Assalamualaikum dan Selamat Datang ke Blog Saya

Blog ini diadakan khas untuk penulis berkongsi idea, pendapat dan kepakaran untuk pembaca semua. Diharap blog ini bermanfaat kepada semua khususnya kepada pelajar dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang ingin mendapat info yang berkaitan.

Ingin berkongsi info? bole emailkan ke hasnah@ump.edu.my. Saya merasa bangga kerana dapat berkongsi ilmu yang Allah berikan kepada saya untuk dikongsi dengan orang lain. Saya cuma berharap mereka yang membacanya turut sama mendoakan agar saya sentiasa sihat dan tidak berhenti meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan.




Monday, 10 July 2017

UNIVERSITI PERLU BANGUNKAN KURIKULUM PENDIDIKAN MENYELURUH



Dewasa kini kita sering mendengar bermacam-macam kes atau gejala negatif yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita. Sedar atau tidak, generasi yang lahir pada masa kini tidak sama pemikirannya dengan generasi sebelum ini justeru itu, maka berlakulah pelbagai gejala yang tidak baik yang mana ianya tidak berlaku pada masa dahulu. Di manakah silapnya masyarakat kita hari ini? Ada beberapa isu yang timbul dalam masyarakat hari ini antaranya seperti remaja yang tidak ada arah tujuan hidup lalu mudah terjebak dengan gejala negatif sehingga memberi kesan kepada keamanan dan kemakmuran negara.

Secara amnya, masyarakat Malaysia sudah merasa kurang aman dengan wujudnya pecah rumah, rompakan, ugutan, ragut, pukau, pembunuhan, penipuan, rasuah, serta wujudnya individu yang mempunyai masalah mental. Masalah ini semakin bertambah tahun demi tahun dan apakah kita ingin terus melihat masyarakat negara ini hidup dalam ketakutan walhal negara kita sudah lama merdeka. Pada pendapat penulis, perkara ini ada kaitan dengan sistem pendidikan walaupun tidak seratus peratus betul. Apa yang penulis maksudkan melalui sistem pendidikan menyeluruh adalah perlunya sistem pendidikan itu mampu mendidik individu bukan sahaja dalam bidang kemahiran tertentu tetapi juga mampu mendidikan jiwa individu supaya mereka mampu menguruskan diri, agama, negara dan masyarakat mereka. Ini bertepatan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan negara yang menyatakan:
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.(Falsafah Pendidikan Kebangsaan)

Berdasarkan kepada petikan Dasar Pendidikan Kebangsaan tersebut, rasanya ia lebih sesuai jika semua elemen yang hendak dilahirkan nanti diterapkan terus dalam sistem pembelajaran dan pengajaran di peringkat universiti. Dalam hal ini, rasanya perlu diadakan sedikit perubahan pada kurikulum yang sedia ada iaitu dengan menyuntik atau menambahkan elemen pembangunan jiwa dan kemanusiaan tidak kira apa jurusan yang diikuti. Antara cadangan penulis adalah:

a) Elemen patriotisma
Secara amnya, apabila kita membangkitkan tentang isu patriotisma ada dalam kalangan kita yang terus menuding jari iaitu peranan pendidikan sejarah. Pandangan ini tidak tepat sama sekali memandangkan menguasai ilmu sejarah bukanlah satu-satunya kayu pengukur untuk menilai tahap patriotisma seseorang. Ada banyak elemen lain yang turut sama membantu bagi menilai tahap patriotisma masyarakat Malaysia seperti kesanggupan untuk berkhidmat, membantu, menolong orang yang memerlukan pertolongan, sanggup berkorban untuk membangunkan negara, taat setia kepada negara, tidak membongkarkan rahsia negara kepada musuh, membantu kerajaan mengharumkan dan menaikkan  nama negara di negara luar, mampu berbakti kepada negara, tidak bercerita buruk tentang negara, dan lain-lain lagi. Pemupukan semangat patriotisma adalah elemen sangat penting diterapkan dalam jiwa generasi pewaris negara memandangkan jika tidak ada elemen ini dalam jiwa rakyat Malaysia, negara akan kekurangan tenaga mahir kerana golongan yang tidak mempunyai nilai patriotisma akan mencari kerja di negara orang dan bukannya untuk berbakti kepada negara yang tercinta. Selain dari itu, ketiadaan semangat patriotisma juga dikhuatiri akan berlaku banyak penyelewengan dan penipuan yang boleh membawa kepada keruntuhan negara.

b) Elemen kemasyarakatan
Sebagaimana yang telah diketahui umum, negara Malaysia adalah negara yang bermasyarakat majmuk. Walaupun ada kalanya berlaku konflik tetapi negara ini masih stabil. Jika dilihat kepada suhu konflik perkauman di Malaysia pada hari ini, konflik kecil yang berlaku banyak berkaitan dengan isu politik tetapi perkara ini masih ada jalan penyelesaian. Apa yang menjadi masalah adalah kebanyakan generasi baru pada hari ini kurang mempunyai perasaan nilai-nilai murni hidup bermasyarakat. Pendedahan yang terlampau terhadap gajet-gajet menyebabkan mereka kurang berinteraksi dengan masyarakat sekeliling. Pada masa kini pihak kementerian telah mengambil langkah wajar di mana telah dijalankan kursus Hubungan Etnik bagi memperbaiki hubungan antara kaum di negara ini dan sekaligus dapat memberi penerangan kepada generasi muda akan kepentingan menjaga hubungan etnik yang harmonis bagi membentuk negara yang aman dan tenteram serta bebas konflik kaum. Walau bagaimanapun, masih terdapat banyak ruang untuk memperbaiki hubungan masyarakat di negara ini dan ianya tidak terhad kepada hubungan antara kaum sahaja. Ini memandangkan keadaan dunia yang semakin mencabar pada hari ini masyarakat semakin menjauh dan seakan sudah hilang rasa kemanusiaan dengan wujudnya pembunuhan kejam, ugut, ragut, pukau dan sebagainya. Ini menunjukkan sudah berlaku kerapuhan dalam kehidupan bermasyarakat. Kehidupan bermasyarakat mencerminkan perlunya ikatan antara satu sama lain kerana seseorang manusia itu tidak mampu untuk hidup sendirian. Tetapi apa yang nyata sekarang ini wujudnya perasaan pentingkan diri dan tidak lagi sayang kepada orang lain kerana mereka sanggup membakar, mendera, mencuri hak orang lain dan sebagainya. Justeru itu di sinilah terlihat betapa hubungan sesama manusia itu perlu diperkukuhkan kembali dengan memupuk semangat kekitaan dan saling memerlukan di antara satu sama lain.

c) Elemen keagamaan
Ilmu agama adalah sangat penting kepada setiap individu dan ini selari dengan prinsip Rukunegara yang pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan. Ini bermaksud sebagai rakyat negara Malaysia, perkara pertama yang perlu ada dalam diri mereka adalah agama. Ini memandangkan dengan adanya ilmu agama ia akan membimbing manusia ke arah kebaikan. Dalam hal ini, pendidikan keagamaan tidak boleh terhenti sehingga tahap sekolah sahaja ia perlu sentiasa dipupuk sehinggalah ke peringkat universiti. Pada tahap ini, pelajar perlu diterapkan dengan elemen keagamaan bagi memastikan mereka mampu menempuh segala cabaran dunia siber dan globalisasi yang mana ia boleh mengancam jiwa yang rapuh didikan agamanya. Dengan adanya pendidikan agama ini maka ia akan dapat membantu pelajar memahami siapa diri mereka dan apa tujuan mereka dilahirkan ke dunia ini. Agama juga akan menyedarkan individu itu agar tidak melakukan sesuatu yang dilarang agama, tidak mengambil barang yang bukan hak mereka, tidak boleh menipu, mencuri, membunuh dan sebagainya. Hidayah tidak akan datang dengan sendiri dan ia perlu dicari. Jadi dengan adanya elemen keagamaan ini ia akan membantu para pelajar sentiasa ingat akan agamanya dan dirinya. Dengan lain perkataan mereka tidak perlu mengembara jauh untuk mencari agama kerana mereka boleh mendapatinya di dalam kelas sehari-hari.Ilmu agama juga akan menjadi benteng kepada para pelajar dari terjebak dalam gejala negatif yang boleh merosakkan diri dan negara mereka secara keseluruhannya.

Pada pendapat penulis, tiga elemen ini sangat penting diterapkan dalam kurikulum peringkat universiti walaupun nampak macam kecil tetapi ia mampu memberikan impak yang besar kepada negara pada masa akan datang.

Artikel ini disediakan oleh
Dr Hasnah Hussiin
Pensyarah Kanan
Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang (UMP)

No comments:

Post a Comment