Salam semua.....
Terimakasih kerana mengunjungi lagi blog saya. Di sini saya sertakan esei pendek untuk pelajar yang mengambil subjek Hubungan Etnik atau sesiapa sahaja yang ingin mendapat idea untuk membuat homework Pengajian Am atau karangan Bahasa Melayu. Harap dapat membantu.
Dewasa kini kita sering
dikejutkan dengan isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama penduduk di negara
ini. Sama ada ia dilakukan oleh orang luar atau kalangan masyarakat di Malaysia
sendiri, ia tetap merupakan satu isu yang perlu diberi perhatian dan tidak
boleh dibiarkan bermaharajalela. Seiring dengan perkembangan teknologi, maka
pendedahan mengenai perkara yang boleh menimbulkan sensitiviti masyarakat juga
terus berleluasa. Isu agama merupakan perkara yang sensitif justeru itu, ia
perlu dipantau setiap masa bagi mengelak daripada berlakunya konflik kaum
apatah lagi ia boleh memecahkan benteng integrasi kaum di negara ini.
Secara amnya, terdapat
beberapa langkah bagi mengelak daripada sesuatu pihak berterusan melakukan
sesuatu yang boleh menimbulkan sensitiviti kaum yang lain. Langkah pihak
Kementerian Pengajian Tinggi memperkenalkan subjek Hubungan Etnik di Institusi
Pengajian Tinggi harus dipuji. Pelaksanaan kursus ini di seluruh IPT telah
diterima baik oleh pelajar dan juga para pensyarah. Ini kerana mahasiswa tidak
boleh disogokkan dengan ilmu teknikal semata-mata, malahan mereka juga diberi
kesedaran bahawa negara ini terdiri dari pelbagai kaum dan mereka perlu belajar
untuk memahami dan menghormati kaum-kaum yang lain.
Selain daripada itu,
peranan masyarakat sangatlah penting. Semua masyarakat di negara ini memainkan
peranan untuk memastikan perpaduan rakyat di negara ini sentiasa terjamin. Dalam
hal ini, tugas menjaga iklim perpaduan tidak terletak di bahu pihak kerajaan
semata-mata. Rakyat juga ada peranan mereka tersendiri. Antara langkah yang
dilihat sangat baik dilakukan adalah perlunya setiap anggota masyarakat pada
hari ini cuba memahami agama dan budaya kaum lain. Dengan cara ini perbuatan
mempersendakan agama kaum lain sukar untuk berlaku. Tidak keterlaluan jika
dikatakan agamalah yang boleh menyatukan dan agamalah yang boleh meruntuhkan
benteng perpaduan kaum di negara ini. Rakyat di negara ini perlulah mengambil
peluang untuk belajar dan memahami agama-agama lain. Tidak susah untuk sesuatu
kaum itu memahami ajaran agama yang lain kerana agama menjadi penentu kepada
budaya hidup penganutnya.
Ada agama yang
mempunyai pantang larang dan halal haram. Kita ambil saja contoh yang ringkas
seperti makanan. Setiap kaum ada jenis makanan yang mereka boleh makan dan ada
makanan yang mereka tidak boleh makan. Antaranya yang boleh dijadikan contoh
ialah bagi orang Islam adalah haram memakan daging khinzir, ayam atau lembu
yang tidak disembelih dengan cara yang dibenarkan oleh Islam dan lain-lain
makanan yang diharamkan oleh Islam. Begitu juga dengan agama Hindu yang
melarang penganutnya memakan daging lembu. Dengan cara memahami ajaran agama lain
sebegini ia akan memberikan garis panduan kepada penganut-penganut agama lain
agar tidak melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan sensitiviti kaum yang lain.
Dalam hal ini, penulis
begitu tertarik dengan cara hidup dan amalan masyarakat Melayu dan bukan Melayu
di negeri Kelantan. Melalui pengalaman penulis, di suatu tempat di negeri
Kelantan yang mana masyarakatnya terdiri dari etnik Melayu dan Siam, mereka
dapat hidup aman damai dari dahulu sampai sekarang. Apa yang dipraktikkan oleh
masyarakat ini walaupun mereka berbeza agama, mereka sangat menghormati agama
masyarakat lain. Antara aktiviti yang berjaya menyatukan mereka ialah semasa
perkahwinan. Masyarakat Siam akan mengadakan kenduri khas untuk orang Melayu
sahaja bagi memberi peluang kepada masyarakat Melayu turut sama menghadiri
majlis perkahwinan tersebut dan satu hari khas untuk masyarakat Siam pula.
Untuk itu, mereka juga telah menggunakan tukang masak khas orang Melayu untuk
memasak juadah untuk masyarakat Melayu. Apa yang masyarakat di sini lakukan
ialah apa sahaja yang mereka lakukan, mereka tidak akan lupakan rakan-rakan
mereka yang bukan sebangsa mereka. Bagi mereka apa sahaja perlu dikongsi
bersama dan tidak boleh hidup berpuak-puak walaupun berlainan agama.
Selain itu, keunikan
masyarakat pelbagai bangsa di negeri ini juga dapat dilihat apabila mereka kuat
mengamalkan semangat kerjasama dan tolong menolong. Secara amnya, kebanyakan
penduduk di negeri ini bekerja sebagai petani dan nelayan. Justeru itu,
kebanyakan mereka sentiasa bantu membantu apabila rakan mereka yang tidak
sebangsa dengan mereka mengalami masalah. Ini mungkin disebabkan proses
asimilasi kaum yang telah lama berlaku di sini menyebabkan mereka tidak terasa
yang mereka berbeza agama. Asimilasi yang kuat juga menyebabkan ada kalangan
masyarakat Siam tersebut yang ada dua nama iaitu nama Siam dan nama Melayu.
Penggunaan nama Melayu dalam kalangan masyarakat Siam telah mengeratkan lagi
hubungan mereka dengan orang Melayu.
Perkara seterusnya yang
melambangkan keunikan perbezaan agama di negeri ini ialah setiap kaum dilihat
sangat menghormati agama kaum lain. Di negeri ini setiap penganut agama bebas
mempraktikkan agama masing-masing. Adakalanya rumah ibadat masyarakat Siam di
sini mempunyai patung-patung Buddha yang sangat besar, tetapi tidak pernah pula
masyarakat sekeliling yang terdiri daripada orang Melayu menganggu atau
merosakkan rumah ibadat kaum lain. Di sinilah peri pentingnya toleransi agama
dalam kalangan masyarakat di negeri ini yang menjadikan mereka begitu unik.
Perkara yang paling
besar adalah bertolak ansur. Dalam hal yang berkaitan dengan keagamaan, semua
kaum perlulah bersikap tolak ansur. Ini selaras dengan apa yang telah
dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia melalui Perkara 3 (1), agama
rasmi Persekutuan adalah Agama Islam tetapi agama-agama lain boleh diamalkan
dengan aman dan damai di negara ini. Dalam hal ini, setiap agama di Malaysia
boleh diamalkan dengan aman dan tidak boleh menimbulkan kekacauan terhadap
agama-agama lain.
Secara ringkasnya,
semua kaum di negara ini perlu mengadakan sedikit masa untuk belajar dan
memahami budaya dan agama lain. Ini sangat penting bagi mengelakkan
persengketaan atau konflik kaum berlaku disebabkan oleh sesuatu pihak yang
tidak menghormati agama orang lain. Kita tidak mahu keamanan yang kita kecapi
kini berkecai disebabkan perbalahan agama.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Saya mohon kebenaran untuk menggunakan sedikit sebanyak maklumat yang ada di artikel ni bagi menyiapkan tugasan saya berkaitan hubungan etnik di Malaysia. Terima kasih.
ReplyDeleteAssalamualaikum Saya mohon kebenaran untuk menggunakan sedikit makumat yang dinyatakan pada artikel ini bagi membantu kajian kertas kerja saya yang bertajuk Tahap Perpaduan Kaum dalam subjek Hubungan Etnik Terima kasih.
ReplyDeleteAssalamualaikum dan selamat sejahtera, saya meminta kebenaran untuk menggunakan sedikit maklumat yang ada dalam artikel ini bagi membantu saya untuk membuat sedikit pembentangan untuk silibus CTU555 yang bertajuk Toleransi dan Adab Pergaulan Antara Etnik. Terima Kasih
ReplyDelete