Baru-baru ini kita
mendengar berita dari orang Sarawak iaitu Bandaraya Kuching diisytiharkan
sebagai Bandaraya Perpaduan. Sebagai rakyat semenanjung, saya merasa terpanggil
dengan isu ini apatah lagi dari aspek sejarah, Semenanjung Malaysia merupakan
tempat asal wujudnya masyarakat majmuk di Malaysia. Di sinilah masyarakat
majmuk bermula. Di sinilah pemerintahnya melancarkan pelbagai program dan dasar
untuk perpaduan rakyat negara ini dari sejak sebelum merdeka sehingga kini.
Walau bagaimanapun, isu perkauman sentiasa wujud walaupun ia tidak serius. Kini
setelah berpuluh tahun pihak kerajaan menangani isu perpaduan, negeri Sarawak
telah “mengangkat tangan” menandakan mereka telah berjaya dan berbangga kerana
mereka telah menjadi contoh kepada perdamaian dan perpaduan kaum di negara ini.
Sejarah telah
mentakdirkan negara ini sebagai sebuah negara bermasyarakat majmuk yang terdiri
daripada pelbagai etnik, bangsa, agama, kepercayaan, budaya dan adat. Lipatan
sejarah telah menceritakan bagaimana wujudnya masyarakat majmuk di negara ini.
Ianya bermula dengan kedatangan bangsa asing ke Tanah Melayu seawal abad ke-13.
Zaman Kesultanan Melayu Melaka, memperlihatkan begitu banyak pedagang asing
yang berdagang dengan negeri Melaka seperti pedagang dari India, China, Jepun,
Arab, Acheh, Kemboja, Thailand dan banyak lagi. Perlu dinyatakan di sini bahawa
kedatangan bangsa asing pada masa ini adalah lebih bertumpu kepada perdagangan
tetapi tidak dinafikan ada antara pedagang ini yang berkahwin dengan penduduk
tempatan. Sejarah kedatangan orang Cina dan India secara besar-besaran untuk
bekerja di Tanah Melayu hanya berlaku setelah penjajahan British. Keamanan dan
kedamaian mencari rezeki di sini telah menarik perhatian orang Cina dan India
untuk terus menetap di Tanah Melayu. Hasil tolak ansur dengan orang Melayu,
akhirnya mereka diterima menjadi warganegara Tanah Melayu pada waktu itu dengan
syarat-syarat tertentu. Dari sinilah mula wujudnya masyarakat majmuk yang
terdiri dari orang Melayu sebagai kaum majoriti dan orang Cina dan India
sebagai kaum minoriti.
Masyarakat majmuk telah
mewarnai siapa negara Malaysia sekarang ini. Sememangnya jika bercerita tentang
negara Malaysia, sudah pastinya pengenalan tentang Malaysia akan dimulakan
dengan Malaysia terdiri dari pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina, India, Sikh dan
golongan minoriti di Sabah dan Sarawak
seperti Iban, Bidayuh, Melanau, Dusun dan lain-lain lagi. Dalam hal ini,
mengapa Malaysia tidak meraikan kepelbagaian ini dengan mengadakan sambutan
khas sebagaimana kita menyambut Hari Kemerdekaan, Hari Malaysia, Hari Ibu, Hari
Bapa, serta beberapa sambutan khas yang lain. Sambutan Hari Etnik juga
memerlukan cuti khas seperti cuti peristiwa yang lain bagi memberikan
penghormatan kepada sambutan ini. Mengapa selama ini kita terlupa untuk
memperingati sejarah wujudnya kepelbagaian yang telah mencorakkan negara
Malaysia pada hari ini?
Meraikan Hari Etnik
Malaysia akan memberi ruang kepada generasi baru hari ini mengetahui tentang sejarah
kewujudan kepelbagaian etnik dan masyarakat di Malaysia. Ini secara tidak
langsung akan menyedarkan etnik masing-masing akan asal usul diri mereka,
keluarga mereka dan negara mereka. Kesedaran tentang asal usul diri dan bangsa
adalah sangat penting agar setiap etnik menghargai kedudukan dan nikmat yang
didapati hasil menjadi penduduk negara ini. Apabila sesuatu etnik itu
mengetahui asal usul mereka maka tidak akan timbul sikap tidak puas hati serta
mempersoalkan kedudukan pihak-pihak yang lain.
Meraikan Hari Etnik
Malaysia juga akan memberikan gambaran kepada masyarakat di negara lain akan
keunikan negara Malaysia. Ia juga secara tidak langsung akan menjadi “trademark” kepada negara Malaysia yang
sememangnya sudah dikenali di mata dunia sebagai negara yang bermasyarakat
majmuk. Malahan sambutan sebegini juga boleh dijadikan sebagai acara tahunan
yang akan menarik pelancong asing ke negara ini.
Sambutan Hari Etnik
juga berperanan memberi ruang kepada rakyat Malaysia untuk menghargai keamanan
dan perpaduan kaum yang dikecapi kini. Perlu disedari bahawa keamanan,
kedamaian, kemakmuran negara yang dinikmati oleh semua kaum di negara ini
adalah hasil kerjasama semua kaum tidak kira bangsa atau agama. Negara ini
tidak boleh maju hanya dengan sumbangan satu kaum sahaja. Sejak sebelum merdeka
sehingga kini Malaysia membangun hasil tangan-tangan pelbagai bangsa yang ada
di sini. Walau pun ada yang terlebih atau terkurang, perlu diterima seadanya
kerana bukan mudah untuk menyamakan penglibatan semua kaum dalam pelbagai aspek
kehidupan disebabkan perbezaan budaya, kepercayaan serta pemikiran.
Sambutan Hari Etnik
akan menjadi agenda besar negara kerana pembentukan masyarakat majmuk merupakan
salah satu episod penting dalam sejarah negara ini. Jika diteliti dalam sejarah
negara, antara episod sejarah negara
Malaysia adalah tentang zaman pra sejarah, zaman Kedatangan Islam ke Alam
Melayu, Kesultanan Melayu, penjajahan Portugis, Belanda, British dan Jepun,
Pembentukan Masyarakat Majmuk, Kemerdekaan, Penubuhan Malaysia dan banyak lagi.
Jadi meraikan sambutan hari etnik merupakan satu langkah yang sangat baik
kerana ia merupakan sejarah penting dalam pembentukan negara bangsa Malaysia.
Ia juga menunjukkan apa yang dipelajari dalam sejarah negara itu tetap relevan
sehingga kini.
Sambutan hari etnik
merupakan wadah untuk kerajaan menghargai etnik-etnik di Malaysia. Sambutan
Hari Etnik adalah perlu bagi menunjukkan keprihatinan kerajaan serta
penghargaan kerajaan terhadap kepelbagaian etnik di negara ini. Ini
memandangkan corak pemerintahan negara ini juga adalah tercorak hasil
sokongan padu pelbagai etnik. Merekalah yang menjadi penyokong kepada
segala dasar-dasar kerajaan yang berkaitan. Jadi sudah tiba masanya, pihak
kerajaan negara ini meneliti semula agar kepelbagaian kaum yang ada di negara
ini diraikan pada hari yang khas bagi memperingati segala jasa setiap kaum yang
telah mewarnai negara bangsa Malaysia dari pelbagai aspek kehidupan pada hari
ini.
No comments:
Post a Comment