Salam sayang semua......
Kepada adik-adik atau pelajar yang tercari-cari idea untuk menulis esei atau karangan mengenai perpaduan rakyat Malaysia.
Kepada adik-adik atau pelajar yang tercari-cari idea untuk menulis esei atau karangan mengenai perpaduan rakyat Malaysia.
Ruang Untuk Perpaduan di Malaysia
Malaysia kini telah melangkah ke hadapan sebagai sebuah
negara membangun yang paling maju berbanding dengan negara membangun yang lain.
Malaysia pada masa ini telah dikenali di mata dunia kerana kestabilan dan
kemakmuran politik, ekonomi dan sosial. Dengan lain perkataan, pembangunan
negara bangsa Malaysia telah dilihat oleh dunia sebagai berjaya kerana ada
beberapa negara yang menjadikan Malaysia sebagai model atau contoh bagi
membangunkan negara mereka. Salah satu elemen yang menjadikan Malaysia unik
ialah perpaduan hubungan etnik yang harmonis. Sebenarnya, kestabilan politik,
ekonomi dan sosial tidak akan berlaku sekiranya perpaduan etnik tidak dijaga
dan dibaja setiap masa.
Sebagaimana yang
telah diketahui umum, Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum dan
semestinya konflik mesti wujud sama ada dalam skala yang besar atau kecil.
Dalam hal ini, para pemerintah dan juga masyarakat Malaysia sendiri perlu
mementingkan perpaduan antara etnik agar keharmonian sentiasa terpelihara. Terdapat banyak ruang untuk mewujudkan
perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Ianya telah wujud dalam kehidupan
seharian kita tanpa kita sedari. Antaranya ialah:
Perpaduan Melalui Politik
Sebagaimana yang telah umum ketahui negara ini mengamalkan
sistem pemerintahan demokrasi berperlembagaan. Salah satu elemen penting
demokrasi berperlembagaan adalah wujudnya parti-parti politik sama ada sebagai
parti Kerajaan dan parti Pembangkang. Tidak kira parti pemerintah atau parti
pembangkang semuanya terdiri dari pelbagai bangsa. Pendek kata setiap parti ada
wakil bangsa-bangsa yang besar seperti orang Melayu, Cina dan India. Walau apa
pun manifesto dan perjuangan, semua parti-parti politik yang ditubuhkan
memainkan peranan penting untuk memelihara kesejahteraan dan keamanan negara terjamin.
Apa yang penting ialah setiap kaum secara tidak langsung telah berinteraksi dan
bekerjasama bagi mendapatkan sokongan rakyat dari pelbagai bangsa dan
keturunan.
Integrasi
Ekonomi
Malaysia sungguh bertuah kerana mempunyai hasil mahsul yang
banyak serta kebijaksanaan penduduknya menggunakan sumber-sumber asli yang ada.
Dalam membincangkan mengenai perkembangan ekonomi negara ini, sudah tentu kita
tidak terlepas daripada membincangkan tentang peranan rakyat negara ini yang
terdiri dari pelbagai kaum dalam pembangunan ekonomi negara. Tidak dapat
dinafikan integrasi kaum juga boleh dijalankan melalui integrasi ekonomi.
Melalui integrasi ekonomi setiap kaum boleh bertukar-bertukar pendapat, idea,
dan teknik dalam memacu ekonomi negara. Integrasi ekonomi boleh dilakukan
dengan pelbagai cara seperti perkongsian perniagaan, perkongsian modal, perkongsian
syarikat, dan perkongsian pelaburan. Dengan adanya kerjasama sebegini ia secara
tidak langsung akan mewujdukan perkongsian kepentingan, idea dan kepakaran dan
sudah tentulah hubungan kaum akan lebih kukuh.
Hari keluarga
Hari
keluarga sememangnya sudah sebati dengan budaya masyarakat Malaysia. Tetapi
pernahkah kita mengadakan hari keluarga dengan bangsa dan kaum yang berbeza.
Ini kerana selalunya kita mengadakan hari keluarga bagi kementerian, jabatan
dan organisasi tertentu. Tidak dapat
dinafikan melalui hari keluarga sebegini juga ia dapat membentuk hubungan kaum
kerana setiap kementerian, jabatan dan organisasi sudah tentu terdiri dari
pelbagai bangsa dan agama. Tetapi pernahkah kita terfikir jika dilakukan hari
keluarga yang terdiri dari keluarga berlainan bangsa dan agama bersama-sama.
Ini sebenarnya akan memeriahkan lagi hubungan kaum di negara ini walaupun
nampak sukar untuk diadakan tetapi percayalah atas kepercayaan semua pihak ia
boleh diadakan kerana Malaysia Boleh!.
Sambutan Kemerdekaan
Sambutan
kemerdekaan merupakan sambutan tahunan bagi rakyat Malaysia dan ia merupakan
peristiwa besar tiap-tiap tahun. Sudah pastinya ia disambut dengan meriah
sekali oleh semua lapisan masyarakat negara ini yang terdiri dari pelbagai
bangsa. Sememangnya sambutan kemerdekaan negara ini melibatkan semua kaum dan
ini menunjukkan satu kejayaan bagi negara Malaysia. Tetapi sambutan kemerdekaan
perlu dilakukan dengan meriah lagi dengan adanya program-program yang
melibatkan kerjasama antara kaum yang diadakan khas semasa sambutan
kemerdekaan. Dengan ini sambutan kemerdekaan bukan sahaja setakat melaungkan
merdeka pada tepat jam 12 malam tetapi ia akan lebih bererti lagi dengan adanya
program-program iringan yang lain terutamanya yang melibatkan perpaduan kaum.
Sistem Pendidikan
Pendidikan
memainkan peranan penting dalam mendidik bangsa agar maju dan pada masa yang
sama akan menjadi aset kepada pembangunan negara. Salah satu elemen penting dalam sistem
pendidikan di Malaysia adalah ia digubal khas untuk memenuhi kehendak dan
ciri-ciri negara Malaysia yang terdiri dari pelbagai bangsa atau dengan kata
lain masyarakat majmuk. Daripada sistem pendidikan inilah sebenarnya
menggambarkan komitmen pemerintah negara ini untuk menyatupadukan kaum di
negara ini melalui pendidikan. Walau apa pun langkah berikut boleh membantu
mempereratkan lagi hubungan kaum di negara ini iaitu pengenalan subjek bahasa
Cina dan Tamil di peringkat sekolah rendah dan menengah. Ini adalah untuk
mendedahkan anak-anak Melayu dengan bahasa tersebut dan ini memudahkan
komunikasi antara 3 kaum terbesar. Mungkin juga sekolah jenis kebangsaan patut
dijadikan sebagai kelas tambahan kepada murid-murid yang berminat.
Rukun Tetangga
Tempat tinggal memainkan peranan penting untuk berlindung
daripada panas dan hujan. Rumah kita juga adalah syurga kita. Apa yang masih
belum terjawab adalah persoalan sejauhmanakah tempat tinggal atau kawasan
perumahan yang ada di Malaysia melambangkan kepelbagaian kaum dan integrasi
kaum? Salah satu langkah yang boleh mengeratkan perpaduan antara kaum di
kawasan perumahan ialah dengan adanya Rukun Tetangga. Melalui Rukun Tetangga,
pelbagai kaum bekerjasama menjaga keselamatan kawasan perumahan daripada
anasir-anasir yang tidak diingini dan ini secara tidak langsung dapat memupuk
perasaan kekitaan demi keselamatan bersama.
Makanan
Tidakkah
kita terfikir selama ini bahawa makanan juga boleh berperanan sebagai agen
perpaduan di Malaysia? Kita ambil contoh kedai mamak. Kedai Mamak sebenarnya
telah memainkan peranan mencetuskan fenomena perpaduan kaum kerana semua kaum
iaitu Melayu, Cina dan India boleh makan bersama dan duduk semeja menikmati
roti canai, capati atau mee goring mamak. Cuba kita lihat juga kepada fenomena
warung yang kebanyakannya dimiliki oleh orang Melayu. Masakan Melayu seperti
nasi lemak telah menjadi kegemaran semua rakyat Malaysia tidak mengira bangsa.
Inilah uniknya Malaysia. Dalam usaha mengintegrasikan kaum melalui pemakanan,
setiap kaum perlu mengetahui apakah makanan yang digemari oleh kaum yang lain,
apa yang mereka makan dan apakah makanan yang mereka tidak boleh makan. Seiringan
dengan itu juga Malaysia sentiasa mengadakan konsep rumah terbuka bagi semua
perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali. Ini menunjukkan
makanan telah menjadi daya tarikan untuk semua kaum berkumpul dan berjumpa
serta dapat mengenali budaya bangsa dan agama lain.
Hubungan kaum di Malaysia sampai pada
waktu ini masih lagi terkawal biarpun ada sedikit ketegangan namun ia masih
mampu mengekalkan keamanan yang kita kecapi kini. Biarpun negara ini tidak ada
perbalahan kaum besar-besaran seperti di negara lain, tetapi kata pepatah ada
mengatakan “air yang tenang jangan disangka tidak ada buaya, dan kerana nila
setitik rosak susu sebelanga”. Justeru itu kita perlu sentiasa menjaga keamanan
dan perpaduan kaum yang ada ini dan perlu digilap setiap masa agar ia sentiasa
relevan walaupun zaman sentiasa berubah.
Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian 27/7/2013. Terima kasih Berita Harian.
Bagaimana pula dari segi media massa sebagai agen perpaduan? TQ
ReplyDeleteBanyak peranan media sebagai agen perpaduan seperti melalui filem, animasi upin ipin, akhbar dan majalah.
Delete