Assalamualaikum dan Selamat Datang ke Blog Saya

Blog ini diadakan khas untuk penulis berkongsi idea, pendapat dan kepakaran untuk pembaca semua. Diharap blog ini bermanfaat kepada semua khususnya kepada pelajar dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang ingin mendapat info yang berkaitan.

Ingin berkongsi info? bole emailkan ke hasnah@ump.edu.my. Saya merasa bangga kerana dapat berkongsi ilmu yang Allah berikan kepada saya untuk dikongsi dengan orang lain. Saya cuma berharap mereka yang membacanya turut sama mendoakan agar saya sentiasa sihat dan tidak berhenti meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan.




Monday, 7 October 2013

Nota Hubungan Etnik - Ruang Untuk Perpaduan di Malaysia

Salam sayang semua......

Kepada adik-adik atau pelajar yang tercari-cari idea untuk menulis esei atau karangan mengenai perpaduan rakyat Malaysia.

Ruang Untuk Perpaduan di Malaysia



Malaysia kini telah melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara membangun yang paling maju berbanding dengan negara membangun yang lain. Malaysia pada masa ini telah dikenali di mata dunia kerana kestabilan dan kemakmuran politik, ekonomi dan sosial. Dengan lain perkataan, pembangunan negara bangsa Malaysia telah dilihat oleh dunia sebagai berjaya kerana ada beberapa negara yang menjadikan Malaysia sebagai model atau contoh bagi membangunkan negara mereka. Salah satu elemen yang menjadikan Malaysia unik ialah perpaduan hubungan etnik yang harmonis. Sebenarnya, kestabilan politik, ekonomi dan sosial tidak akan berlaku sekiranya perpaduan etnik tidak dijaga dan dibaja setiap masa.
Sebagaimana yang telah diketahui umum, Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum dan semestinya konflik mesti wujud sama ada dalam skala yang besar atau kecil. Dalam hal ini, para pemerintah dan juga masyarakat Malaysia sendiri perlu mementingkan perpaduan antara etnik agar keharmonian sentiasa terpelihara. Terdapat banyak ruang untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Ianya telah wujud dalam kehidupan seharian kita tanpa kita sedari. Antaranya ialah:


Perpaduan Melalui Politik
Sebagaimana yang telah umum ketahui negara ini mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berperlembagaan. Salah satu elemen penting demokrasi berperlembagaan adalah wujudnya parti-parti politik sama ada sebagai parti Kerajaan dan parti Pembangkang. Tidak kira parti pemerintah atau parti pembangkang semuanya terdiri dari pelbagai bangsa. Pendek kata setiap parti ada wakil bangsa-bangsa yang besar seperti orang Melayu, Cina dan India. Walau apa pun manifesto dan perjuangan, semua parti-parti politik yang ditubuhkan memainkan peranan penting untuk memelihara kesejahteraan dan keamanan negara terjamin. Apa yang penting ialah setiap kaum secara tidak langsung telah berinteraksi dan bekerjasama bagi mendapatkan sokongan rakyat dari pelbagai bangsa dan keturunan.
Integrasi Ekonomi
            Malaysia sungguh bertuah kerana mempunyai hasil mahsul yang banyak serta kebijaksanaan penduduknya menggunakan sumber-sumber asli yang ada. Dalam membincangkan mengenai perkembangan ekonomi negara ini, sudah tentu kita tidak terlepas daripada membincangkan tentang peranan rakyat negara ini yang terdiri dari pelbagai kaum dalam pembangunan ekonomi negara. Tidak dapat dinafikan integrasi kaum juga boleh dijalankan melalui integrasi ekonomi. Melalui integrasi ekonomi setiap kaum boleh bertukar-bertukar pendapat, idea, dan teknik dalam memacu ekonomi negara. Integrasi ekonomi boleh dilakukan dengan pelbagai cara seperti perkongsian perniagaan, perkongsian modal, perkongsian syarikat, dan perkongsian pelaburan. Dengan adanya kerjasama sebegini ia secara tidak langsung akan mewujdukan perkongsian kepentingan, idea dan kepakaran dan sudah tentulah hubungan kaum akan lebih kukuh.
Hari keluarga
            Hari keluarga sememangnya sudah sebati dengan budaya masyarakat Malaysia. Tetapi pernahkah kita mengadakan hari keluarga dengan bangsa dan kaum yang berbeza. Ini kerana selalunya kita mengadakan hari keluarga bagi kementerian, jabatan dan organisasi  tertentu. Tidak dapat dinafikan melalui hari keluarga sebegini juga ia dapat membentuk hubungan kaum kerana setiap kementerian, jabatan dan organisasi sudah tentu terdiri dari pelbagai bangsa dan agama. Tetapi pernahkah kita terfikir jika dilakukan hari keluarga yang terdiri dari keluarga berlainan bangsa dan agama bersama-sama. Ini sebenarnya akan memeriahkan lagi hubungan kaum di negara ini walaupun nampak sukar untuk diadakan tetapi percayalah atas kepercayaan semua pihak ia boleh diadakan kerana Malaysia Boleh!.

Sambutan Kemerdekaan
            Sambutan kemerdekaan merupakan sambutan tahunan bagi rakyat Malaysia dan ia merupakan peristiwa besar tiap-tiap tahun. Sudah pastinya ia disambut dengan meriah sekali oleh semua lapisan masyarakat negara ini yang terdiri dari pelbagai bangsa. Sememangnya sambutan kemerdekaan negara ini melibatkan semua kaum dan ini menunjukkan satu kejayaan bagi negara Malaysia. Tetapi sambutan kemerdekaan perlu dilakukan dengan meriah lagi dengan adanya program-program yang melibatkan kerjasama antara kaum yang diadakan khas semasa sambutan kemerdekaan. Dengan ini sambutan kemerdekaan bukan sahaja setakat melaungkan merdeka pada tepat jam 12 malam tetapi ia akan lebih bererti lagi dengan adanya program-program iringan yang lain terutamanya yang melibatkan perpaduan kaum.


Sistem Pendidikan
            Pendidikan memainkan peranan penting dalam mendidik bangsa agar maju dan pada masa yang sama akan menjadi aset kepada pembangunan negara.    Salah satu elemen penting dalam sistem pendidikan di Malaysia adalah ia digubal khas untuk memenuhi kehendak dan ciri-ciri negara Malaysia yang terdiri dari pelbagai bangsa atau dengan kata lain masyarakat majmuk. Daripada sistem pendidikan inilah sebenarnya menggambarkan komitmen pemerintah negara ini untuk menyatupadukan kaum di negara ini melalui pendidikan. Walau apa pun langkah berikut boleh membantu mempereratkan lagi hubungan kaum di negara ini iaitu pengenalan subjek bahasa Cina dan Tamil di peringkat sekolah rendah dan menengah. Ini adalah untuk mendedahkan anak-anak Melayu dengan bahasa tersebut dan ini memudahkan komunikasi antara 3 kaum terbesar. Mungkin juga sekolah jenis kebangsaan patut dijadikan sebagai kelas tambahan kepada murid-murid yang berminat.

Rukun Tetangga
Tempat tinggal memainkan peranan penting untuk berlindung daripada panas dan hujan. Rumah kita juga adalah syurga kita. Apa yang masih belum terjawab adalah persoalan sejauhmanakah tempat tinggal atau kawasan perumahan yang ada di Malaysia melambangkan kepelbagaian kaum dan integrasi kaum? Salah satu langkah yang boleh mengeratkan perpaduan antara kaum di kawasan perumahan ialah dengan adanya Rukun Tetangga. Melalui Rukun Tetangga, pelbagai kaum bekerjasama menjaga keselamatan kawasan perumahan daripada anasir-anasir yang tidak diingini dan ini secara tidak langsung dapat memupuk perasaan kekitaan demi keselamatan bersama.

Makanan
            Tidakkah kita terfikir selama ini bahawa makanan juga boleh berperanan sebagai agen perpaduan di Malaysia? Kita ambil contoh kedai mamak. Kedai Mamak sebenarnya telah memainkan peranan mencetuskan fenomena perpaduan kaum kerana semua kaum iaitu Melayu, Cina dan India boleh makan bersama dan duduk semeja menikmati roti canai, capati atau mee goring mamak. Cuba kita lihat juga kepada fenomena warung yang kebanyakannya dimiliki oleh orang Melayu. Masakan Melayu seperti nasi lemak telah menjadi kegemaran semua rakyat Malaysia tidak mengira bangsa. Inilah uniknya Malaysia. Dalam usaha mengintegrasikan kaum melalui pemakanan, setiap kaum perlu mengetahui apakah makanan yang digemari oleh kaum yang lain, apa yang mereka makan dan apakah makanan yang mereka tidak boleh makan. Seiringan dengan itu juga Malaysia sentiasa mengadakan konsep rumah terbuka bagi semua perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali. Ini menunjukkan makanan telah menjadi daya tarikan untuk semua kaum berkumpul dan berjumpa serta dapat mengenali budaya bangsa dan agama lain.
Hubungan kaum di Malaysia sampai pada waktu ini masih lagi terkawal biarpun ada sedikit ketegangan namun ia masih mampu mengekalkan keamanan yang kita kecapi kini. Biarpun negara ini tidak ada perbalahan kaum besar-besaran seperti di negara lain, tetapi kata pepatah ada mengatakan “air yang tenang jangan disangka tidak ada buaya, dan kerana nila setitik rosak susu sebelanga”. Justeru itu kita perlu sentiasa menjaga keamanan dan perpaduan kaum yang ada ini dan perlu digilap setiap masa agar ia sentiasa relevan walaupun zaman sentiasa berubah. 

Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian  27/7/2013. Terima kasih Berita Harian.

2 comments:

  1. Bagaimana pula dari segi media massa sebagai agen perpaduan? TQ

    ReplyDelete
    Replies
    1. Banyak peranan media sebagai agen perpaduan seperti melalui filem, animasi upin ipin, akhbar dan majalah.

      Delete