Assalamualaikum dan Selamat Datang ke Blog Saya

Blog ini diadakan khas untuk penulis berkongsi idea, pendapat dan kepakaran untuk pembaca semua. Diharap blog ini bermanfaat kepada semua khususnya kepada pelajar dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang ingin mendapat info yang berkaitan.

Ingin berkongsi info? bole emailkan ke hasnah@ump.edu.my. Saya merasa bangga kerana dapat berkongsi ilmu yang Allah berikan kepada saya untuk dikongsi dengan orang lain. Saya cuma berharap mereka yang membacanya turut sama mendoakan agar saya sentiasa sihat dan tidak berhenti meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan.




Thursday 27 July 2017

MANFAAT PENUBUHAN MALAYSIA 16 SEPTEMBER 1963






Masyarakat Malaysia sudah sedia maklum bahawa pada setiap 16 September akan diadakan sambutan Hari Malaysia sempena memperingati peristiwa penubuhan Malaysia pada 16 September 1963. Mungkin bagi generasi baru kurang memahami pentingnya tarikh 16 September dalam  catatan  sejarah negara. Penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 adalah merangkumi Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak serta Singapura. Walau bagaimanapun, Singapura telah keluar dari Malaysia pada tahun 1965. Penubuhan Malaysia pada waktu itu menurut Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, betapa perlunya diwujudkan satu  persekutuan yang besar yang merangkumi Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah), dan Sarawak, Singapura dan Brunei ke dalam satu bentuk entiti politik dan ekonomi yang sama. Persekutuan ini diharapkan akan dapat menyekat pengaruh Komunis yang menggugat kestabilan politik serantau pada waktu itu. Gagasan persekutuan ini juga bertujuan untuk mengimbangi jumlah penduduk yang kurang seimbang, menolong meningkatkan kemajuan ekonomi negara-negara yang miskin serta mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Sabah, Sarawak, Singapura dan juga Brunei.Walaupun ia telah tinggal sejarah, tetapi kesan daripada peristiwa penubuhan Malaysia ini telah memberi seribu faedah kepada pembangunan agama, bangsa dan negara pada hari ini.




Manfaat Keselamatan dan Keamanan Negara
Tidak dinafikan lagi, penubuhan Malaysia yang merangkumi Malaysia, Sabah dan Sarawak telah berjaya membentuk sebuah negara yang aman dan bebas dari pengaruh dan anasir luar khususnya Komunis. Musuh utama negara sebelum kemerdekaan dan awal kemerdekaan adalah Komunis. Bagi mengelakkan pengaruh Komunis berleluasa maka kerajaan Tanah Melayu pada waktu itu melihat penggabungan Sabah dan Sarawak serta Singapura dapat menyelesaikan masalah ini. Walaupun pengaruh Komunis berlangsung dalam tempoh 1948-1960, saki baki Komunis masih lagi ada dan ini telah memperkuatkan lagi usaha Tunku Abdul Rahman pada waktu itu untuk menubuhkan Malaysia. Setelah Malaysia ditubuhkan, masalah ini telah dapat diatasi sedikit demi sedikit dan ekoran daripada usaha kerajaan keamanan telah dapat diwujudkan. Hasilnya sehingga ke hari ini, Malaysia telah menjadi antara negara yang bebas dari pengaruh dan anasir asing. Ini merupakan manfaat yang paling berharga yang telah dinikmati oleh generasi baru Malaysia kerana dapat hidup dengan aman dan damai. Ini berbeza dengan kehidupan nenek moyang mereka zaman dahulu yang sentiasa hidup dalam ketakutan, kerisauan, kebuluran dan menjadi mangsa kekejaman Komunis.

Pembebasan Sabah dan Sarawak daripada naungan British
            Penubuhan Malaysia sesungguhnya telah memberi banyak manfaat kepada penduduk di Sabah dan Sarawak. Nikmat yang paling berharga bagi kedua-dua buah negara ini adalah bermulanya pembebasan daripada naungan British. Tanah Melayu secara tidak langsung telah membantu memerdekakan Sabah dan Sarawak. Dengan ini, penubuhan Malaysia sebenarnya melakar sejarah apabila sebuah negara yang kecil telah membantu negara yang besar untuk memperoleh kemerdekaan dan bebas dari cengkaman British. Ekoran daripada ini juga telah wujud satu negara bangsa yang besar merangkumi Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Dengan pembentukan negara bangsa yang besar ini ia telah berjaya menseimbangkan nisbah penduduk yang terdiri daripada pelbagai agama, budaya dan bangsa.

Malaysia muncul sebagai negara yang kaya dengan warisan kebudayaan
Percantuman antara Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sesungguhnya telah berjaya menyatupadukan seluruh bangsa dan kaum sehingga terbentuknya satu budaya yang sangat unik di bawah satu payung. Ini bermakna, Malaysia telah muncul sebagai antara negara yang sangat kaya dengan keunikan budaya, adat resam, kepercayaan dan gaya hidup. Lihatlah kesannya kepada Malaysia sekarang  yang mana ia telah berjaya menarik pelancong daripada dalam dan luar negara untuk melihat sendiri gaya hidup masyarakat yang mempunyai budaya yang unik ini. Amat sukar untuk melihat kepelbagaian budaya dan etnik dalam satu negara, tetapi di Malaysia anda dapat melihat semua ini. Kepelbagaian ini hanya terdapat di Malaysia dan ini bertepatan dengan kempen “Truly Malaysia” yang dianjurkan kerajaan untuk menarik pelancong asing. Ini merupakan sumbangan yang besar hasil penubuhan Malaysia kerana kini Malaysia telah dikenali di seluruh dunia.

Mengukuhkan perpaduan rakyat Malaysia
Sebagaimana yang telah diketahui umum, Malaysia adalah merupakan sebuah negara yang bermasyarakat majmuk, kaya dengan budaya dan adat resam serta kaum dan bangsa yang berbagai-bagai. Secara praktisnya amat sukar untuk menyatupadukan kaum yang berbeza agama, budaya dan cara hidup. Tetapi dengan penubuhan Malaysia, perpaduan rakyat dapat dilaksanakan dan direncanakan hasil kepimpinan pemerintah terdahulu. Perpaduan adalah asas penting kepada pembangunan ekonomi dan sosial sesebuah negara. Justeru itu, penubuhan Malaysia sebenarnya bukan sahaja dapat menyatupadukan rakyat, malahan telah membentuk satu rumpun bangsa yang bersatu dan berpadu dalam satu acuan yang besar iaitu Malaysia. Tidak keterlaluan jika dikatakan Malaysia telah dijadikan contoh oleh negara maju sebagai sebuah negara yang berjaya menguruskan perpaduan kaum dan masyarakatknya.

Pemantapan ekonomi negara
Secara kasarnya, dapat dilihat Malaysia telah muncul sebagai negara yang berjaya dalam menguruskan ekonomi. Apa tidaknya semasa negara berada dalam situasi ekonomi yang tidak menentu serta semasa kegawatan ekonomi, negara tidak perlu berhutang dengan IMF. Ini sudah dikira satu kejayaan yang besar bagi Malaysia. Inilah manfaat penubuhan Malaysia yang dapat kita lihat sehingga ke hari ini. Kalau dahulu Tanah Melayu hanya bergantung kepada beberapa jenis atau sumber ekonomi, tetapi dengan kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia, eksport Malaysia telah dipelbagaikan dan tidak hanya tertumpu kepada sesuatu sektor sahaja. Dengan penggabungan ini, rakyat saling mendapat faedah dan tidak wujud lagi tanggapan negara yang kaya makin bertambah kaya dan negara miskin makin bertambah miskin. Pemantapan ekonomi Malaysia telah terlihat apabila ramai rakyat dari negara jiran tetangga yang berhijrah ke Malaysia untuk mencari rezeki seperti dari Indonesia, Myanmar, Pakistan, Thailand, Kemboja dan dari benua Afrika. Ini merupakan tamparan yang hebat kepada negara-negara maju bahawa Malaysia kini telah menjadi tumpuan dunia dalam bidang ekonomi.



Malaysia negara baru yang lebih besar
            Akhir sekali dengan penubuhan Malaysia, secara amnya, telah terbentuk satu negara yang besar dan disegani oleh kawan dan lawan. Dengan penggabungan ini, lahirlah sebuah negara pelbagai bangsa dengan nama Malaysia yang gah dan masyhur dengan kekukuhan ekonomi dan politik yang sukar ditandingi. Apabila menjadi sebuah negara yang besar, mantap dari segi sosiopolitik maka sudah tentu ia menjadi perhatian seluruh dunia. Dalam hal ini, keselamatan negara perlu sentiasa dipantau dari semasa ke semasa. Jadikan Peristiwa di Lahad Batu sebagai peringatan buat rakyat Malaysia semua agar sentiasa bersatu padu dan berdiri teguh di belakang pemimpin bagi bersama-sama  menjaga keselamatan dan kedaulatan negara Malaysia yang tercinta ini.

Artikel ini disediakan oleh:
Dr Hasnah Hussiin
Pensyarah Kanan
Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang
email: hasnah@ump.edu.my

Monday 10 July 2017

Cerpen (ike budu, kuzi kambing) - Part 1



Teman…

Aku masih ingat ketika itu… aku keseorangan berjalan menuju ke kaunter untuk membeli tiket bas. Tanpa ku sedar kau berada di belakang ku kerana ingin membeli tiket menuju ke destinasi yang sama ke negeri cik siti wan kembang. Selepas membeli tiket aku terus keluar ke bus stop untuk balik semula ke rumah kerana perjalanan bermula malam pukul 9 malam. Tiada apa yang kufikirkan selain ingin balik ke kampong menghabiskan cuti semester ku. Lebih kurang pukul 8mlm aku tiba di perhentian bas sejam lebih awal. Pukul 8.30 pintu bas mula dibuka. Aku terus masuk ke dalam perut bas itu memandangkan aku tidak tahan dengan bau asap bas yang cukup memualkan.. Aku tidak pernah memikirkan siapa yang akan duduk di sebelahku. Aku memang macam tu aku jenis tak kisah alam sekeliling. Tiba-tiba ada seorang jejaka melabuhkan punggungnya di sebelahku….aku masih tidak kisah siapa dia. Lebih kurang satu jam selepas bas berlepas, jejaka di sebelahku menegurku..nak balik mana? Aku senyum..,mmmm kena cakap ke bisik hatiku..aku mcm layan tak layan je pertanyaannya tu..aku berlagak mcm sombong sedikit..bukan sombong sebenarnya aku malu nak layan org yang aku tak kenal. Akhirnya dengan berat hati aku bagitau dia nak blek umah saya..jejaka itu senyum dan bertanya lagi ya laa..nak blek rumah..rumahnya tu kat mana..hadoiii awak ni kelakarla…hihiiii aku terus senyum padanya. Umah saya kat kg T…awak pulak nak balik mana? Dengan pantas jejaka itu memberikan jawapan saya nak blek KB..aku terus membalas ooooo…bermula dari situ kami bercakap tak berhenti-henti bertanyakan hal diri masing-masing. Segala mak nenek cerita yang keluar dari mulut kami berdua. Yaa..aku senang berbicara dengannya walaupun pertama kali bersua. Aku merasa gembira sangat..ntahlah aku pun tak tau kenapa. Tutur bicaranya yang bersahaja, kadang-kadang aku mencuri pandang pada wajahnya..,mmm hensemyer detak hatiku..

(bersambung)…..tunggu ya..

Puisi Diri Kita



Kita tahu bahawa kita semua akan mati
tapi kita tak sediakan bekalan secukupnya untuk kehidupan selepas mati


Kita tahu mengumpat mengata mencaci orang lain itu berdosa
tapi kita sesedap rasa mengumpat dan mengata orang 

Kita tahu kita nak mengejar cita-cita kita dalam hidup ini
tapi kita tak buat apa-apa untuk mencapainya

Kita tahu kita nak score A dalam semua matapelajaran yang kita ambil
tapi kita malas nak belajar

Kita nak jadi orang yang berilmu dan berpengetahuan luas
tapi kita malas nak membaca mencari ilmu

Kita juga ingin berjaya macam org lain yang dah berjaya
tapi kita tak buat apa yang orang berjaya dah buat

Kita semua nak masuk syurga
tapi kita tak buat amalan yang membawa kita ke syurga

Kita tau kita tak banyak tahu tentang keTuhanan, serta hakikat kehidupan kita di dunia
tapi kita malas nak mencari ilmu tentang keTuhanan dan kehidupan

Kita tau kita ni tak pandai
tapi kita tak berusaha untuk menjadi pandai

Kita tau setiap dosa akan ada balasannya
tapi kita tetap berbuat dosa 

itulah kita
semoga kita sentiasa diberikan hidayah untuk menjadi insan terbaik dan ahli syurga.Amin.

Nota Hubungan Etnik (Peranan Agama Kepada Manusia)






Sebelum anda membaca nota di bawah cuba tanya diri anda, adakah anda seorang yang beragama? Apakah agama yang anda anuti? Cuba anda fikirkan, adakah alam yang kita duduki ini tidak ada penjaganya atau penciptanya? Adakah semua ini terjadi dengan sendiri, sedangkan kereta ada org yang membuatnya, rumah pun ada orang yang membinanya, makanan pun ada tukang masaknya. Jadi alam ini yang nampak dan yang kita tidak nampak ini siapa pemiliknya? Lihat sahaja planet kita ini bulan, bintang, bumi siapakah yang menjaganya siang dan malam. Lihat sahaja kereta kalau tak ada orang yang on kan suis pasti kereta itu tidak hidup bukan?..jadi cuba bayangkan kalau matahari dan bumi jika tidak ada kuasa yang menggerakannya..pasti kita semua akan mati bukan..jadi kita sebagai manusia yang mempunyai akal dan fikiran sememangnya perlu menggunakan akal yang diberikan untuk berfikir dan bersyukur di atas kurniaan yang Allah berikan kepada kita. Jom kita baca nota di bawah..


Peranan Agama Kepada Manusia

Setiap manusia yang dilahirkan di dunia ini adalah sama tidak kira apa pegangan agama sekalipun. Semuanya akan menjalani kehidupan yang sama bermula dengan kelahiran, alam kanak-kanak, dewasa, warga emas dan seterusnya menuju kepada kematian. Jika direnungkan tentang kehidupan manusia di dunia ini ada yang umur panjang dan ada yang umur pendek. Sebenarnya kehidupan manusia telah ditentukan oleh yang maha kuasa iaitu Tuhan. Sememangnya manusia memerlukan satu kuasa yang luar biasa yang akan menolong mereka semasa dalam kesusahan, kebimbangan, keresahan, ketakutan, kesesatan, memohon perlindungan, keselamatan  dan sebagainya. Dalam hal ini, agama memainkan peranan yang sangat penting. Tanpa agama, manusia tidak akan ada arah hidup dan tiada tempat untuk mengadu. Manusia tidak boleh meminta kepada sesama manusia kerana manusia tidak mempunyai kuasa luar biasa untuk melindungi manusia lain. Tidak kira apa pun tamadun manusia di dunia ini, agama berperanan sebagai berikut:
a) Asas pembentukan Moral
b) Pembentukan dan pembangunan tamadun manusia
c) Mencerminkan budaya dan warisan sesuatu bangsa
d) lambang perpaduan
e) Menaikkan semangat kebangsaan

Asas pembentukan Nilai-nilai Murni
Agama sebenarnya berperanan dalam pembentukan nilai-nilai murni seseorang individu. Tanpa nilai-nilai murni, seseorang individu itu gagal menjadi insan yang mulia dan terpuji di dunia ini. Agama akan memandu seseorang itu agar berkelakuan baik, menghormati orang dan agama lain, tidak melakukan sesuatu di luar dari norma kehidupan, taatkan ibu bapa, taat perintah agama, saling tolong menolong, bekerjasama, berkakhlak mulia dan lain-lain nilai yang positif.

Pembentukan dan pembangunan tamadun manusia
Manusia yang bertamadun adalah sekumpulan manusia yang telah maju dari pelbagai aspek kehidupan dengan lain perkataan sudah mengamalkan sistem kehidupan yang teratur, ada undang-undang yang sistematik, tempat tinggal, aktiviti ekonomi serta agama. Dalam hal ini agama adalah elemen yang paling penting dalam pembentukan sesebuah tamadun. Secara amnya, jika kita meneliti kehidupan manusia zaman dahulu dengan merujuk kepada tamadun Mesir, tamadun China, Tamadun India dan tidak ketinggalan Tamadun Melayu menunjukkan agama adalah asas kepada pembangunan sesuatu tamadun. Dalam Tamadun Melayu sendiri, agama Islam berperanan penting dalam membentuk sistem pentadbiran, ekonomi dan juga sosial masyarakat Melayu pada masa tersebut.

Mencerminkan budaya dan warisan sesuatu bangsa
Agama sememangnya berperanan memberikan identiti kepada individu atau sesuatu kumpulan manusia. Dalam hal ini agama memberikan ciri-ciri identiti seseorang seperti dari aspek pakaian, pemakanan, pemikiran, perbuatan, tradisi, adat resam dan sebagainya. Di Malaysia misalnya, masyarakat luar boleh mengenal sama ada seseorang itu beragama Islam, Buddha atau sebaliknya.

Lambang perpaduan
Tidak dinafikan lagi khususnya dalam konteks negara Malaysia, agama telah memainkan peranannya sebagai alat menyatupadukan kaum di negara ini. Ini dapat dilihat semasa sambutan perayaan sama ada perayaan orang Islam, Deepavali, Tahun Baru Cina dan sebagainya yang memperlihatkan berlakunya sikap kunjung mengunjungi di antara satu sama lain semasa rumah terbuka. Namun, situasi rumah terbuka tidak berlaku di negara-negara lain. Jadi peranan agama sebagai alat perpaduan kaum hanya relevan dalam kalangan masyarakat Malaysia sahaja.

Menaikkan Semangat Kebangsaan
            Bagi orang Islam misalnya, agama telah lama memainkan peranan dalam membangkitkan semangat kebangsaan khususnya orang Melayu. Ini dapat dilihat semasa zaman awal-awal tahun 1920-an di mana agama Islam telah berjaya menyuntik golongan Kaum Muda untuk bangun menentang penjajah Inggeris demi mempertahankan tanahair, bangsa dan agama. Begitu juga dalam konteks masyarakat Arab di Timur Tengah, mereka juga sanggup mati syahid mempertahankan agama dan negara mereka daripada golongan Zionis.

Perbezaan Agama
Antara beberapa agama besar di dunia ini, terdapat perbezaan yang amat ketara dari segi ketuhanan dan kepercayaan. Di sini dibincangkan secara ringkas beberapa agama utama di Malaysia.
Ringkasan Ajaran Beberapa Agama
Agama
Ketuhanan
Ajaran
Perayaan Utama
Islam
Percaya kepada tuhan yang satu yang Esa iaitu Allah. Nabi Muhammad s.a.w sebagai penyampai wahyu daripada Allah.
Ajaran Islam berdasarkan Al-Quran dan Hadis Nabi.

Hari Raya Aidil Fitri, Aidil Adha, Maulidur Rasul, Nuzul Al-Quran.
Hindu
Agama ini dibawa oleh beberapa kumpulan manusia lebih 4,000 tahun dahulu.








Antara ajarannya ialah tentang 4 konsep kehidupan iaitu Kama, Artha, Dharma dan Mokhsa. Selain itu ada juga penerangan tentang 4 peringkat kehidupan iaitu Bramacharya, Grihasthya, Vanaprastha dan Sanyasa.

Deepavali, Thaipusam
Buddha
Ajaran ini dibawa oleh Siddartha Gautama seorang putera raja Hindu yang berkasta tinggi.
Menuntut agar pengikut-pengikutnya mengamalkan ajaran yang diajarkan oleh beliau dan bukan menyembahnya. Antara ajaran Buddha adalah Empat Kebajikan Kebenaran atau The Four Noble Truth iaitu Dukkha, Samudaya, Nirodha dan Marga.
Hari Wesak
Guru Nanak
Dibawa oleh individu yang bernama Guru Nanak dari sebuah tempat yang dikenali sebagai Pakistan Barat.
Menekankan tentang kewujudan Tuhan yang berkuasa dan ada Tuhan pemusnah. Selain keTuhanan ajaran Guru Nanak juga menekankan tentang kemanusiaan
Vaisakhi
Confucious
Diasaskan oleh Kung Fu Tze tokoh peradaban Cina
Mengajarkan tentang moral dan etika. Lima akhlak yang ditekankan adalah Ren, Li, Yi, Zhi dan Xin.

Taoisma
Diperkenalkan Lao Tze dan Chuang Tzu.
Mengajarkan tentang keharmonian alam semesta. Manusia perlu bebas dari peraturan dunia jika ingin mencapai keharmonian yang tinggi.



Contoh Konflik Agama Seluruh Dunia
Lazimnya, kepelbagaian agama dalam sesebuah negara menyebabkan banyak berlakunya konflik antara agama. Manakala negara yang mempunyai satu agama besar sahaja kurang berhadapan dengan konflik  agama. Ini berdasarkan kepada konflik-konflik agama yang berlaku di seluruh dunia menunjukkan kebarangkalian berlakunya konflik agama adalah tinggi di negara-negara yang mempunyai beberapa agama besar seperti di bawah:

Bosnia
Israel -Palestin
Filipina
Indonesia
Thailand
Myanmar
North Ireland



Punca Berlakunya Konflik Antara Agama
a. Tidak memahami ajaran agama lain
b. Sukar bertolak ansur
c. Etnosentrik
d. Memperlekehkan agama lain
e. Ekstrimisma
f. Ingin menjatuhkan agama lain




Rujukan


Mohd Ridhuan Tee Abdullah, “Asas-asas Ajaran Buddha Sebagai Perbandingan Agama”, Seminar Krisis Murtad, anjuran Persatuan Ulama’ Malaysia  Cawangan Selangor (PUMCS), Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dan Masjid Sultan  Salahuddin Abdul Aziz Shah, 30 Mei 2009.