SEJARAH KEWUJUDAN MASYARAKAT MAJMUK DI
MALAYSIA
Pengenalan
Malaysia merupakan sebuah negara
berbilang bangsa, agama, budaya dan bahasa. Dengan kata lain Malaysia merupakan
sebuah negara masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai etnik dan kaum
di mana yang paling terbesar adalah Melayu, Cina dan India. Manakala
etnik-etnik lain pula adalah merupakan etnik minoriti seperti Singh, Siam,
Jawa, Minangkabau, dan beberapa etnik di Sabah dan Sarawak seperti Kadazan,
Melanau, Dusun, Bajau dan sebagainya.
Definisi
Masyarakat Majmuk
Menurut J.S.Furnivall, masyarakat majmuk merupakan masyarakat yang muncul
disebabkan oleh penjajah di sesebuah negara. Dalam kes Malaysia, kewujudan
masyarakat majmuk di negara ini juga berkaitan dasar British sebelum ini yang
telah membawa masuk buruh-buruh daripada China dan India untuk bekerja di
ladang getah dan lombong bijih timah. Kedatangan buruh-buruh ke negara ini
untuk bekerja dan akhirnya terus menetap menjadi warganegara telah membentuk
masyarakat baru bagi Tanah Melayu iaitu masyarakat majmuk. Pembentukan
masyarakat baru ini digelar oleh J.S.Furnivall sebuah masyarakat majmuk yang mana mereka bercampur tetapi tidak bersama.
Dengan lain perkataan, mereka hidup bersama sebagai rakyat negara ini tetapi
terpisah dari segi tempat tinggal, pendidikan, budaya, agama, pekerjaan dan
sebagainya. Fenomena sebegini masih lagi wujud selepas Tanah Melayu mencapai
kemerdekaan. Menurut J.S Furnivall, antara ciri-ciri sebuah masyarakat majmuk
adalah:
o Terdapat
pelbagai bangsa, ras dan etnik
o Mereka
hidup bersama tetapi tidak bercampur atau tidak bersatu
o Terpisah
disebabkan unit politik yang berbeza
o Setiap
bangsa mempunyai agama, bahasa, kebudayaan yang tersendiri
o Berinteraksi
semasa di pejabat, pasar dan tempat2 awam
o Sektor
pekerjaan mengikut kaum
Secara
kasarnya, masyarakat majmuk terpisah dari aspek berikut:
o Agama
o Bahasa
o Ras
o Ideologi
o Politik
o Pendidikan
Siapakah Orang Melayu?
Masyarakat Melayu merupakan kaum
majoriti di negara ini dan merupakan penduduk asal Tanah Melayu. Dari segi
sejarah, masyarakat Melayu telah lama menghuni Tanah Melayu kerana sejak awal
abad ke-12 lagi masyarakat Melayu telah tinggal di sini. Kebanyakan mereka
adalah berasal dari Kepulauan Melayu. Justeru itu, masyarakat Melayu mempunyai
etnik-etnik mereka sendiri seperti Jawa, Minangkabau, Aceh juga Mandailing.
Pemerintah
Malaysia telah mendefinisikan masyarakat Melayu atau Melayu itu sebagai
penduduk pribumi Tanah Melayu atau kini Malaysia sebagai seseorang yang
bertutur bahasa Melayu, mengamalkan budaya Melayu serta beragama Islam. Pada
peringkat awal, masyarakat Melayu kebanyakannya tinggal di kawasan pedalaman,
pesisiran pantai dan kampung-kampung. Mereka mengamalkan kegiatan ekonomi
saradiri seperi penangkapan ikan, memungut hasil hutan dan yang paling popular
di kalangan masyarakat Melayu adalah menjadi petani iaitu penanam padi dan
sedikit yang menanam buah-buahan dan sayur-sayuran. Sehingga masuknya penjajah
British di Tanah Melayu, masyarakat Melayu masih lagi tinggal di kawasan luar bandar
dan sangat sedikit yang tinggal di bandar-bandar. Kegiatan ekonomi mereka juga
masih lagi tertumpu kepada sektor pertanian. Ekonomi kapitalis pada masa ini
adalah dipegang oleh orang British dan orang bukan Melayu seperti Cina dan
India.
Dari segi politik
pula, masyarakat Melayu pada zaman awal ini telah pun mempunyai sistem politik
mereka sendiri iaitu ada golongan pemerintah iaitu Sultan dan golongan di
perintah iaitu rakyat biasa. Pada masa ini masyarakat Melayu mengamalkan sistem
pemerintahan monarki di mana pemerintah dilantik berdasarkan keturunan dan
mempunyai kuasa mutlak dalam pemerintahan.
Dari segi
kepercayaan pula, masyarakat Melayu majoritinya adalah beragama Islam. Walaupun
pada peringkat awal, masyarakat Melayu mengamalkan kepercayaan anamisme dan
pengaruh hindu, kedatangan Islam dilihat telah mempengaruhi keseluruhan hidup
masyarakat Melayu. Tetapi, saki baki pengaruh Hindu masih lagi ada dan ini
dapat dilihat dalam istiadat perkahwinan orang Melayu, perubatan tradisional,
dan seni persembahan seperti wayang kulit, mak yong dan juga dari aspek
senibina.
Masyarakat
Melayu pada zaman awal ini sangat menekankan kepada sistem kekeluargaan. Dalam
hal ini masyarakat Melayu perlu menghormati orang yang lebih tua dan institusi
keluarga perlu dijaga kerana ia akan memberi kesan kepada keturunan selepasnya.
Selain daripada itu, jika dilihat dari segi pendidikan, masyarakat Melayu pada
peringkat awal mereka lebih tertumpu kepada pendidikan agama atau pendidikan
pondok.Pendidikan sekular untuk orang Melayu hanya diperkenalkan setelah
British menjajah Tanah Melayu di mana pendidikan sekolah Melayu dan sekolah
Inggeris diperkenalkan.
Siapakah Orang Cina?
Masyarakat Cina yang menjadi
penduduk Malaysia sekarang ini pada awalnya adalah berasal daripada negara
China. Orang Cina telah datang ke Tanah Melayu secara besar-besaran pada
abad-abad ke 15 sehinggalah ke abad ke-19 semasa penjajahan British. Orang Cina
sebenarnya telah datang ke Tanah Melayu sejak awal abad ke-13 lagi dengan
penemuan beberapa buah kerajaan Tanah Melayu yang menggunakan nama Cina seperti
Kerajaan Chih Tu di Kelantan dan Pan Pan di Terengganu. Semasa kegemilangan
Kerajaan Melayu Melaka pada abad ke-15, negeri China telah bersahabat baik
dengan kerajaan Melaka sehinggalah berlakunya perkahwinan antara keluarga
diraja China dengan Kerajaan Melayu Melaka. Semasa penjajahan British,
kebanyakan pendatang orang Cina adalah berasal dari China Selatan seperti dari
wilayah Guangdong dan juga Fujian. Mereka dibawa masuk oleh British untuk
bekerja di lombong bijih timah dan ada juga antara mereka yang terlibat dalam
sektor perdagangan di bandar-bandar. Di antara dialek utama orang Cina adalah
Hakka, Kantonis, Hokkien, Hainan dan Teochew. Kedatangan orang Cina ke Tanah
Melayu semasa penjajahan British seperti di Melaka dan Pulau Pinang telah
memperkenalkan satu kelompok yang baru iaitu Cina Peranakan atau Cina Selat
tetapi biasanya orang Malaysia menggelar mereka sebagai Cina Peranakan. Dalam
hal ini mereka pandai berbahasa Melayu dan memakai baju kebaya Melayu tetapi
masih mengekalkan amalan orang Cina. Sehingga kini orang Cina kebanyakan
bertumpu di pantai barat semenanjung seperti Selangor, Perak, Pulau Pinang,
Kuala Lumpur, Melaka dan Johor dan menceburkan diri dalam sektor perniagaan dan
perdagangan.
Siapakah
Orang India?
Masyarakat
India juga merupakan sebahagian daripada komponen masyarakat majmuk di
Malaysia. Mereka juga memainkan peranan penting dalam pembangunan negara ini
dari sejak merdeka hinggalah pada masa kini. Dari segi sejarah, kedatangan
orang India juga seiring dengan kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu yang
berlaku secara besar-besaran semasa penjajahan British. Sebagaimana orang Cina,
orang India juga telah masuk ke Tanah Melayu melalui penjajah British iaitu
mereka di bawa oleh British ke Tanah Melayu pada waktu itu untuk mengerjakan
ladang-ladang getah milik British dan ada juga di antara mereka yang melibatkan
diri dalam sektor perdagangan dan perniagaan di bandar-bandar. Secara asasnya,
orang India juga telah lama membuat hubungan perdagangan dengan Tanah Melayu
seawal abad ke-13 lagi tetapi pada masa ini kedatangan mereka adalah atas motif
perdagangan apabila merujuk kepada hubungan negara India dengan Kerajaan Melayu
Melaka. Hubungan negara India dengan Tanah Melayu sejak awal lagi dapat dilihat
dengan tersebarnya agama Hindu, senibina Hindu dan budaya Hindu yang diamalkan
oleh masyarakat Tanah Melayu pada waktu itu. Sebelum kemerdekaan kebanyakan
masyarakat India yang datang ke Tanah Melayu adalah berasal dari Selatan India
seperti Ceylon dan Sri Lanka. Ada juga yang datang dari Utara India. Mereka
terdiri daripada pelbagai etnik seperti Telugu, Malayalee, Gurjarati, Benggali,
Punjabi dan Sindhi. Apa yang membezakan orang India dan orang Cina adalah orang
India telah membentuk kasta antara mereka antaranya adalah chettiar.
Sebagaimana orang Cina, orang India juga ramai yang mendiami negeri-negeri
tertentu seperti Selangor, Perak, Johor, dan Pulau Pinang. Bilangan orang India
paling sedikit di negeri-negeri seperti Terengganu dan Kelantan. Kebanyakan
masyarakat India adalah beragama Hindu, dan ada juga yang beragama Kristian dan
Islam. Bahasa yang biasa digunakan oleh orang India di sini adalah bahasa
Tamil. Kedatangan orang India ke Tanah Melayu telah mewujudkan satu kumpulan
atau komuniti baru iaitu Chitty dan Mamak.
Harus diingat bahawa kedatangan
bangsa asing ke Tanah Melayu telah berlaku seawal abad ke-13. Pada masa ini
penghijrahan bangsa asing ke sekitar Kepulauan
Melayu dan pelbagai tempat. Pergerakan etnik yang berbeza ke pelbagai
tempat telah mewujudkan hubungan etnik yang erat khususnya melalui aktiviti
perdagangan iaitu sistem barter. Bukti kepada wujudnya kepelbagaian etnik di
Kepulauan Melayu pada masa ini adalah dengan wujudnya kerajaan-kerajaan besar
seperti Srivijaya dan Majapahit. Manakala di Tanah Melayu
pula dapat disaksikan dengan wujudnya kerajaan Pan Pan yang terletak di antara Terengganu dan Kelantan. Kerajaan
Pan Pan merupakan sebuah kerajaan Hindu. Bukti lain adalah dengan wujudnya
kerajaan Gangga Negara di Perak dan Lembah Bujang di Kedah. Semua kerajaan
ini merupakan kerajaan Hindu Buddha berdasarkan monument dan artifak yang
dijumpai. Selain penyebaran agama dan budaya Hindu Buddha, kerajaan-kerajaan ini juga melambangkan kewujudan
bangsa asing yang telah datang ke Tanah Melayu untuk berdagang dan pada masa
yang sama menyebarkan agama Hindu Buddha.
Kesultanan Melayu Melaka adalah
diasaskan oleh Parameswara sekitar tahun 1400-1403. Melaka pada peringkat awal
bukanlah sebuah kerajaan Islam tetapi telah bertukar menjadi sebuah kerajaan
Islam apabila Parameswara memeluk
Islam dan berkahwin dengan puteri Pasai. Perlantikan Sultan Muzaffar Syah telah menjadikan agama Islam sebagai agama
rasmi Kesultanan Melayu Melaka. Islam telah memberi cahaya dan jalan kepada
sistem pemerintahan yang lebih sistematik di mana organisasi pemerintahan,
sosial, ekonomi, perundangan dan budaya berasaskan Islam. Semasa
kegemilangannya, Melaka telah didatangi oleh pedagang Arab, Parsi, China, India, Jepun dan juga pedagang daripada Asia Barat dan Eropah sehingga dilapurkan terdapat lebih daripada 80 bahasa
dipertuturkan di Melaka pada waktu ini. Ini menunjukkan betapa ramainya etnik
atau bangsa yang datang berdagang di Melaka. Kedatangan pedagang ini bukan sahaja
atas dasar perdagangan, malahan kerajaan Melaka sendiri telah mengadakan
hubungan diplomatik dengan negara-negara seperti China dan India.
Pedagang-pedagang ini pula telah bercampur dengan masyarakat tempatan dan ada
di antaranya yang berkahwin dengan masyarakat tempatan, lalu berlakulah
penyerapan budaya masyarakat tempatan sama ada dari segi bahasa, budaya,
kesusasteraan, kesenian dan sebagainya. Melaka telah kalah di tangan Portugis pada 1511 dan Belanda pada 1641.
No comments:
Post a Comment