Assalamualaikum dan Selamat Datang ke Blog Saya

Blog ini diadakan khas untuk penulis berkongsi idea, pendapat dan kepakaran untuk pembaca semua. Diharap blog ini bermanfaat kepada semua khususnya kepada pelajar dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang ingin mendapat info yang berkaitan.

Ingin berkongsi info? bole emailkan ke hasnah@ump.edu.my. Saya merasa bangga kerana dapat berkongsi ilmu yang Allah berikan kepada saya untuk dikongsi dengan orang lain. Saya cuma berharap mereka yang membacanya turut sama mendoakan agar saya sentiasa sihat dan tidak berhenti meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan.




Thursday, 31 October 2013

I LOVE MY KAMPUNG......

Salam sayang semua pembaca blog saya.....

I really love my kampung....Tumpat, Kelantan.

Tumpat merupakan daerah yang kecil terletak di negeri Kelantan. Penduduknya terdiri daripada orang Melayu, Cina, India, Sikh, dan Siam. Sejak dibangku sekolah saya telah bergaul dengan kawan-kawan yang terdiri dari bangsa Cina, dan Siam. Kami sangat rapat walaupun berbeza agama dan budaya. Tidak terasa kita berbeza. Apa yang kami rasa hanyalah kita kawan yang rapat. Begitu juga dengan ibu bapa kita. Mereka dapat hidup bersama, mencari rezeki bersama dan meminum kopi, bersembang di kedai kopi yang sama. Sepanjang hidup saya dari kecil hingga kini tidak pernah saya dengar berita orang Melayu dan orang Cina atau orang Siam bergaduh. Apa yang saya dapat lihat hanya satu iaitu kedamaian ditambah pula dengan suasana kekampungan dengan angin yang menderu, segar dan jauh sekali pencemaran udara, kebisingan kota dan crowded. Tidak ada langsung. 

Apabila pergi ke pasar, saya rasa sangat seronok kerana di pasar juga anda akan dapat lihat pelbagai bangsa duduk rapat2 menjual hasil jualan mereka. Masing-masing seronok mencari rezeki. Walaupun harga barang keperluan semakin meningkat, tetapi harga barang keperluan dapur di sini masih lagi rendah jika dibandingkan dengan tempat2 lain. Tetapi apa yang paling mahal di sini ialah anda tak jumpa ditempat lain iaitu keramahan bangsa2 di sini yang tidak ada langsung rasa perbezaan dan mereka menggunakan satu bahasa yang sama iaitu loghat kelate. Itulah yang paling mahal saya rasa bila memperkatakan pasal masyarakat Kelantan. Di sini juga mewah dengan segala makanan yang paling saya suka dan semua orang Kelantan suka ialah nasi berlauk, pulut pagi, akok, jala emas, tahi itik, ketupat sotong, tepung malas, apam balik dan banyak lagi. Walaupun semua makanan ni ada dijual di negeri lain, namun dari segi persembahan dan rasa tidak sama jika tidak orang Kelantan yang membuatnya.

Saya suka rumah saya. Rumah saya dulu dibuat daripada kayu dan terletak di tepi sawah. Teringat saya dulu-dulu semasa musim menuai dan menanam padi. Nyaman dan damai saya rasakan. Saya paling suka bila angin melambai-lambai, pohon nyiur melambai-lambai, kicauan burung, bayu bertiup lembut dan sesuai sangat dengan lagu yang dinyanyikan oleh Datuk Fauziah Ahmad Daud yang antara bait lagunya berbunyi lihatlah....keindahan...kampungku bersama hatiku.... waktu inilah kanak-kanak berlari riang bermain layang-layang...best sangat....hanya kedamaian yang dirasakan.....damai sangat....

Bersambung lagi....di lain waktu saya akan upload gambar2 menarik di Tumpat, Kelantan.

Nota Untuk Kursus Hubungan Etnik






RELEVANSI PERPADUAN KAUM DAN REALITI MASA KINI


            PENGENALAN
 Malaysia adalah sebuah negara contoh kepada negara membangun yang lain. Malahan tidak keterlaluan jika dikatakan Malaysia kini sedang menuju zaman kemodenan dan kemajuan seperti juga negara-negara maju yang lain. Modenisasi dan kemajuan yang berlaku di Malaysia adalah tidak sama dengan apa yang berlaku di negara lain memandangkan adat-adat ketimuran masih menjadi asas kepada nilai masyarakat Malaysia. Selain daripada nilai ketimuran, perpaduan kaum juga merupakan satu perkara yang tidak pernah dipisahkan daripada arus kemajuan pada hari ini. Bahkan perpaduan kaum sentiasa relevan dengan arus peredaran zaman. Dalam bab ini akan dibincangkan relevannya perpaduan kaum walaupun zaman telah berubah.

GLOBALISASI
Zaman ini adalah zaman globalisasi. Di mana-mana sahaja orang menyebut tentang globalisasi. Walau apa pun perkara penting yang perlu kita awasi adalah kesan globalisasi. Sebagaimana yang telah kita ketahui globalisasi adalah satu proses pengantarabangsaan ekonomi, politik dan juga sosial dan Malaysia tidak tekecuali dari menerima tempias globalisasi. Antara perkara yang perlu dijaga adalah perpaduan kaum. Ini kerana perpecahan etnik di negara luar boleh mempengaruhi pelbagai etnik di negara ini bila-bila masa. Globalisasi dengan mudah dan cepat menyebarkan perbalahan dan persengketaan kaum di negara luar dan ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi rakyat negara ini. Globalisasi juga pada bila-bila masa boleh menarik pelbagai bangsa di negara ini untuk meninggalkan Malaysia dan tinggal di negara luar, selain daripada itu globalisasi juga pada bila-bila masa akan memusnahkan keamanan yang dinikmati oleh negara ini. Justeru itu, perpaduan kaum di zaman globalisasi sebenarnya lebih banyak berhadapan dengan cabaran yang boleh merapuhkan hubungan antara kaum. Pihak yang berwajib perlu memastikan globalisasi yang berlaku adalah terkawal dan pada masa yang sama memastikan perpaduan kaum semakin rapat dan kuat.


             
 Perpaduan Kaum Elemen Penting Untuk Menjamin Keamanan Dunia
Dunia pada hari ini menghadapi pelbagai cabaran dan pergolakan. Kita sering mendengar huru hara, peperangan, rusuhan kaum, keganasan dan sebagainya berlaku di seluruh dunia. Nampaknya keamanan begitu sukar dicapai pada masa kini. Sedar atau tidak kebanyakan rusuhan yang berlaku di seluruh dunia adalah melibatkan bangsa dan kaum yang berbeza. Ini menunjukkan kepelbagaian kaum dan agama jangan dipandang ringan. Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama juga perlu berwaspada agar perkara ini tidak berlaku di Malaysia. Semua orang inginkan keamanan dan kedamaian tidak kira apa bangsa mereka. Masyarakat pada hari ini perlu sedar perpaduan kaum adalah elemen penting bagi menjamin keamanan negara dan dunia. Perlulah disedari bahawa perpaduan kaum tidak datang dengan sendiri, ia perlu dipupuk dan dididik setiap masa. Dalam hal ini pemerintah sebenarnya memainkan peranan penting di mana segala polisi dan dasar pentadbiran negara perlu melibatkan semua kaum dan paling penting adalah semua kaum perlu mempunyai hak di dalam pentadbiran negara. Justeru itu semua negara di dunia perlu menjaga hak-hak kaum tertentu dan tidak boleh menganatirikan kehadiran mereka.

             
 Memantapkan Hubungan Luar Negara

Dari segi sejarah, Malaysia telah lama menjalinkan hubungan dengan pelbagai negara bangsa sejak sewal abad ke-19 lagi. Hubungan perdagangan ini semakin berjaya lagi semasa zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15. Pada masa ini banyak negara telah datang berdagang ke Melaka seperti China, Jepun, Asia Barat, Asia Timur, India, Sumatera, Gujerat dan lain-lain lagi. Ramainya pedagang yang datang berdagang di sini dapat digambarkan melalui bahasa yang dipertuturkan pada masa ini iaitu terdapat lebih 80 bahasa dipertuturkan. Pembentukan masyarakat majmuk di negara ini juga mempunyai sejarah yang panjang terutamanya orang Cina dan India pada awalnya adalah merupakan pendatang daripada negara China dan India. Justeru itu hubungan baik Malaysia dengan negara-negara terutamanya China dan India sebenarnya dapat mempereratkan lagi hubungan kaum di negara ini. Tambahan pula kedua-dua negara berkenaan sentiasa membuat hubungan yang baik dengan Malaysia sejak berabad lamanya. Hubungan antarabangsa sebegini sebenarnya amat baik untuk pembangunan ekonomi, politik dan sosial antara negara tersebut. Hubungan antarabangsa sebegini juga akan memberikan masyarakat Cina dan India terutamanya merasa lebih selamat dan dihargai.

Perubahan Masa Pengaruhi Hubungan Kaum

            Secara amnya perubahan iklim dunia akan mempengaruhi iklim di negara ini, perubahan ekonomi dunia juga mempengaruhi negara ini dan begitu jugalah segala pergolakan kaum di negara lain juga akan mempengaruhi negara ini. Sebenarnya antara Malaysia dan dunia luar yang lain sangat berkaitan di antara satu sama lain. Jika diteliti semua negara di dunia ini seharusnya duduk semeja berbincang mengenai cara bagaimana untuk menguruskan masyarakat majmuk di negara mereka. Daripada sini mereka akan dapat bertukar-tukar pendapat dan pengalaman daripada pelbagai negara agar pergaduhan kaum tidak lagi berlaku dan dapat membendung daripada terus menular ke negara lain. Ini kerana apa yang berlaku terhadap saudara mereka di tempat lain akan memberi kesan kepada mereka juga. Kita ambil saja contoh pergolakan yang berlaku di Thailand dan juga di Indonesia sedikit sebanyak akan menyentuh perasaan masyarakat di negara ini. Tetapi disebabkan kebijaksanaan pemerintah Malaysia, kejadian seperti itu tidak terjadi di Malaysia. Daripada sini dapat dilihat pentingya peranan pemerintah dan peranan rakyat negara itu sendiri dalam memastikan perkara yang tidak diingini tidak berlaku terutamanya perbalahan kaum. 

Mempolitikkan Isu Etnik/Kaum

Dewasa ini isu-isu yang berkaitan etnik begitu mudah diucapkan semasa kempen-kempen pilhanraya dan juga digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan sesuatu pihak. Bahkan isu seperti ini seakan menjadi kegemaran pihak tertentu kerana penggunaan isu kaum/etnik boleh dikatakan mudah memancing pengundi dan rakyat. Ini sebenarnya tidak baik dan tidak sihat bagi negara Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan bangsa. Sikap sebegini sebenarnya akan menguntungkan sesuatu pihak sahaja dan yang ruginya adalah rakyat kerana mereka akan saling bermasam muka dan saling berprasangka di antara satu sama lain. Isu mempolitikkan isu etnik ini bukanlah satu perkara baru dalam politik Malaysia bahkan ia telah lama berlaku sejak selepas kemerdekaan lagi. Tetapi pada masa kini ia menjadi lebih hebat lagi kerana kemajuan teknologi dan maklumat akan memudahkan lagi pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan isu-isu yang berupa fitnah dan hasutan yang boleh merosakkan hubungan kaum.

Kepelbagaian Parti Politik

            Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen semestinya penubuhan parti politik merupakan satu elemen penting. Jika tidak ada parti politik maka demokrasi sukar dilaksanakan. Di Malaysia kepelbagaian parti politik merupakan satu petanda kesedaran masyarakat terhadap politik sudah maju, tetapi tidakkah kita terfikir penubuhan parti-parti politik tanpa kawalan akan mendatangkan masalah kepada negara? Dari segi luaran kita akan nampak penubuhan parti-parti politik yang mewakili pelbagai kaum adalah satu kemajuan tetapi dapatkah ia berperanan merapatkan hubungan antara kaum? Perkara ini perlu dikaji dengan lebih mendalam bagi memastikan perpaduan kaum tidak akan pudar kerana penubuhan parti politik yang pelbagai. Dalam hal ini kawalan daripada pihak bertanggungjawab adalah perlu bagi memastikan parti-parti politik yang ditubuhkan adalah berjalan di atas landasan yang betul dan tidak menggunakan isu-isu tertentu sewenang-wenangnya yang boleh mempengaruhi pemikiran rakyat serta untuk kepentingan pihak-pihak tertentu.

Sistem Pendidikan Yang Pelbagai

            Dewasa ini memperlihatkan tumbuhnya institusi-institusi pendidikan bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Ada IPTS tempatan yang baru ditubuhkan lebih memfokuskan kepada kaum-kaum tertentu sahaja. Ini sangat tidak sihat dan usaha perpaduan kaum akan sukar dicapai. Tidak dinafikan lebih banyak institusi pendidikan di bina akan memberi pilihan kepada rakyat memilih mana yang mereka suka. Tetapi sejauhmanakah pemantauan dilakukan terhadap institusi-institusi pendidikan baru ini agar ianya tidak menyeleweng daripada polisi negara yang amat mementingkan perpaduan kaum. Pemisahan pendidikan mengikut kaum ini sebenarnya akan membesarkan lagi jurang perpaduan kaum yang sepatutnya duduk sebumbung dalam institusi pendidikan yang sama. Justeru itu institusi pendidikan sama ada yang baru atau yang lama jangan sekali-kali memandang ringan akan hal ini, kerana kita tidak mahu berlaku pula pengenalan kaum mengikut institusi pendidikan. Fenomena seperti ini tidak sepatutnya berlaku seperti pada zaman penjajahan di mana di waktu ini telah berlaku pengenalan kaum mengikut sistem ekonomi dan tempat tinggal.

 Kesimpulan

            Perpaduan kaum dan realiti masa kini sememangnya tidak dapat dipisahkan di antara satu sama lain. Perpaduan kaum akan terus relevan meskipun untuk berabad-abad yang akan datang kerana masyarakat majmuk di negara ini akan terus berkembang. Justeru itu, segala polisi dan dasar pemerintahan negara perlu sentiasa relevan dengan kehendak dan permintaan masyarakatnya dan ini perlu seiring agar negara sentiasa aman dan makmur. Kita patut menjadi contoh yang baik kepada negara luar yang lain bahawa kita mampu menguruskan masyarakat majmuk dengan berhemah dan tidak ada pihak yang tertinggal dan terpinggir dalam arus pembangunan negara.

Wednesday, 9 October 2013

Puisi "Ku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang"


"Ku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang"




Itu adalah tajuk lagu popular masa kini
yang menceritakan satu cerita
nasib manusia tiada siapa yang tahu
dulunya susah sekarang sudah senang
itulah hakikat sebuah kehidupan

begitulah aku
juga ada cerita
tentang kehidupan
walaupun tidak sama tetapi ada persamaan
kerna…
aku juga begitu

kesusahan, kemiskinan, kekurangan adalah makanan aku
namun aku tegar
aku terima hakikat
aku bukanlah orang yang senang

Ya Allah…
aku terima seadanya
jika itu menjadikan aku lebih baik
aku tegar
walaupun aku tidak tahu masa depanku
masih miskin, masih susah
aku tempuh jua
kerna….
ini adalah kehidupan

Cita-citaku
suatu hari nanti
aku keluar dari kemiskinan, kesusahan
semuanya berkemungkinan

akhirnya aku berjaya
membina kehidupan
yang lebih baik
dan kini aku berjaya….
kesusahan, kemiskinan akan sentiasa
menjadi teman karib
supaya aku….
tidak lupa di mana langit dipijak
 

  Semoga adik ini berjaya dalam hidupnya...jadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran untuk berusaha keras menjalani kehidupan ini. Sumber: google.com.my