Assalamualaikum dan Selamat Datang ke Blog Saya

Blog ini diadakan khas untuk penulis berkongsi idea, pendapat dan kepakaran untuk pembaca semua. Diharap blog ini bermanfaat kepada semua khususnya kepada pelajar dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang ingin mendapat info yang berkaitan.

Ingin berkongsi info? bole emailkan ke hasnah@ump.edu.my. Saya merasa bangga kerana dapat berkongsi ilmu yang Allah berikan kepada saya untuk dikongsi dengan orang lain. Saya cuma berharap mereka yang membacanya turut sama mendoakan agar saya sentiasa sihat dan tidak berhenti meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan.




Wednesday 16 December 2015

DI MANA LETAKNYA PATRIOTISMA KITA?





Melihatkan kepada gejala negatif, perbuatan melanggar undang-undang negara serta perlakuan di luar norma-norma kemanusiaan, timbul persoalan di manakah letaknya nilai-nilai patrotisma dalam diri generasi muda pada hari ini? Tindak tanduk generasi kini jelas memperlihatkan mereka tidak lagi patriotik dan sayangkan negara. Baru-baru ini ada beberapa pihak yang akan melaksanakan pengukuran indeks patriotisma rakyat Malaysia. Langkah ini patut dipuji kerana negara kini telah berada dalam satu fasa di mana rakyatnya sudah hampir hilang hormat dan tidak cintakan kepada negaranya sendiri. Ini adalah berdasarkan kepada beberapa perbuatan generasi kini yang mencerminkan kecintaan terhadap negara sendiri semakin terhakis mungkin disebabkan aliran globalisasi yang tidak diurus dan tidak difahami dengan betul.

Menghina Pemimpin Negara

Sejak akhir-akhir ini, rakyat negara ini kelihatan begitu berani sehingga mereka sanggup menghina institusi beraja dan pemimpin negara. Pemimpin bukan lagi untuk dihormati, disegani, sebagai lambang perpaduan dan penyatuan masyarakat negara ini. Institusi ini telah dihina disebabkan ada sesetengah pihak yang tidak menyukai gaya dan corak pentadbiran pemimpin. Perbuatan sebegini boleh disamakan dengan perumpamaan “marahkan nyamuk kelambu di bakar’. Apa yang tidak kena dengan cara mereka ini ialah perbuatan memijak gambar pemimpin, menggunakan medan sosial bagi menghina pemimpin, melakukan perbuatan “super imposed” ke atas gambar-gambar pemimpin dan sebagainya. Perbuatan ini sebenarnya sangat tidak digalakkan oleh agama, tidak bermoral serta memalukan individu atau pemimpin tersebut. Seharusnya rasa ketidakpuasan hati terhadap pemerintah perlu menggunakan saluran dan jalan yang betul kerana negara ini menyediakan pelbagai saluran untuk rakyat membuat sebarang aduan. Mungkin juga generasi akan datang perlu dididik akan cara-cara bagaimana hendak menyalurkan idea-idea bernas untuk pembangunan negara serta bagaimana untuk menyumbang idea bagi kepentingan bersama. Manakala di pihak pemimpin pula, mereka perlu sentiasa membuat “check and balance” bagi memastikan semua lapisan masyarakat sama ada kaya atau susah mendapat pembelaan yang sewajarnya di bawah pembangunan negara.


Menghina agama dan bangsa lain

Isu agama sebenarnya adalah benda sensitif yang jika tidak diuruskan dengan baik boleh mencetuskan konflik antara kaum di negara ini. Tetapi akibat kemajuan yang pesat dalam bidang sains dan teknologi serta kewujudan laman-laman sosial tanpa batasan, menyebabkan ada antara masyarakat atau individu di negara ini bertindak menggunakan kemudahan ini untuk menyebarkan perkara yang tidak baik mengenai agama dan kaum yang lain. Tanpa diketahui mengapa dan apa motif sesetengah kumpulan dan individu bertindak untuk menghina agama sehingga boleh menyebabkan timbulnya sensitiviti penganut agama lain. Mereka mempersendakan ajaran dan perbuatan agama orang lain. Apakah mereka ini tidak kasihkan saudara sesama bangsa Malaysia? Datuk nenek moyang mereka telah lama hidup bersama tanpa sengketa, tetapi mengapa generasi baru bertindak memperlekehkan agama itu dan agama ini yang boleh menimbulkan kemarahan penganut sesuatu agama lain? Apakah mereka tidak cintakan kedamaian dan kerukunan yang dikecapi selama ini.? Adakah mereka mahu negara ini menjadi seperti beberapa buah negara jiran yang lain yang sering bersengketa disebabkan isu agama?


Menghina Negara Sendiri

Pepatah lama ada mengatakan “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, tapi negara sendiri tetap yang terbaik. Tetapi sejak kebelakangan ini, kita banyak dikejutkan dengan beberapa insiden atau kejadian rakyat negara ini yang menghina negara sendiri di negara luar sama ada dengan menterbalikkan bendera negara dan bertindak menceritakan perihal hal ehwal negara ini di negara luar. Paling parah ada yang tidak mahu kembali ke tanahair disebabkan merasakan negara Malaysia tidak mampu memberikan mereka pulangan atau persekitaran pekerjaan yang lebih baik. Secara logiknya, bendera Malaysia atau apa-apa sahaja yang menjadi symbol negara Malaysia tidak bersalah, tetapi rasa ketidakpuasan hati pihak-pihak tertentu terhadap negara menyebabkan mereka menggunakan simbol atau lambang negara sebagai mangsa untuk melepaskan kemarahan mereka terhadap negara sendiri.

Merosakkan Diri Sendiri


Melihatkan kepada statistik gejala sosial, penagihan dadah serta jenayah kebanyakannya dilakukan oleh golongan remaja dan dewasa rakyat Malaysia. Semua perbuatan ini bukan sahaja salah di sini undang-undang, malahan ia boleh merosakkan diri dan masa depan individu itu sendiri. Statistik penagihan dan penyalahgunaan dadah mencerminkan betapa ramai golongan belia yang sepatutnya menyumbang tenaga kepada pembangunan negara tetapi terlibat dengan perkara yang merosakkan negara dan bangsa. Jika lebih ramai lagi golongan muda belia terlibat dalam perkara seperti ini, agaknya siapa yang akan memegang tampuk pemerintahan negara nanti? Perkara ini perlu difikirkan kerana negara memerlukan ramai tenaga mahir dan separuh mahir untuk bersama membangunkan politik, ekonomi dan sosial negara ini. Perbuatan ini seolah-olah golongan belia itu tidak sayangkan diri mereka sendiri dan juga negara memandangkan negara terpaksa menghabiskan berbillion ringgit untuk membaik pulih mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah serta jenayah.

Memperlekehkan Sejarah Negara

Generasi yang lahir pada zaman sains dan teknologi tidak sama dengan zaman sebelum pengenalan smartphone, whatssup, facebook dan sebagainya. Pemikiran generasi baru masa kini sudah diprogramkan dengan gadjet-gadjet canggih di mana ia telah berjaya memprogramkan minda remaja dan generasi belia agar leka dengan permainan, video, gambar-gambar dan sebagainya. Jadi tidak hairanlah generasi baru kurang minat untuk mempelajari dan mengetahui sesuatu yang berbentuk fakta apatah lagi untuk mengambil tahu tentang sejarah negara. Sejarah dianggap sudah lapuk, memberatkan pemikiran mereka dan bagi mereka ini sejarah tidak ada nilai dalam dunia sains dan teknologi. Perlu diketahui bahawa sejarah adalah asas untuk membina negara bangsa, memacu pembangunan negara pada masa akan datang, mengambil iktibar dan menaikkan semangat kebangsaan dalam jiwa generasi pelapis negara. Tetapi jika pemikiran generasi kini disuapkan dengan permainan dalam talian, gambar-gambar selfie, menonton hiburan hip hop, kpop dan sebagainya adakah ini semua boleh menaikkan semangat mereka untuk lebih sayangkan negara? Lebih parah lagi kebanyakan generasi kini sudah tidak minat untuk mengetahui perkara-perkara yang berlaku di sekeliling mereka kerana mereka selesa hidup bersendiri bertemankan telefon dan gadget pintar mereka.




Menghalang pembangunan negara

            Dewasa ini juga dapat kita saksikan di mana ada sesetengah rakyat negara ini yang tidak senang melihat pembangunan yang dikecapi oleh negara. Bagi golongan ini apa sahaja yang pemerintah buat semuanya tidak kena di mata dan hati mereka. Seharusnya mereka bersama membantu pemimpin membangunkan negara dengan hanya memberikan sokongan mereka dan bukannya merosakkan harta benda awam.

Tidak ada semangat perpaduan dan kekitaan

            Sebagaimana yang telah diketahui umum, Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri dari pelbagai kaum, agama dan bangsa. Sejarah telah membuktikan rakyat negara ini telah hidup aman dan damai dari sejak awal merdeka sehingga kini. Tetapi disebabkan ada beberapa kumpulan yang tidak memahami sifat-sifat kebersamaan dan perbezaan, tidak bertoleransi serta tidak boleh bertolak ansur menyebabkan timbulnya konflik perkauman. Kemajuan dunia digital telah memburukkan lagi keadaan apabila ada kumpulan dan individu tertentu dengan terang-terang menyebarkan penghinaan terhadap agama dan bangsa lain di media-media sosial. Keadaan ini akan menambahkan lagi ketegangan antara kaum dan agama. Golongan seperti ini dilihat tidak mempunyai rasa sayangkan negara kerana mereka lebih gemar melihat rakyat negara ini berprasangka buruk antara satu sama lain yang mungkin akan menjadi benih kepada perpecahan dalam masyarakat.



Ini merupakan sebahagian daripada penganiaan yang dilakukan oleh anak bangsa yang mengaku dirinya rakyat Malaysia. Jika diselidiki, terdapat banyak lagi percubaan dan perbuatan yang melanggar batasan agama dan undang-undang negara yang mencerminkan seseorang itu tidak sayangkan negara, agama dan bangsanya sendiri. Walau bagaimanapun, diharap dengan adanya pendedahan isu ini akan membuka mata pihak-pihak tertentu agar merenung kembali andainya perkara ini terus dibiarkan apakah negara Malaysia masih boleh berdiri teguh dalam peta dunia pada masa akan datang?

No comments:

Post a Comment