MEMAHAMI HIKMAH DISEBALIK MUSIBAH BANJIR
Dr Hasnah Hussiin
Saban tahun musim tengkujuh akan
melanda negeri-negeri di Pantai Timur. Negeri-negeri seperti Kelantan,
Terengganu dan Pahang sudah sedia maklum banjir merupakan fenomena biasa yang
berlaku setiap hujung tahun antara bulan November dan December. Jika musim
berubah, negeri-negeri Pantai Barat juga turut mendapat tempias banjir. Tidak
kira banjir besar atau kecil ia tetap meninggalkan kesan dan juga hikmah yang
manusia tidak ketahui. Fenomena banjir besar di Kuantan baru-baru ini telah
mengejutkan seluruh negara kerana ia merupakan banjir terburuk pernah berlaku
selain banjir tahun 2001. Tidak pernah bandar Kuantan berubah menjadi seperti
lautan. Tidak pernah juga mangsa banjir tinggal di jambatan bagi mengelakkan
air pasang luar biasa.
Mungkin bagi sesetengah orang, banjir
itu tak lebih dari fenomena air banyak, orang terpaksa berpindah, harta benda
musnah, sistem perhubungan terputus, kekurangan bekalan makanan dan sebagainya.
Tetapi, jika difikirkan sejenak, kenapa berlakunya banjir sehinggakan ada orang
hilang tempat tinggal, harta benda musnah sehingga mereka sehelai sepinggang?
Apakah semua ini? Sudah tentu ada hikmah yang kita sendiri tidak perasan
apabila berlakunya musibah secara besar-besaran. Pada kacamata penulis,
terdapat beberapa hikmah disebalik bah besar yang berlaku di Kuantan baru-baru
ini. Antaranya ialah pentingnya silaturrahim, persahabatan, persaudaraan dan
kerjasama yang selama ini masyarakat telah mengabaikannnya disebabkan dek
kesibukan masyarakat masa kini dengan kerja-kerja duniawi bagi mengumpul harta
dan kebendaan. Masyarakat masa kini sudah pudar semangat kejiranan dan
persaudaraan. Ada antara kita yang tidak ambil pusing siapa jiran mereka dan
apa yang jiran mereka buat. Masyarakat kini sudah rasa janggal untuk bertanya
khabar orang sekeliling yang satu taman dengan mereka. Mereka kini merasa malu
untuk bertegur sapa melainkan kawan yang mereka kenal sahaja. Masyarakat kini
kebanyakannya hidup dalam dunia mereka sahaja dan tidak mengambil tahu tentang
masyarakat kejiranan mereka. Masyarakat kini berlumba-lumba untuk membina
tembok rumah sama ada tinggi atau rendah. Ini sudah cukup membuktikan
masyarakat kita suka hidup terasing dan mahukan privacy yang melampau. Ini
kerana ada yang membina tembok rumah beberapa meter sehingga tidak nampak orang
di sebelah rumah. Tetapi, dengan berlakunya musibah banjir ini, kita mula
melihat semua orang di kawasan kejiranan yang sama bersama-sama menolong
mengangkat barang, membawa ahli keluarga ke pusat pemindahan dan bersama
membaiki kerosakan di kawasan perumahan. Tidakkah ini menunjukkan pentingnya
nilai persaudaraan dalam kehidupan kita hari ini. Jadi inilah hikmah yang Allah
nak tunjukkan agar masyarakat masa kini jangan terlalu tidak mengambil tahu
perihal saudara kita yang lain disebabkan kesibukan kita mengenai hal-hal
keduniaan.
Hikmah seterusnya adalah mungkin
Allah mahu menguji hambanya yang selama ini hidup senang lenang, bermewah-mewahan
dengan harta yang dimiliki. Mereka tidak pernah diuji dengan kesusahan,
kelaparan, kesejukan. Justeru itu, dapat dilihat dipusat-pusat pemindahan
banjir, mangsa banjir melalui kehidupan yang tidak selesa iaitu terpaksa tidur
berhimpit-himpit, kekurangan selimut, bantal, tikar. Masa ini tiada lagi tilam
empuk yang menyenyakkan tidur manusia. Hanya kebisingan, tidak dapat melelapkan
mata, kesejukan dan kelaparan.
Seterusnya, pada pendapat penulis
dapat dilihat banjir kali ini telah memusnahkan banyak harta benda masyarakat.
Ada yang cuma tinggal rumah, segala keperluan rumah rosak binasa. Daripada sini
boleh ditelaah bahawa mungkin Allah hendak membersihkan harta benda manusia.
Ini kerana masyarakat hari ini mungkin tidak sedar ada antara harta mereka itu
datangnya dari sumber yang tidak baik. Justeru itu, Allah menurunkan bala bagi
membersihkan segala kekotoran yang ada pada harta benda masyarakat tersebut.
No comments:
Post a Comment