Assalamualaikum dan Selamat Datang ke Blog Saya

Blog ini diadakan khas untuk penulis berkongsi idea, pendapat dan kepakaran untuk pembaca semua. Diharap blog ini bermanfaat kepada semua khususnya kepada pelajar dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang ingin mendapat info yang berkaitan.

Ingin berkongsi info? bole emailkan ke hasnah@ump.edu.my. Saya merasa bangga kerana dapat berkongsi ilmu yang Allah berikan kepada saya untuk dikongsi dengan orang lain. Saya cuma berharap mereka yang membacanya turut sama mendoakan agar saya sentiasa sihat dan tidak berhenti meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan.




Tuesday, 4 June 2013

Sejarah Tetap Relevan



Kaitan Sejarah Negara dan Generasi Masa Kini

a. Pengetahuan Mengenai Sejarah Latarbelakang Pembentukan Negara

Setiap warganegara Malaysia tidak kira keturunan, faktor usia, ataupun apa jua profesion dan tingkat pendidikan seseorang, mereka perlu mengetahui sejarah latar belakang pembentukan negara. Ini kerana peristiwa sejarah yang telah berlaku sebenarnya banyak menyimpan pengajaran yang boleh dijadikan iktibar kepada generasi masa kini agar tidak mengulangi kesilapan yang telah dilakukan sebelum ini. Banyak peristiwa sejarah negara sejak zaman kesultanan Melayu Melaka, zaman penjajahan sehinggalah ke perjuangan menuntut kemerdekaan serta peristiwa penubuhan Malaysia ada kisah dan pengajaran yang tersendiri. Antaranya ialah konsep kerjasama dalam mengukuhkan kedudukan bangsa. Dalam sejarah perjuangan bangsa, Sultan, pembesar negeri, pemimpin pertubuhan dan rakyat jelata semuanya berganding bahu membebaskan tanahair dari penjajahan. Generasi masa kini sepatutnya menghayati dan menghargai pengorbanan yang telah dilakukan oleh beberapa tokoh terkenal seperti Datuk Bahaman (Pahang), Abdul Rahman Limbong (Terengganu), Tok Janggut (Kelantan), Mat Kilau (Pahang), Dato’ Maharaja Lela (Perak), Mat Salleh (Sabah), manakala perjuangan oleh golongan yang berpendidikan tinggi seperti Ibrahim Yaakub , Ahmad Boestamam, Za’ba dan sebagainya perlu dipelajari oleh generasi masa kini akan corak perjuangan mereka dalam membebaskan tanahair dari penjajahan dan pada masa yang sama berjuang memajukan bangsa sendiri. Bukan itu sahaja, akhbar dan majalah juga menjadi medan untuk menyebarkan semangat patriotik kepada rakyat jelata. Ini dapat dilihat pada peranan yang dimainkan oleh akhbar Warta Malaya, Majlis, Majalah Guru, dan beberapa akhbar dan majalah yang tidak dapat disebutkan di sini. Peristiwa penjajahan di Tanah Melayu pula memberi pengajaran agar kita tidak mengulangi kesilapan masa lampau. Salah satu kelemahan negara ini dijajah pada waktu itu adalah disebabkan oleh kelemahan bangsa negara ini sendiri iaitu lemah dari segi minda, perpendidikan rendah, perpecahan antara kaum dan bangsa serta kelemahan dari segi politik dan ekonomi. Generasi masa kini perlu mempelajari kebijaksanaan pemimpin terdahulu menggunakan minda untuk memerdekakan negara dari penjajah. Ini menunjukkan betapa pentingnya rakyat zaman dahulu menggunakan akal fikiran untuk menawan hati penjajah demi membebaskan tanahair yang tercinta.  Selain daripada itu, peristiwa proses kemerdekaan tanahair juga memperlihatkan bangsa dahulu memperjuangkan pembinaan sebuah negara bangsa melalui usaha menyatupadukan kaum. Contohnya Dato’ Onn yang telah menggembelingkan usaha mengumpul semua bangsa dan agama yang ada di Tanah Melayu untuk berjuang menentang Malayan Union. Malahan usaha ini telah disambung oleh Tunku Abdul Rahman dalam usaha untuk memerdekakan Tanah Melayu dengan cara mengadakan rundingan dengan pihak British dan Komunis. Justeru itu, generasi masa kini tidak kira apa profession sama ada golongan professional atau tidak professional semuanya ada peranan masing-masing. Siapa kata golongan professional seperti jurutera misalnya tidak ada kaitan mempelajari sejarah negara dengan profesion mereka? Sebenarnya jurutera mempunyai tempat dalam sejarah negara sejak dulu lagi. Lihat saja kepada pembangunan negara dari segi infrastrukturnya dari dulu sehingga sekarang. Siapakah yang telah membina dan merekacipta lanskap bangunan-bangunan di negara ini kalau bukan jurutera. Seseorang jurutera yang mempunyai semangat patriotik dan tahu tanggungjawabnya kepada negara akan membina infrastruktur dan bangunan-bangunan yang akan menjadi kebanggaan negara dan pada masa yang sama memberi faedah kepada pembangunan bangsa dan negara dan bukannya mencipta sesuatu yang boleh merosakkan dan meruntuhkan negara. Selain daripada itu dengan mempelajari sejarah negara, seseorang jurutera itu akan dapat memahami konsep perkembangan dan perubahan masyarakat. Ini secara tidak langsung akan memberi panduan kepada jurutera untuk menghasilkan ciptaan yang memenuhi citarasa dan keperluan negara pada masa akan datang.



b. Pengetahuan mengenai Dasar-dasar Negara

Semua generasi golongan professional atau tidak professional perlu memahami dan mengetahui dasar-dasar pembangunan Negara yang telah dirancangkan oleh kerajaan sebelum ini. Melalui dasar-dasar ini rakyat akan mengetahui hala tuju kerajaan dalam pembangunan negara. Semua generasi sebenarnya terlibat dengan dasar-dasar kerajaan kerana dasar-dasar ini tidak akan berjaya tanpa sokongan daripada semua rakyat. Golongan professional misalnya jurutera perlu memahami apa yang ingin dibangunkan kerajaan melalui dasar perindustrian negara khususnya dalam usaha memajukan sektor perindustrian di Malaysia. Dengan mempelajari dan menghayati objektif dasar tersebut akan membantu jurutera merangka sesuatu projek berdasarkan kerangka yang ditetapkan oleh kerajaan dan negara. Manakala golongan pendidik pula perlu mengetahui dan memahami dasar pendidikan negara yang menjadi teras kepada pembangunan sistem pendidikan di Malaysia dari dahulu hingga sekarang. Begitu juga dengan pekerja di sektor kerajaan semuanya adalah tertakluk kepada dasar awam yang telah digariskan oleh pemimpin kita sebelum ini. Golongan pekerja swasta juga tidak terkecuali di mana mereka juga perlu memahami apakah yang hendak dicapai oleh negara melalui dasar penswastaan, dasar persyarikatan, Dasar Pandang ke Timur dan sebagainya.


c. Pengetahuan Mengenai Sejarah Pembentukan Perlembagaan Negara

Setiap warganegara Malaysia perlu memahami bahawa negara ini adalah sebuah negara yang berdaulat. Segala perlakuan adalah tertakluk kepada undang-undang negara. Teras kepada pembentukan undang-undang negara adalah dengan lahirnya Perlembangaan Persekutuan Malaysia. Sejarah pembentukan Perlembagaan negara juga mempunyai sejarah yang panjang dimana pembentukannya adalah hasil dari tolak ansur antara kaum di Tanah Melayu pada waktu itu yang terdiri dari orang Melayu, Cina dan India. Semua pihak saling menerima di antara satu sama lain. Melalui perjanjian ini juga setiap bangsa tidak akan mempersoalkan lagi apa yang telah dipersetujui bersama seperti perkara mengenai bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, Agama Islam sebagai agama rasmi negara serta hak-hak istimewa orang Melayu dan begitulah sebaliknya orang Melayu juga menerima hak –hak istimewa kaum lain di negara ini. Justeru itu, generasi yang lahir selepas pembentukan Perlembagaan ini tidak boleh mempersoalkan semula perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama. Segala bangkangan atau penolakan semula terhadap isu-isu tersebut oleh generasi selepasnya dianggap mencabuli perjanjian yang telah ditetapkan bersama. Perlu diketahui umum bahawa segala hal yang berkait dengan isu tersebut jika dibangkitkan semula akan menimbulkan banyak masalah kepada negara dan pada masa yang sama akan menggugat keamananan negara. Generasi masa kini perlu ingat bahawa pergolakan dan perbalahan antara kaum akan menyebabkan negara menjadi lemah dan tidak stabil dan faktor ini akan digunakan oleh musuh negara untuk campurtangan hal ehwal politik negara ini. Generasi yang celik sejarah akan dapat melihat bahawa kelemahan ini akan digunakan oleh pihak tertentu untuk menjajah negara ini semula kerana sejarah penjajahan di negara ini berlaku disebabkan setiap bangsa dan kaum negara ini yang tidak bersatu padu dan berpecah belah. Sejarah telah membuktikan sebelum kemerdekaan orang Melayu, Cina dan India hidup dalam kelompok mereka sendiri dan tidak bercampur di antara satu sama lain. Justeru itu, generasi baru yang bakal menjadi pemimpin negara perlu bijak menguruskan negara yang terdiri dari pelbagai kaum agar setiap bangsa memahami kedudukan dan peranan masing-masing.

d. Waspada Terhadap Kesan Globalisasi
Abad ini menyaksikan kepesatan arus globalisasi yang terpaksa dihadapi dan diharungi oleh semua negara di dunia tidak kira ia negara maju, membangun atau mundur. Apakah maksud globalisasi? Sehingga kini kebanyakan ahli akademik dan penyelidik masih belum menemui definisi yang jelas dan disepakati umum mengenai maksud globalisasi. Walaubagaimanapun maksud globalisasi boleh diringkaskan sebagai suatu proses pengantarabangsaan politik, ekonomi, budaya, ideologi, sosio-budaya dan sebenarnya banyak benda lagi boleh diglobalisasikan seperti knowledge, money, goods, services, human rights, institutions  dan sebagainya ( Prof. Datuk Osman Bakar, “Pengaruh Globalisasi Terhadap Peradaban”). Bagaimana pula dengan kesan globalisasi ke atas negara kita? Apa kaitan globalisasi dengan sejarah? Ini adalah persoalan yang baru dan kita perlu melihatnya dalam konteks yang lebih luas tetapi tidak lari dari skop negara Malaysia. Sebenarnya globalisasi jika tidak diuruskan dengan baik akan memberi kesan yang kurang baik kepada rakyat Malaysia. Mengapa dikatakan begitu? Ini kerana globalisasi yang membolehkan berlakunya pengantarabangsaan politik, ekonomi dan sosial tidak syak lagi akan memberi kesan kepada pemikiran dan perlakuan rakyat negara ini. Melalui globalisasi, masyarakat mudah didedahkan dengan apa yang berlaku di negara luar yang sememangnya asing dan tidak sama dengan apa yang berlaku di negara ini. Kita ambil saja contoh negara jiran yang sentiasa bergaduh mengenai persoalan etnik, dengan sekelip mata merebak ke negara ini dan mempengaruhi rakyat negara ini yang juga terdiri dari pelbagai etnik. Ini adalah tidak baik dari segi perpaduan dan boleh mengancam keamanan negara. Sebenarnya ada banyak lagi perkara yang globalisasi bawa dan telah mempengaruhi rakyat negara ini sama ada dari segi politik, ekonomi dan sosial tetapi apa yang ditakuti adalah dari segi pemikiran. Berbalik kepada persoalan sejarah dan globalisasi tadi, dengan adanya pengetahuan sejarah yang padu di kalangan rakyat Malaysia, ia akan berupaya mengelakkan rakyat negara ini daripada mudah terpengaruh dengan perkara negative kerana ia sedar akan siapa diri mereka, negara, agama dan bangsa mereka sendiri. Globalisasi akan memberikan ruang untuk rakyat negara ini berpaling semula kepada sejarah perkembangan negara mereka yang sarat dengan pengajaran dan sempadan.

e. Sejarah Membentuk Jatidiri

            Pengetahuan dan pendidikan sejarah akan membentuk generasi negara ini yang mempunyai jatidiri sebagai rakyat Malaysia yang taat kepada agama, bangsa dan negaranya. Sejarah sebenarnya berupaya membentuk jiwa dan pemikiran rakyat yang sayangkan negaranya, walau di mana ia berada dan ini sangat sesuai dengan negara Malaysia yang terdiri dari pelbagai agama dan bangsa. Harus disedari bahawa dewasa ini bukan mudah untuk mendidik jiwa terutamanya generasi muda untuk taat setia kepada negara disebabkan arus globalisasi yang melanda bila-bila masa sahaja mereka boleh berpaling tadah. Lihat sahajalah muda mudi pada hari ini yang begitu mudah terpengaruh dengan budaya asing dan mengagungkan budaya tersebut. Justeru itu dengan adanya pendidikan sejarah sebenarnya ia akan menanamkan sikap bangga akan diri yang menjadi rakyat negara ini yang mempunyai sejarahnya yang unik. Apa yang paling penting adalah sejarah membentuk individu yang rela berkorban mempertahankan negara, agama dan bangsanya daripada dirampas oleh bangsa asing.

No comments:

Post a Comment