Fenomena Di Alaf Baru
Sedar atau tidak sedar,
kita kini berada dalam dunia siber dan dunia tanpa sempadan. Inilah yang
dikatakan zaman globalisasi di mana teknologi maklumat menjadi agen utama perubahan
gaya hidup manusia. Perkembangan teknologi menyebabkan sesuatu maklumat berada
di hujung jari, tersebar dalam masa yang singkat, mempercepatkan sistem
penyampaian maklumat, serta pergerakan manusia menjadi pantas. Globalisasi
menyebabkan negara menjadi tumpuan utama
pelabur asing lantas memperkembangkan ekonomi negara ini. Akibat globalisasi
juga Malaysia menjadi antara destinasi pilihan pelancong seluruh dunia.
Malaysia bukan sahaja menjalin hubungan perdagangan, malahan jalinan hubungan
diplomatik dengan negara luar telah menjadikan Malaysia antara negara yang
disegani oleh kawan dan lawan.
Apa yang perlu diberi
perhatian adalah ancaman negatif globalisasi terhadap gaya hidup masyarakat di
negara ini. Jika gejala negatif ini tidak dibendung ia akan memberi kesan
kepada generasi pelapis negara, keselamatan negara, pembentukan negara bangsa
serta kemakmuran negara pada masa hadapan. Jatuh bangun sesebuah negara sangat
bergantung kepada rakyat dan modal insan yang dimilikinya. Negara memerlukan
modal insan yang kreatif, inovatif, bermaklumat, berintegriti, patriotisma,
kuat jati dirinya serta mampu menangkis ancaman luar sama ada berbentuk fizikal
atau mental. Tetapi, akibat ledakan teknologi maklumat yang tidak terbatas
serta kemabukan terhadap gajet-gajet terkini menjadikan masyarakat negara ini
semakin lalai dan lupa akan tugas dan tanggungjawab mereka.
Ancaman gajet seperti telefon pintar, tablet atau
Ipad kepada kehidupan masyarakat masa kini sangat membimbangkan. Masyarakat
seakan menjadi hamba kepada gajet-gajet tersebut. Ia telah mewujudkan satu
fenomena baru dalam kehidupan masyarakat iaitu ketidakpedulian masyarakat
terhadap alam sekeliling. Ketaksuban melampau individu terhadap gajet-gajet
tersebut menyebabkan mereka tidak peduli
algi akan apa yang berlaku di sekeliling mereka. Jika kita semua perasan di
mana-mana sahaja sekarang ini sama ada tempat menunggu bas, ruang menunggu di
lapangan terbang, kedai makan, restoran, dalam bas, dalam komuter, semasa
memandu dan lain-lain ruang awam, manusia tidak lagi berbual-bual sesama
sendiri, malahan fenomena masing-masing dengan gajet masing-masing sudah tidak asing lagi pada zaman ini. Di meja
makan di sebuah restoran, anda akan lihat satu keluarga masing-masing sibuk
melayani gajet. Suami isteri tidak bertegur sapa, mereka sibuk mengemaskini
status di facebook, dan twitter masing-masing. Anak-anak pula sibuk mencuba
permainan atas talian. Apabila masing-masing leka, maka akan tiadalah
komunikasi antara keluarga. Perkara ini perlulah menjadi kebimbangan semua
pihak kerana ia boleh menjadi “barah” kepada kerukunan sesebuah rumahtangga. Ia
secara tidak sedar boleh membunuh ikatan silaturrahim antara suami dan isteri,
anak-anak dan ibu bapa. Ia juga boleh bertukar menjadi bibit-bibit perpecahan
dalam keluarga kerana kurangnya komunikasi antara keluarga.
Ancaman gajet-gajet ini juga telah menyebabkan kurangnya
kecenderungan ahli masyarakat kita untuk membaca bahan bacaan yang bermutu dan
ilmiah. Ini memandangkan ada sesetengah masyarakat yang lebih selesa mencari
maklumat dalam talian tanpa perlu membeli buku, majalah atau akhbar. Keadaan
ini disebabkan telefon pintar mereka boleh melakukan semua perkara termasuklah
membaca suratkhabar serta mendapatkan maklumat yang boleh diperolehi secara
online. Tidak mustahil suatu hari nanti masyarakat tidak lagi membeli buku dan
membaca buku kerana segalanya boleh didapati melalui talian. Ancaman paling
besar dalam hal ini ialah usaha kerajaan untuk memupuk budaya membaca dalam
kalangan rakyat Malaysia sukar tercapai dan sekaligus akan menjadikan rakyat
Malaysia tidak lagi membaca buku untuk mendapatkan ilmu yang bermanfaat. Masyarakat
harus sedar bahawa maklumat yang dimuatkan dalam talian belum tentu sahih,
lengkap dan tepat. Harus disedari bahawa masyarakat yang berilmu datangnya dari
masyarakat yang membaca, dan jika masyarakat tidak membaca tiadalah ilmu dalam
masyarakat.
Ancaman gajet terkini tidak sahaja kepada golongan
orang dewasa, malahan kanak-kanak juga turut menerima tempiasnya. Sebagaimana orang dewasa, kanak-kanak sekolah
kini dilihat semakin lalai dengan permainan dalam talian. Apatah lagi
kanak-kanak seusia 6 tahun sudah ada akaun facebook sendiri. Permainan dalam
talian, akaun facebook, twitter, instagram serta kebolehan melayari laman
sesawang menjadikan kanak-kanak sekolah turut hanyut dalam dunia gajet yang
serba canggih, moden, pelbagai warna dan bentuk. Zaman awal kanak-kanak
seharusnya dipupuk dengan membaca bahan-bahan dan ilmu yang bermanfaat sesuai
dengan usia mereka. Tetapi malangnya, dalam usia yang terlalu muda mereka telah
disogokkan dengan segala bentuk permainan dalam talian dan laman sesawang yang
tidak sesuai dengan mereka. Permainan dalam talian tanpa kawalan seperti
permainan yang menonjolkan aksi-aksi ganas yang keterlaluan boleh mengundang bahaya
dan kesan kepada pemikiran kanak-kanak yang sedang membesar. Jika tabiat ini
dibiarkan tanpa kawalan, dikhuatiri kanak-kanak ini membesar dengan gajet-gajet
tersebut dan tidak lagi mengharapkan bahan bacaan yang sesuai dengan usia
mereka. Mungkin mereka tidak lagi berminat dengan buku-buku bacaan yang sarat
dengan maklumat dan boleh mengembangkan pemikiran mereka. Bayangkan jika
generasi pelapis negara ini adalah generasi yang membesar hasil dari permainan
gajet-gajet yang berunsurkan keganansan serta tiada pengisian rohani dan
jasmani.
Ancaman gajet juga telah berjaya mempengaruhi para remaja
masa kini. Gajet-gajet terkini sememangnya menjadi kegilaan remaja di luar
sana. Sudah ramai yang lalai dengan aplikasi internet terkini. Mereka bebas
melayari internet tanpa batasan dan sekatan. Apa sahaja yang mereka mahukan
hanya ada dihujung jari. Tidak hairanlah pada masa kini, telefon pintar yang
pelbagai bentuk dan jenama menjadi kegilaan remaja dan pelajar IPT. Memiliki
gajet yang bergaya dan berjenama seakan menjadi satu trend dan keperluan kepada
mereka. Mereka yang tidak mempunyai gajet canggih dan terkini dilihat tersisih,
tidak bergaya serta ketinggalan zaman. Bagi remaja, hidup mereka tidak lengkap
dan tidak sempurna tanpa telefon pintar. Akibatnya banyak masa mereka terbuang
dan dihabiskan untuk melayari internet dan pelbagai aplikasi yang tersedia.
Kualiti masa untuk mengulangkaji pelajaran semakin berkurangan memandangkan
mereka sibuk memuat naik gambar bersama teman, memperbaharui status di
facebook, memuat turun lagu, permainan dalam talian, fesyen dan sebagainya
untuk kepuasan diri yang tiada batasan. Tidak keterlaluan jika dikatakan
pelajar IPT kini sudah kurang fokus semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di
dalam kelas kerana asyik melayani telefon pintar mereka.
Dalam kalangan orang dewasa khususnya pekerja dalam
pelbagai sektor, mereka juga tidak dapat lari dari menerima pengaruh
gajet-gajet terkini di pasaran. Sebilangan mereka juga mempunyai aplikasi
wassup, instagram, twitter dan sebagainya. Mereka juga dilihat tidak mahu
ketinggalan dengan teknologi tersebut. Tidak salah jika mereka menggunakan
teknologi untuk menyiapkan kerja dan tugasan di tempat kerja. Dalam keadaan
tertentu pula, mereka tidak perlu keluar meninggalkan kerja untuk menguruskan
hal-hal bil serta perbankan. Ini memandangkan segala-gala boleh dilakukan dalam
talian. Apa yang tidak baik adalah ada sesetengah pekerja yang lalai dengan
teknologi tersebut sehingga melupakan tugas hakiki mereka apabila asyik
melayani twitter, facebook serta wassup sehingga menjejaskan mutu kerja mereka.
Barangkali sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan aplikasi teknologi tersebut
tidak menganggu prestasi pekerja di tempat kerja.
Semua sudah tahu bahawa di zaman teknologi canggih
sekarang ini apa-apa pun boleh berlaku khususnya terhadap keselamatan negara.
Ledakan teknologi maklumat tidak sahaja memberi impak kepada orang perseorangan
malahan sebuah negara juga boleh dimusnahkan dalam beberapa saat. Keadaan ini
memberikan tamparan kepada seluruh warga negara ini agar sentiasa berwaspada
dalam apa keadaan sekalipun. Jangan sekali-kali kita memberikan peluang kepada
anasir luar yang sentiasa mencari ruang untuk menjatuhkan maruah sesebuah
negara.
Semua ahli masyarakat perlu kembali ke dunia asal di
mana sebelum ini kita biasa hidup bermasyarakat, berjiran, dan berkawan.
Sebelum ini kita ada masa untuk menjalankan tanggungjawab sebagai hamba Allah, tugas
sebagai pelajar, tugas sebagai pekerja, tugas sebagai suami, tugas sebagai
isteri dan juga ibu bapa kepada anak-anak. Kita perlu sedar tanggungjawab kita
kepada negara, majikan, agama, bangsa dan negara. Selidikilah diri sendiri di
mana kita berada sekarang dan di mana kita berpijak agar jangan sampai kita
terlena diulik gajet-gajet terkini yang melalaikan kita dari menunaikan
tanggungjawab di atas.
Pada Suatu Masa Dahulu
1. Jika kita tinggal di kampung, sebesar-besar mana pun kampung kita, seluruh orang kampung kenal kita, ayah kita dan saudara mara kita. Orang sekarang jiran pun tak kenal.
2. Orang dulu-dulu nak pergi mana-mana, tak perlu risau nak tinggalkan rumah sekejap atau lama-lama, mereka tak bimbang rumah akan dimasuki pencuri atau penyamun kerana walaupun rumah mereka tak berkunci keselamatan rumah dan harta benda terjamin kerana waktu itu kebanyakan orang tidak mempunyai barang berharga di rumah mereka. Orang sekarang siap buat tembok tinggi-tinggi, pasang gril, pasang cctv bagai tak nak bagi pencuri masuk. Tapi pencuri masuk juga.
3. Dulu-dulu kalau pergi pasar kalau kita bawa duit RM10.00, kita boleh beli macam-macam sampai penuh bakul kerana dengan RM10.00 kita boleh beli sayur, ikan, kuih dan juga baju...hahahaaa tak percaya ke...dulu-dulu sayur cuma 20 sen seikat, ikan 10 ekor seringgit, kuih 5 sen sebijik, baju ada yang harga RM3.00 dan RM5.00...sekarang kalau bawa RM10.00 pergi pasar bole beli lauk apa? Ikan 2 ekor pun dah RM6.00... beza sangat kan?...
4. Dulu-dulu, waktu malam dan waktu pagi boleh rasa kesejukannya. Kalau waktu pagi nak mandi air telaga nak ke sekolah sampai menggigil ada suatu masa keluar asap kat mulut..sejukkkkk....sekarang pulak tak kira masa siang, malam dan pagi sentiasa rasa panas kan? Dulu-dulu seronok main air sungai sejuk dan jernih boleh minum lagi...sekarang air sungai warna macam teh susu dan hijau gelap...nak mandi dan minum mesti dah tak boleh....
5. Orang dulu-dulu mak ayah mereka sekadar pandang atau bagi isyarat mata, anak-anak terus takut, tapi anak-anak sekarang suara mak dan ayah tinggi pun tak meninggalkan bekas bagi mereka.
6. Orang dulu-dulu memang bagi keizinan kepada guru-guru untuk merotan anak mereka jika anak mereka buat salah, dan jika cikgu marah, kita tak berani tak bagitau ibu bapa sebab nanti kena marah balik atau kena pukul. Orang sekarang kalau cikgu pukul anak mereka, mereka akan saman cikgu, dan jika tidak bernasib baik anak murid pulak pukul cikgu....sangat berbeza kan....
7. Orang dulu-dulu kalau kat kampung tu ada orang dapat masuk universiti, seluruh kampung berbangga kerana ada anak kampung mereka dapat masuk U...Orang sekarang, masuk U adalah perkara biasa kerana sekarang banyak sangat IPTA dan IPTS dan sesiapa sahaja boleh sambung belajar asalkan ada duit.
8. Dulu-dulu tak semua orang ada TV, radio, telefon, peti ais dan mesin basuh. Siapa-siapa yang ada benda ni kat rumah dia, kira orang kaya la waktu itu...
9. Pada masa dahulu, air milo dan nescafe adalah minuman orang kaya atau berada. Orang kampung yang hidup susah mereka cuma minum air kopi dan teh sahaja.
Itulah antara perbezaan dulu dan sekarang yang dapat saya lihat. Diharapkan ia dapat membantu generasi baru hari ini yang tidak berkesempatan melihat keadaan masyarakat dan negara pada suatu masa dahulu.