Assalamualaikum dan Selamat Datang ke Blog Saya

Blog ini diadakan khas untuk penulis berkongsi idea, pendapat dan kepakaran untuk pembaca semua. Diharap blog ini bermanfaat kepada semua khususnya kepada pelajar dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang ingin mendapat info yang berkaitan.

Ingin berkongsi info? bole emailkan ke hasnah@ump.edu.my. Saya merasa bangga kerana dapat berkongsi ilmu yang Allah berikan kepada saya untuk dikongsi dengan orang lain. Saya cuma berharap mereka yang membacanya turut sama mendoakan agar saya sentiasa sihat dan tidak berhenti meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan.




Monday, 10 July 2017

SET KITO JANGE PECOH




Negara kita negara Malaysia
Ada pelbagai bangsa, pelbagai agama
Warna kulit pun berbeza
Ada cerah ada gelap
Namun itu bukanlah alasan
Untuk kita berpecah belah
Set Kito Jange Pecoh


Negara kita ada banyak negeri
Kelantan, Terengganu, Johor, Pahang dan lain-lain lagi
Kita bercakap berbeza dialek
Namun itu bukanlah alasan
Set Kito Jange Pecoh 

Negara kita negara demokratik
Ada banyak parti ada banyak ideologi
Siapa pun yang memerintah
Set Kito Jange Pecoh


Orang Malaysia suka bola
Kelantan vs Johor, Selangor vs Perak, Pahang vs Kedah
Walaupun anda penyokong kelab bola
Walaupun anda penyokong tegar
Set Kito Jange Pecoh


Walaupun anda  jauh di kutub utara
Ada juga di negara Selatan
Bertebaran di negara orang
Set Kito Jange Pecoh






UNIVERSITI PERLU BANGUNKAN KURIKULUM PENDIDIKAN MENYELURUH



Dewasa kini kita sering mendengar bermacam-macam kes atau gejala negatif yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita. Sedar atau tidak, generasi yang lahir pada masa kini tidak sama pemikirannya dengan generasi sebelum ini justeru itu, maka berlakulah pelbagai gejala yang tidak baik yang mana ianya tidak berlaku pada masa dahulu. Di manakah silapnya masyarakat kita hari ini? Ada beberapa isu yang timbul dalam masyarakat hari ini antaranya seperti remaja yang tidak ada arah tujuan hidup lalu mudah terjebak dengan gejala negatif sehingga memberi kesan kepada keamanan dan kemakmuran negara.

Secara amnya, masyarakat Malaysia sudah merasa kurang aman dengan wujudnya pecah rumah, rompakan, ugutan, ragut, pukau, pembunuhan, penipuan, rasuah, serta wujudnya individu yang mempunyai masalah mental. Masalah ini semakin bertambah tahun demi tahun dan apakah kita ingin terus melihat masyarakat negara ini hidup dalam ketakutan walhal negara kita sudah lama merdeka. Pada pendapat penulis, perkara ini ada kaitan dengan sistem pendidikan walaupun tidak seratus peratus betul. Apa yang penulis maksudkan melalui sistem pendidikan menyeluruh adalah perlunya sistem pendidikan itu mampu mendidik individu bukan sahaja dalam bidang kemahiran tertentu tetapi juga mampu mendidikan jiwa individu supaya mereka mampu menguruskan diri, agama, negara dan masyarakat mereka. Ini bertepatan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan negara yang menyatakan:
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.(Falsafah Pendidikan Kebangsaan)

Berdasarkan kepada petikan Dasar Pendidikan Kebangsaan tersebut, rasanya ia lebih sesuai jika semua elemen yang hendak dilahirkan nanti diterapkan terus dalam sistem pembelajaran dan pengajaran di peringkat universiti. Dalam hal ini, rasanya perlu diadakan sedikit perubahan pada kurikulum yang sedia ada iaitu dengan menyuntik atau menambahkan elemen pembangunan jiwa dan kemanusiaan tidak kira apa jurusan yang diikuti. Antara cadangan penulis adalah:

a) Elemen patriotisma
Secara amnya, apabila kita membangkitkan tentang isu patriotisma ada dalam kalangan kita yang terus menuding jari iaitu peranan pendidikan sejarah. Pandangan ini tidak tepat sama sekali memandangkan menguasai ilmu sejarah bukanlah satu-satunya kayu pengukur untuk menilai tahap patriotisma seseorang. Ada banyak elemen lain yang turut sama membantu bagi menilai tahap patriotisma masyarakat Malaysia seperti kesanggupan untuk berkhidmat, membantu, menolong orang yang memerlukan pertolongan, sanggup berkorban untuk membangunkan negara, taat setia kepada negara, tidak membongkarkan rahsia negara kepada musuh, membantu kerajaan mengharumkan dan menaikkan  nama negara di negara luar, mampu berbakti kepada negara, tidak bercerita buruk tentang negara, dan lain-lain lagi. Pemupukan semangat patriotisma adalah elemen sangat penting diterapkan dalam jiwa generasi pewaris negara memandangkan jika tidak ada elemen ini dalam jiwa rakyat Malaysia, negara akan kekurangan tenaga mahir kerana golongan yang tidak mempunyai nilai patriotisma akan mencari kerja di negara orang dan bukannya untuk berbakti kepada negara yang tercinta. Selain dari itu, ketiadaan semangat patriotisma juga dikhuatiri akan berlaku banyak penyelewengan dan penipuan yang boleh membawa kepada keruntuhan negara.

b) Elemen kemasyarakatan
Sebagaimana yang telah diketahui umum, negara Malaysia adalah negara yang bermasyarakat majmuk. Walaupun ada kalanya berlaku konflik tetapi negara ini masih stabil. Jika dilihat kepada suhu konflik perkauman di Malaysia pada hari ini, konflik kecil yang berlaku banyak berkaitan dengan isu politik tetapi perkara ini masih ada jalan penyelesaian. Apa yang menjadi masalah adalah kebanyakan generasi baru pada hari ini kurang mempunyai perasaan nilai-nilai murni hidup bermasyarakat. Pendedahan yang terlampau terhadap gajet-gajet menyebabkan mereka kurang berinteraksi dengan masyarakat sekeliling. Pada masa kini pihak kementerian telah mengambil langkah wajar di mana telah dijalankan kursus Hubungan Etnik bagi memperbaiki hubungan antara kaum di negara ini dan sekaligus dapat memberi penerangan kepada generasi muda akan kepentingan menjaga hubungan etnik yang harmonis bagi membentuk negara yang aman dan tenteram serta bebas konflik kaum. Walau bagaimanapun, masih terdapat banyak ruang untuk memperbaiki hubungan masyarakat di negara ini dan ianya tidak terhad kepada hubungan antara kaum sahaja. Ini memandangkan keadaan dunia yang semakin mencabar pada hari ini masyarakat semakin menjauh dan seakan sudah hilang rasa kemanusiaan dengan wujudnya pembunuhan kejam, ugut, ragut, pukau dan sebagainya. Ini menunjukkan sudah berlaku kerapuhan dalam kehidupan bermasyarakat. Kehidupan bermasyarakat mencerminkan perlunya ikatan antara satu sama lain kerana seseorang manusia itu tidak mampu untuk hidup sendirian. Tetapi apa yang nyata sekarang ini wujudnya perasaan pentingkan diri dan tidak lagi sayang kepada orang lain kerana mereka sanggup membakar, mendera, mencuri hak orang lain dan sebagainya. Justeru itu di sinilah terlihat betapa hubungan sesama manusia itu perlu diperkukuhkan kembali dengan memupuk semangat kekitaan dan saling memerlukan di antara satu sama lain.

c) Elemen keagamaan
Ilmu agama adalah sangat penting kepada setiap individu dan ini selari dengan prinsip Rukunegara yang pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan. Ini bermaksud sebagai rakyat negara Malaysia, perkara pertama yang perlu ada dalam diri mereka adalah agama. Ini memandangkan dengan adanya ilmu agama ia akan membimbing manusia ke arah kebaikan. Dalam hal ini, pendidikan keagamaan tidak boleh terhenti sehingga tahap sekolah sahaja ia perlu sentiasa dipupuk sehinggalah ke peringkat universiti. Pada tahap ini, pelajar perlu diterapkan dengan elemen keagamaan bagi memastikan mereka mampu menempuh segala cabaran dunia siber dan globalisasi yang mana ia boleh mengancam jiwa yang rapuh didikan agamanya. Dengan adanya pendidikan agama ini maka ia akan dapat membantu pelajar memahami siapa diri mereka dan apa tujuan mereka dilahirkan ke dunia ini. Agama juga akan menyedarkan individu itu agar tidak melakukan sesuatu yang dilarang agama, tidak mengambil barang yang bukan hak mereka, tidak boleh menipu, mencuri, membunuh dan sebagainya. Hidayah tidak akan datang dengan sendiri dan ia perlu dicari. Jadi dengan adanya elemen keagamaan ini ia akan membantu para pelajar sentiasa ingat akan agamanya dan dirinya. Dengan lain perkataan mereka tidak perlu mengembara jauh untuk mencari agama kerana mereka boleh mendapatinya di dalam kelas sehari-hari.Ilmu agama juga akan menjadi benteng kepada para pelajar dari terjebak dalam gejala negatif yang boleh merosakkan diri dan negara mereka secara keseluruhannya.

Pada pendapat penulis, tiga elemen ini sangat penting diterapkan dalam kurikulum peringkat universiti walaupun nampak macam kecil tetapi ia mampu memberikan impak yang besar kepada negara pada masa akan datang.

Artikel ini disediakan oleh
Dr Hasnah Hussiin
Pensyarah Kanan
Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang (UMP)

Wednesday, 30 December 2015

KAYA Vs MISKIN



Sekadar untuk renungan kita bersama sahaja. Tidak kira kita kaya atau kita miskin, semuanya adalah ketentuan dari Allah. Kita harus pasrah dan menerima dengan seikhlas hati kerana setiap yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya. Kalau kita ditakdirkan kaya raya, sebenarnya ia akan memberi kita banyak peluang dan ruang untuk bersedekah dan membantu golongan yang memerlukan. Manakala jika ditakdirkan kita miskin serba kekurangan, maka jadikan itu untuk kita terus berusaha dan terus berjuang untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.



Kaya Vs Miskin

Kaya - Kau minum kopi, cappucino sambil menghirup udara segar di halaman rumah. Kau memikirkan bagaimana hendak mengembangkan dan menguruskan bisnes berjuta sambil menghirup kopi
Miskin - kau minum kopi o berasap bersama biskut kering dan ubi kayu rebus, ditemani isteri dan anak-anak keliling pinggang sambil memikirkan apa lagi yang perlu dibuat untuk menyara keluarga


Kaya - Kereta dan rumah yang kau pakai mungkin berharga setengah juta mungkin lebih dari itu
Miskin - cukuplah pondok usang ini sekadar untuk berteduh dari panas dan hujan dan sebuah motor buruk untuk membawa anak isteri mengelilingi kampung

Kaya - Pendapatan aku tidak habis sampai 7 keturunan
Miskin - pendapatan aku sekadar cukup untuk makan hari ini esok belum tentu, untuk belanja extra kena ikat perut

Kaya - Aku suka makan dan lepak di restoran mewah
Miskin - aku makan bila perlu di dapur burukku

Kaya - Anakku ke sekolah ada driver hantarkan
Miskin - anakku ke sekolah berjalan kaki 

Kaya - makanan kegemaranku chicken cop, chicken grill, beaf steak, alaa kebanyakannya western food
Miskin - bagiku nasi yang ada lauk sudah cukup mewah bagiku


Kaya - aku ada saving di merata bank
Miskin - aku tak ada duit untuk simpanan


Kaya - baju raya aku setiap tahun lebih 5 pasang
Miskin - baju rayaku satu saja dan sama setiap tahun, itupun selagi boleh dipakai

Kaya - aku suka bawa keluarga bercuti keliling dunia
Miskin - cukuplah dapat bawa anak isteri keliling kampung


Kaya - waktu malam, rumahku kelihatan  tersergam indah dengan hiasan lampu dan lanskap
Miskin - dari jauh orang pasti tak percaya, adakah ini tempat tinggal aku

Kaya - sekali aku shopping penuh troli
Miskin - aku beli beras saja

Kaya - selalunya aku guna credit card bila shopping
Miskin - sebelum membeli aku kira berapa duit ada dalam poket


Kaya - aku lena tidur di atas tilam yang empuk dan suhu bilik yang sejuk
Miskin - cukupla ada tikar untuk alas tidur


Kaya - Tapi...kita akan menuju ke tempat yang sama nanti
Miskin - betul tu...
 

Wednesday, 16 December 2015

DI MANA LETAKNYA PATRIOTISMA KITA?





Melihatkan kepada gejala negatif, perbuatan melanggar undang-undang negara serta perlakuan di luar norma-norma kemanusiaan, timbul persoalan di manakah letaknya nilai-nilai patrotisma dalam diri generasi muda pada hari ini? Tindak tanduk generasi kini jelas memperlihatkan mereka tidak lagi patriotik dan sayangkan negara. Baru-baru ini ada beberapa pihak yang akan melaksanakan pengukuran indeks patriotisma rakyat Malaysia. Langkah ini patut dipuji kerana negara kini telah berada dalam satu fasa di mana rakyatnya sudah hampir hilang hormat dan tidak cintakan kepada negaranya sendiri. Ini adalah berdasarkan kepada beberapa perbuatan generasi kini yang mencerminkan kecintaan terhadap negara sendiri semakin terhakis mungkin disebabkan aliran globalisasi yang tidak diurus dan tidak difahami dengan betul.

Menghina Pemimpin Negara

Sejak akhir-akhir ini, rakyat negara ini kelihatan begitu berani sehingga mereka sanggup menghina institusi beraja dan pemimpin negara. Pemimpin bukan lagi untuk dihormati, disegani, sebagai lambang perpaduan dan penyatuan masyarakat negara ini. Institusi ini telah dihina disebabkan ada sesetengah pihak yang tidak menyukai gaya dan corak pentadbiran pemimpin. Perbuatan sebegini boleh disamakan dengan perumpamaan “marahkan nyamuk kelambu di bakar’. Apa yang tidak kena dengan cara mereka ini ialah perbuatan memijak gambar pemimpin, menggunakan medan sosial bagi menghina pemimpin, melakukan perbuatan “super imposed” ke atas gambar-gambar pemimpin dan sebagainya. Perbuatan ini sebenarnya sangat tidak digalakkan oleh agama, tidak bermoral serta memalukan individu atau pemimpin tersebut. Seharusnya rasa ketidakpuasan hati terhadap pemerintah perlu menggunakan saluran dan jalan yang betul kerana negara ini menyediakan pelbagai saluran untuk rakyat membuat sebarang aduan. Mungkin juga generasi akan datang perlu dididik akan cara-cara bagaimana hendak menyalurkan idea-idea bernas untuk pembangunan negara serta bagaimana untuk menyumbang idea bagi kepentingan bersama. Manakala di pihak pemimpin pula, mereka perlu sentiasa membuat “check and balance” bagi memastikan semua lapisan masyarakat sama ada kaya atau susah mendapat pembelaan yang sewajarnya di bawah pembangunan negara.


Menghina agama dan bangsa lain

Isu agama sebenarnya adalah benda sensitif yang jika tidak diuruskan dengan baik boleh mencetuskan konflik antara kaum di negara ini. Tetapi akibat kemajuan yang pesat dalam bidang sains dan teknologi serta kewujudan laman-laman sosial tanpa batasan, menyebabkan ada antara masyarakat atau individu di negara ini bertindak menggunakan kemudahan ini untuk menyebarkan perkara yang tidak baik mengenai agama dan kaum yang lain. Tanpa diketahui mengapa dan apa motif sesetengah kumpulan dan individu bertindak untuk menghina agama sehingga boleh menyebabkan timbulnya sensitiviti penganut agama lain. Mereka mempersendakan ajaran dan perbuatan agama orang lain. Apakah mereka ini tidak kasihkan saudara sesama bangsa Malaysia? Datuk nenek moyang mereka telah lama hidup bersama tanpa sengketa, tetapi mengapa generasi baru bertindak memperlekehkan agama itu dan agama ini yang boleh menimbulkan kemarahan penganut sesuatu agama lain? Apakah mereka tidak cintakan kedamaian dan kerukunan yang dikecapi selama ini.? Adakah mereka mahu negara ini menjadi seperti beberapa buah negara jiran yang lain yang sering bersengketa disebabkan isu agama?


Menghina Negara Sendiri

Pepatah lama ada mengatakan “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, tapi negara sendiri tetap yang terbaik. Tetapi sejak kebelakangan ini, kita banyak dikejutkan dengan beberapa insiden atau kejadian rakyat negara ini yang menghina negara sendiri di negara luar sama ada dengan menterbalikkan bendera negara dan bertindak menceritakan perihal hal ehwal negara ini di negara luar. Paling parah ada yang tidak mahu kembali ke tanahair disebabkan merasakan negara Malaysia tidak mampu memberikan mereka pulangan atau persekitaran pekerjaan yang lebih baik. Secara logiknya, bendera Malaysia atau apa-apa sahaja yang menjadi symbol negara Malaysia tidak bersalah, tetapi rasa ketidakpuasan hati pihak-pihak tertentu terhadap negara menyebabkan mereka menggunakan simbol atau lambang negara sebagai mangsa untuk melepaskan kemarahan mereka terhadap negara sendiri.

Merosakkan Diri Sendiri


Melihatkan kepada statistik gejala sosial, penagihan dadah serta jenayah kebanyakannya dilakukan oleh golongan remaja dan dewasa rakyat Malaysia. Semua perbuatan ini bukan sahaja salah di sini undang-undang, malahan ia boleh merosakkan diri dan masa depan individu itu sendiri. Statistik penagihan dan penyalahgunaan dadah mencerminkan betapa ramai golongan belia yang sepatutnya menyumbang tenaga kepada pembangunan negara tetapi terlibat dengan perkara yang merosakkan negara dan bangsa. Jika lebih ramai lagi golongan muda belia terlibat dalam perkara seperti ini, agaknya siapa yang akan memegang tampuk pemerintahan negara nanti? Perkara ini perlu difikirkan kerana negara memerlukan ramai tenaga mahir dan separuh mahir untuk bersama membangunkan politik, ekonomi dan sosial negara ini. Perbuatan ini seolah-olah golongan belia itu tidak sayangkan diri mereka sendiri dan juga negara memandangkan negara terpaksa menghabiskan berbillion ringgit untuk membaik pulih mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah serta jenayah.

Memperlekehkan Sejarah Negara

Generasi yang lahir pada zaman sains dan teknologi tidak sama dengan zaman sebelum pengenalan smartphone, whatssup, facebook dan sebagainya. Pemikiran generasi baru masa kini sudah diprogramkan dengan gadjet-gadjet canggih di mana ia telah berjaya memprogramkan minda remaja dan generasi belia agar leka dengan permainan, video, gambar-gambar dan sebagainya. Jadi tidak hairanlah generasi baru kurang minat untuk mempelajari dan mengetahui sesuatu yang berbentuk fakta apatah lagi untuk mengambil tahu tentang sejarah negara. Sejarah dianggap sudah lapuk, memberatkan pemikiran mereka dan bagi mereka ini sejarah tidak ada nilai dalam dunia sains dan teknologi. Perlu diketahui bahawa sejarah adalah asas untuk membina negara bangsa, memacu pembangunan negara pada masa akan datang, mengambil iktibar dan menaikkan semangat kebangsaan dalam jiwa generasi pelapis negara. Tetapi jika pemikiran generasi kini disuapkan dengan permainan dalam talian, gambar-gambar selfie, menonton hiburan hip hop, kpop dan sebagainya adakah ini semua boleh menaikkan semangat mereka untuk lebih sayangkan negara? Lebih parah lagi kebanyakan generasi kini sudah tidak minat untuk mengetahui perkara-perkara yang berlaku di sekeliling mereka kerana mereka selesa hidup bersendiri bertemankan telefon dan gadget pintar mereka.




Menghalang pembangunan negara

            Dewasa ini juga dapat kita saksikan di mana ada sesetengah rakyat negara ini yang tidak senang melihat pembangunan yang dikecapi oleh negara. Bagi golongan ini apa sahaja yang pemerintah buat semuanya tidak kena di mata dan hati mereka. Seharusnya mereka bersama membantu pemimpin membangunkan negara dengan hanya memberikan sokongan mereka dan bukannya merosakkan harta benda awam.

Tidak ada semangat perpaduan dan kekitaan

            Sebagaimana yang telah diketahui umum, Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri dari pelbagai kaum, agama dan bangsa. Sejarah telah membuktikan rakyat negara ini telah hidup aman dan damai dari sejak awal merdeka sehingga kini. Tetapi disebabkan ada beberapa kumpulan yang tidak memahami sifat-sifat kebersamaan dan perbezaan, tidak bertoleransi serta tidak boleh bertolak ansur menyebabkan timbulnya konflik perkauman. Kemajuan dunia digital telah memburukkan lagi keadaan apabila ada kumpulan dan individu tertentu dengan terang-terang menyebarkan penghinaan terhadap agama dan bangsa lain di media-media sosial. Keadaan ini akan menambahkan lagi ketegangan antara kaum dan agama. Golongan seperti ini dilihat tidak mempunyai rasa sayangkan negara kerana mereka lebih gemar melihat rakyat negara ini berprasangka buruk antara satu sama lain yang mungkin akan menjadi benih kepada perpecahan dalam masyarakat.



Ini merupakan sebahagian daripada penganiaan yang dilakukan oleh anak bangsa yang mengaku dirinya rakyat Malaysia. Jika diselidiki, terdapat banyak lagi percubaan dan perbuatan yang melanggar batasan agama dan undang-undang negara yang mencerminkan seseorang itu tidak sayangkan negara, agama dan bangsanya sendiri. Walau bagaimanapun, diharap dengan adanya pendedahan isu ini akan membuka mata pihak-pihak tertentu agar merenung kembali andainya perkara ini terus dibiarkan apakah negara Malaysia masih boleh berdiri teguh dalam peta dunia pada masa akan datang?

KAU TIDAK TAHU

Entah kenapa entry kali ini, aku teringin menulis tentang apa yang telah aku lalui suatu ketika dahulu. Sengaja aku titipkan di sini kerana mungkin di luar sana ada insan yang senasib denganku...Iya..sesungguhnya bukan mudah untuk menjadi senang bagi diriku. Banyak onak dan duri serta liku-liku hidup yang perlu aku tempuhi kerana itulah namanya sebuah kehidupan ada pasang dan surut ada senang dan ada susah.



PUISI KAU TAK TAHU


Kau tak tahu....
Dulu..aku selalu menginginkan sesuatu tetapi ia hanya tinggal angan-angan dan kenangan. Ini kerana walaupun ada keinginan aku tidak ada kemampuan untuk memilikinya kerana aku miskin..ibu bapaku tidak mempunyai apa-apa harta dan juga wang. Kami hidup umpama kais pagi makan pagi kais petang makan petang..

Kau tak tahu....
Aku pernah makan nasi berlaukkan kicap berbulan-bulan lamanya tanpa lauk dan sayur

Kau tak tahu...
Semasa di bangku sekolah, aku berjalan kaki sejauh 2 km untuk ke sekolah sehingga kasut sekolahku berlubang di tumit

Kau tak tahu...
Semasa belajar di universiti, aku pernah berjalan sejauh 6 km untuk ke kampus lantaran tidak mampu membayar pas bas ke kampus

Kau tak tahu...
Aku pernah hanya ada RM10.00 dalam poket untuk belanja hidup selama sebulan

Kau tak tahu..
Dulu aku pernah bekerja part time di salah sebuah restoran  dengan bayaran RM2.50 satu jam

Kau tak tahu...
Aku pernah pergi bekerja tanpa sarapan dan makan tengahari kerana aku cuma ada duit tambang bas sahaja

Kau tak tahu...
Aku dan keluargaku pernah makan sardin tin kecil untuk 5 orang

Kau tak tahu...
Aku pernah makan nasi berkuahkan minyak goreng ikan yang sudah hitam

Kau tak tahu..
Aku mampu membuat sendiri teddy bear dengan mengggunakan kain perca dan kekabu depan rumahku...

Kau tak tahu...
Aku pernah pakai baju raya yang sama selama 4 tahun...ingat pesanan ibuku selagi boleh pakai ..tak payah tukar baju baru
  
Itulah secebis kisah yang mewarnai kehidupanku suatu masa dahulu....sungguh indah bila dikenang kembali walaupun ia pahit untuk dilalui tetapi itulah ketetapan yang Allah berikan kepadaku dan ahli keluargaku. Alhamdulillah di atas kurniaan ini.

Wednesday, 9 December 2015

JOM SAYANGI NEGARA KITA......








Umpama kata orang siapa yang tak sayangkan rumahnya. Apatah lagi jika sudah lama seseorang itu menyimpan hasrat untuk membeli rumah, akhirnya setelah pelbagai halangan dan dugaan akhirnya dia berjaya memiliki sebuah rumah. Lalu dihiasnya rumah itu dengan pelbagai hiasan luaran dan dalaman sehingga rumah itu menjadi satu kediaman yang tersergam indah mengikut kreativiti dan keselesaan si pemilik. Rumah menjadi tempat untuk beristirehat dan menenangkan jiwa setelah seharian penat bekerja. Sebab itulah wujudnya perumpamaan Inggeris yang berbunyi "home sweet home". Jika kita aplikasikan rumah itu sebagai negara, apa yang terlintas di pemikiran anda? Bayangkan negara yang kita diami sekarang ini adalah rumah kita.Sudah tentunya akan timbul rasa sayang dan jika kita seorang pejuang kemerdekaan dahulu sudah pasti negara ini akan dijaga serapi-rapinya bagi memastikan pengkhianat negara tidak lagi menjejakkan kakinya dan menggadai maruah negara yang tercinta ini. Bagi generasi baru, apakah yang boleh anda lakukan bagi menunjukkan anda adalah warga yang sayangkan negaranya?

Jangan sekali-kali rosakkan nama negara
Kepada generasi baru pada hari ini mereka hendaklah sentiasa memastikan segala perbuatan dan pemikiran mereka sentiasa mendatangkan impak positif kepada negara. Mereka tidak boleh melakukan sesuatu yang mana akan memberi kesan buruk kepada nama negara, pemerintah dan rakyat negara ini. Antara perbuatan yang dikira boleh merosakkan dan mencemarkan negara di mata dunia atau di kalangan negara luar adalah dengan cara memburukkan pemimpin, rakyat, sistem pemerintahan dan segala yang berkaitan dengan negara kepada negara luar. Selain itu, mereka juga tidak boleh melakukan sebarang tingkah laku yang negatif di negara luar seperti jenayah, penipuan, pengedaran dadah dan sebagainya. Ini akan memudahkan nama negara ini tercemar dek kerana anda seorang warganegara Malaysia yang melakukan jenayah di luar negara.

Lakukan Sesuatu Untuk mengharumkan nama negara kita
Sebagai seorang warganegara Malaysia, sama ada kita berada di luar negara kerana bekerja atau sebagai pelajar dan juga sebagai rakyat  negara ini, mereka perlu melakukan sesuatu yang bukan sahaja untuk negara, tetapi pada suatu masa mereka juga perlu menghasilkan sesuatu yang boleh mengharumkan nama negara. Ini boleh dilakukan dengan mencipta teknologi baru, penyelidikan terkini, penemuan terbaru dan sebagainya. Jika anda boleh lakukan sesuatu yang boleh mengharumkan nama negara, sudah tentu negara juga akan bangga dengan anda.

Menimba Ilmu Sebanyak Mungkin
Kekuatan, kedaulatan serta jatuh bangun sesebuah negara banyak bergantung kepada anak bangsanya. Dalam hal ini, setiap individu dalam sesebuah masyarakat itu perlu mempunyai pengetahuan dan ilmu tentang bagaimana untuk membangunkan negara dan pada masa yang sama memastikan negaranya diakui dan disegani oleh negara lain. Negara memerlukan individu yang mempunyai ilmu kemahiran, ilmu berfikir pada aras yang tinggi. Tanpa ini semua sesebuah negara tidak boleh membangun dan maju selari dengan negara maju yang lain. Justeru itu, dalam aspek ini rakyat Malaysia perlulah berusaha mencari apa saja ilmu bagi memenuhi permintaan pasaran pekerjaan. Perlu ditekankan disini bahawa ilmu yang dimiliki itu tidak boleh terhenti setakat itu sahaja, malahan mereka perlu mencari ilmu-ilmu tambahan yang boleh menjadikan diri mereka diperlukan oleh negara dalam semua aspek pembangunan negara.




Jangan Musnahkan Negara
Negara kita adalah tempat tumpah darah kita. Kehidupan kita bermula di sini malahan di sinilah tempat kita mencari ilmu, membina keluarga dan menyemai bakti. Lihat sahaja saudara kita di negara yang bertelagah dan berkonflik, walaupun mereka ada tanahair, mereka tidak dapat memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak mereka malahan mereka tidak mampu untuk membangunkan negara mereka sendiri. Tetapi kita ada tanah dan kita ada negara, sanggupkah kita sendiri yang musnahkan negara kita? Sanggupkan kita berkompromi dan bekerjasama dengan musuh untuk menjatuhkan dan merungkai keamanan negara kita? Jangan sekali-kali menjual maruah negara hanya kerana sedikit ketidakpuasan hati kita terhadap beberapa perkara atau isu dalam negara.

Pastikan negara terus bebas dan tidak dijajah semula
Semua orang pernah belajar sejarah Malaysia. Semua orang tahu negara kita pernah dijajah dan akhirnya kita merdeka. Justeru itu, setiap 31 Ogos kita meraikan Hari Kemerdekaan negara. Ini sebagai peringatan kepada kita semua tentang negara kita pada suatu masa dahulu berada di bawah pengaruh kuasa besar seperti Portugis, Belanda, British dan juga Jepun. Berada di bawah penguasaan asing sangatlah memeritkan dan jika tidak mungkin datuk nenek moyang kita tidak berjuang sehingga ketitisan darah terakhir. Berapa ramai pula yang gugur kerana mempertahankan negara. Justeru itu, kita sebagai generasi yang sudah merdeka, perlu memastikan bahawa kuasa yang ingin menjajah dan menaungi negara kita sama ada dari aspek pemikiran dan penjajahan fizikal tidak akan berlaku lagi. Sejarah pasti akan berulang jika generasi kini hidup dalam kelekaan dan alpa terhadap anasir luar yang sentiasa mengintai peluang untuk memasuki negara ini bila-bila masa dan di mana jua.

Hargai Keamanan dan Keharmonian yang dikecapi kini
Negara Malaysia kini telah dikenali di seluruh pelusuk dunia kerana keamanan, keharmonian serta kesejahteraan rakyat dan negaranya. Ini berlainan sekali jika dibandingkan dengan 30 atau 40 tahun dahulu di mana tidak banyak negara yang mengenali negara Malaysia. Tidak hairan jika mereka juga tidak tahu di mana letaknya peta negara Malaysia. Tetapi lihatlah pada hari ini, sebut saja Malaysia banyak negara maju, kurang maju, miskin, negara Barat, Timur Asia, Asia Selatan semuanya kenal Malaysia. Apa yang membuatkan Malaysia terkenal dan unik di mata masyarakat dunia? Tidak lain dan tidak bukan kerana keharmonian masyarakatnya walaupun Malaysia terdiri dari pelbagai kaum, agama dan bangsa, tetapi kita boleh hidup aman dan damai bukan? Dalam hal ini penulis merasa sangat terkesan dengan kata-kata yang pernah dilontarkan oleh seseorang yang berasal dari Timur Tengah mengatakan beliau sangat kagum dengan masyarakat Malaysia kerana walaupun mereka ada banyak bangsa dan agama serta budaya yang berbeza, orang Cina, India, Melayu dan bangsa-bangsa lain boleh hidup aman dan makmur, boleh tinggal sebelah menyebelah, boleh makan bersama, boleh bermain bersama dan sebagainya. Bagi beliau, beliau tidak melihat semua perkara ini berlaku di negara beliau walaupun di negaranya hanya ada satu bangsa dan ada satu agama yang besar. Lihatlah rakyat Malaysia semua, jangan kita mencalarkan pujian dari orang luar ini, janganlah kita mencalarkan hubungan baik pelbagai kaum di negara ini kerana inilah kunci Malaysia menjadi sebuah negara yang sifar konflik etnik. Sayangilah dan hormatilah semua kaum di negara kita ini kerana tanpa kerjasama semua kaum negara Malaysia takkan terbina seperti yang ada sekarang ini

Menghormati Undang-undang dan Perlembagaan Negara
Sebagai seorang warganegara Malaysia, kita sudah diasuh agar memahami bait-bait dalam Rukunegara dan antaranya ialah mengenai Kedaulatan Undang-undang. Ini merupakan intipati penting yang perlu dilakukan oleh rakyat Malaysia iaitu mengakui dan memahami tentang kedaulatan undang-undang. Dalam hal ini, setiap rakyat Malaysia adalah tertakluk kepada Perlembagaan yang menjadi sumber utama undang-undang negara. Sebagai warganegara kita hendaklah mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh negara bagi memastikan negara ini bebas dari gejala yang boleh merosakkan nama agama, bangsa dan negara. Setiap orang adalah tertakluk kepada perlembagaan. Percayalah jika rakyat negara ini menolak undang-undang negara, maka sekelip mata negara boleh hilang kedaulatan dan kemerdekaan yang kita kecapi kini. Tanpa perlembagaan juga, negara, bangsa dan agama juga akan lenyap dari bumi Malaysia.