Assalamualaikum dan Selamat Datang ke Blog Saya

Blog ini diadakan khas untuk penulis berkongsi idea, pendapat dan kepakaran untuk pembaca semua. Diharap blog ini bermanfaat kepada semua khususnya kepada pelajar dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang ingin mendapat info yang berkaitan.

Ingin berkongsi info? bole emailkan ke hasnah@ump.edu.my. Saya merasa bangga kerana dapat berkongsi ilmu yang Allah berikan kepada saya untuk dikongsi dengan orang lain. Saya cuma berharap mereka yang membacanya turut sama mendoakan agar saya sentiasa sihat dan tidak berhenti meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan.




Tuesday, 4 June 2013

Sejarah Pupuk Perpaduan Kaum




Umum telah menyedari bahawa hubungan kaum di negara ini telah lama terjalin sejak sebelum merdeka lagi. Sejarah sebenarnya telah membentuk hubungan kaum dari dulu sehinggalah sekarang. Hubungan kaum yang telah terjalin sesungguhnya telah berkembang mengikut masa dan perubahan zaman. Dalam hal ini hubungan kaum di negara ini juga telah mengalami pasang surutnya, justeru itu kita perlu berwaspada dengan perumpamaan yang berbunyi “air yang tenang jangan disangka tidak ada buaya”. Sama ada kita sedar atau tidak “SEJARAH’ sebenarnya mempunyai peranan yang amat besar dalam memupuk perpaduan kaum di negara ini. Tidak dinafikan lagi pengenalan subjek di IPTA seperti Hubungan Etnik adalah untuk memupuk dan mengukuhkan lagi hubungan kaum di negara ini. Usaha murni ini seharusnya disambut oleh semua pihak sama ada pendidik dan anak didik di Malaysia. Tetapi di samping subjek Hubungan Etnik, subjek Sejarah dan “Kenegaraan Malaysia” tidak harus dipisahkan dari sistem pendidikan pada hari ini. Kita tidak boleh melihat dengan sebelah mata mengatakan pendidikan sejarah atau Kenegaraan Malaysia sudah dipelajari di sekolah rendah dan menengah, jadi di IPT subjek tersebut sudah tidak diperlukan lagi. Kita perlu melihat kes ini dari sudut atau jangka masa yang panjang. Subjek-subjek seperti ini terutamanya sejarah memerlukan pengukuhan dari semasa ke semasa. Dalam hal ini, subjek sejarah negara perlu diintegrasikan ke dalam subjek seperti Kenegaraan Malaysia bagi memastikan generasi muda seperti mahasiswa sentiasa “alert” dengan sejarah asal usul negara dan bangsa mereka. IPT pada masa kini perlu berperanan menerapkan pendidikan sejarah pada setiap peringkat pendidikan  agar modal insan yang dilahirkan nanti adalah generasi yang bukan sahaja mewarisi tampuk pemerintahan negara tetapi juga melahirkan modal insan yang tahu bagaimana mengemudikan negara yang beridentitikan Malaysia dan berbudayakan rakyat negara ini. Jadi bagaimana pendidikan sejarah negara berperanan memupuk perpaduan kaum di Malaysia? 

Sekadar ingin bertanya sebagai rakyat Malaysia sejauhmanakah kita mengetahui mengenai sejarah latarbelakang negara kita?.Adakah kita memahami perjuangan nenek moyang kita yang terdahulu ataupun kita melihatnya hanya sebagai kisah sejarah yang tidak ada apa-apa makna. Apa yang ditakuti pada masa ini adalah ramai di kalangan generasi pada hari ini tidak menyukai subjek sejarah. Lalu bagaimana kita hendak mendidik sejarah pembentukan negara ini kepada generasi moden kini? Sedangkan mereka perlu tahu semua ini. Inilah antara cabaran yang perlu kita selesaikan iaitu hendak mendidik jiwa generasi Malaysia kini agar memahami sejarah negara dan sekaligus mengetahui asal-usul mereka agar tidak timbul perselisihan kaum pada suatu hari nanti. Pengetahuan mengenai sejarah asal-usul setiap bangsa adalah penting agar mereka mengetahui siapa diri mereka dan apakah peranan mereka dalam negara ini. Tidak adanya pengetahuan seperti ini akan menimbulkan keraguan dan sikap berprasangka antara kaum. Justeru itu pendidikan Sejarah perlu dimartabatkan seperti juga subjek bahasa Inggeris yang sangat penting pada masa ini. Jika bahasa Inggeris akan memudahkan komunikasi antarabangsa generasi masa kini tetapi subjek sejarah akan memudahkan usaha perpaduan kaum di negara ini. Percayalah.

Setiap warganegara Malaysia tidak kira keturunan, faktor usia, ataupun apa jua profesion dan tingkat pendidikan seseorang, mereka perlu mengetahui sejarah latar belakang pembentukan negara. Ini kerana peristiwa sejarah yang telah berlaku sebenarnya banyak menyimpan pengajaran yang boleh dijadikan iktibar kepada generasi masa kini agar tidak mengulangi kesilapan yang telah dilakukan sebelum ini. Banyak peristiwa sejarah negara sejak zaman kesultanan Melayu Melaka, zaman penjajahan sehinggalah ke perjuangan menuntut kemerdekaan serta peristiwa penubuhan Malaysia ada kisah dan pengajaran yang tersendiri. Antaranya ialah konsep kerjasama dalam mengukuhkan kedudukan bangsa. Dalam sejarah perjuangan bangsa, Sultan, pembesar negeri, pemimpin pertubuhan dan rakyat jelata semuanya berganding bahu membebaskan tanahair dari penjajahan. Generasi masa kini sepatutnya menghayati dan menghargai pengorbanan yang telah dilakukan oleh beberapa tokoh terkenal seperti Datuk Bahaman (Pahang), Abdul Rahman Limbong (Terengganu), Tok Janggut (Kelantan), Mat Kilau (Pahang), Dato’ Maharaja Lela (Perak), Mat Salleh (Sabah), manakala perjuangan oleh golongan yang berpendidikan tinggi seperti Ibrahim Yaakub , Ahmad Boestamam, Za’ba dan sebagainya perlu dipelajari oleh generasi masa kini akan corak perjuangan mereka dalam membebaskan tanahair dari penjajahan dan pada masa yang sama berjuang memajukan bangsa sendiri. Bukan itu sahaja, akhbar dan majalah juga menjadi medan untuk menyebarkan semangat patriotik kepada rakyat jelata. Ini dapat dilihat pada peranan yang dimainkan oleh akhbar Warta Malaya, Majlis, Majalah Guru, Saudara dan beberapa akhbar dan majalah yang tidak dapat disebutkan di sini. Peristiwa penjajahan di Tanah Melayu pula memberi pengajaran agar kita tidak mengulangi kesilapan masa lampau. Salah satu kelemahan negara ini dijajah pada waktu itu adalah disebabkan oleh kelemahan bangsa negara ini sendiri iaitu lemah dari segi minda, perpendidikan rendah, perpecahan antara kaum dan bangsa serta kelemahan dari segi politik dan ekonomi. Generasi masa kini perlu mempelajari kebijaksanaan pemimpin terdahulu menggunakan minda untuk memerdekakan negara dari penjajah. Ini menunjukkan betapa pentingnya rakyat zaman dahulu menggunakan akal fikiran untuk menawan hati penjajah demi membebaskan tanahair yang tercinta.  Selain daripada itu, peristiwa proses kemerdekaan tanahair juga memperlihatkan bangsa dahulu memperjuangkan pembinaan sebuah negara bangsa melalui usaha menyatupadukan kaum. Contohnya Dato’ Onn yang telah menggembelingkan usaha mengumpul semua bangsa dan agama yang ada di Tanah Melayu untuk berjuang menentang Malayan Union. Malahan usaha ini telah disambung oleh Tunku Abdul Rahman dalam usaha untuk memerdekakan Tanah Melayu dengan cara mengadakan rundingan dengan pihak British dan Komunis. Justeru itu, generasi masa kini tidak kira apa profession sama ada golongan professional atau tidak professional semuanya ada peranan masing-masing. Siapa kata golongan professional seperti jurutera misalnya tidak ada kaitan mempelajari sejarah negara dengan profesion mereka? Sebenarnya jurutera mempunyai tempat dalam sejarah negara sejak dulu lagi. Lihat saja kepada pembangunan negara dari segi infrastrukturnya dari dulu sehingga sekarang. Siapakah yang telah membina dan merekacipta lanskap bangunan-bangunan di negara ini kalau bukan jurutera. Seseorang jurutera yang mempunyai semangat patriotik dan tahu tanggungjawabnya kepada negara akan membina infrastruktur dan bangunan-bangunan yang akan menjadi kebanggaan negara dan pada masa yang sama memberi faedah kepada pembangunan bangsa dan negara dan bukannya mencipta sesuatu yang boleh merosakkan dan meruntuhkan negara.

Sejarah mengenai pembentukan Perlembagaan juga perlu dipelajari dengan lebih mendalam. Sebagaimana yang telah diketahui umum Malaysia adalah negara Islam. Ugama rasmi negara ini adalah agama Islam. Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahawa Islam adalah agama rasmi tetapi agama-agama lain juga boleh diamalkan dengan aman asalkan ia tidak menganggu ketenteraman awam. Perkara ini sememangnya sudah jelas dan tidak perlu dipersoalkan lagi. Walaubagaimanapun masih ada di antara masyarakat negara ini yang masih tidak faham mengenai Islam walaupun mereka telah lama tinggal sebagai rakyat negara ini. Sikap tidak mahu mengambil pusing tentang apa yang berlaku di dalam negara juga perlu dihapuskan daripada rakyat negara ini. Dalam hal ini setiap individu yang mengaku mereka adalah rakyat Malaysia perlu memahami apakah ciri-ciri sebuah negara Islam dan apakah perkara yang terkandung di dalamnya. Perkara ini perlu jelas agar tidak ada lagi individu-indiviu yang menaruh syak wasangka terhadap Islam dan ini secara tidak langsung akan memupuk sikap berbaik-baik dan bekerjasama antara mereka. Bila kerjasama terbentuk akan mudahlah konsep 1 Malaysia diterjemahkan.

Pengetahuan dan pendidikan sejarah akan membentuk generasi negara ini yang mempunyai jatidiri sebagai rakyat Malaysia yang taat kepada agama, bangsa dan negaranya. Sejarah sebenarnya berupaya membentuk jiwa dan pemikiran rakyat yang sayangkan negaranya, walau di mana ia berada dan ini sangat sesuai dengan negara Malaysia yang terdiri dari pelbagai agama dan bangsa. Harus disedari bahawa dewasa ini bukan mudah untuk mendidik jiwa terutamanya generasi muda untuk taat setia kepada negara disebabkan arus globalisasi yang melanda bila-bila masa sahaja mereka boleh berpaling tadah. Lihat sahajalah muda mudi pada hari ini yang begitu mudah terpengaruh dengan budaya asing dan mengagungkan budaya tersebut. Justeru itu dengan adanya pendidikan sejarah sebenarnya ia akan menanamkan sikap bangga akan diri yang menjadi rakyat negara ini yang mempunyai sejarahnya yang unik. Apa yang paling penting adalah sejarah membentuk individu untuk bekerjasama tanpa mengira bangsa dan agama dan rela berkorban mempertahankan negara, agama dan bangsanya daripada dirampas oleh bangsa asing.

Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian 4/11/2010.

1 comment:

  1. terima kasih atas perkongsian ilmu.semoga Dr dirahmati Allah.

    ReplyDelete