Perumpamaan “rakyat dan pemerintah berpisah tiada”
merupakan satu kata keramat yang menggambarkan keakraban hubungan golongan yang
memerintah dengan golongan yang diperintah pada suatu masa dahulu. Asas utama yang mendasari pemerintahan negara bangsa antara rakyat dan
Raja atau pemerintah zaman dahulu terlahir berdasarkan kepatuhan kepada
wadah (perjanjian) yang termeterai antara Seri Teri Buana dengan Demang Lebar
Daun. Dalam hal ini,
Demang Lebar Daun mewakili rakyat jelata manakala Seri Teri Buana mewakili
Raja/pemerintah. Antara isi perjanjian tersebut adalah:
Titah baginda Seri Teri Buana,
“Barang siapa hamba Melayu
derhaka mengubah perjanjiannya, dibalikkan Allah bumbungan rumahnya ke bawah
kaki ke atas”.
Sembah Demang Lebar Daun,
“Jikalau Raja Melayu itu
mengubahkan perjanjian dengan hamba Melayu, dibinasakan Allah negerinya dan
takhta kerajaannya”.
(Sejarah
Melayu)
Melalui
perjanjian ini, kedua-dua pihak iaitu rakyat dan Raja berjanji akan sentiasa menjaga
kedudukan masing-masing serta tidak menganiaya atau memalukan antara satu sama
lain dan jika sesuatu pihak mengkhianati perjanjian ini, maka setiap pihak akan
menerima balasan daripada Allah s.w.t.
Bermula
daripada perjanjian tersebut, dapat dilihat ianya telah memberikan kejayaan
kepada negeri Melayu. Antaranya peristiwa semasa Raja Suran hendak menyerang
negeri China. Apabila mendengarkan raja hendak menyerang negeri China, maka
seluruh rakyat jelata bersatu untuk
menolong raja mereka menentang negara China. Sebagaimana yang diceritakan dalam
Sejarah Melayu, seluruh lapisan rakyat jelata datang untuk mempertahankan negara
tidak kira yang sempurna, cacat, berpenyakit, tinggi, rendah dan sebagainya. Ini
menunjukkan bahawa masyarakat Melayu pada waktu itu tidak kira tua muda bahkan
seluruh rakyat jelata datang untuk membantu raja mereka menentang negara China. Kesungguhan mereka ini bolehlah
dijelaskan sebagai kesedaran bahawa demi untuk kepentingan negara, semua rakyat
perlu bersatu padu dan berkorban apa saja walaupun mereka serba kekurangan.
Kegemilangan
pemerintahan Melaka pada abad ke-15 bukan kerana pemerintahnya tetapi kerana
adanya perpaduan antara pemerintah dan rakyat serta peranan pembesar Melaka
yang sentiasa mengadakan musyawarah bersama dari semasa ke semasa mengenai
perjalanan sistem pemerintahan negara. Kegemilangan kerajaan Melayu Melaka
banyak bergantung kepada kerjasama antara raja, pembesar dan rakyat jelata. Ini
ditegaskan oleh Tun Sri Lanang (pengarang Sejarah Melayu) di mana tiga unsur
yang mendasari penubuhan kerajaan Melayu Melaka ialah Raja/Sultan, para
pembesar dan rakyat. Secara kasarnya, walaupun tiga unsur tadi telah mendasari
kegemilangan tamadun Melayu Melaka, tetapi kita
tidak boleh menafikan kehadiran
kerja sama, saling sokong – menyokong sama ada secara langsung atau tidak
langsung di antara ketiga-tiga pihak di atas. Pernah suatu masa diceritakan peranan
seorang pembesar Melaka iaitu Seri Maharaja pada waktu itu yang sangat mengambil
berat tentang keamanan negara di mana beliau sendiri telah keluar menyamar pada
waktu malam untuk menangkap pencuri. Hasil penyamaran beliau, menyebabkan negeri
Melaka bebas dari masalah kecurian. Ini
sepatutnya dijadikan contoh kepada generasi masa kini di mana seorang pembesar
Melayu yang sanggup turun padang melakukan perkara yang dianggap di luar dari
tugas beliau, tetapi sanggup bergadai nyawa untuk kepentingan rakyat jelata.
Keutuhan
konsep kerjasama dalam kegemilangan kerajaan Melayu Melaka tergugat apabila
Portugis menyerang Melaka pada 1511. Kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka ke tangan
Portugis bukan disebabkan faktor luaran semata-mata, malahan faktor dalaman
juga perlu diambil kira. Masalah dalaman yang paling ketara selain
ketidakjujuran dan penderhakaan rakyat Melaka sendiri, ialah kelunturan
semangat kerjasama di kalangan rakyat Melaka yang selama ini begitu patuh dalam
kerja berpasukan, bersatu padu dan tolong menolong. Pada masa ini dapat dilihat
hubungan antara rakyat dan pemerintah telah terputus sama sekali. Pada waktu
ini juga dapat dilihat tiga unsur yang mendasari kerjasama masyarakat Melayu
iaitu raja, pembesar dan rakyat tidak lagi diamalkan. Masing-masing membawa
haluan mereka sendiri. Pengajaran yang
boleh dikutip hasil dari serangan Portugis ke atas Melaka ini ialah tanpa
kerjasama yang erat, negara boleh musnah dalam sekelip mata. Ini kerana
kekuatan negara bangsa adalah hasil perpaduan antara pemerintah, pembesar dan
rakyat.
Apabila membincangkan tentang penjajahan, perkara
yang selalu digembar gemburkan oleh banyak pihak ialah mengenai faktor
penjajahan serta kesan penjajahan ke atas sesebuah negara. Tidak ramai yang
berfikir kenapa Tanah Melayu yang pada asalnya kuat perkasa dan digeruni musuh
dengan mudah ditawan dan dijajah oleh kuasa luar. Pada masa ini kawan yang
dulunya menjadi rakan dagang telah bertukar menjadi harimau yang membahang
mangsanya. Kenapa? Tidakkah kita terfikir apakah rahsia disebalik penjajahan
kuasa asing (Portugis, Belanda, British dan Jepun) ke atas Tanah Melayu? Dalam
hal ini kita perlu melihat bagaimanakah keadaan atau apa yang sedang berlaku di
Tanah Melayu sebelum kedatangan kuasa penjajah tersebut. Dari peringkat awal
lagi sejak jatuhnya kerajaan Melaka ke tangan Portugis adalah kerana rakyatnya
tidak bersatu padu dengan kata lain tiada lagi perpaduan antara pemerintah dan
rakyat. Keadaan ini berkesinambungan sehinggalah semasa British mula nak
mengintai menjejakkan kaki ke bumi Melayu pada awal abad ke 18. Pada abad ke-18
sehinggalah ke awal abad ke 19, masyarakat Melayu di bumi Melayu ini asyik
bertelagah sehingga melupakan semangat perpaduan dan kerjasama yang menjadi
pegangan dan budaya orang Melayu sebelum ini. Contohnya seperti di Selangor, Perak,
dan Pahang, para pembesar bertelagah sesama sendiri merebut kawasan lombong. Penentangan terhadap sistem
Residen di negeri Tanah Melayu juga hanya dimainkan oleh para pembesar sahaja
dan beberapa orang rakyat jelata. Dengan lain perkataan, hanya orang-orang
tertentu yang sedar akan campurtangan asing sahaja yang bangun berjuang.
Semangat kerjasama antara negeri-negeri Melayu semakin sukar diamalkan apabila
pihak British mula membahagikan negeri-negeri Melayu ini kepada 3 unit yang
terpisah iaitu Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak
Bersekutu dan Negeri-negeri Selat. Pemisahan ini sebenarnya lebih menyenangkan
British untuk menjajah Tanah Melayu.
Antara pengajaran yang dapat diambil daripada
sejarah kebangkitan dan kejatuhan kerajaan Melayu zaman dahulu adalah
disebabkan runtuhnya ikatan antara pemerintah dan rakyat. Pemerintah dan rakyat
telah tidak bekerjasama dalam pentadbiran negara menyebabkan kerajaan Melayu
pada masa itu dengan mudah diganggu gugat oleh musuh negara. Hasilnya negara ini telah terjajah selama
beberapa ratus tahun. Tidak mustahil sejarah lama akan berulang semula jika
sesuatu masyarakat itu tidak menjadikan sejarah lampau sebagai panduan untuk
mentadbir dan menguruskan negara pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment