Peranan pihak Kementerian Pengajian
Tinggi menjadikan Kursus Hubungan Etnik sebagai kursus wajib di Institusi
Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) merupakan
satu langkah yang bijak dan patut dipuji. Ia dilihat sangat penting dalam
memupuk kesedaran etnik dalam masyarakat
pelbagai kaum kepada generasi muda di negara ini. Ini kerana ia bukan sahaja
melibatkan aspek teori malahan praktikal untuk diamalkan dalam kehidupan
harian. Selain itu, kursus ini dapat memenuhi keperluan masyarakat dan aspirasi
kerajaan bagi membentuk masyarakat yang harmoni dan bersatu. Bagi
merealisasikan cita-cita tersebut peranan IPT amatlah penting sebagai batu asas
untuk memperkasakan hubungan etnik di negara ini pada masa akan datang.
Di Universiti Malaysia
Pahang (UMP), pelaksanaan pnp (pengajaran dan pembelajaran) bagi subjek ini
dijalankan secara menyeluruh dan bersepadu melalui beberapa aktiviti. Langkah
pertama adalah dengan cara memperkenalkan pelajar mengenai konsep-konsep dan
teori-teori berkaitan hubungan etnik di dalam kelas. Pendedahan pelajar
terhadap konsep-konsep ini telah membantu pelajar-pelajar untuk memahami
nilai-nilai kemanusiaan yang wujud dalam hubungan antara manusia yang berbilang
kaum, budaya dan agama. Pembelajaran mengenai teori-teori dan konsep hubungan
etnik tidak berhenti di dalam kelas sahaja, malah para pelajar dikehendaki
menyelidik dan membuat tugasan mengenai kewujudan konsep-konsep tersebut dalam
masyarakat seharian rakyat Malaysia. Aktiviti ini dilakukan bagi mendidik
pelajar-pelajar di sini bahawa apa yang mereka pelajari walaupun setakat teori
ianya amat berguna dalam memahami situasi sebenar yang berlaku dalam kalangan
masyarakat Malaysia.
Pelaksanaan pnp bagi
subjek ini tidak sahaja berdasarkan kepada teori di dalam kelas, malahan para
pelajar juga didedahkan dengan tugasan berkumpulan. Dalam aspek ini para
pensyarah akan membahagikan pelajar kepada kumpulan-kumpulan tertentu.
Kumpulan-kumpulan yang dibentuk ini pula haruslah terdiri dari tiga kaum
terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. Setiap kumpulan akan diberikan tajuk
tugasan masing-masing. Semasa menjalankan tugasan berkumpulan inilah para
pelajar dididik untuk bekerja dalam kumpulan yang terdiri dari pelbagai kaum.
Dalam hal ini, mereka bukan sahaja akan bergerak membuat tugasan itu
bersama-sama, malahan mereka akan bersama-sama berbincang mengeluarkan buah
fikiran, bertukar pandangan dan pendapat, serta memberi dan menerima idea dari
rakan yang berlainan bangsa. Kerjasama ini tidak terhenti setakat itu malahan
setiap kumpulan dilatih untuk membuat short video mengenai tajuk yang
diberikan. Dalam short video ini setiap kumpulan hendaklah memaparkan
elemen-elemen perpaduan dan teori serta konsep hubungan etnik yang telah mereka
pelajari. Sekali lagi para pelajar didedahkan secara amali bagi mereka merasai
suasana sebenar dalam hubungan antara etnik. Jadi di UMP, para pelajar tidak
sahaja perlu menguasai teori hubungan etnik malahan mereka juga didedahkan
dengan latihan amali bagi memastikan objektif perpaduan kaum dan dasar kerajaan
tercapai. Setelah itu, short video itu pula perlu dipersembahkan di dalam kelas
untuk dikongsi bersama dengan pelajar etnik yang lain. Aktiviti ini sangat
menarik perhatian pelajar kerana pelajar lain dapat melihat hubungan etnik dari
pelbagai perspektif yang berbeza dan ini secara tidak langsung akan memupuk
kesedaran hidup di negara yang bermasyarakat majmuk seperti di Malaysia. Di
UMP, pelaksanaan pnp sebegini akan memberikan ruang kepada para pelajar
mendalami dan merasai sendiri realiti hubungan etnik di negara ini.
Perkongsian idea di
dalam kelas
Aktiviti seterusnya
adalah para pelajar akan didedahkan dengan tayangan video yang bertemakan
hubungan etnik. Melalui aktiviti ini para pelajar dikehendaki menghayati tema,
persoalan dan teori-teori yang terdapat dalam hubungan etnik. Tidak sahaja
perlu menonton dan menghayati video tersebut malahan para pelajar juga perlu
merekod apa yang mereka dapati daripada video tersebut dan markah akan
diberikan berdasarkan garapan idea yang bernas dan menarik.
Selain daripada
membincangkan mengenai hubungan etnik di dalam negara Malaysia, para pelajar
juga telah didedahkan dengan suasana hubungan etnik di luar negara. Dalam hal
ini para pelajar akan berpeluang untuk melihat corak dan perjalanan hubungan
etnik di negara lain. Pendedahan sebegini akan membolehkan para pelajar
mengetahui pergolakan dan isu-isu berkaitan hubungan etnik di luar negara.
Aspek penting yang dapat dipelajari daripada hubungan etnik di luar negara
adalah para pelajar akan dapat menilai dan menghargai keharmonian kaum di
negara sendiri. Inilah masanya UMP berpeluang mendidik para pelajar untuk
menghargai keamanan dan keharmonian kaum yang dikecapi oleh negara sejak sekian
lama.
Sesi berkongsi pendapat
dan idea
Selain apa yang
dinyatakan di atas, melalui subjek hubungan etnik para pelajar juga didedahkan
dengan perbincangan mengenai kehidupan seharian masyarakat di Malaysia. Dalam
hal ini, para pelajar berpeluang mengetahui dan berbincang mengenai bagaimana
kehidupan seharian boleh memupuk perpaduan kaum termasuklah kehidupan seharian
mereka di kampus. Antara yang boleh dijadikan contoh bagi pemupukan perpaduan
kaum melalui kegiatan seharian pelajar di kampus ialah dari segi pergaulan,
pembelajaran, perbincangan, kawan sebilik, pemakanan dan sebagainya.
Pengenalan subjek
hubungan etnik di UMP dilihat sebagai penyeri kepada pelajar yang
berlatarbelakangkan bidang kejuruteraan. Pelaksanaan subjek ini walaupun
dilihat sebagai subjek sokongan, namun impaknya amatlah besar terutamanya dari
segi memberi pendedahan kepada para pelajar untuk bekerja dalam masyarakat
pelbagai kaum. Ini selaras dengan objektif KPT iaitu bukan sahaja untuk
memastikan siswazah dapat menyesuaikan diri dalam sektor pekerjaan bahkan dalam
menghadapi kehidupan seharian melalui penerapan nilai-nilai murni.
Wajah perpaduan di UMP
No comments:
Post a Comment