Tuesday, 4 June 2013

Syukurilah Nikmat Kemakmuran Negara Kita







Cuba kita lihat kehidupan masyarakat negara lain sama ada negara jiran dan negara-negara lain di luar sana. Boleh dikatakan saban hari kita mendengar letupan bom, pembunuhan, peperangan, penganiayaan, jenayah, gempa bumi, permusuhan, bencana alam, penghapusan etnik, kekurangan makanan dan sebagainya. Cuba bandingkan dengan negara kita Malaysia. Bekalan makanan bukan suatu masalah bahkan berlebih-lebih. Makanan berada di mana-mana iaitu di pasar malam, kopitiam, restoran fast food, food court, restoran, gerai, warung, kafe dan lain-lain lagi. Orang Malaysia cuma tepuk dada tanya selera. Begitu besar nikmat dan rezeki yang Allah bagi kepada rakyat Malaysia. Persoalannya pernahkah kita bersyukur dan mensyukuri nikmat yang Allah berikan kepada rakyat Malaysia selama ini.

Kepada rakyat Malaysia, adakah kita merasa aman, selamat dan selesa tanpa cuba memahami dan mengetahui penderitaan masyarakat lain di luar sana? Kebanyakan mereka adalah saudara kita. Tidakkah terbit sedikit rasa bersalah jika saudara kita merempat, kelaparan, kesejukan di sebelah kita sedangkan kita dengan ghairahnya menghirup kopi, minum teh tarik dan menyuap nasi yang penuh dengan lauk pauk. Seluruh rakyat Malaysia perlu tahu bahawa negara kita juga akan terdedah dengan masalah yang sama jika kita tidak pernah berterima kasih dan syukur dengan rezeki yang Allah beri pada kita selama ini.

Selain itu, seluruh dunia mengetahui akan penderitaan rakyat Palestin. Penderitaan mereka bukan sehari dua bahkan berpuluh tahun mereka hidup sengsara akibat kekejaman Zionis. Warga emas, wanita, kanak-kanak mangsa utama rejim Zionis. Banyak nyawa yang tidak berdosa menjadi korban. Lontaran bom tidak mengenal tempat di luar sana, di dalam rumah, di bilik tidur, dan di halaman rumah. Tidak ada lagi tempat yang selamat bagi mereka. Tidak ada tempat untuk kanak-kanak bermain dengan aman seperti di Malaysia. Dari hari ke hari ada saja nyawa yang tidak berdosa ini melayang. Sudah tidak ada apa-apa lagi untuk mereka tangisi melainkan merelakan sahaja ahli keluarga terlebih dahulu mengadap Illahi. Mereka juga seakan sudah tahu mereka juga akan menyusul kemudian. Tidakkah apa yang berlaku ini menjadi keinsafan kepada rakyat Malaysia ? Walaupun kita tidak tahu bila masalah ini akan selesai, tetapi kita semua perlu berdoa untuk kesejahteraan mereka. Dalam hal ini sikap rakyat Malaysia harus dipuji kerana bantuan tidak putus-putus diberikan kepada rakyat Palestin sama ada bantuan dari segi derma wang ringgit, makanan, pakaian, perubatan serta sokongan moral. Walaupun penduduk Malaysia terdiri dari pelbagai bangsa dan agama tetapi perbezaan agama tidak menjadi masalah. Ini memandangkan penderitaan rakyat Palestin adalah masalah kemanusiaan bukannya masalah keagamaan. Ini merupakan salah satu tanda kesyukuran masyarakat Malaysia.





Seterusnya lihat pula kepada masalah etnik Rohingya di Myanmar yang menjadi pelarian politik di beberapa buah negara. Mereka juga menjadi mangsa konflik di negara mereka sendiri. Kampung halaman mereka sudah tidak selamat lagi untuk dihuni apabila rumah mereka di bakar, saudara mereka dibunuh dan kehidupan mereka terancam. Mengapa jadi begini sedangkan mereka juga adalah anak bangsa Myanmar tetapi mereka disisihkan dan tidak diberi taraf kerakyatan yang sewajarnya bahkan dinafikan segala hak mereka. Bayangkan mereka terpaksa menjadi pelarian ke negara asing tanpa sebarang dokumen. Nyawa mereka dihujung tanduk, tanpa keperluan asas dan makanan, hanya mampu meraih simpati masyarakat lain. Bagaimana dengan kehidupan kita di Malaysia? Rakyat Malaysia bebas untuk ke mana sahaja untuk melancong dalam dan luar negara kerana ada lebihan pendapatan, tetapi rakyat Rohingya ke luar negara kerana menjadi pelarian politik. Tidakkah ini menginsafkan kita semua. Ini memandangkan di Malaysia semua kaum mendapat hak yang sama sebagai warganegara. Tidak ada kaum yang disisihkan dalam pembangunan negara. Bahkan membangunnya Malaysia adalah hasil kerjasama dan sumbangan semua kaum. Sudah tiba masanya untuk masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai fahaman politik bersatu mencari penyelesaian mengenai permasalahan kemanusiaan  di luar sana.

Isu-isu lain yang seharusnya menjadi renungan kita semua adalah tentang penganiayaan terhadap kanak-kanak dan wanita. Dunia pada hari ini sering menyaksikan isu penggunaan buruh dalam kalangan kanak-kanak. Di beberapa buah negara, kanak-kanak sudah biasa menjadi buruh demi mendapatkan sesuap nasi. Itu di negara luar, tetapi perkara ini tidak menjadi isu besar di Malaysia. Ini kerana kanak-kanak di Malaysia dijaga dan diberi pendidikan yang sewajarnya. Kanak-kanak di Malaysia sangat beruntung kerana dapat menikmati kehidupan alam kanak-kanak dengan baik. Tetapi tidak bagi sesetengah negara yang tidak bernasib baik di mana seawal usia 5 tahun sudah mengusung dan memecah batu di kawasan pembinaan. Mereka terpaksa melakukannya demi mendapat sesuap nasi. Rasanya orang Malaysia mesti terharu apabila terpandang anak mereka yang seusia 5 tahun sudah dipaksa bekerja. Manakala baru-baru ini kita dikejutkan pula dengan kejadian tidak berperikemanusiaan terhadap wanita iaitu di India. Penganiayaan terhadap wanita sebenarnya masih berlaku di beberapa negara. Mereka tidak diberikan hak yang sewajarnya dan sering ditindas oleh masyarakat. Cuba kita lihat di Malaysia. Di manakah kaum wanita mereka pada masa ini? Sudah tentulah ada antara mereka bekerja di pejabat kerajaan, swasta, menjadi pendidik, jurutera, ahli politik, pakar ekonomi, doktor dan lain-lain lagi. Apa yang jelas di zaman ini, kaum wanita dan kanak-kanak mudah menjadi mangsa tidak berperikemanusiaan pihak-pihak tertentu. Jadi, sudah tiba masanya negara dunia pada hari ini mencari langkah-langkah tertentu agar penganiayaan terhadap kanak-kanak dan wanita tidak menjadi wabak di era globalisasi ini.

Sebenarnya, masih ada banyak isu-isu yang mana boleh dijadikan pengajaran kepada masyarakat Malaysia agar keuntungan, kekayaan, kesejahteraan dan keamanan hidup ini bukan untuk diri kita dan keluarga kita sahaja. Masyarakat Malaysia perlu belajar bagaimana untuk berkongsi rezeki dan keamanan dengan negara-negara lain yang tidak bernasib baik. Walaupun kita mempunyai fahaman politik yang berbeza, keamanan dan kesejahteraan negara perlu dikongsi bersama. Jadikan pilihanraya kali ini paling aman, selamat dan bermaruah.

No comments:

Post a Comment