Rakyat Malaysia sudah
sedia maklum setiap 31 ogos kita akan menyambut sambutan ulangtahun kemerdekaan
negara. Sudah pastinya akan terbayang program-program yang akan dilancarkan
bagi meraikan hari yang penuh bersejarah dengan mengadakan ceramah kemerdekaan,
pertandingan kuiz dan puisi kemerdekaan, pidato kemerdekaan, tayangan filem
bersejarah, kibaran jalur gemilang dan banyak lagi. Saat yang paling dinanti
oleh kita semua adalah menunggu detik 12 malam dan pada ketika itu bergemalah
di bumi bertuah ini dengan laungan Merdeka! Merdeka! Merdeka! Begitu
bersemangat generasi masa kini melaungkan perkataan tersebut mengikut gaya
tersendiri sambil menghamburkan percikan bunga api ke udara tanpa mengerti bahawa
percikan bunga api itu juga melambangkan percikan-percikan darah para pejuang
negara yang berkorban mempertahankan tanahair pada suatu masa dahulu.
Sebagai generasi baru,
kita perlu meluangkan sedikit masa untuk ambil tahu dan ambil kisah mengenai
detik-detik bersejarah atau peristiwa bersejarah sebelum negara ini benar-benar
merdeka daripada penjajah. Negara kita telah melalui pelbagai peristiwa pahit
manis yang amat panjang dan ia berlaku bukan setahun dua, tiga atau empat tahun
tapi beratus tahun. Cuba anda bayangkan!. Marilah kita hayati peristiwa demi
peristiwa yang berlaku dan kita akan dapati betapa mahalnya sebuah kemerdekaan.
Perjuangan Menentang
Penjajahan Oleh Pembesar Melayu
Campurtangan
British dalam hal ehwal penduduk Tanah Melayu tidak direstui menyebabkan
penduduk tempatan bangkit menentang British. Dasar campur tangan British bermula di
Perak melalui Perjanjian Pangkor yang ditandatangani pada 1874. Seorang Residen
dilantik sebagai penasihat raja-raja Melayu dalam semua aspek pentadbiran
kecuali perkara berkaitan agama Islam dan adat istiadat Melayu. Pelaksanaan dan
pengenalan peraturan baru oleh pihak British telah mencetuskan gerakan
tentangan daripada penduduk tempatan. Tindakan British mengambil alih tugas
pungutan cukai dan menghapuskan sistem hamba abdi yang menjadi amalan
pembesar-pembesar Melayu menyebabkan timbulnya penentangan daripada pembesar
Melayu seperti Datuk Maharaja Lela di Perak (juga membawa kepada pembunuhan
J.W.W. Birch di Pasir Salak), Datuk Kelana di Sungai Ujong, Negeri Sembilan dan
Datuk Bahaman di Pahang. Sistem pentadbiran British juga ditentang oleh
pembesar-pembesar tempatan termasuk Tok Janggut, Engku Besar Jeram, Penghulu
Adam, Haji Said dan Che Sahak di Kelantan dan Abdul Rahman di Terengganu. Gerakan nasionalisme
bertujuan membebaskan tanah air daripada kuasa penjajah untuk membentuk suatu
identiti kebangsaan yang membayangkan sifar politik dan kebudayaan tanah air.
Pendudukan Jepun di Tanah Melayu
Tanah Melayu dan Singapura telah jatuh ke tangan
tentera Jepun pada 15 Febuari 1942. Pendudukan Jepun berakhir pada 12 September
1945 iaitu selama lebih kurang tiga tahun setengah. Langkah awal Jepun
menguasai Tanah Melayu dan pemikiran masyarakat Tanah Melayu adalah melalui
propaganda atau slogan ”Asia untuk orang Asia” atau ”Semangat Asia” dan
mengajak masyarakat menolak penjajahan Barat. Jepun banyak menonjolkan imej
Jepun dalam pemerintahannya dan menggunakan akhbar The Syonan Times dan Fajar
Asia untuk menyebarkan propagandanya. Jepun
juga menyebarkan propaganda ”Kawasan Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya” bagi
mendapatkan sokongan daripada penduduk Tanah Melayu. Kedatangan Jepun ke Tanah
Melayu adalah menggunakan jalan darat di utara Thailand memasuki Tanah Melayu
secara beransur-ansur yang bermula di negeri-negeri di sebelah utara seperti
Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan. Untuk menawan Tanah Melayu, Jepun menggunakan
kapal terbang, kereta kebal, bot dan basikal. Dalam masa 10 minggu Jepun
berjaya menguasai Tanah Melayu. Jepun memperkenalkan sistem pentadbiran bercorak
ketenteraan dan Tanah Melayu dinamakan sebagai Malai Baru (Melayu Baru),
Singapura dinamakan Syonan (Cahaya Selatan). Jepun menggabungkan Tanah Melayu
dengan Sumatera di bawah satu pentadbiran pusat. Negeri-negeri Kedah, Perlis,
Kelantan dan Terengganu diserahkan kepada Siam sebagai menghargai kerjasama
mereka sebelum ini. Semasa pentadbiran Jepun, Sultan Melayu hanya menjadi ketua
agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja dan diberikan elaun. Jepun
menghapuskan sekolah jenis kebangsaan dan memperkenalkan sekolah yang
menggunakan bahasa Jepun iaitu Nippon-go sebagai bahasa pengantar. Pelajar
sekolah juga diwajibkan menyanyi lagu kebangsaan Jepun iaitu Kimigayo. Rakyat
diwajibkan belajar bahasa Jepun. Pentadbiran Jepun tidak menjaga kebajikan
penduduk. Penduduk sentiasa mengalami kekurangan makanan dan barang keperluan.
Penduduk Tanah Melayu disiksa, dibunuh dan dipaksa membina landasan keretapi
maut.
Penentangan Orang Melayu Terhadap Malayan Union
Malayan Union yang cadangan penubuhannya pada 1 April
1946 merupakan sebuah gabungan Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat
(tidak termasuk Singapura) bagi menggantikan British Malaya. Antara ciri-ciri Malayan Union adalah ia merangkumi 9
buah negeri termasuk Pulau Pinang dan Melaka, Diketuai oleh seorang Gabenor
Inggeris, pusat pentadbirannya adalah di Kuala Lumpur, kuasa raja-raja Melayu
dihapuskan dan pengenalan kerakyatan Jus Soli. Kerakyatan Jus Soli membawa
maksud sesiapa sahaja yang berumur 18 tahun ke atas dan telah bermastautin di
Tanah Melayu selama 10 tahun daripada
tempoh 15 tahun dan sesiapa sahaja yang lahir selepas penubuhan Malayan
Union adalah dikira sebagai warganegara. Orang Melayu telah menentang Malayan
Union kerana beberapa sebab antaranya adalah kedaulatan raja-raja Melayu dan
hak istimewa orang Melayu tergugat, dan orang bukan Melayu akan mengatasi
jumlah bilangan orang Melayu dan akhir sekali kebencian masyarakat Melayu
kerana tindakan Mac Michael yang menggunakan ugutan untuk mendapatkan
tandantangan sultan-sultan Melayu. Ketakutan orang Melayu ini telah menyebabkan
mereka telah menentang secara besar-besaran dan membantah penubuhan Malayan
Union. Untuk itu, pada 1-4 March 1946 satu kongres telah diadakan yang
dipengerusikan oleh Datok Onn di Kuala Lumpur untuk menggesa raja-raja
Melayu agar tidak menghadiri majlis perasmian Malayan Union. Pada 1 Mei 1946,
kongres Melayu yang kedua telah diadakan di Johor Bahru dan dalam kongres
inilah ditubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) untuk pelihara
kepentingan Melayu.Penentangan oleh masyarakat Melayu ini menyebabkan Malayan
Union dibatalkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu.
Darurat
Darurat telah bermula pada tahun 1948 dan berakhir
pada tahun 1960. Darurat wujud disebabkan oleh kemunculan Parti Komunis Malaya
(PKM). PKM ditubuhkan di Tanah Melayu sejak tahun 1930 lagi. Tujuan
penubuhannya adalah untuk menubuhkan Republik Komunis Malaya. Semasa penjajahan Jepun, PKM telah menawarkan
diri untuk membantu British menentang Jepun. Untuk itu mereka menubuhkan
Malayan People’s Anti Japanese Army (MPAJA) atau dalam bahasa Melayunya adalah
Tentera Anti Jepun Rakyat Tanah Melayu. Bagi membantu pergerakan MPAJA, British
membekalkan senjata kepada PKM melalui pasukan Force 136. Selapas pendudukan
Jepun, British kembali semula ke Tanah Melayu dan meminta PKM memulangkan semua
segala peralatan senjata yang diberikan dan membubarkan MPAJA. PKM tidak mahu
menyerah dan menentang British. Selain
daripada PKM, antara parti lain yang berhaluan kiri yang turut diharamkan oleh
British adalah Pembela Tanah Air (PETA), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM),
Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Hizbul Muslimin. PKM telah bertindak untuk
mempengaruhi penduduk Tanah Melayu melalui kesatuan sekerja, orang awam dan
sebagainya. Mereka telah bergerak secara agresif sehingga menggunakan senjata. Kemuncak
kepada penentangan ini adalah berlakunya pembunuhan seramai tiga orang pengurus
ladang berbangsa Inggeris di Sungai Siput Perak pada tahun 1948. Dengan ini PKM
telah diharamkan oleh kerajaan British dan kerajaan telah mengisytiharkan
darurat di Tanah Melayu. Salah satu gerakan yang ditubuhkan oleh PKM yang
kebanyakan ahlinya terdiri dari orang Cina adalah Min Yuen. Ia berperanan untuk
memberikan segala maklumat, membekalkan makanan dan ubat-ubatan kepada Komunis.
Mereka telah bergerak daripada bandar sehingga ke kampung dan kawasan pedalaman
Tanah Melayu. Bagi melumpuhkan pergerakan
ini, pihak kerajaan British telah memperkenalkan beberapa rancangan. Antaranya
adalah pengenalan Rancangan Briggs. Di bawah rancangan ini, penduduk-penduduk
Cina yang tinggal di pinggir-pinggir hutan ke kawasan penempatan yang baru bagi
mengelakkan mereka menjadi mangsa Komunis. Di kawasan yang baru ini ia
dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti sekolah, hospital, elektrik dan
air. Ia dinamakan kampung baru. Lain-lain langkah yang diambil oleh kerajaan
British adalah mengadakan perintah berkurung, mewujudkan kawasan putih dan kawasan
hitam iaitu kawasan putih adalah kawasan yang bebas dari ancaman Komunis dan
kawasan hitam kawasan Komunis. Pihak British juga mengadakan sekatan jalan raya
dan kawalan kampung, mewajibkan setiap orang mempunyai kad pengenalan
(semua warganegara yang berumur 12 tahun diwajibkan membuat kad pengenalan),
mengadakan perintah berkurung, gerakan kelaparan dilancarkan bagi melumpuhkan
Komunis. Dalam hal ini, penduduk kampung baru di bawah Rancangan Briggs adalah
dilarang memberikan makanan dan bekalan perubatan kepada Komunis. Seterusnya
Perang Saraf juga dilancarkan bagi memantapkan lagi usaha membanteras Komunis
dengan mengadakan rapat umum, menggunakan sepanduk serta kempen-kempen
membanteras Komunis. Akhir sekali pihak British juga telah mewujudkan
Undang-undang Darurat. Undang-undang ini menggariskan mana-mana parti politik
yang bersifat radikal akan diharamkan dan sesiapa yang disyaki terlibat dengan
Komunis akan ditangkap dan dibuang negara. Selain daripada itu pihak kerajaan
juga melancarkan pengampunan beramai-ramai bagi menggalakkan Komunis menyerah
diri. Contohnya berjuta-juta risalah telah diedarkan kepada penduduk-penduduk
Tanah Melayu pada tahun 1955. Untuk menghapuskan kegiatan Komunis ini, pihak
British telah meminta bantuan ketenteraan daripada beberapa buah negara seperti
New Zealand, British dan Australia. Usaha terahir dilakukan oleh kerajaan Tanah
Melayu bagi membanteras Komunis adalah mengadakan Rundingan Baling pada 28-29
Disember 1955 di Kedah. Walau bagaimanapun, rundingan ini gagal kerana
keengganan Chin Peng untuk membubarkan PKM dan tetap mahukan ia dijadikan
sebagai parti politik yang sah.
Pilihanraya
Pilihanraya pertama di Tanah Melayu telah
dijalankan pada tahun 1951 untuk Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan seterusnya
pada tahun 1952 bagi Majlis Perbandaran Kuala Lumpur. Dalam pilihanraya Majlis
Perbandaran Kuala Lumpur ini Parti Perikatan (UMNO, MCA) telah berjaya
memenangi 9 daripada 12 kerusi yang dipertandingkan. Pilihanraya 1952 ini telah
merintis kepada pilihanraya umum pertama bagi Tanah Melayu pada 27 Julai 1955
di mana UMNO, MCA dan MIC telah bergabung dalam Perikatan dan berjaya memenangi
51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan.
Pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah
Melayu 1957
Pada
tahun 1956 ditubuhkan Suruhanjaya Reid bagi menggubal Perlembagaan Persekutuan
Tanah Melayu yang merdeka. Ia diketuai oleh Lord Reid, Sir William McKell, Sir
Ivor Jennings, dan Tuan B. Malik. Dalam menggubal undang-undang, suruhanjaya
ini telah mengambil kira pandangan penduduk Tanah Melayu. Sebanyak 131
memorandum bertulis telah diterima daripada pertubuhan-pertubuhan dan orang
perseorangan. Satu rang perlembagaan diluluskan oleh Majlis Perundangan
Persekutuan pada 15 Ogos 1957 dan ia mula dikuatkuasakan pada 27 Ogos 1957. Ciri-ciri penting
Persekutuan Tanah Melayu 1957 ini adalah kewujudan sebuah Kerajaan Persekutuan,
Ketua Negara ialah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong yang dipilih dari
kalangan 9 Raja Melayu, dan berkhidmat selama 5 tahun atas nasihat Kabinet dan
Majlis Raja-raja, Ketua Kerajaan ialah Perdana Menteri yang dilantik daripada
parti yang mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat. Beliau akan membentuk Kabinet yang
bertanggungjawab kepada Parlimen, Parlimen terdiri daripada 2 Dewan: Dewan Rakyat dan Dewan
Negara. Ahli Dewan Rakyat dipilih oleh rakyat (melalui pilihanraya) selama 5
tahun. Sementara ahli Dewan Negara dilantik iaitu 2 orang oleh setiap Dewan
Perundingan Negeri dan selebihnya (16 orang) oleh Yang Dipertuan Agong, Di
peringkat Negeri, Sultan/Raja/Yang Dipertua Negeri menjadi Ketua negeri
masing-masing sementara Ketua Kerajaan ialah Menteri Besar/Ketua Menteri.
Ahli-ahli Majlis Perundangan Negeri dipilih oleh rakyat untuk selama 5 tahun,
Pembahagian kuasa membuat undang-undang antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri,
kedudukan istimewa orang Melayu dikekalkan, bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan, agama Islam agama rasmi dan tiga jenis kerakyatan diperkenalkan
iaitu kuatkuasa undang-undang, permohonan dan naturalisasi.
Rundingan Kemerdekaan
Januari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai satu
rombongan ke London untuk berunding dengan kerajaan Inggeris mengenai
kemerdekaan Tanah Melayu. Hasil daripada rundingan tersebut, Perjanjian London
telah ditandatangani pada 8 Feb 1956 - Tarikh kemerdekaan bagi Tanah
Melayu telah ditetapkan pada 31 Ogos 1957.
Pengisytiharan Kemerdekaan
Pengisytiharan kemerdekaan berlaku pada 31 Ogos
1957 di Padang Kelab Selangor. Tunku Abdul Rahman dilantik sebagai Perdana
Menteri Tanah Melayu yang pertama manakala Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan
menjadi Yang diPertuan Agong. Laungan Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Merdeka! Merdeka! sememangnya amat bererti dan penuh bermakna kepada generasi
pada ketika itu kerana pengorbanan yang telah mereka lakukan. Buat generasi
kini apakah erti Merdeka! Merdeka! Merdeka! kepada mereka? Barangkali mereka
harus merenung jauh ke dalam diri masing-masing, apakah sumbangan saya kepada
negara?
Ini merupakan sebahagian daripada peristiwa-peristiwa
penting yang berlaku dan terpaksa diharungi oleh penduduk Tanah Melayu sebelum
mencapai kemerdekaan. Bagi generasi baru sekarang ini, sanggupkah kita berjuang
dan melakukan sesuatu atas kepentingan negara sebagaimana generasi sebelum ini.
Nenek moyang kita dahulu ikhlas berjuang untuk negara tanpa
mengharapkan apa-apa balasan. Mereka
tidak dibayar gaji dan anugerah di atas segala usaha dan perjuangan yang
dilakukan dan mereka berjuang kerana kepentingan negara bukan atas kepentingan
individu. Mereka juga tidak mudah terpengaruh dengan ugutan
dan dakyah penjajah dan akhir sekali mereka tidak belot kepada negara dan
mempunyai semangat nasionalisma yang tinggi. Bolehkah kita menjadi seperti
mereka sebelum ini?
Artikel ini telah disiarkan dalam Harian Metro 22 April 2012
Artikel ini telah disiarkan dalam Harian Metro 22 April 2012
Nice.. keep it up
ReplyDelete