Wednesday, 9 December 2015

JOM SAYANGI NEGARA KITA......








Umpama kata orang siapa yang tak sayangkan rumahnya. Apatah lagi jika sudah lama seseorang itu menyimpan hasrat untuk membeli rumah, akhirnya setelah pelbagai halangan dan dugaan akhirnya dia berjaya memiliki sebuah rumah. Lalu dihiasnya rumah itu dengan pelbagai hiasan luaran dan dalaman sehingga rumah itu menjadi satu kediaman yang tersergam indah mengikut kreativiti dan keselesaan si pemilik. Rumah menjadi tempat untuk beristirehat dan menenangkan jiwa setelah seharian penat bekerja. Sebab itulah wujudnya perumpamaan Inggeris yang berbunyi "home sweet home". Jika kita aplikasikan rumah itu sebagai negara, apa yang terlintas di pemikiran anda? Bayangkan negara yang kita diami sekarang ini adalah rumah kita.Sudah tentunya akan timbul rasa sayang dan jika kita seorang pejuang kemerdekaan dahulu sudah pasti negara ini akan dijaga serapi-rapinya bagi memastikan pengkhianat negara tidak lagi menjejakkan kakinya dan menggadai maruah negara yang tercinta ini. Bagi generasi baru, apakah yang boleh anda lakukan bagi menunjukkan anda adalah warga yang sayangkan negaranya?

Jangan sekali-kali rosakkan nama negara
Kepada generasi baru pada hari ini mereka hendaklah sentiasa memastikan segala perbuatan dan pemikiran mereka sentiasa mendatangkan impak positif kepada negara. Mereka tidak boleh melakukan sesuatu yang mana akan memberi kesan buruk kepada nama negara, pemerintah dan rakyat negara ini. Antara perbuatan yang dikira boleh merosakkan dan mencemarkan negara di mata dunia atau di kalangan negara luar adalah dengan cara memburukkan pemimpin, rakyat, sistem pemerintahan dan segala yang berkaitan dengan negara kepada negara luar. Selain itu, mereka juga tidak boleh melakukan sebarang tingkah laku yang negatif di negara luar seperti jenayah, penipuan, pengedaran dadah dan sebagainya. Ini akan memudahkan nama negara ini tercemar dek kerana anda seorang warganegara Malaysia yang melakukan jenayah di luar negara.

Lakukan Sesuatu Untuk mengharumkan nama negara kita
Sebagai seorang warganegara Malaysia, sama ada kita berada di luar negara kerana bekerja atau sebagai pelajar dan juga sebagai rakyat  negara ini, mereka perlu melakukan sesuatu yang bukan sahaja untuk negara, tetapi pada suatu masa mereka juga perlu menghasilkan sesuatu yang boleh mengharumkan nama negara. Ini boleh dilakukan dengan mencipta teknologi baru, penyelidikan terkini, penemuan terbaru dan sebagainya. Jika anda boleh lakukan sesuatu yang boleh mengharumkan nama negara, sudah tentu negara juga akan bangga dengan anda.

Menimba Ilmu Sebanyak Mungkin
Kekuatan, kedaulatan serta jatuh bangun sesebuah negara banyak bergantung kepada anak bangsanya. Dalam hal ini, setiap individu dalam sesebuah masyarakat itu perlu mempunyai pengetahuan dan ilmu tentang bagaimana untuk membangunkan negara dan pada masa yang sama memastikan negaranya diakui dan disegani oleh negara lain. Negara memerlukan individu yang mempunyai ilmu kemahiran, ilmu berfikir pada aras yang tinggi. Tanpa ini semua sesebuah negara tidak boleh membangun dan maju selari dengan negara maju yang lain. Justeru itu, dalam aspek ini rakyat Malaysia perlulah berusaha mencari apa saja ilmu bagi memenuhi permintaan pasaran pekerjaan. Perlu ditekankan disini bahawa ilmu yang dimiliki itu tidak boleh terhenti setakat itu sahaja, malahan mereka perlu mencari ilmu-ilmu tambahan yang boleh menjadikan diri mereka diperlukan oleh negara dalam semua aspek pembangunan negara.




Jangan Musnahkan Negara
Negara kita adalah tempat tumpah darah kita. Kehidupan kita bermula di sini malahan di sinilah tempat kita mencari ilmu, membina keluarga dan menyemai bakti. Lihat sahaja saudara kita di negara yang bertelagah dan berkonflik, walaupun mereka ada tanahair, mereka tidak dapat memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak mereka malahan mereka tidak mampu untuk membangunkan negara mereka sendiri. Tetapi kita ada tanah dan kita ada negara, sanggupkah kita sendiri yang musnahkan negara kita? Sanggupkan kita berkompromi dan bekerjasama dengan musuh untuk menjatuhkan dan merungkai keamanan negara kita? Jangan sekali-kali menjual maruah negara hanya kerana sedikit ketidakpuasan hati kita terhadap beberapa perkara atau isu dalam negara.

Pastikan negara terus bebas dan tidak dijajah semula
Semua orang pernah belajar sejarah Malaysia. Semua orang tahu negara kita pernah dijajah dan akhirnya kita merdeka. Justeru itu, setiap 31 Ogos kita meraikan Hari Kemerdekaan negara. Ini sebagai peringatan kepada kita semua tentang negara kita pada suatu masa dahulu berada di bawah pengaruh kuasa besar seperti Portugis, Belanda, British dan juga Jepun. Berada di bawah penguasaan asing sangatlah memeritkan dan jika tidak mungkin datuk nenek moyang kita tidak berjuang sehingga ketitisan darah terakhir. Berapa ramai pula yang gugur kerana mempertahankan negara. Justeru itu, kita sebagai generasi yang sudah merdeka, perlu memastikan bahawa kuasa yang ingin menjajah dan menaungi negara kita sama ada dari aspek pemikiran dan penjajahan fizikal tidak akan berlaku lagi. Sejarah pasti akan berulang jika generasi kini hidup dalam kelekaan dan alpa terhadap anasir luar yang sentiasa mengintai peluang untuk memasuki negara ini bila-bila masa dan di mana jua.

Hargai Keamanan dan Keharmonian yang dikecapi kini
Negara Malaysia kini telah dikenali di seluruh pelusuk dunia kerana keamanan, keharmonian serta kesejahteraan rakyat dan negaranya. Ini berlainan sekali jika dibandingkan dengan 30 atau 40 tahun dahulu di mana tidak banyak negara yang mengenali negara Malaysia. Tidak hairan jika mereka juga tidak tahu di mana letaknya peta negara Malaysia. Tetapi lihatlah pada hari ini, sebut saja Malaysia banyak negara maju, kurang maju, miskin, negara Barat, Timur Asia, Asia Selatan semuanya kenal Malaysia. Apa yang membuatkan Malaysia terkenal dan unik di mata masyarakat dunia? Tidak lain dan tidak bukan kerana keharmonian masyarakatnya walaupun Malaysia terdiri dari pelbagai kaum, agama dan bangsa, tetapi kita boleh hidup aman dan damai bukan? Dalam hal ini penulis merasa sangat terkesan dengan kata-kata yang pernah dilontarkan oleh seseorang yang berasal dari Timur Tengah mengatakan beliau sangat kagum dengan masyarakat Malaysia kerana walaupun mereka ada banyak bangsa dan agama serta budaya yang berbeza, orang Cina, India, Melayu dan bangsa-bangsa lain boleh hidup aman dan makmur, boleh tinggal sebelah menyebelah, boleh makan bersama, boleh bermain bersama dan sebagainya. Bagi beliau, beliau tidak melihat semua perkara ini berlaku di negara beliau walaupun di negaranya hanya ada satu bangsa dan ada satu agama yang besar. Lihatlah rakyat Malaysia semua, jangan kita mencalarkan pujian dari orang luar ini, janganlah kita mencalarkan hubungan baik pelbagai kaum di negara ini kerana inilah kunci Malaysia menjadi sebuah negara yang sifar konflik etnik. Sayangilah dan hormatilah semua kaum di negara kita ini kerana tanpa kerjasama semua kaum negara Malaysia takkan terbina seperti yang ada sekarang ini

Menghormati Undang-undang dan Perlembagaan Negara
Sebagai seorang warganegara Malaysia, kita sudah diasuh agar memahami bait-bait dalam Rukunegara dan antaranya ialah mengenai Kedaulatan Undang-undang. Ini merupakan intipati penting yang perlu dilakukan oleh rakyat Malaysia iaitu mengakui dan memahami tentang kedaulatan undang-undang. Dalam hal ini, setiap rakyat Malaysia adalah tertakluk kepada Perlembagaan yang menjadi sumber utama undang-undang negara. Sebagai warganegara kita hendaklah mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh negara bagi memastikan negara ini bebas dari gejala yang boleh merosakkan nama agama, bangsa dan negara. Setiap orang adalah tertakluk kepada perlembagaan. Percayalah jika rakyat negara ini menolak undang-undang negara, maka sekelip mata negara boleh hilang kedaulatan dan kemerdekaan yang kita kecapi kini. Tanpa perlembagaan juga, negara, bangsa dan agama juga akan lenyap dari bumi Malaysia.

3 comments: