
Ekonomi Baru) untuk menarik sekurang-kurangnya 30% kaum bumiputra terlibat
dalam perdagangan dan perindustrian. Keadaan ini juga tidak banyak berubah.
Walaupun ada peningkatan tetapi belum mencapai tahap yang membanggakan. Masyarakat
Melayu perlu sedar untuk menjadi sebuah negara dan bangsa yang kuat, langkah
pertama ialah mereka perlu kukuh pegangan ekonominya. Tanpa pegangan ekonomi
yang kuat sesuatu masyarakat itu tidak akan kemana-mana. Justeru itu masyarakat
Melayu perlu berusaha mengukuhkan kedudukan ekonomi dengan sentiasa mencari
peluang dan tidak menunggu bantuan dari pihak kerajaan semata-mata. Masyarakat
Melayu perlu ada strategi sendiri untuk memajukan diri dalam ekonomi. Budaya
bantuan perlu dikikis dalam diri orang Melayu. Lihat sahaja masyarakat bukan
Melayu di negara ini. Kebanyakan mereka boleh berjaya dengan cemerlang walaupun
tanpa bantuan sesiapa. Budaya “Spoon Feeding” perlu dibuang dalam diri setiap
orang Melayu kerana ia menggalakkan orang Melayu kurang berusaha dan menanti
pihak kerajaan untuk mengubah nasib mereka.
Orang Melayu juga harus sedar
pegangan mereka dalam bidang politik tidak akan kekal selama-lamanya. Pihak
luar sentiasa mengintai untuk “menangguk di air keruh” dan jangan disangka “air
yang tenang tidak ada buaya”. Orang Melayu perlu sentiasa berwaspada agar dunia
politik mereka tidak diganggu gugat oleh pihak luar. Mereka perlu membuang
pemikiran sempit mereka yang suka berpuak-puak hanya kerana ideologi politik
yang berbeza. Kita tidak ingin perkara ini menjadi seperti kata pepatah Melayu
“bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Orang Melayu perlu
bijak mencari jalan agar politik Melayu sentiasa unggul dan tidak mudah untuk
dimusnahkan. Tetapi bagaimanakah caranya? Tentu sekali ialah pemuafakatan dan
kerjasama yang tidak mengira ideologi politik serta membuang budaya jatuh
menjatuhkan di antara satu sama lain.
Masyarakat Melayu pada hari ini
juga seakan menjadi juara dalam semua gejala sosial dan pengaruh negatif dalam
masyarakat Malaysia.
Lihat sahaja pada statistik jenayah, serta penyalahgunaan dadah semuanya
didominasi oleh orang Melayu. Laporan pihak Pemadam menjelaskan untuk penagihan
dadah bagi Januari hingga Disember 2005, memperlihatkan jumlah penagih Melayu
seramai 22,344 orang, Cina 5,131 orang dan India 3,228 orang. Ini hanya satu
kategori daripada gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat Malaysia,
kategori yang lain masyarakat Melayu masih lagi mendominasi jumlah tertinggi.
Mengapa gejala sosial ini didominasi oleh orang Melayu juga memerlukan satu kajian
yang menyeluruh dilakukan bagi mengenalpasti faktor agar jalan penyelesaian
dapat diadakan. Golongan remaja Melayu perlu sedar mereka adalah bakal pemimpin
pada masa akan datang. Justeru itu pendidikan awal adalah penting bagi
mengelakkan mereka terjebak dengan gejala-gejala negatif tersebut. Keadaan ini
ada kaitannya dengan pendidikan. Tahap pendidikan yang rendah amat mempengaruhi
perlakuan remaja dewasa ini yang menyebabkan mereka senang terpengaruh
melakukan sesuatu di luar batasan.
No comments:
Post a Comment