Assalamualaikum dan Selamat Datang ke Blog Saya

Blog ini diadakan khas untuk penulis berkongsi idea, pendapat dan kepakaran untuk pembaca semua. Diharap blog ini bermanfaat kepada semua khususnya kepada pelajar dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang ingin mendapat info yang berkaitan.

Ingin berkongsi info? bole emailkan ke hasnah@ump.edu.my. Saya merasa bangga kerana dapat berkongsi ilmu yang Allah berikan kepada saya untuk dikongsi dengan orang lain. Saya cuma berharap mereka yang membacanya turut sama mendoakan agar saya sentiasa sihat dan tidak berhenti meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan.




Sunday 2 June 2013

Memahami Apakah Nilai-nilai Murni Dalam Sejarah Malaysia



Pengenalan
Tanpa kita sedari atau tidak, disebalik peristiwa sejarah yang berlaku di negara terdapat nilai-nilai murni yang sangat berguna untuk kita jadikan pengajaran dan sempadan juga baik untuk kita praktikkan dalam kehidupan seharian kita. Malaysia yang telah mencapai kemerdekaan lebih dari 50 tahun telah menyimpan banyak peristiwa sejarah yang perlu dihayati dan dipelajari oleh generasi masa kini. Sesungguhnya nilai-nilai murni memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan pada hari ini agar ia mampu memberikan keamanan dan kesejahteraan negara, agama dan bangsa.

Antara Nilai-nilai Murni dalam Sejarah Negara
  1. Bekerjasama
  2. Taat Setia
  3. Setiakawan
  4. Persahabatan
  5. Semangat nasionalisme
  6. Berusaha

Berusaha
Topik ini juga sarat dengan pengajaran dan nilai-nilai murni yang perlu direnungi dan dijadikan iktibar oleh semua warganegara. Dalam hal ini, untuk melangkar kejayaan, kita mesti mengharungi segala cabaran dengan profesional iaitu tidak menggunakan jalan singkat untuk berjaya. Di antara nilai-nilai murni yang perlu dijadikan iktibar ialah seseorang warganegara itu tidak boleh berpeluk tubuh dan membiarkan orang asing memerintah dan menentukan sistem pemerintahan negara kita. Seseorang itu juga perlu mengetahui bahawa tidak ada jalan mudah untuk negara mencapai kemajuan. Lihat saja pada peranan Tunku Abdul Rahman yang terpaksa turun padang dan berunding dengan British untuk membebaskan Negara ini dari belenggu penjajahan.

Taat Setia
            Dalam peristiwa sejarah negara, begitu banyak peristiwa yang menunjukkan betapa pentingnya taat setia kepada pemerintah dan negara. Dalam Sejarah Melayu, kita dapat melihat rakyat Melaka pada waktu itu tidak kira muda, tua, cacat, rakyat biasa, hamba semuanya taat kepada pemerintah. Teras kepada konsep taat setia masyarakat di Melaka pada waktu ini ialah berasaskan kepatuhan kepada wadah (perjanjian) yang termeterai antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun. Bermula daripada sinilah konsep taat setia diamalkan oleh masyarakat seterusnya. Dalam Sejarah Melayu, kita dapat melihat peranan Hang Tuah yang sangat taat setia kepada pemerintah. Dalam hal ini, beliau sanggup berbuat apa sahaja dan sentiasa mengikut arahan pemerintah melaksanakan sesuatu tugas walaupun ia terpaksa meninggalkan ahli keluarganya. Dalam konteks masyarakat hari ini, kita perlu mempunyai sikap taat setia kepada negara dan pemerintah khususnya apabila ia melibatkan kepentingan agama, bangsa dan negara.

Sabar Menempuh Rintangan
Seseorang warganegara itu juga perlu ada jati diri yang kuat dalam diri mereka. Dalam hal ini, merujuk kepada peristiwa penubuhan Malaysia, walaupun terpaksa melalui tentangan dan halangan, penubuhan Malaysia tetap diteruskan. Oleh itu, kepada golongan profesional khususnya yang terlibat dalam pembentukan dasar pembangunan negara, walaupun ada halangan dan rintangan, visi dan misi sesuatu organisasi perlu dicapai.

Jatidiri Sebagai Warganegara
            Peristiwa sejarah juga telah meninggalkan satu lagi nilai yang penting untuk kita amalkan pada hari ini iaitu jatidiri sebagai warganegara. Persoalan mengenai jati diri sangat penting khususnya pada abad ini yang mana arus globalisasi boleh menghakis jati diri kita sebagai seorang warganegara yang beragama Islam dan mengamalkan adat istiadat serta budaya Melayu akan terhakis bila-bila masa. Begitu juga dengan masyarakat bukan Melayu di negara ini mereka juga perlu mengekalkan jatidiri sebagai warganegara negara ini dan tidak mudah terpedaya dengan dakyah yang cuba memesongkan taat setia  mereka kepada negara ini. Peristiwa sejarah yang menunjukkan pentingnya persoalan jatidiri ini dapat kita lihat semasa pendudukan Komunis di negara ini. Semasa pendudukan Komunis di negara ini mereka telah menggunakan ramai rakyat tempatan untuk bekerjasama dengan mereka. Memang tidak dapat dinafikan ada juga segelintir di antara rakyat negara ini pada masa itu yang terpengaruh dengan dakyah mereka. Tetapi disebabkan sebahagian besar masyarakat Tanah Melayu pada waktu itu yang masih taat kepada negara ini, menyebabkan Komunis tidak berjaya mempengaruhi negara ini. Selain daripada itu kita juga dapat melihat peranan Ibrahim Yaakub dan rakan-rakannya yang mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi dan merekalah yang berperanan menyedarkan masyarakat Melayu pada waktu itu untuk mengusir penjajah British. Walaupun mereka pernah ditangkap oleh pihak British perjuangan mempertahankan tanahair tidak pernah padam dalam jiwa mereka.

Pentingnya rundingan
Ini dapat kita lihat dalam peristiwa Kemerdekaan Tanah Melayu 1957. Peristiwa ini juga memberi pengajaran kepada generasi masa kini yang bakal menjadi pemimpin pada masa akan datang agar menggunakan kaedah diplomasi dan perundingan dalam menyelesaikan sebarang masalah negara. Pencapaian kemerdekaan negara. Topik ini sebenarnya sarat dengan pengajaran terhadap betapa pentingnya rundingan diadakan dalam mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi tidak kira dalam apa juga bidang sekalipun.

Peristiwa penubuhan Malaysia memberi pengajaran kepada bakal pemimpin pada masa akan datang agar tidak mementingkan diri dalam segala hal, tetapi sebaliknya kepentingan semua pihak perlu diambil kira. Ini dapat dilihat pemimpin Tanah Melayu tidak mementingkan diri, sebaliknya kekayaan hasil bumi perlu dikongsi bersama dengan negara-negara jiran yang lain dan pada masa yang sama untuk menolong negara-negara yang miskin. Seseorang pemimpin juga perlu ada pendirian dan mempunyai sikap menghormati pendapat orang lain. Tidak perlu ada paksaan dan segala tentangan harus ditangani dengan profesional. Mengumpul pendapat dan pandangan daripada orang lain sebelum sesuatu projek dijalankan adalah langkah yang patut dipuji.

Mematuhi undang-undang
Setiap warganegara Malaysia mesti tahu sistem pemerintahan yang diamalkan oleh sesebuah negara khususnya negara kelahirannya. Bentuk sistem pemerintahan yang diamalkan oleh Negara sebenarnya akan memberi kesan kepada tindakan seseorang warganegara. Seseorang warganegara itu harus patuh pada undang-undang negaranya. Warganegara yang tahu tanggungjawabnya sebagai seorang warganegara akan menyebabkan sesuatu bentuk pemerintahan itu berjaya. Ketahanan sesuatu sistem pemerintahan banyak bergantung kepada sokongan dan peranan rakyatnya. Apatah lagi sistem demokrasi adalah dipilih dan ditentukan oleh rakyat, jika tiada rakyat maka runtuhlah sesuatu Seseorang warganegara perlu mempelajari dan mengetahui undang-undang yang digunapakai di dalam negaranya. Ini kerana segala tindak tanduknya akan diadili oleh undang-undang. Selain daripada itu mempelajari tentang perkara-perkara yang terkandung dalam Perlembagaan negara khususnya kepada individu yang terlibat dalam sektor pembangunan ataupun seorang jurutera perlu mengetahui sesuatu projek yang hendak dijalankan itu adalah mengikut prosedur yang betul. Dengan mempelajari Perlembagaan Malaysia juga seseorang warganegara itu tahu dimana mereka harus merujuk sama ada kerajaan negeri atau kerajaan pusat.
   
      Setiap warganegara Malaysia yang mempelajari sejarah akan merasa bertanggungjawab untuk tidak patut mempersoalkan perkara-perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan negara. Ini kerana semua perkara yang termaktub di dalamnya adalah hasil daripada tolak ansur yang dibuat antara kaum sebelum ini. Mereka juga akan memahami  jika sebarang perubahan dibuat terhadap sesuatu perkara ia secara tidak langsung akan menjejaskan kedaulatan Perlembagaan itu sendiri. Bila kedaulatan hilang, ia tidak akan dihormati lagi, dan bila rakyat tidak menghormati Perlembagaan negara akan musnah kerana pergerakan mereka tiada kawalan. Mereka juga mengetahui bahaw setiap warganegara Malaysia mendapat tempat dalam Perlembagaan negara. Tidak kira bangsa dan agama sekalipun mereka mempunyai kedudukan dan keistimewaan tersendiri. Setiap bangsa perlu menghormati keistimewaan bangsa-bangsa lain.

      Setiap warganegara Malaysia yang mempelajari sejarah juga akan sedar bahawa walaupun terdapat peruntukan kebebasan asasi di mana setiap warganegara adalah bebas melakukan apa sahaja. Walaubagaimanapun, kebebasan ini ada hadnya. Kebebasan yang boleh menjejaskan keamanan negara perlu dielakkan kerana ia boleh memusnahkan negara. Kepada individu yang bekerja dalam mana-mana organisasi sekalipun, segala rasa tidak puas hati terhadap tempat kerja dan majikan perlu dilakukan mengikut saluran yang betul.

Tolak ansur
            Konsep tolak ansur dalam Sejarah Malaysia dapat kita lihat semasa parti UMNO, MIC dan MCA bergabung dan membentuk parti Perikatan. Semasa dalam Perikatan ketiga-tiga parti ini telah bersama-sama bertolak ansur dalam perkara mengenai Perlembagaan. Semasa penggubalan Perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu, orang Cina dan India menerima bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi negara dan begitu juga dengan agama Islam sebagai agama rasmi negara. Manakala orang Melayu pula menerima orang Cina dan India menjadi warganegara tetap negara ini. Tolak ansur ini diperkukuhkan kerana walaupun bahasa Melayu dan Agama Islam menjadi bahasa rasmi dan agama rasmi negara, bahasa dan agama lain boleh bebas diamalkan selagi ianya tidak menganggu ketenteraman dan kemakmuran negara.

Bekerjasama
Konsep kerjasama telah lama lahir dalam setiap tamadun dunia, apa yang membezakan nya ialah dari segi nama sahaja. Dalam masyarakat barat ia dikenali sebagai ”teamwork”. Manakala dalam istilah Arab pula ia dipanggil ”Amal Jama’ie (Ban Baalki: 1998). Secara umumnya konsep kerjasama ini bolehlah disimpulkan sebagai satu konsep di mana sesuatu kelompok manusia bersatu, bersama tolong-menolong di antara satu sama lain demi mencapai sesuatu hajat atau matlamat yang ditetapkan. Dari perspektif masyarakat Melayu, konsep ini telah diamalkan sejak beribu-ribu tahun yang lalu. Bahkan ia telah sebati dan menjadi budaya masyarakat Melayu turun-menurun. Konsep kerjasama telah diterapkan dalam budaya orang Melayu terutamanya semasa mengadakan kenduri-kendara, gotong-royong, dalam bidang pertanian, dan sebagainya. Tidak keterlaluan jika dikatakan masyarakat Melayu telah mendominasi budaya bekerjasama ini sejak berabad-abad lamanya. Budaya ini telah digambarkan melalui pepatah Melayu yang berbunyi ”yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul”. Keistimewaan yang ada pada konsep ini ialah mereka bekerjasama membantu di antara satu sama lain, tanpa mengharapkan habuan dan wang ringgit , pangkat atau darjat, tetapi lebih kepada kepentingan dan kepuasan semua pihak.

Pengamalan konsep kerjasama dalam lipatan sejarah masyarakat Melayu tidak pernah ternokhtah. Jika dianalisis secara mendalam, konsep ini semakin diprakktikkan bukan sahaja di peringkat local bahkan di peringkat yang lebih kompleks iaitu dalam usaha menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara. Sebagai permulaan, cuba kita telusuri konsep kerjasama masyarakat Melayu ini dari sudut kronologi sejarah dengan merujuk kepada teks Sejarah Melayu. Di antara petikan dalam Sejarah Melayu yang meggambarkan kesedaran masyarakat Melayu mengenai konsep tolong menolong dan sentiasa bersama-sama di dalam apa jua keadaan ialah semasa Raja Suran Hendak Menyerang Negara China:

                       “Maka Raja Suran pun berkira-kira hendak menyerang negeri China. Maka baginda menyuruhlah menghimpunkan segala bala tenteranya, maka sekalian rakyat pun berkampunglah daripada segala pihak negeri, tiada terpermanai lagi banyaknya.”

                       “Maka adalah daripada banyaknya rakyat berjalan itu, segala hutan belantara pun habis menjadi padang, dan bumi pun bergentar seperti gempa, dan gunung pun bergerak dan segala tanah yang tinggi-tinggi itu pun menjadi rata, dan batu pun habis berperlantingan, dan segala sungai pun habis kering, jadi seperti lumpur, kerana dua bulan perjalanan itu tiada berputusan lagi,

                        “jikalau pada malam yang gelap sekalipun, menjadi terang seperti bulan purnama pada ketika cuaca, daripada kebanyakan kilat cahaya senjata, jikalau halilintar di langit sekalipun tiada kedengaran, daripada kesangatan tempik segala hulubalang dan sorak segala rakyat, bercampur dengan gajah, kuda tiadalah sangka bunyinya lagi” (Sejarah Melayu, hlm. 12-13)


Ini menunjukkan bahawa masyarakat Melayu pada waktu itu tidak kira tua muda bahkan seluruh rakyat jelata datang untuk membantu raja mereka menentang negara China. Kesungguhan mereka ini bolehlah dijelaskan sebagai kesedaran bahawa demi untuk kepentingan negara, semua rakyat perlu bersatu padu dan berkorban apa saja. Kesemua rakyat jelata ikut serta berpandukan kepada rangkap kedua yang berbunyi ” Maka adalah daripada banyaknya rakyat berjalan itu, segala hutan belantara pun habis menjadi padang, dan bumi pun bergentar seperti gempa, dan gunung pun bergerak dan segala tanah yang tinggi-tinggi itu pun menjadi rata”.


Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, konsep kerjasama menjadi tunggak kepada kelangsungan institusi Kesultanan Melayu. Kegemilangan pemerintahan Melaka pada abad ke-15 bukan kerana pemerintahnya tetapi kerana adanya perpaduan antara pemerintah dan rakyat serta peranan pembesar Melaka yang sentiasa mengadakan musyawarah bersama dari semasa ke semasa mengenai perjalanan sistem pemerintahan negara. Kegemilangan kerajaan Melayu Melaka banyak bergantung kepada kerjasama antara raja, pembesar dan rakyat jelata. Ini ditegaskan oleh Tun Sri Lanang (pengarang Sejarah Melayu) tiga unsur yang mendasari penubuhan kerajaan Melayu Melaka ialah Raja/Sultan, para pembesar dan rakyat (Mohd. Yusoff Hashim, 1996).

Hubungan yang mendasari Raja dan rakyat adalah pembesarnya. Para pembesar daripada pelbagai hierarki melaksanakan fungsi masing-masing. Walaubagaimanapun, tidak mungkin kesemua tanggungjawab itu dilakukan oleh raja. Hukum Kanun Melaka merakamkan perihal tugasan seorang raja sebaik sahaja menaiki takhta kerajaan sebagai berikut;

”Adapun pada segala raja-raja itu, pertama-tama menjadikan Bendahara, kedua menjadikan Temenggung, ketiga Penghulu Bendahari, keempat menjadikan Syahbandar, Maka terpeliharalah segala raja-raja itu dengan segala rakyatnya. (Mohd. Yusoff Hashim, 1996)


Secara kasarnya, walaupun tiga unsur tadi telah mendasari kegemilangan tamadun Melayu Melaka, tetapi kita  tidak boleh menafikan  kehadiran kerja sama, saling sokong – menyokong sama ada secara langsung atau tidak langsung di antara ketiga-tiga pihak di atas. Teras kepada fenomena ini ialah kepatuhan kepada wadah (perjanjian) yang termeterai antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun. Keutuhan konsep kerjasama dalam kegemilangan kerajaan Melayu Melaka tergugat apabila Portugis menyerang Melaka pada 1511. Kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka ke tangan Portugis bukan disebabkan faktor luaran semata-mata, malahan faktor dalaman juga perlu diambil kira. Masalah dalaman yang paling ketara selain ketidakjujuran dan penderhakaan rakyat Melaka sendiri, ialah kelunturan semangat kerjasama di kalangan rakyat Melaka yang selama ini begitu patuh dalam kerja berpasukan, bersatu padu dan tolong menolong. Pada masa ini dapat dilihat hubungan antara rakyat dan pemerintah telah terputus sama sekali, rakyat yang tidak setia kepada negara, pembesar mengamalkan rasuah dan sikap pemerintah yang memerintah dengan zalim. Pada waktu ini juga dapat dilihat tiga unsur yang mendasari kerjasama masyarakat Melayu iaitu raja, pembesar dan rakyat tidak lagi diamalkan. Masing-masing membawa haluan mereka sendiri. Pengajaran yang boleh dikutip hasil dari serangan Portugis ke atas Melaka ini ialah tanpa kerjasama yang erat, negara boleh musnah dalam sekelip mata. Ini kerana kekuatan negara bangsa adalah hasil perpaduan antara pemerintah, pembesar dan rakyat.


Tidak ramai yang berfikir kenapa Tanah Melayu yang pada asalnya kuat perkasa dan digeruni musuh dengan mudah ditawan dan dijajah oleh kuasa luar. Pada masa ini kawan yang dulunya menjadi rakan dagang telah bertukar menjadi harimau yang membahang mangsanya. Kenapa? Tidakkah kita terfikir apakah rahsia disebalik penjajahan kuasa asing (Portugis, Belanda, British dan Jepun) ke atas Tanah Melayu? Dalam hal ini kita perlu melihat bagaimanakah keadaan atau apa yang sedang berlaku di Tanah Melayu sebelum kedatangan kuasa penjajah tersebut. Dari peringkat awal lagi sejak jatuhnya kerajaan Melaka ke tangan Portugis adalah kerana rakyatnya tidak bersatu padu dengan kata lain tiada lagi perpaduan antara pemerintah dan rakyat. Keadaan ini berkesinambungan sehinggalah semasa British mula nak mengintai menjejakkan kaki ke bumi Melayu pada awal abad ke 18. Pada abad ke-18 sehinggalah ke awal abad ke 19, masyarakat Melayu di bumi Melayu ini asyik bertelagah sehingga melupakan semangat perpaduan dan kerjasama yang menjadi pegangan dan budaya orang Melayu sebelum ini. Contohnya seperti di Selangor, Perak, dan Pahang, para pembesar bertelagah sesama sendiri merebut kawasan lombong. Manakala dari segi hubungan di antara negeri-negeri juga renggang contohnya kerajaan Pahang dan Melaka tidak baik. Pahang dan Johor juga tidak baik, Johor pernah membantu Belanda menyerang Melaka. Dalam peristiwa penentangan pembesar terhadap sistem residen – raja/sultan berdiam diri. Rakyat jelata juga tidak memainkan peranan. Hanya orang-orang tertentu yang sedar akan campurtangan asing sahaja yang bangun berjuang. Semangat kerjasama antara negeri-negeri Melayu semakin sukar diamalkan apabila pihak British mula membahagikan negeri-negeri Melayu ini kepada 3 unit yang terpisah iaitu NNMB, NNMTB, dan Negeri-negeri Selat. Pemisahan ini sebenarnya lebih menyenangkan British untuk menjajah Tanah Melayu.


            Peristiwa paling unik yang menunjukkan betapa pentingnya unsur kerjasama dalam lipatan sejarah Malaysia ialah semasa Tanah Melayu hendak mencapai kemerdekaan. Pada masa ini dapat dilihat orang Melayu sudi bekerjasama dengan orang bukan Melayu iaitu Cina dan India dalam usaha membebaskan Tanah Melayu dari cengkaman penjajahan. Ini dapat dilihat apabila parti UMNO, MCA dan MIC telah bersatu tenaga bergabung membentuk sebuah pakatan yang lebih erat dan kuat melalui Parti Perikatan. Apa yang ingin ditonjolkan di sini ialah kesungguhan masyarakat Melayu untuk bersatu berusaha menentang penjajah bersama-sama dengan kaum bukan Melayu perlu dicontohi oleh negara luar. Ini menunjukkan bahawa untuk menubuhkan satu ”teamwork” yang baik dan kuat memerlukan kerjasama dari pelbagai pihak tanpa mengira fahaman, agama dan bangsa. Manakala objektif bagi kerjasama antara kaum ini hanyalah satu iaitu kemerdekaan!.  – kemerdekaan dicapai hasil kerjasama dan perpaduan seluruh penduduk Tanah Melayu. Satu unsur yang dapat dicungkil dari kerjasama antara kaum ini ialah semangat toleransi dan tolak ansur yang mana ia menjadi elemen penting dalam menjayakan pembentukan Perlembagaan yang pertama bagi Tanah Melayu yang berdaulat. Ini dapat dilihat semasa proses pembentukan Perlembagaan Malaysia yang diketuai oleh Lord Reid. Dalam hal ini ketiga-tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India telah bersepakat untuk bertolak ansur dalam beberapa perkara terutamanya dari segi kewarganegaraan dan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputra. Dalam konteks ini, orang Melayu akan menerima orang Cina dan India sebagai warganegara Tanah Melayu, manakala orang bukan Melayu pula menerima hak-hak istimewa yang bakal diterima oleh orang Melayu sebagai tuan punya Tanah Melayu. Dalam hal ini orang bukan Melayu sepatutnya menghargai kesudian orang Melayu untuk bekerjasama dengan orang bukan Melayu dalam pelbagai hal yang melibatkan kepentingan negara.
            
 Apabila membincangkan konsep kerjasama dalam sejarah bangsa Melayu, tidak keterlaluan jika dikatakan konsep ini adalah lebih luas ia bukan sahaja mencakupi kepentingan negara bangsa, tetapi demi untuk ”survival” Tanah Melayu dan jiran-jirannya. Ini dapat dilihat semasa Tunku Abdul Rahman menyuarakan hasratnya untuk menubuhkan Persekutuan Malaysia yang terdiri daripada Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan juga Brunei. Apabila membincangkan mengenai peristiwa penubuhan Malaysia 1963, banyak pihak melihat peristiwa ini dari aspek mengapa Malaysia dibentuk dan halangan-halangan yang dihadapi dalam penubuhan Malaysia dan akhirnya Malaysia berjaya dibentuk yang mengandungi Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Tidak ramai yang melihat peristiwa penubuhan Malaysia ini sebenarnya memperlihatkan sikap pemimpin Tanah Melayu waktu itu yang ingin menubuhkan satu pertubuhan yang lebih besar dan kuat dan dengan kata lain satu ”teamwork” yang besar yang dianggotai oleh negara-negara di sekitar Kepulauan Melayu. Ianya bukan untuk kepentingan politik semata-mata tetapi adalah bertujuan untuk menolong jiran tetangga yang menghadapi masalah khususnya membebaskan negara-negara tertentu dari belenggu penjajahan. Ini juga menunjukkan elemen penting ”teamwork” masyarakat Melayu yang menekankan kepentingan semua pihak dan tidak ada satu pihak sahaja yang bersenang lenang. Dengan erti kata lain dalam satu ”teamwork” yang besar , keadilan mesti dipertahankan. Walaupun tidak semua negara terlibat menganggotai Persekutuan Malaysia, namun penubuhan Persekutuan Malaysia yang merangkumi Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak telah banyak memberi faedah kepada negara-negara terlibat sama ada dari segi politik, ekonomi dan sosial. Walau apapun yang lebih penting ialah tindakan menubuhkan Malaysia sebenarnya adalah satu usaha dalam merealisasikan konsep kerjasama dalam skop yang lebih besar dan tidak hanya untuk kepentingan sesuatu kumpulan sahaja. Keadaan ini menunjukkan sikap kerajaan Tanah Melayu waktu itu dibawah pimpinan Tunku Abdul Rahman mengenepikan sikap untuk menjaga kepentingan diri sendiri. Bak kata pepatah Melayu, ”cubit peha kiri, peha kanan terasa”. Senario ini dapat dilihat di mana pengaruh Komunis yang berleluasa waktu itu di beberapa kawasan di Sabah, Sarawak dan Singapura akan memberi kesan juga kepada Tanah Melayu. Justeru itu, negara-negara berkenaan perlu bersatu dan bekerjasama demi kepentingan semua pihak. Walaupun akhirnya Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia pada 1965, ini sedikitpun tidak melunturkan semangat negara-negara di bawah Persekutuan Malaysia untuk terus bersama memajukan negara. Ini dapat dilihat di mana dalam tahun-tahun 1970-an sehingga 1990-an begitu banyak rancangan pembangunan negara dirancangkan. Hasilnya kini Malaysia telah dikenali di seluruh dunia sebagai sebuah negara membangun yang maju dalam pelbagai aspek politik, ekonomi dan sosial. Keadaan ini tidak akan wujud sebenarnya tanpa adanya kerjasama dan persatuan yang kuat di kalangan negara anggota.

Kesimpulan
            Sejarah sebenarnya telah meninggalkan kita dengan beberapa kisah untuk dijadikan tauladan dan sempadan. Dalam pada itu juga ada banyak nilai-nilai murni yang kita tidak perasan barangkali. Nilai-nilai murni yang ditinggalkan ini sebenarnya sangat berkait rapat dan sangat relevan dengan dunia hari ini. Justeru itu marilah kita menggunapakai nilai-nilai murni tersebut untuk kita praktikkan dalam kehidupan kita seharian dan pada masa akan datang agar ia menjadi contoh pula kepada generasi baru kita.

7 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Salam sejahtera untuk kita semua, Sengaja ingin menulis sedikit kesaksian untuk berbagi, barangkali ada teman-teman yang sedang kesulitan masalah keuangan ingin seperti saya.. Perkenalkan nama saya abdul rochman junaidy umur 38 tahun Awal mula saya mengamalkan Pesugihan Tanpa Tumbal yaitu uang gaib karena usaha saya bangkrut dan saya menanggung hutang sebesar 785 juta saya sters hampir bunuh diri tidak tau harus bagaimana agar bisa melunasi hutang saya. Secara tidak sengajah sewaktu saya buka-buka internet saya menemukan salah satu situs abah duihantoro saya baca semua isi situs beliau akhirnya saya tertarik untuk meminta bantuan kepada abah duihantoro. Awalnya sih memang saya ragu dan tidak percaya tapi selama beberapa hari saya berpikir, akhirnya saya memberanikan diri menghubungi abah duihantoro di nomer 085298463149 singkat cerita alhamdulillah beliau sanggup membantu saya melalui pesugihan uang gaib sebesar 2 milyard dan pada saat itulah saya sangat pusing memikirkan bagaimana cara saya berusaha agar bisa memenuhi persyaratan yg abah sampaikan sedangkan saya tidak punya uang sama sekali. Akhirnya saya keliling mencari pinjaman alhamdulillah ada salah satu teman saya yg mau meminjamkan uangnya akhirnya saya bisa memenuhi
    syarat yg abah duihantoro sampaikan.. singkat cerita selama 3 hari saya sudah memenuhi syaratnya saya dapat telpon dari abah untuk cek saldo rekening saya,, saya hampir pingsan melihat saldo rekening saya sebesar 2M 150 ribu rupiah. Singkat cerita bagi saudara(i) dimanapun anda berada jika anda menemukan pesan saya ini dan anda sudah berhasil mohon untuk di sebarkan agar saudara(i) kita yg diluar sana yg sedang dalam himpitan hutang atau ekonomi semua bisa bebas.. Jika saudara(i) ingin seperti saya silahkan konsultasi atau hubungi abah duihantoro di 085298463149 / whatsapp +6285298463149 sosok beliau sagat baik dan peramah dan sagat antusias membantu orang susah. Demi allah demi tuhan inilah kisah nyata saya abdul rochman junaidy semoga dengan adanya pesan singkat ini bisa bermanfaat sekian dan terima kasih...






    ReplyDelete