Sama ada kita ketahui
atau tidak bangsa Melayu atau orang Melayu merupakan sebuah bangsa yang sangat
besar dan bukannya tertumpu di kawasan Alam Melayu semata-mata. Nenek moyang
orang Melayu telah mengembara ke seluruh pelusuk dunia sejak 4,000 tahun dahulu
dan telah menetap di lebih 33 buah negara merangkumi Lautan Hindi dan juga
Lautan Pasifik. Masyarakat Melayu yang dikatakan berketurunan dari Malay
Polynesian ini telah mendiami negara-negara seperti Malaysia, Indonesia,
Filipina, Singapura, Brunei, Madagascar, Nauru, Tonga, Tuvalu, Kiribati,
Marshall Island, Belau, Cook Island, Niue Island, Cocos, North Marianas, Guam,
Ueva, Hooru, Tokelu, Samoa, Polynesia, Pitcairn, Easter, Hawai, Taiwan, New
Zealand, Selatan Thai, Highland Middle of Vietnam, Myanmar Selatan, Selatan Afrika,
Kambodia dan Sri Langka (Persidangan Melayu Polenisia Julai 2012). Sememangnya bangsa Melayu perlu berbangga
kerana nenek moyang mereka telah menyediakan asas kepada tanah tumpah darah mereka
pada hari ini. Kini orang Melayu semakin maju kerana mereka kini telah menjadi
bangsa yang tidak lagi buta huruf seperti zaman dahulu, celik teknologi,
sentiasa mencipta idea dan benda baru setiap masa, dikenali oleh negara luar
dan sebagainya. Tetapi, pada masa yang sama orang Melayu semua sila ambil
perhatian!
Suatu ketika dahulu
“bahasa jiwa bangsa” menjadi wadah perjuangan negara ini untuk memarbatkan
bahasa Melayu yang menjadi lambang kekuatan bangsa Melayu. Apa tidaknya suatu
masa dahulu bahasa Melayu menjadi bahasa “lingua franca” di rantau Asia
Tenggara dan sekitarnya. Bayangkan bangsa asing yang datang berdagang semasa
Kesultanan Melayu Melaka boleh berbahasa Melayu. Pada waktu ini bahasa Melayu
menjadi antara bahasa antarabangsa yang sangat terkenal. Tapi kini, kedudukan
bahasa Melayu telah dipinggirkan oleh bangsanya sendiri kerana tertipu oleh
muslihat globalisasi. Amat memalukan kerana negara yang bukan tuan punya bahasa
Melayu memainkan peranan memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat yang lebih
tinggi. Mereka tidak segan silu menubuhkan Jabatan Bahasa Melayu untuk negara
lain datang mempelajari bahasa Melayu yang pada mereka mempunyai nilai seni
yang sangat halus serta mudah untuk dipelajari. Kini Bahasa Melayu telah gah
digunakan di beberapa buah negara seperti Russia, Jepun, Australia dan China. Satu
tamparan hebat buat masyarakat Melayu di negara ini.
Selain daripada bahasa
Melayu, satu persoalan lagi yang timbul apakah tulisan orang Melayu dan di
manakah tulisan orang Melayu sekarang ini? Tulisan rumi yang digunakan oleh
segenap lapisan masyarakat pada hari ini adalah tulisan yang diperkenalkan dan
dibawa oleh British semasa mereka menjajah negara ini suatu masa dahulu.
Tulisan orang Melayu pada waktu itu adalah tulisan jawi. Tidak menghairankan
apabila pegawai-pegawai British juga boleh menggunakan dan membaca tulisan jawi
pada waktu itu. Lama-kelamaan, tulisan rumi telah mengambil alih tulisan jawi
yang telah lama digunakan oleh orang Melayu. Ia kekal sehingga kini di mana
tulisan jawi di Malaysia dilihat seakan hidup segan mati tak mahu di negara
tumpah darahnya sendiri. Syabas kepada masyarakat Cina kerana mereka ada
tulisan mereka sendiri begitu juga masyarakat India yang berbangga dengan
tulisan mereka yang dikenali sebagai Sanskrit. Tapi bagi orang Melayu di
manakah tulisan jawi?
Perhatian yang kedua
untuk orang Melayu semua. Orang Melayu adalah masyarakat yang penuh adat dan
beradab. Justeru itu, lahirlah dalam masyarakat Melayu perumpamaan “biar mati
anak jangan mati adat”. Bagi mereka yang kurang memahami sudah pastinya akan
menuduh mengapa orang Melayu sampai sanggup mati anak asalkan jangan hilang
adat. Orang Melayu tak sayangkan anak ke? Tanggapan sebegini tidak betul. Apa
yang dimaksudkan disebalik perumpamaan tersebut ialah orang Melayu sanggup
mempertahankan adat dan anak-anak mereka juga akan dihukum jika melanggar adat.
Adat ini pula janganlah pula bercanggah dengan ajaran agama Islam. Oleh itu
dalam hal ini dikatakan “adat bersendi syarak, syarak bersendi Kitabullah.” Masyarakat
Melayu zaman dahulu dikenali kerana mereka merupakan masyarakat yang penuh adab
sopan dan bersifat lemah lembut. Segala tindakan dan perlakuan mereka dilhat
begitu tersusun dan penuh tertib. Jadi sebagai masyarakat Melayu, adakah kita
melihat pada hari ini anak betul-betul menghormati orang tua mereka, adakah
mereka tahu dan patuh ajaran agama, adakah agama dipraktikkan dalam kehidupan
seharian mereka. Adakah muda mudi pada hari ini memperlahankan suara apabila
bercakap dengan orang dewasa, adakah mereka meminta izin daripada ibu bapa jika
ingin keluar rumah? Itu baru beberapa adat atau adab yang semakin dilupakan
oleh generasi masa kini. Jika ingin dibicarakan di sini ada banyak lagi adat dan
adab sopan orang Melayu yang semakin terhakis.
Peringatan yang ketiga
untuk orang Melayu. Orang Melayu pada zaman dahulu adalah pakar dalam bidang
kelautan. Justeru itu mereka pandai membuat perahu atau jong. Orang Melayu juga
merupakan bangsa yang pandai mencipta nilai-nilai kesusasteraan Melayu yang tinggi
seperti sajak, syair dan pantun. Tetapi pada masa kini bagaimanakah nilai-nilai
kesusasteraan Melayu? Adakah kerana sastera ciptaan Shakespeare lebih tinggi
nilainya atau Harry Potter yang dikagumi oleh kanak-kanak pada hari ini. Di
manakah letaknya kesusasteraan Melayu dalam karya seni negara? Begitu juga
pantun. Pantun tanpa kita sedari merupakan tiang seri kepada kehalusan bahasa
Melayu. Bagaimana masyarakat Melayu hendak memartabatkan seni pantun dalam era
kegilaan remaja terhadap gajet-gajet yang pelbagai bentuk dan fungsi.?
Sedangkan di luar negara, dikir barat, tarian asli Melayu, Zapin, Boria, Mak
Yong dan lain-lain lagi begitu popular kepada orang luar.
Wahai orang
Melayu!.Masyarakat Melayu merupakan masyarakat yang kaya dengan budaya tradisional.
Dahulu orang Melayu megah mempamerkan seni budaya Melayu seperti kuda kepang,
Tarian Melayu Asli, Mak Yong, Dikir Barat, Boria, seni halus pembuatan songket
dan batik, ukiran tangan dank hat dan banyak lagi. Apa yang nyata dapat dilihat
orang Melayu mempunyai budaya dan seni yang halus berbanding dengan bangsa
lain. Tidak hairanlah kalau Mat Salleh mengagumi adat dan budaya Melayu
tersebut. Persoalannya di manakah kita hendak meletakkan seni halus kepunyaan
masyarakat Melayu dahulu di negara yang rakyatnya tidak mahu lagi mewarisi seni
tersebut. Lalu, jangan kita terkejut jika beberapa seni dan budaya kepunyaan
orang Melayu diangkat oleh UNESCO sebagai antara kesenian yang perlu
dipertahankan pada hari ini seperti Mak Yong.
Artikel ini telah disiarkan di akhbar Berita Harian pada 6/12/2012. Terima kasih Berita Harian.
Artikel ini telah disiarkan di akhbar Berita Harian pada 6/12/2012. Terima kasih Berita Harian.
No comments:
Post a Comment