Assalamualaikum dan Selamat Datang ke Blog Saya

Blog ini diadakan khas untuk penulis berkongsi idea, pendapat dan kepakaran untuk pembaca semua. Diharap blog ini bermanfaat kepada semua khususnya kepada pelajar dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang ingin mendapat info yang berkaitan.

Ingin berkongsi info? bole emailkan ke hasnah@ump.edu.my. Saya merasa bangga kerana dapat berkongsi ilmu yang Allah berikan kepada saya untuk dikongsi dengan orang lain. Saya cuma berharap mereka yang membacanya turut sama mendoakan agar saya sentiasa sihat dan tidak berhenti meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan.




Thursday 27 July 2017

MANFAAT PENUBUHAN MALAYSIA 16 SEPTEMBER 1963






Masyarakat Malaysia sudah sedia maklum bahawa pada setiap 16 September akan diadakan sambutan Hari Malaysia sempena memperingati peristiwa penubuhan Malaysia pada 16 September 1963. Mungkin bagi generasi baru kurang memahami pentingnya tarikh 16 September dalam  catatan  sejarah negara. Penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 adalah merangkumi Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak serta Singapura. Walau bagaimanapun, Singapura telah keluar dari Malaysia pada tahun 1965. Penubuhan Malaysia pada waktu itu menurut Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, betapa perlunya diwujudkan satu  persekutuan yang besar yang merangkumi Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah), dan Sarawak, Singapura dan Brunei ke dalam satu bentuk entiti politik dan ekonomi yang sama. Persekutuan ini diharapkan akan dapat menyekat pengaruh Komunis yang menggugat kestabilan politik serantau pada waktu itu. Gagasan persekutuan ini juga bertujuan untuk mengimbangi jumlah penduduk yang kurang seimbang, menolong meningkatkan kemajuan ekonomi negara-negara yang miskin serta mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Sabah, Sarawak, Singapura dan juga Brunei.Walaupun ia telah tinggal sejarah, tetapi kesan daripada peristiwa penubuhan Malaysia ini telah memberi seribu faedah kepada pembangunan agama, bangsa dan negara pada hari ini.




Manfaat Keselamatan dan Keamanan Negara
Tidak dinafikan lagi, penubuhan Malaysia yang merangkumi Malaysia, Sabah dan Sarawak telah berjaya membentuk sebuah negara yang aman dan bebas dari pengaruh dan anasir luar khususnya Komunis. Musuh utama negara sebelum kemerdekaan dan awal kemerdekaan adalah Komunis. Bagi mengelakkan pengaruh Komunis berleluasa maka kerajaan Tanah Melayu pada waktu itu melihat penggabungan Sabah dan Sarawak serta Singapura dapat menyelesaikan masalah ini. Walaupun pengaruh Komunis berlangsung dalam tempoh 1948-1960, saki baki Komunis masih lagi ada dan ini telah memperkuatkan lagi usaha Tunku Abdul Rahman pada waktu itu untuk menubuhkan Malaysia. Setelah Malaysia ditubuhkan, masalah ini telah dapat diatasi sedikit demi sedikit dan ekoran daripada usaha kerajaan keamanan telah dapat diwujudkan. Hasilnya sehingga ke hari ini, Malaysia telah menjadi antara negara yang bebas dari pengaruh dan anasir asing. Ini merupakan manfaat yang paling berharga yang telah dinikmati oleh generasi baru Malaysia kerana dapat hidup dengan aman dan damai. Ini berbeza dengan kehidupan nenek moyang mereka zaman dahulu yang sentiasa hidup dalam ketakutan, kerisauan, kebuluran dan menjadi mangsa kekejaman Komunis.

Pembebasan Sabah dan Sarawak daripada naungan British
            Penubuhan Malaysia sesungguhnya telah memberi banyak manfaat kepada penduduk di Sabah dan Sarawak. Nikmat yang paling berharga bagi kedua-dua buah negara ini adalah bermulanya pembebasan daripada naungan British. Tanah Melayu secara tidak langsung telah membantu memerdekakan Sabah dan Sarawak. Dengan ini, penubuhan Malaysia sebenarnya melakar sejarah apabila sebuah negara yang kecil telah membantu negara yang besar untuk memperoleh kemerdekaan dan bebas dari cengkaman British. Ekoran daripada ini juga telah wujud satu negara bangsa yang besar merangkumi Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Dengan pembentukan negara bangsa yang besar ini ia telah berjaya menseimbangkan nisbah penduduk yang terdiri daripada pelbagai agama, budaya dan bangsa.

Malaysia muncul sebagai negara yang kaya dengan warisan kebudayaan
Percantuman antara Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sesungguhnya telah berjaya menyatupadukan seluruh bangsa dan kaum sehingga terbentuknya satu budaya yang sangat unik di bawah satu payung. Ini bermakna, Malaysia telah muncul sebagai antara negara yang sangat kaya dengan keunikan budaya, adat resam, kepercayaan dan gaya hidup. Lihatlah kesannya kepada Malaysia sekarang  yang mana ia telah berjaya menarik pelancong daripada dalam dan luar negara untuk melihat sendiri gaya hidup masyarakat yang mempunyai budaya yang unik ini. Amat sukar untuk melihat kepelbagaian budaya dan etnik dalam satu negara, tetapi di Malaysia anda dapat melihat semua ini. Kepelbagaian ini hanya terdapat di Malaysia dan ini bertepatan dengan kempen “Truly Malaysia” yang dianjurkan kerajaan untuk menarik pelancong asing. Ini merupakan sumbangan yang besar hasil penubuhan Malaysia kerana kini Malaysia telah dikenali di seluruh dunia.

Mengukuhkan perpaduan rakyat Malaysia
Sebagaimana yang telah diketahui umum, Malaysia adalah merupakan sebuah negara yang bermasyarakat majmuk, kaya dengan budaya dan adat resam serta kaum dan bangsa yang berbagai-bagai. Secara praktisnya amat sukar untuk menyatupadukan kaum yang berbeza agama, budaya dan cara hidup. Tetapi dengan penubuhan Malaysia, perpaduan rakyat dapat dilaksanakan dan direncanakan hasil kepimpinan pemerintah terdahulu. Perpaduan adalah asas penting kepada pembangunan ekonomi dan sosial sesebuah negara. Justeru itu, penubuhan Malaysia sebenarnya bukan sahaja dapat menyatupadukan rakyat, malahan telah membentuk satu rumpun bangsa yang bersatu dan berpadu dalam satu acuan yang besar iaitu Malaysia. Tidak keterlaluan jika dikatakan Malaysia telah dijadikan contoh oleh negara maju sebagai sebuah negara yang berjaya menguruskan perpaduan kaum dan masyarakatknya.

Pemantapan ekonomi negara
Secara kasarnya, dapat dilihat Malaysia telah muncul sebagai negara yang berjaya dalam menguruskan ekonomi. Apa tidaknya semasa negara berada dalam situasi ekonomi yang tidak menentu serta semasa kegawatan ekonomi, negara tidak perlu berhutang dengan IMF. Ini sudah dikira satu kejayaan yang besar bagi Malaysia. Inilah manfaat penubuhan Malaysia yang dapat kita lihat sehingga ke hari ini. Kalau dahulu Tanah Melayu hanya bergantung kepada beberapa jenis atau sumber ekonomi, tetapi dengan kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia, eksport Malaysia telah dipelbagaikan dan tidak hanya tertumpu kepada sesuatu sektor sahaja. Dengan penggabungan ini, rakyat saling mendapat faedah dan tidak wujud lagi tanggapan negara yang kaya makin bertambah kaya dan negara miskin makin bertambah miskin. Pemantapan ekonomi Malaysia telah terlihat apabila ramai rakyat dari negara jiran tetangga yang berhijrah ke Malaysia untuk mencari rezeki seperti dari Indonesia, Myanmar, Pakistan, Thailand, Kemboja dan dari benua Afrika. Ini merupakan tamparan yang hebat kepada negara-negara maju bahawa Malaysia kini telah menjadi tumpuan dunia dalam bidang ekonomi.



Malaysia negara baru yang lebih besar
            Akhir sekali dengan penubuhan Malaysia, secara amnya, telah terbentuk satu negara yang besar dan disegani oleh kawan dan lawan. Dengan penggabungan ini, lahirlah sebuah negara pelbagai bangsa dengan nama Malaysia yang gah dan masyhur dengan kekukuhan ekonomi dan politik yang sukar ditandingi. Apabila menjadi sebuah negara yang besar, mantap dari segi sosiopolitik maka sudah tentu ia menjadi perhatian seluruh dunia. Dalam hal ini, keselamatan negara perlu sentiasa dipantau dari semasa ke semasa. Jadikan Peristiwa di Lahad Batu sebagai peringatan buat rakyat Malaysia semua agar sentiasa bersatu padu dan berdiri teguh di belakang pemimpin bagi bersama-sama  menjaga keselamatan dan kedaulatan negara Malaysia yang tercinta ini.

Artikel ini disediakan oleh:
Dr Hasnah Hussiin
Pensyarah Kanan
Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang
email: hasnah@ump.edu.my

14 comments:

  1. Thank you for this lovely answer!

    ReplyDelete
  2. Thank you so very much for this blog.

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. Thank you for your answer!����������������������������������������

    ReplyDelete
  5. Thank you so much 🀎🀎🀎


    ReplyDelete
  6. Terima kasih.. sangat2 membantu saya menyiapkan kajian kes sejarah😍😍 i like it❤️πŸ’₯
    Teruskn usaha ✨

    ReplyDelete
  7. terima kasih! dapat juga saya siapkan kajian kes sejarah saya haha

    ReplyDelete
  8. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  9. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete