Sebenarnya
dari aspek akademik, segala peristiwa sejarah negara yang telah berlaku perlu digali
dari semasa ke semasa. Ini memandangkan ada di antara fakta sejarah yang masih
belum dibincangkan dan diperdebatkan secara terbuka. Di antara
peristiwa-peristiwa utama dalam sejarah negara Malaysia adalah:
1. Sejarah Kedatangan Bangsa Asing
Umum telah mengetahui mengenai
kedatangan kuasa asing ke negara ini yang telah pun berlaku seawal abad ke-13.
Kedatangan bangsa asing ini menjadi lebih dominan sejak masuknya penjajah
British ke Tanah Melayu. Walaupun sebelum ini Tanah Melayu pernah dikuasai oleh
Portugis dan Belanda, tetapi penjajah British paling berjaya dalam menakluki
negara ini. Apa tidaknya mereka telah berjaya mengubah sistem politik, ekonomi
dan sosial negara ini. Apabila membincangkan tentang penjajahan British di
Tanah Melayu, seringkali kita menjumpai pandangan yang mengatakan British telah
mengamalkan sistem “pecah dan perintah”. Persoalannya adakah benar British
mengamalkan sistem tersebut atau masyarakat pada waktu itu yang memang sengaja
untuk hidup terasing. Perkara seperti ini juga belum dibincangkan dengan secara
meluas. Selain daripada itu banyak kisah-kisah sejarah negara ini telah ditulis
oleh bangsa asing dan ini juga memerlukan kajian semula dibuat bagi memastikan
tulisan tersebut tidak memihak kepada pihak-pihak yang berkepentingan.
Perbincangan mengenai kedatangan bangsa asing ke Tanah Melayu selalunya
bertumpu kepada masyarakat Cina dan India, sangat sedikit kajian dilakukan
terhadap kaum minoriti yang lain seperti masyarakat Siam, Sikh, Jawa, Jepun dan
sebagainya.
2. Sejarah Perkembangan Masyarakat
Melayu
Umum telah mengetahui mengenai asal
usul keturunan masyarakat Melayu iaitu mereka merupakan kumpulan manusia yang
berasal dari Kepulauan Melayu. Suatu masa dahulu dikatakan nenek moyang orang
Melayu berasal dari Yunnan. Fakta ini telah digunakan untuk sementara dalam
sejarah Melayu. Tetapi dengan adanya kajian terbaru kenyataan yang mengatakan
nenek orang Melayu berasal dari Yunnan adalah salah dan apa yang nyata adalah
mereka berasal dari Kepulauan Melayu. Dalam hal ini kajian yang mendalam
berdasarkan sumber sejarah yang sahih adalah perlu dalam menegakkan sesuatu
fakta sejarah. Selain daripada itu pandangan penulis barat juga mengatakan
bahawa orang Melayu adalah bangsa yang malas dan tidak suka bekerja di bawah
orang lain dan ini menjadi faktor kenapa orang Melayu mundur. Kenyataan ini
juga telah berjaya disangkal oleh beberapa orang penulis tempatan bahawa pihak
penulis barat menulis berdasarkan pemerhatian mereka dan ada juga terselit
perasaan buruk sangka di kalangan mereka terhadap orang Melayu. Ini juga perlu
diperjelaskan kepada generasi masa kini agar mereka tidak terpengaruh dengan
dakyah barat.
3. Sejarah Pembentukan Masyarakat
Majmuk
Pembentukan masyarakat Malaysia pada
hari ini mempunyai sejarah yang panjang. Penduduk Malaysia yang terdiri dari
pelbagai bangsa dan agama, perlu dilihat dari aspek perkembangan sesuatu
masyarakat itu sendiri. Masyarakat Cina dan India misalnya kehadiran mereka ke
Tanah Melayu adalah kesan daripada kedatangan penjajah British. Pihak British
mahu memperkembangkan sistem ekonomi kapitalis mereka lalu membawa masuk buruh
dari China dan India untuk bekerja di Tanah Melayu. Daripada sinilah bermulanya
masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Aspek yang sering kali dilihat apabila
membincangkan tentang sejarah masyarakat majmuk di negara ini adalah perpaduan
kaum, jarang sekali perbincangan ditumpukan kepada melihat peranan dan
sumbangan setiap kaum kepada pembangunan negara.
4. Sejarah Perkembangan Ekonomi
Dari segi sejarah, ekonomi negara ini
telah banyak berubah daripada tradisi kepada moden. Kemodenan ekonomi juga
telah menjadikan Tanah Melayu pada suatu masa dahulu sebagai pengeluar utama
bijih timah dan getah dunia. Walaupun ekonomi moden ini kebanyakannya
dipelopori oleh bangsa asing berbanding bangsa Melayu yang menjadi penduduk
asal negara ini, kemodenan ekonomi telah banyak membantu memberi kemakmuran
kepada negara ini. Ekonomi moden juga walaupun tidak banyak mengubah kedudukan
orang Melayu pada peringkat awal, namun perubahan semakin terasa terutamanya
beberapa dekad yang lalu. Perbincangan yang selalu dicanangkan mengenai ekonomi
Malaysia adalah berkisar kepada keadilan ekonomi untuk semua kaum, dan jarang
sekali kita membincangkan tentang sejarah kemelesetan ekonomi yang pernah berlaku
di negara ini. Kemelesetan ekonomi yang berlaku pada tahun-tahun 1930-an dan
1996/1997 perlu dibuat perbandingan untuk kita melihat tahap kegawatan pada
tahun bilakah yang begitu memberi kesan mendalam kepada penduduk negara ini.
Ini sangat penting untuk kita belajar bagaimana untuk menghadapi saat kegawatan
ekonomi. Setiap peristiwa kegawatan ekonomi mempunyai pengajaran disebaliknya.
Selain daripada itu kajian juga
boleh dilakukan untuk kita melihat bagaimana Kerajaan merancang perbelanjaan
negara, siapakah yang mendominasi perbelanjaan negara dan boleh dilihat apakah
perkara yang sentiasa mendapat peruntukan yang lebih dalam perbelanjaan negara.
5. Sejarah Perkembangan Politik
Sejarah perkembangan politik negara
ini sangat banyak dan begitu kompleks. Bermula dari zaman Kesultanan Melayu
Melaka sehinggalah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, perkembangan politik
rakyat negara ini memperlihatkan kematangannya terutamanya apabila rakyat
negara ini yang terdiri dari pelbagai kaum mempunyai parti politik mereka
sendiri yang mewakili kepentingan setiap kaum, perjuangan parti yang
berbeza-beza, serta kepentingan kaum menjadi lebih penting daripada kepentingan
negara. Secara amnya perbincangan mengenai perkembangan politik di negara ini
lebih berkisarkan kepada sistem politik itu sendiri tanpa mengadakan lebih
banyak kajian terhadap pemikiran rakyat terhadap politik. Kajian sepatutnya
dilakukan bagi mengenal pasti bagaimana arus politik berubah disebabkan oleh
perubahan pemikiran rakyat. Selain daripada itu, kajian juga perlu melihat
kepada apakah isu-isu politik yang menjadi penghalang kepada pembangunan negara
secara keseluruhannya.
6. Sejarah Sosial Rakyat Malaysia
Pada masa kini sudah ada kesedaran
untuk mengangkat sejarah sosial di Malaysia. Ada banyak aspek yang boleh kita
kaji dari sudut sosial. Antara yang telah banyak diperbincangkan sebelum ini
adalah mengenai sejarah perkembangan pendidikan daripada pendidikan pondok,
agama sehinggalah ke pendidikan vernacular. Selain daripada itu ada juga tulisan
mengenai sejarah perkembangan infrastruktur, sejarah kesihatan, serta sejarah
mengenai peranan wanita. Sebenarnya ada banyak perkara lagi yang boleh kita
kaji dalam aspek sejarah sosial ini seperti sejarah jabatan kebajikan
masyarakat, warga tua, hospital bahagia, perkahwinan dan perceraian, pelacuran
dan sebagainya. Semua ini dapat memberikan kita fakta tentang pembangunan
sosial di negara ini daripada sebelum merdeka hinggalah selepas merdeka.
7. Sejarah Perkembangan Pendidikan
Pendidikan di negara ini juga
merupakan suatu aspek yang menarik untuk dikaji. Justeru itu kita lihat telah
banyak kajian yang dibuat mengenai sistem pendidikan di Malaysia daripada zaman
penjajahan hinggalah ke zaman selepas merdeka. Ada yang melihat perkembangan
pendidikan Tamil, Pendidikan Cina dan Pendidikan Melayu. Tidak ketinggalan juga
pendidikan agama yang memfokuskan kepada persekolahan pondok. Ada juga kajian
yang menjuruskan kepada peranan individu tertentu dalam pembangunan pendidikan.
Walau apa pun aspek yang dikaji mengenai pendidikan, satu perkara yang kita
tidak boleh lupa adalah sejauhmanakah sistem pendidikan di negara ini mampu
memupuk perpaduan rakyat di negara ini dan sejauhmanakah sistem pendidikan
negara perlu berubah selari dengan tuntutan zaman.
8. Sejarah Kemerdekaan Negara
Antara intipati dalam perbincangan
mengenai sejarah kemerdekaan negara adalah seperti proses-proses yang berlaku
sebelum kemerdekaan seperti pembentukan Malayan Union, Perlembagaan bagi
Persekutuan Tanah Melayu, Rundingan Baling, penubuhan parti-parti politik,
pilihanraya serta Rombongan Tunku ke London. Sejarah mengenai kemerdekaan
negara ini juga telah dirakamkan oleh Tunku Abdul Rahman melalui bukunya “The
Road to Independence”.. Satu perkara yang perlu dibuat kajian semula adalah
adakah pihak British ingin memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada tahun
1957 tersebut ataupun British telah membuat keputusan untuk membebaskan Tanah
Melayu lebih awal dari itu? Adakah British yang telah memberi laluan untuk
Tanah Melayu merdeka ataupun disebabkan oleh usaha Tunku Abdul Rahman?
9.
Sejarah Penubuhan Malaysia
Dalam konteks sejarah penubuhan
Malaysia pada tahun 1963, pengisiannya adalah mengenai mengapakah Malaysia
hendak ditubuhkan serta kelebihan ditubuhkan Malaysia yang mengandungi Semenanjung
Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Tidak ketinggalan juga perbincangan
dilakukan terhadap tentangan dan halangan-halangan yang dihadapi dalam usaha
untuk menubuhkan Malaysia. Ada juga kajian yang dilakukan terhadap isu-isu yang
berbangkit selepas Malaysia ditubuhkan serta pengeluaran Singapura daripada
Malaysia. Sebenarnya masih banyak kajian perlu dilakukan mengenai sejarah
penubuhan Malaysia. Antaranya kita melihat bagaimanakah sambutan masyarakat
Tanah Melayu secara keseluruhannya serta kajian mengenai isu-isu penubuhan
Malaysia dalam akhbar-akhbar Melayu pada tahun 1963. Jika dilihat terdapat
banyak perbincangan mengenai isu ini dalam akhbar seperti Berita Harian dan
Utusan Melayu.
10. Sejarah Pembentukan
Perlembagaan
Dari aspek sejarah pembentukan
Perlembagaan Malaysia, perbincangan biasanya ditumpukan kepada bagaimanakah
terbentuknya Perlembagaan yang memang berkait rapat dengan kemerdekaan negara.
Selain daripada itu perbincangan juga melihat kepada pembentukan
perkara-perkara yang terdapat dalam Perlembagaan, serta Peruntukan Utama dalam
Perlembagaan. Antara perkara baru yang perlu dikaji mengenai Perlembagaan
negara Malaysia adalah sejauhmanakah pindaan-pindaan terhadap Perlembagaan
telah memberi kesan kepada pembangunan negara dan masyarakat serta penerimaan
masyarakat terhadap pindaan perlembagaan.
11. Sejarah Pilihanraya di Malaysia
Sejarah
pilihanraya di Malaysia sangat menarik untuk dikaji dan dipelajari. Sejak Tanah
Melayu merdeka sehingga kini, Malaysia boleh dijadikan negara contoh pengamalan
pilihanraya yang aman. Perbincangan mengenai sejarah pilihanraya di Malaysia
biasanya berkisar tentang faktor-faktor diperkenalkan pilihanraya, permulaan
pilihanraya di Tanah Melayu, parti-parti yang bertanding serta pembentukan
Kerajaan yang memerintah. Antara perkara yang perlu kita selitkan dalam
perbincangan mengenai sejarah pilihanraya di Malaysia adalah mengenai
perjalanan pilihanraya di Malaysia daripada pilihanraya pertama sehinggalah ke
hari ini. Beberapa aspek perlu dilihat dalam perjalanan pilihanraya adalah
apakah kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh parti-parti yang bertanding
dalam setiap pilihanraya, kempen-kempen pilihanraya, isu-isu pilihanraya serta
penglibatan rakyat dalam pilihanraya. Perkara penting seperti sejauhmanakah isu
dan kempen memainkan peranan dalam meningkatkan bilangan undi untuk sesuatu
parti. Kajian sebegini mungkin boleh membantu parti-parti yang akan bertanding
mengatur strategi untuk menghadapi pilihanraya yang akan datang.
12. Sejarah Kegemilangan Kerajaan
Melayu Melaka
Sejarah
mengenai kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka sudah biasa dan banyak
dibincangkan terutamanya di dalam buku. Antaranya seperti Mohd. Yusoff Hashim, ”Wira
Melayu Dalam Konteks Patriotisme Zaman Kesultanan Melaka” dan Kesultanan
Melayu Melaka. Perbincangan mengenai sejarah kesultanan Melayu Melaka
adalah berkisar kepada sistem politik, ekonomi dan sosial masyarakat pada zaman
tersebut, faktor-faktor kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka, peranan pembesar
dan bendahara Melaka, Kejatuhan Kerajaan Melaka dan kedatangan Portugis serta
Belanda ke Melaka, Melaka sebagai pusat perkembangan agama Islam, Puteri Hang
Li Po, konsep Taat Setia dan Derhaka, dan beberapa watak wanita dalam Kerajaan
Melayu Melaka. Tidak ketinggalan ada juga yang mengkaji mengenai keturunan Baba
dan Nyonya di Melaka. Beberapa perkara lain yang masih lagi belum digali secara
mendalam adalah kemajuan Melaka semasa berada di bawah penjajahan British iaitu
negeri Melaka sebagai anggota negeri-negeri Selat.
13. Sejarah Pendudukan Jepun di
Tanah Melayu
Sejarah mengenai pendudukan Jepun di
Tanah Melayu adalah berkisar kepada faktor-faktor yang menyebabkan Jepun ingin
menduduki Tanah Melayu, Strategi jepun menduduki Tanah Melayu, bentuk
pentadbiran di bawah pemerintahan Jepun, penyeksaan penduduk tempatan oleh
tentera-tentera Jepun dan yang paling menghairankan kita semua adalah bagaimana
mereka boleh memasuki Tanah Melayu dalam masa yang sungguh singkat dan sangat
terancang. Tetapi ada satu aspek yang perlu kita lihat dan kaji adalah
bagaimana hubungan Jepun dan Tanah Melayu selepas pendudukan Jepun selepas itu
maksudnya selepas kemerdekaan. Ini penting sebenarnya untuk kita melihat
perubahan dalam hubungan persahabatan dan perdagangan antara Malaysia dan
Jepun. Umum telah mengetahui bahawa Jepun pada masa ini merupakan rakan dagang
utama Malaysia. Kajian juga perlu melihat bagaimana musuh boleh berubah menjadi
rakan dagang.
14. Sejarah Kedatangan Agama Islam
di Tanah Melayu
Sejarah kedatangan agama Islam ke
Tanah Melayu juga sangat menarik. Kedatangan Islam ke alam Melayu merupakan
satu anugerah yang tidak ternilai harganya kerana ia telah berjaya mengubah
pemikiran masyarakat di negara ini khususnya masyarakat Melayu yang sebelum itu
sangat kuat dipengaruhi oleh kepercayaan anamisme dan karut yang mana ia telah
membantutkan orang Melayu untuk terus maju ke hadapan. Walaubagaimanapun
setelah kedatangan Islam, pada peringkat awal masyarakat Melayu masih lagi
mengamalkan kepercayaan karut. Ada juga di sesetengah kawasan berlaku
perselisihan pendapat dan pemikiran seperti perbalahan antara Kaum Tua dan Kaum
Muda. Walaupun ada cabaran dan halangan, agama Islam tetap berkembang di Tanah
Melayu. Satu persoalan mengenai Islam di Tanah Melayu adalah, adakah Islam itu
hanya kepunyaan orang Melayu semata-mata? Bagaimana penerimaan masyarakat Cina
dan India? Adakah mereka tidak diberi peluang untuk menerima ajaran Islam
sebagaimana orang Islam. Apakah ada masyarakat Cina dan India muslim yang
datang ke negara ini menyebarkan agama Islam pada waktu itu?
Persoalan-persoalan seperti ini sangat menarik dalam perbincangan kita mengenai
sejarah perkembangan Islam di Tanah Melayu.
15. Sejarah Pemerintahan British di
Tanah Melayu
Sebagaimana
sejarah pendudukan Jepun di Tanah Melayu, pemerintahan dan penjajahan British
di negara ini juga sangat penting dalam pembelajaran mengenai sejarah Malaysia.
Pada peringkat awal sejarah mengenai penjajahan British di Tanah Melayu banyak
ditulis oleh penulis atau pentadbir British seperti Stamford Raffles, R. O
Winstedt, R.J. Wilkinson, W.R. Roff, dan banyak lagi. Justeru itu kita khuatir
mungkin ada bias di sana sini. Ini adalah suatu masalah dalam pengkajian
mengenai sejarah awal Tanah Melayu, tetapi dengan adanya beberapa kajian yang
dibuat oleh penulis tempatan, beberapa perkara/fakta telah dibuktikan
kebenarannya. Salah satu perkara yang perlu kita fikirkan bersama mengenai
penjajahan British di Tanah Melayu adalah adakah mereka sengaja membiarkan
masyarakat Tanah Melayu yang terdiri dari bangsa Melayu, Cina dan India hidup
berasingan atau masyarakat itu sendiri yang memilih untuk hidup berasingan dan
melakukan kegiatan ekonomi dan sosial mengikut kehendak dan minat mereka dan
bukannya atas arahan pemerintah British. Perkara ini juga perlu dibincangkan
secara lebih mendalam bagi memperbetulkan fakta yang mengatakan British
mengamalkan sistem pemerintahan pecah dan perintah.
Kesimpulan
Sebenarnya masih ada banyak lagi elemen-elemen
sejarah negara yang belum diketengahkan kepada umum. Untuk itu sejarawan di Malaysia
sentiasa berusaha untuk menggali kisah-kisah sejarah untuk tatapan masyarakat
Malaysia terutamanya generasi muda. Malaysia sebenarnya masih kekurangan
sejarawan untuk menggali kisah-kisah sejarah negara. Sejarah sebenarnya sangat
penting untuk kita mendidik masyarakat agar mereka boleh meramalkan apa yang
akan berlaku di masa hadapan berdasarkan fakta-fakta sejarah. Ramalan mengenai
apa yang akan berlaku di masa hadapan adalah sangat penting dalam usaha negara
merangka pembangunan negara pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment