Assalamualaikum dan Selamat Datang ke Blog Saya

Blog ini diadakan khas untuk penulis berkongsi idea, pendapat dan kepakaran untuk pembaca semua. Diharap blog ini bermanfaat kepada semua khususnya kepada pelajar dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang ingin mendapat info yang berkaitan.

Ingin berkongsi info? bole emailkan ke hasnah@ump.edu.my. Saya merasa bangga kerana dapat berkongsi ilmu yang Allah berikan kepada saya untuk dikongsi dengan orang lain. Saya cuma berharap mereka yang membacanya turut sama mendoakan agar saya sentiasa sihat dan tidak berhenti meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan.




Sunday, 18 October 2015

FAHAMI HIKMAH DISEBALIK KEGAGALAN









Dewasa ini kita sering mendengar berita tentang kejadian bunuh diri, amuk, kemurungan dan tidak kurang juga masalah mental. Kebanyakan kes sebegini dikaitkan dengan masalah iaitu kegagalan dalam hidup. Terdapat banyak jenis kegagalan antaranya seperti kegagalan rumahtangga, kegagalan dalam peperiksaan, kegagalan dalam percintaan, kegagalan dalam perniagaan, kegagalan dalam mendapatkan tender dan projek, kegagalan dalam mendapatkan apa yang diimpikan, apa yang dicita-citakan dan sebagainya. Secara amnya, setiap manusia akan diuji dengan kegagalan dalam hidupnya dan ia merupakan sebahagian dari asam garam hidup kita di dunia ini. Tahukah anda kegagalan itu suatu yang penting dalam hidup manusia dan tidak semestinya kejayaan sahaja yang perlu dikecapi dan dinikmati. Dalam hal ini kegagalan dalam hidup kita juga perlu dirai sepertimana kita mendapat kejayaan dalam hidup. Di sini penulis ingin mengajak para pembaca semua agar menerima kegagalan yang hadir dalam hidup kita sebagai sesuatu yang positif untuk kita menjadi lebih maju dan lebih baik dari sebelum ini.

Kegagalan dalam rumahtangga. Masalah kegagalan rumahtangga sering kali kita dengar terhadap pasangan-pasangan yang baru mendirikan rumahtangga mahupun yang sudah berpuluh tahun hidup bersama. Sememangnya ia akan memberi kesan yang mendalam khususnya kepada pasangan yang telah lama berkahwin dan dikurniakan cahayamata. Walau pun perceraian tidak digalakkan dalam Islam, namun jika tiada jalan keluar untuk menyelesaikan masalah, maka perceraian adalah diharuskan. Ada pasangan yang hilang pertimbangan dan menjadi murung ekoran kekecewaan disebabkan keruntuhan rumahtangga yang dibina sekian lama. Ada juga kes di mana anak-anak menjadi mangsa kekecewaan ibu bapa mereka. Kepada pasangan yang gagal dalam perkahwinan, seeloknya mereka muhasabah diri masing-masing dan selebihnya perlu diserahkan kepada Allah s.w.t. Perpisahan itu mungkin ada rahmat yang mana manusia tidak tahu tetapi ia tetap memberikan kebaikan kepada isteri atau suami. Mungkin perpisahan itu perlu untuk mendidik jiwa pasangan tersebut bahawa antara mereka tidak ada persefahaman yang mana jika dibiarkan akan memberikan kesan yang lebih parah lagi kepada rumahtangga tersebut atau mungkin juga mereka akan lebih banyak menanggung dosa akibat perbuatan mereka yang tidak sehaluan.

Kegagalan dalam peperiksaan. Semua lapisan masyarakat Malaysia yang berpendidikan sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah atau universiti pastinya akan menempuh peperiksaan bagi menguji sejauhmanakah pencapaian seseorang individu itu dalam pembelajaran. Jika di peringkat rendah  ada beberapa penilaian antaranya UPSR, PMR, dan juga penilaian peringkat pengajian tinggi. Kegagalan dalam peperiksaan adalah lumrah bagi orang yang menuntut ilmu. Seseorang yang gagal dalam peperiksaan seharusnya menanamkan sikap tidak jemu mencuba. Gagal sekali tidak bererti gagal selama-lamanya. Mungkin hikmah hasil kegagalan itu pada peperiksaan kali kedua nanti anda akan mendapat keputusan lagi cemerlang daripada sebelumnya. Jadi janganlah gagal sekali para pelajar terus murung dan tidak mahu berusaha untuk kali kedua pula.

Kegagalan dalam percintaan. Kegagalan dalam percintaan biasanya banyak berlaku dalam kalangan muda mudi. Paling teruk hasil kegagalan dalam percintaan ini sampai ada yang sanggup membunuh diri. Kejadian ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia adalah dilaknat oleh Allah. Orang Islam sepatutnya tahu akan perkara ini. Bagi muda mudi yang gagal dalam percintaan, janganlah mengambil jalan singkat dengan membunuh diri, memencilkan diri, murung dan melakukan sesuatu di luar batasan seperti meminum arak, menghadiri parti liar dan sebagainya. Anda harus sedar kegagalan ini bermakna anda akan bertemu dengan seseorang yang lebih baik daripada yang anda jumpa sekarang. Jadi janganlah disebabkan kegagalan itu anda memusnahkan diri anda sendiri sedangkan pasangan anda itu berseronok dan bergembira dengan insan lain.

Kegagalan dalam perniagaan. Perkara ini biasa sangat didengar kerana jika seseorang yang terlibat dalam perniagaan, mereka perlu bersedia untuk menghadapi kegagalan. Ini kerana setiap perniagaan akan menghadapi situasi turun dan naik setiap masa. Adakalanya jatuh tersungkur buat beberapa ketika. Tetapi ada juga yang mengambil mudah dengan terus kecewa dan kecewa disebabkan perniagaan yang diusahakan itu tidak berjaya. Dalam bidang perniagaan, jika seandainya seseorang itu gagal meneruskan perniagaan, bermakna mereka perlu mengulangkaji semula mengapa perniagaan mereka tidak berjaya dan tentunya akan ada jawapannya. Jadi kegagalan itu wujud sebenarnya bagi memberikan peluang kepada seseorang peniaga itu mengkaji semula selok belok perniagaannya agar kedudukan perniagaan lebih mantap dan teguh pada masa akan datang.

Kegagalan dalam mencapai cita-cita. Ini biasa berlaku pada semua manusia kerana tidak semua orang mendapat apa yang dicita-citakannya. Semua orang ada cita-cita yang tersendiri untuk menjamin masa depan mereka. Bercita-cita tinggi merupakan satu nilai murni memandangkan apabila seseorang itu mempunyai cita-cita maka dia tahu bagaimana untuk berusaha bagi mencapai cita-cita tersebut. Melainkan orang yang tidak ada cita-cita maka mereka tidak akan ada arah tuju ekoran tidak tahu apa yang diinginkannya pada masa akan datang. Kepada mereka yang gagal mencapai cita-cita yang diharapkan sebenarnya ada hikmah disebaliknya. Mungkin sebab cita-cita itu sukar untuk seseorang itu bawa, tidak sesuai dengan jiwa dan kebolehan fizikal atau pun Allah mahu memberikan jawatan yang lebih baik atau lebih tinggi kepada seseorang itu. Pengalaman penulis sendiri, penulis pada awalnya sangat bercita-cita untuk menjadi seorang guru dengan memohon untuk menyambung pengajian ke peringkat diploma pendidikan, tetapi gagal. Tetapi apa yang penulis dapat adalah menyambung pengajian di peringkat degree dan sarjana dan akhirnya penulis menjadi tenaga pengajar di universiti awam. Jadi di sini, dapat dilihat Allah telah mengaturkan sesuatu yang lebih baik untuk seseorang itu.

Kesimpulannya, setiap manusia pasti akan diuji dengan kegagalan dalam hidupnya cuma yang membezakannya adalah kecil atau besar sesebuah kegagalan itu. Jadi, sebagai manusia kita kena redha dan bersyukur kerana kegagalan yang dihadapi itu adalah ujian sementara bagi menaikkan lagi martabat kita sebagai seorang manusia untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia, 29 Julai 2015.

No comments:

Post a Comment