Umum telah menyedari bahawa hubungan
kaum di negara ini telah lama terjalin sejak sebelum merdeka lagi. Sejarah
sebenarnya telah membentuk hubungan kaum dari dulu sehinggalah sekarang.
Hubungan kaum yang telah terjalin sesungguhnya telah berkembang mengikut masa
dan perubahan zaman. Dalam hal ini hubungan kaum di negara ini juga telah
mengalami pasang surutnya, justeru itu kita perlu berwaspada dengan perumpamaan
yang berbunyi “air yang tenang jangan disangka tidak ada buaya”. Sama ada kita
sedar atau tidak “SEJARAH’ sebenarnya mempunyai peranan yang amat besar dalam
memupuk perpaduan kaum di negara ini. Tidak dinafikan lagi pengenalan subjek di
IPTA seperti Hubungan Etnik adalah untuk memupuk dan mengukuhkan lagi hubungan
kaum di negara ini. Usaha murni ini seharusnya disambut oleh semua pihak sama
ada pendidik dan anak didik di Malaysia. Tetapi di samping subjek Hubungan
Etnik, subjek Sejarah dan “Kenegaraan Malaysia” tidak harus dipisahkan dari sistem
pendidikan pada hari ini. Kita tidak boleh melihat dengan sebelah mata
mengatakan pendidikan sejarah atau Kenegaraan Malaysia sudah dipelajari di
sekolah rendah dan menengah, jadi di IPT subjek tersebut sudah tidak diperlukan
lagi. Kita perlu melihat kes ini dari sudut atau jangka masa yang panjang.
Subjek-subjek seperti ini terutamanya sejarah memerlukan pengukuhan dari semasa
ke semasa. Dalam hal ini, subjek sejarah negara perlu diintegrasikan ke dalam
subjek seperti Kenegaraan Malaysia bagi memastikan generasi muda seperti
mahasiswa sentiasa “alert” dengan sejarah asal usul negara dan bangsa mereka. IPT
pada masa kini perlu berperanan menerapkan pendidikan sejarah pada setiap
peringkat pendidikan agar modal insan
yang dilahirkan nanti adalah generasi yang bukan sahaja mewarisi tampuk
pemerintahan negara tetapi juga melahirkan modal insan yang tahu bagaimana
mengemudikan negara yang beridentitikan Malaysia dan berbudayakan rakyat negara
ini. Jadi bagaimana pendidikan sejarah negara berperanan memupuk perpaduan kaum
di Malaysia?
Sekadar ingin bertanya
sebagai rakyat Malaysia sejauhmanakah kita mengetahui mengenai sejarah
latarbelakang negara kita?.Adakah kita memahami perjuangan nenek moyang kita
yang terdahulu ataupun kita melihatnya hanya sebagai kisah sejarah yang tidak
ada apa-apa makna. Apa yang ditakuti pada masa ini adalah ramai di kalangan
generasi pada hari ini tidak menyukai subjek sejarah. Lalu bagaimana kita
hendak mendidik sejarah pembentukan negara ini kepada generasi moden kini?
Sedangkan mereka perlu tahu semua ini. Inilah antara cabaran yang perlu kita
selesaikan iaitu hendak mendidik jiwa generasi Malaysia kini agar memahami
sejarah negara dan sekaligus mengetahui asal-usul mereka agar tidak timbul
perselisihan kaum pada suatu hari nanti. Pengetahuan mengenai sejarah asal-usul
setiap bangsa adalah penting agar mereka mengetahui siapa diri mereka dan
apakah peranan mereka dalam negara ini. Tidak adanya pengetahuan seperti ini
akan menimbulkan keraguan dan sikap berprasangka antara kaum. Justeru itu
pendidikan Sejarah perlu dimartabatkan seperti juga subjek bahasa Inggeris yang
sangat penting pada masa ini. Jika bahasa Inggeris akan memudahkan komunikasi
antarabangsa generasi masa kini tetapi subjek sejarah akan memudahkan usaha
perpaduan kaum di negara ini. Percayalah.
Setiap warganegara
Malaysia tidak kira keturunan, faktor usia, ataupun apa jua profesion dan
tingkat pendidikan seseorang, mereka perlu mengetahui sejarah latar belakang
pembentukan negara. Ini kerana peristiwa sejarah yang telah berlaku sebenarnya
banyak menyimpan pengajaran yang boleh dijadikan iktibar kepada generasi masa
kini agar tidak mengulangi kesilapan yang telah dilakukan sebelum ini. Banyak
peristiwa sejarah negara sejak zaman kesultanan Melayu Melaka, zaman penjajahan
sehinggalah ke perjuangan menuntut kemerdekaan serta peristiwa penubuhan
Malaysia ada kisah dan pengajaran yang tersendiri. Antaranya ialah konsep
kerjasama dalam mengukuhkan kedudukan bangsa. Dalam sejarah perjuangan bangsa,
Sultan, pembesar negeri, pemimpin pertubuhan dan rakyat jelata semuanya
berganding bahu membebaskan tanahair dari penjajahan. Generasi masa kini
sepatutnya menghayati dan menghargai pengorbanan yang telah dilakukan oleh
beberapa tokoh terkenal seperti Datuk Bahaman (Pahang), Abdul Rahman Limbong
(Terengganu), Tok Janggut (Kelantan), Mat Kilau (Pahang), Dato’ Maharaja Lela
(Perak), Mat Salleh (Sabah), manakala perjuangan oleh golongan yang
berpendidikan tinggi seperti Ibrahim Yaakub , Ahmad Boestamam, Za’ba dan
sebagainya perlu dipelajari oleh generasi masa kini akan corak perjuangan
mereka dalam membebaskan tanahair dari penjajahan dan pada masa yang sama
berjuang memajukan bangsa sendiri. Bukan itu sahaja, akhbar dan majalah juga
menjadi medan untuk menyebarkan semangat patriotik kepada rakyat jelata. Ini
dapat dilihat pada peranan yang dimainkan oleh akhbar Warta Malaya, Majlis, Majalah Guru, Saudara dan beberapa akhbar dan majalah yang tidak dapat disebutkan
di sini. Peristiwa penjajahan di Tanah Melayu pula memberi pengajaran agar kita
tidak mengulangi kesilapan masa lampau. Salah satu kelemahan negara ini dijajah
pada waktu itu adalah disebabkan oleh kelemahan bangsa negara ini sendiri iaitu
lemah dari segi minda, perpendidikan rendah, perpecahan antara kaum dan bangsa
serta kelemahan dari segi politik dan ekonomi. Generasi masa kini perlu
mempelajari kebijaksanaan pemimpin terdahulu menggunakan minda untuk
memerdekakan negara dari penjajah. Ini menunjukkan betapa pentingnya rakyat
zaman dahulu menggunakan akal fikiran untuk menawan hati penjajah demi
membebaskan tanahair yang tercinta.
Selain daripada itu, peristiwa proses kemerdekaan tanahair juga
memperlihatkan bangsa dahulu memperjuangkan pembinaan sebuah negara bangsa
melalui usaha menyatupadukan kaum. Contohnya Dato’ Onn yang telah
menggembelingkan usaha mengumpul semua bangsa dan agama yang ada di Tanah
Melayu untuk berjuang menentang Malayan Union. Malahan usaha ini telah
disambung oleh Tunku Abdul Rahman dalam usaha untuk memerdekakan Tanah Melayu
dengan cara mengadakan rundingan dengan pihak British dan Komunis. Justeru itu,
generasi masa kini tidak kira apa profession sama ada golongan professional
atau tidak professional semuanya ada peranan masing-masing. Siapa kata golongan
professional seperti jurutera misalnya tidak ada kaitan mempelajari sejarah
negara dengan profesion mereka? Sebenarnya jurutera mempunyai tempat dalam
sejarah negara sejak dulu lagi. Lihat saja kepada pembangunan negara dari segi
infrastrukturnya dari dulu sehingga sekarang. Siapakah yang telah membina dan
merekacipta lanskap bangunan-bangunan di negara ini kalau bukan jurutera.
Seseorang jurutera yang mempunyai semangat patriotik dan tahu tanggungjawabnya
kepada negara akan membina infrastruktur dan bangunan-bangunan yang akan
menjadi kebanggaan negara dan pada masa yang sama memberi faedah kepada
pembangunan bangsa dan negara dan bukannya mencipta sesuatu yang boleh
merosakkan dan meruntuhkan negara.
Sejarah mengenai
pembentukan Perlembagaan juga perlu dipelajari dengan lebih mendalam. Sebagaimana
yang telah diketahui umum Malaysia adalah negara Islam. Ugama rasmi negara ini
adalah agama Islam. Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahawa Islam adalah agama
rasmi tetapi agama-agama lain juga boleh diamalkan dengan aman asalkan ia tidak
menganggu ketenteraman awam. Perkara ini sememangnya sudah jelas dan tidak
perlu dipersoalkan lagi. Walaubagaimanapun masih ada di antara masyarakat
negara ini yang masih tidak faham mengenai Islam walaupun mereka telah lama
tinggal sebagai rakyat negara ini. Sikap tidak mahu mengambil pusing tentang
apa yang berlaku di dalam negara juga perlu dihapuskan daripada rakyat negara
ini. Dalam hal ini setiap individu yang mengaku mereka adalah rakyat Malaysia
perlu memahami apakah ciri-ciri sebuah negara Islam dan apakah perkara yang
terkandung di dalamnya. Perkara ini perlu jelas agar tidak ada lagi
individu-indiviu yang menaruh syak wasangka terhadap Islam dan ini secara tidak
langsung akan memupuk sikap berbaik-baik dan bekerjasama antara mereka. Bila
kerjasama terbentuk akan mudahlah konsep 1 Malaysia diterjemahkan.
Pengetahuan dan pendidikan sejarah akan membentuk
generasi negara ini yang mempunyai jatidiri sebagai rakyat Malaysia yang taat
kepada agama, bangsa dan negaranya. Sejarah sebenarnya berupaya membentuk jiwa
dan pemikiran rakyat yang sayangkan negaranya, walau di mana ia berada dan ini
sangat sesuai dengan negara Malaysia yang terdiri dari pelbagai agama dan
bangsa. Harus disedari bahawa dewasa ini bukan mudah untuk mendidik jiwa
terutamanya generasi muda untuk taat setia kepada negara disebabkan arus
globalisasi yang melanda bila-bila masa sahaja mereka boleh berpaling tadah.
Lihat sahajalah muda mudi pada hari ini yang begitu mudah terpengaruh dengan
budaya asing dan mengagungkan budaya tersebut. Justeru itu dengan adanya
pendidikan sejarah sebenarnya ia akan menanamkan sikap bangga akan diri yang
menjadi rakyat negara ini yang mempunyai sejarahnya yang unik. Apa yang paling
penting adalah sejarah membentuk individu untuk bekerjasama tanpa mengira
bangsa dan agama dan rela berkorban mempertahankan negara, agama dan bangsanya
daripada dirampas oleh bangsa asing.
Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian 4/11/2010.
Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian 4/11/2010.
terima kasih atas perkongsian ilmu.semoga Dr dirahmati Allah.
ReplyDelete