Dewasa kini kita sering
mendengar bermacam-macam kes atau gejala negatif yang berlaku dalam kalangan
masyarakat kita. Sedar atau tidak, generasi yang lahir pada masa kini tidak
sama pemikirannya dengan generasi sebelum ini justeru itu, maka berlakulah pelbagai
gejala yang tidak baik yang mana ianya tidak berlaku pada masa dahulu. Di
manakah silapnya masyarakat kita hari ini? Ada beberapa isu yang timbul dalam
masyarakat hari ini antaranya seperti remaja yang tidak ada arah tujuan hidup
lalu mudah terjebak dengan gejala negatif sehingga memberi kesan kepada
keamanan dan kemakmuran negara.
Secara amnya, masyarakat
Malaysia sudah merasa kurang aman dengan wujudnya pecah rumah, rompakan,
ugutan, ragut, pukau, pembunuhan, penipuan, rasuah, serta wujudnya individu
yang mempunyai masalah mental. Masalah ini semakin bertambah tahun demi tahun
dan apakah kita ingin terus melihat masyarakat negara ini hidup dalam ketakutan
walhal negara kita sudah lama merdeka. Pada pendapat penulis, perkara ini ada
kaitan dengan sistem pendidikan walaupun tidak seratus peratus betul. Apa yang
penulis maksudkan melalui sistem pendidikan menyeluruh adalah perlunya sistem
pendidikan itu mampu mendidik individu bukan sahaja dalam bidang kemahiran
tertentu tetapi juga mampu mendidikan jiwa individu supaya mereka mampu
menguruskan diri, agama, negara dan masyarakat mereka. Ini bertepatan dengan
Dasar Pendidikan Kebangsaan negara yang menyatakan:
Pendidikan di Malaysia adalah suatu
usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara
menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari
segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan
kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu
pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.(Falsafah Pendidikan
Kebangsaan)
Berdasarkan kepada
petikan Dasar Pendidikan Kebangsaan tersebut, rasanya ia lebih sesuai jika
semua elemen yang hendak dilahirkan nanti diterapkan terus dalam sistem
pembelajaran dan pengajaran di peringkat universiti. Dalam hal ini, rasanya
perlu diadakan sedikit perubahan pada kurikulum yang sedia ada iaitu dengan
menyuntik atau menambahkan elemen pembangunan jiwa dan kemanusiaan tidak kira
apa jurusan yang diikuti. Antara cadangan penulis adalah:
a)
Elemen patriotisma
Secara amnya, apabila
kita membangkitkan tentang isu patriotisma ada dalam kalangan kita yang terus
menuding jari iaitu peranan pendidikan sejarah. Pandangan ini tidak tepat sama
sekali memandangkan menguasai ilmu sejarah bukanlah satu-satunya kayu pengukur
untuk menilai tahap patriotisma seseorang. Ada banyak elemen lain yang turut
sama membantu bagi menilai tahap patriotisma masyarakat Malaysia seperti
kesanggupan untuk berkhidmat, membantu, menolong orang yang memerlukan
pertolongan, sanggup berkorban untuk membangunkan negara, taat setia kepada
negara, tidak membongkarkan rahsia negara kepada musuh, membantu kerajaan
mengharumkan dan menaikkan nama negara
di negara luar, mampu berbakti kepada negara, tidak bercerita buruk tentang
negara, dan lain-lain lagi. Pemupukan semangat patriotisma adalah elemen sangat
penting diterapkan dalam jiwa generasi pewaris negara memandangkan jika tidak
ada elemen ini dalam jiwa rakyat Malaysia, negara akan kekurangan tenaga mahir
kerana golongan yang tidak mempunyai nilai patriotisma akan mencari kerja di
negara orang dan bukannya untuk berbakti kepada negara yang tercinta. Selain
dari itu, ketiadaan semangat patriotisma juga dikhuatiri akan berlaku banyak
penyelewengan dan penipuan yang boleh membawa kepada keruntuhan negara.
b)
Elemen kemasyarakatan
Sebagaimana yang telah
diketahui umum, negara Malaysia adalah negara yang bermasyarakat majmuk.
Walaupun ada kalanya berlaku konflik tetapi negara ini masih stabil. Jika
dilihat kepada suhu konflik perkauman di Malaysia pada hari ini, konflik kecil
yang berlaku banyak berkaitan dengan isu politik tetapi perkara ini masih ada
jalan penyelesaian. Apa yang menjadi masalah adalah kebanyakan generasi baru
pada hari ini kurang mempunyai perasaan nilai-nilai murni hidup bermasyarakat.
Pendedahan yang terlampau terhadap gajet-gajet menyebabkan mereka kurang
berinteraksi dengan masyarakat sekeliling. Pada masa kini pihak kementerian
telah mengambil langkah wajar di mana telah dijalankan kursus Hubungan Etnik
bagi memperbaiki hubungan antara kaum di negara ini dan sekaligus dapat memberi
penerangan kepada generasi muda akan kepentingan menjaga hubungan etnik yang
harmonis bagi membentuk negara yang aman dan tenteram serta bebas konflik kaum.
Walau bagaimanapun, masih terdapat banyak ruang untuk memperbaiki hubungan masyarakat
di negara ini dan ianya tidak terhad kepada hubungan antara kaum sahaja. Ini
memandangkan keadaan dunia yang semakin mencabar pada hari ini masyarakat
semakin menjauh dan seakan sudah hilang rasa kemanusiaan dengan wujudnya
pembunuhan kejam, ugut, ragut, pukau dan sebagainya. Ini menunjukkan sudah
berlaku kerapuhan dalam kehidupan bermasyarakat. Kehidupan bermasyarakat
mencerminkan perlunya ikatan antara satu sama lain kerana seseorang manusia itu
tidak mampu untuk hidup sendirian. Tetapi apa yang nyata sekarang ini wujudnya
perasaan pentingkan diri dan tidak lagi sayang kepada orang lain kerana mereka
sanggup membakar, mendera, mencuri hak orang lain dan sebagainya. Justeru itu
di sinilah terlihat betapa hubungan sesama manusia itu perlu diperkukuhkan
kembali dengan memupuk semangat kekitaan dan saling memerlukan di antara satu
sama lain.
c)
Elemen keagamaan
Ilmu agama adalah sangat
penting kepada setiap individu dan ini selari dengan prinsip Rukunegara yang
pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan. Ini bermaksud sebagai rakyat negara
Malaysia, perkara pertama yang perlu ada dalam diri mereka adalah agama. Ini memandangkan
dengan adanya ilmu agama ia akan membimbing manusia ke arah kebaikan. Dalam hal
ini, pendidikan keagamaan tidak boleh terhenti sehingga tahap sekolah sahaja ia
perlu sentiasa dipupuk sehinggalah ke peringkat universiti. Pada tahap ini,
pelajar perlu diterapkan dengan elemen keagamaan bagi memastikan mereka mampu
menempuh segala cabaran dunia siber dan globalisasi yang mana ia boleh
mengancam jiwa yang rapuh didikan agamanya. Dengan adanya pendidikan agama ini
maka ia akan dapat membantu pelajar memahami siapa diri mereka dan apa tujuan
mereka dilahirkan ke dunia ini. Agama juga akan menyedarkan individu itu agar
tidak melakukan sesuatu yang dilarang agama, tidak mengambil barang yang bukan
hak mereka, tidak boleh menipu, mencuri, membunuh dan sebagainya. Hidayah tidak
akan datang dengan sendiri dan ia perlu dicari. Jadi dengan adanya elemen
keagamaan ini ia akan membantu para pelajar sentiasa ingat akan agamanya dan
dirinya. Dengan lain perkataan mereka tidak perlu mengembara jauh untuk mencari
agama kerana mereka boleh mendapatinya di dalam kelas sehari-hari.Ilmu agama
juga akan menjadi benteng kepada para pelajar dari terjebak dalam gejala
negatif yang boleh merosakkan diri dan negara mereka secara keseluruhannya.
Pada pendapat penulis,
tiga elemen ini sangat penting diterapkan dalam kurikulum peringkat universiti
walaupun nampak macam kecil tetapi ia mampu memberikan impak yang besar kepada
negara pada masa akan datang.
Artikel ini disediakan oleh
Dr
Hasnah Hussiin
Pensyarah
Kanan
Pusat
Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan
Universiti
Malaysia Pahang (UMP)
No comments:
Post a Comment