Assalamualaikum dan Selamat Datang ke Blog Saya

Blog ini diadakan khas untuk penulis berkongsi idea, pendapat dan kepakaran untuk pembaca semua. Diharap blog ini bermanfaat kepada semua khususnya kepada pelajar dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang ingin mendapat info yang berkaitan.

Ingin berkongsi info? bole emailkan ke hasnah@ump.edu.my. Saya merasa bangga kerana dapat berkongsi ilmu yang Allah berikan kepada saya untuk dikongsi dengan orang lain. Saya cuma berharap mereka yang membacanya turut sama mendoakan agar saya sentiasa sihat dan tidak berhenti meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan.




Wednesday 13 February 2019

Rahsia Tamat Phd dalam masa 2 tahun

Assalamualaikum

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah s.w.t kerana masih diberi kesihatan dan minda yang cergas untuk berkongsi ilmu dengan pembaca saya sekalian. Kali ini saya merasa terpanggil untuk berkongsi tips tamat Phd dalam masa 2 tahun. Saya bukanlah seorang yang genius dan saya akui saya juga bukan seorang yang fast learner. Tapi saya rasa kejayaan saya menamatkan pengajian Phd dalam masa yang singkat kerana faktor-faktor tertentu. Walau apa pun faktornya, kita harus akui semuanya berlaku dengan keizinan Allah, bukan kerana kita bijak, tapi kerana Allah yang memudahkan kita. Jadi di sini, antara tips yang telah saya amalkan atau apa yang telah saya lakukan sepanjang pengajian Phd saya ialah:

1. Perkara yang pertama adalah peranan penyelia (supervisor) adalah sangat penting. Oleh itu, sebelum kita memilih untuk menyambung pengajian selain dari universiti ialah pemilihan penyelia adalah sangat penting. Kita sepatutnya terlebih dahulu membuat serba sedikit kajian tentang penyelia yang ingin kita pilih. Selidik dahulu latarbelakangnya, terutamanya tentang pelajar di bawah seliaan beliau, adakah beliau menjalankan kerja-kerja penyeliaan dengan baik dan berdisiplin terhadap skop kerja beliau sebagai penyelia? Apa yang saya maksudkan adalah adakah beliau berdisiplin menyemak hasil kerja kita? Ini penting memandangkan ada sesetengah penyelia begitu liat untuk memeriksa dan menyemak tesis pelajar sehingga menyebabkan ada tesis pelajar yang terperap beberapa bulan sehingga melebihi 5 bulan. Ini yang kita tidak mahu kerana ia akan memberikan kesan yang sangat besar kepada pelajar itu sendiri. Pengalaman saya, saya telah mendapat seorang penyelia yang sangat berdedikasi, berdisiplin, fokus, pakar dalam bidangnya dan sangat bertanggungjawab di atas apa yang telah saya tulis. Saya tidak perlu menunggu lama selepas saya menghantar draf penulisan saya.

2. Perkara yang kedua adalah diri kita sendiri. Dalam hal ini, diri kita sendiri perlu mempunyai disiplin yang tinggi jika kita mahu menyambung pelajaran sehingga ke tahap ini iaitu Doktor Falsafah. Jika kita tidak berdisiplin, maka pengajian kita akan terhenti di tengah jalan dan kita juga tidak ada semangat untuk meneruskan pengajian. Selain dari itu, kita juga perlu mempunyai minat yang tinggi untuk menyambung pelajaran, jangan sambung belajar sebab paksaan majikan atau tengok orang sambung belajar kita pun nak sambung belajar. Berbalik kepada disiplin tadi, apa yang saya maksudkan ialah bila kita diberi cuti belajar, maka tumpuan kita adalah 100% kepada pengajian. Jadi kita mesti mengatur jadual pembelajaran kita dan berusaha mendisiplinkan diri dengan membuat jadual bila kita nak mulakan literature review, bila nak keluar buat tinjauan, bila kita nak menulis dan sebagainya. Pendek kata milestone kerja mesti ada. Kita tidak boleh go with wind macam tu saja nanti kita tak tahu arah tujuan sebab tiada panduan. Apa yang saya lakukan adalah walaupun saya cuti belajar dan saya tidak bekerja, saya tetap jadikan hari-hari biasa sebagai hari bekerja  di mana hari bekerja dari Isnin sampai jumaat saya akan buat kerja-kerja penyelidikan dan penulisan saya. Weekend saya rehat bersama keluarga. 

3. Tahu apa yang hendak dibuat/dikaji. Pengajian Phd yang memfokuskan kepada 100% penyelidikan sepenuh masa sesungguhnya memerlukan adanya satu panduan yang khusus kerana tanpa panduan yang khusus ramai yang kandas di tengah jalan dan ada juga yang memakan masa sehingga 5 tahun hingga 9 tahun untuk disiapkan. Sebab tu lah kita sentiasa dengar orang cakap PHD maksudnya Permanent Head Damage...menakutkan bukan? Dalam hal ini, apa yang perlu kita fikirkan dan lakukan adalah:
a. jangan buat kajian yang tidak pernah orang buat
b. jangan buat kajian seolah-olah kita nak ubah dunia
c. jangan buat kajian yang tajuknya kebaboom tetapi kita sendiri tak tahu nak membuatnya
d. jangan buat tajuk yang kebaboom/catchy gila, tapi susah untuk mendapatkan bahan dan responden
e. jangan buat kajian yang kita sendiri tidak mampu untuk membuatnya kerana batasan waktu, tenaga dan wang

Pesan saya - buatlah kajian yang biasa-biasa saja, mudah untuk kita buat kajian, bahan semua ada, mudah untuk dapatkan responden dan kita tahu proses untuk melakukannya. Kita mesti tahu setiap proses yang akan berlaku dalam kajian kita sehingga tamat kajian. Dalam hal ini, biar kajian kita tajuknya simple, tapi kita mudah menyiapkannnya dan mempunyai impak yang besar kepada masyarakat dan negara. Kadang-kadang kita tak perlu pun menyambung pengajian kita di luar negara jika tidak mampu, kerana syarat asas untuk berjaya dalam Phd adalah diri kita sendiri.

Jadi, secara umumnya, cukuplah kita tahu bagaimana cara nak jalankan kajian, di mana kajian hendak dijalankan, responden/bahan tiada masalah sudah cukup untuk kita memulakan kajian. Dan di akhir nanti, kita perlu menguasai kajian kita dari A to Z dan dalam viva voice nanti kita tidak akan ada masalah untuk menjawab soalan dari ahli panel.

4. Pastikan tahu perkara asas kajian - Apa yang saya maksudkan perkara asas dalam kajian ini ialah objektif kajian, persoalan kajian dan permasalahan kajian. Ketiga-tiga perkara ini adalah benda asas yang perlu ada dalam apa jua kajian yang dijalankan. Jika kita clear mengenai tiga perkara ini, maka ia akan memudahkan kerja-kerja kita menjalankan kajian. Kebanyakan kita biasanya tidak begitu jelas mengenai perkara tersebut menyebabkan kita nanti tidak tahu nak jalankan kajian. Boleh dikatakan ketiga-tiga perkara inilah yang menjadi panduan untuk kita memulakan kajian. Jika ketiga-tiga perkara ini tidak jelas, maka sukarlah perjalanan kita menjalankan kajian.

5. Akhir sekali adalah doa..kerana Allah yang memudahkan segala pekerjaan kita. 

Sekian sahaja perbincangan tips berjaya menyiapkan Phd saya dalam masa 2 tahun. Harap tips saay ini dapat membantu saudara saudari yang berminat untuk sambung belajar sehingga ke peringkat Phd. Pesan saya jangan dengar khabar angin Phd tu permanent head damage..viva voice tu menakutkan dan sebagainya. Jangan dengar khabar dari mereka yang bermasalah dalam menyiapkan Phd, kerana nasib kita tidak sama dengan orang lain, setiap orang mempunyai kebolehan yang berbeza. Sekali lagi Jangan samakan diri kita dengan orang lain.

Ikhlas dari,
Dr Hasnah Hussiin
Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang (UMP)
hasnah@ump.edu.my
14/2/2019