Assalamualaikum dan Selamat Datang ke Blog Saya

Blog ini diadakan khas untuk penulis berkongsi idea, pendapat dan kepakaran untuk pembaca semua. Diharap blog ini bermanfaat kepada semua khususnya kepada pelajar dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang ingin mendapat info yang berkaitan.

Ingin berkongsi info? bole emailkan ke hasnah@ump.edu.my. Saya merasa bangga kerana dapat berkongsi ilmu yang Allah berikan kepada saya untuk dikongsi dengan orang lain. Saya cuma berharap mereka yang membacanya turut sama mendoakan agar saya sentiasa sihat dan tidak berhenti meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan.




Tuesday 4 June 2013

Peringatan Untuk Orang Melayu



Sama ada kita ketahui atau tidak bangsa Melayu atau orang Melayu merupakan sebuah bangsa yang sangat besar dan bukannya tertumpu di kawasan Alam Melayu semata-mata. Nenek moyang orang Melayu telah mengembara ke seluruh pelusuk dunia sejak 4,000 tahun dahulu dan telah menetap di lebih 33 buah negara merangkumi Lautan Hindi dan juga Lautan Pasifik. Masyarakat Melayu yang dikatakan berketurunan dari Malay Polynesian ini telah mendiami negara-negara seperti Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Madagascar, Nauru, Tonga, Tuvalu, Kiribati, Marshall Island, Belau, Cook Island, Niue Island, Cocos, North Marianas, Guam, Ueva, Hooru, Tokelu, Samoa, Polynesia, Pitcairn, Easter, Hawai, Taiwan, New Zealand, Selatan Thai, Highland Middle of Vietnam, Myanmar Selatan, Selatan Afrika, Kambodia dan Sri Langka (Persidangan Melayu Polenisia Julai 2012).  Sememangnya bangsa Melayu perlu berbangga kerana nenek moyang mereka telah menyediakan asas kepada tanah tumpah darah mereka pada hari ini. Kini orang Melayu semakin maju kerana mereka kini telah menjadi bangsa yang tidak lagi buta huruf seperti zaman dahulu, celik teknologi, sentiasa mencipta idea dan benda baru setiap masa, dikenali oleh negara luar dan sebagainya. Tetapi, pada masa yang sama orang Melayu semua sila ambil perhatian!

Suatu ketika dahulu “bahasa jiwa bangsa” menjadi wadah perjuangan negara ini untuk memarbatkan bahasa Melayu yang menjadi lambang kekuatan bangsa Melayu. Apa tidaknya suatu masa dahulu bahasa Melayu menjadi bahasa “lingua franca” di rantau Asia Tenggara dan sekitarnya. Bayangkan bangsa asing yang datang berdagang semasa Kesultanan Melayu Melaka boleh berbahasa Melayu. Pada waktu ini bahasa Melayu menjadi antara bahasa antarabangsa yang sangat terkenal. Tapi kini, kedudukan bahasa Melayu telah dipinggirkan oleh bangsanya sendiri kerana tertipu oleh muslihat globalisasi. Amat memalukan kerana negara yang bukan tuan punya bahasa Melayu memainkan peranan memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat yang lebih tinggi. Mereka tidak segan silu menubuhkan Jabatan Bahasa Melayu untuk negara lain datang mempelajari bahasa Melayu yang pada mereka mempunyai nilai seni yang sangat halus serta mudah untuk dipelajari. Kini Bahasa Melayu telah gah digunakan di beberapa buah negara seperti Russia, Jepun, Australia dan China. Satu tamparan hebat buat masyarakat Melayu di negara ini.

Selain daripada bahasa Melayu, satu persoalan lagi yang timbul apakah tulisan orang Melayu dan di manakah tulisan orang Melayu sekarang ini? Tulisan rumi yang digunakan oleh segenap lapisan masyarakat pada hari ini adalah tulisan yang diperkenalkan dan dibawa oleh British semasa mereka menjajah negara ini suatu masa dahulu. Tulisan orang Melayu pada waktu itu adalah tulisan jawi. Tidak menghairankan apabila pegawai-pegawai British juga boleh menggunakan dan membaca tulisan jawi pada waktu itu. Lama-kelamaan, tulisan rumi telah mengambil alih tulisan jawi yang telah lama digunakan oleh orang Melayu. Ia kekal sehingga kini di mana tulisan jawi di Malaysia dilihat seakan hidup segan mati tak mahu di negara tumpah darahnya sendiri. Syabas kepada masyarakat Cina kerana mereka ada tulisan mereka sendiri begitu juga masyarakat India yang berbangga dengan tulisan mereka yang dikenali sebagai Sanskrit. Tapi bagi orang Melayu di manakah tulisan jawi?

Perhatian yang kedua untuk orang Melayu semua. Orang Melayu adalah masyarakat yang penuh adat dan beradab. Justeru itu, lahirlah dalam masyarakat Melayu perumpamaan “biar mati anak jangan mati adat”. Bagi mereka yang kurang memahami sudah pastinya akan menuduh mengapa orang Melayu sampai sanggup mati anak asalkan jangan hilang adat. Orang Melayu tak sayangkan anak ke? Tanggapan sebegini tidak betul. Apa yang dimaksudkan disebalik perumpamaan tersebut ialah orang Melayu sanggup mempertahankan adat dan anak-anak mereka juga akan dihukum jika melanggar adat. Adat ini pula janganlah pula bercanggah dengan ajaran agama Islam. Oleh itu dalam hal ini dikatakan “adat bersendi syarak, syarak bersendi Kitabullah.” Masyarakat Melayu zaman dahulu dikenali kerana mereka merupakan masyarakat yang penuh adab sopan dan bersifat lemah lembut. Segala tindakan dan perlakuan mereka dilhat begitu tersusun dan penuh tertib. Jadi sebagai masyarakat Melayu, adakah kita melihat pada hari ini anak betul-betul menghormati orang tua mereka, adakah mereka tahu dan patuh ajaran agama, adakah agama dipraktikkan dalam kehidupan seharian mereka. Adakah muda mudi pada hari ini memperlahankan suara apabila bercakap dengan orang dewasa, adakah mereka meminta izin daripada ibu bapa jika ingin keluar rumah? Itu baru beberapa adat atau adab yang semakin dilupakan oleh generasi masa kini. Jika ingin dibicarakan di sini ada banyak lagi adat dan adab sopan orang Melayu yang semakin terhakis.

Peringatan yang ketiga untuk orang Melayu. Orang Melayu pada zaman dahulu adalah pakar dalam bidang kelautan. Justeru itu mereka pandai membuat perahu atau jong. Orang Melayu juga merupakan bangsa yang pandai mencipta nilai-nilai kesusasteraan Melayu yang tinggi seperti sajak, syair dan pantun. Tetapi pada masa kini bagaimanakah nilai-nilai kesusasteraan Melayu? Adakah kerana sastera ciptaan Shakespeare lebih tinggi nilainya atau Harry Potter yang dikagumi oleh kanak-kanak pada hari ini. Di manakah letaknya kesusasteraan Melayu dalam karya seni negara? Begitu juga pantun. Pantun tanpa kita sedari merupakan tiang seri kepada kehalusan bahasa Melayu. Bagaimana masyarakat Melayu hendak memartabatkan seni pantun dalam era kegilaan remaja terhadap gajet-gajet yang pelbagai bentuk dan fungsi.? Sedangkan di luar negara, dikir barat, tarian asli Melayu, Zapin, Boria, Mak Yong dan lain-lain lagi begitu popular kepada orang luar.  

Wahai orang Melayu!.Masyarakat Melayu merupakan masyarakat yang kaya dengan budaya tradisional. Dahulu orang Melayu megah mempamerkan seni budaya Melayu seperti kuda kepang, Tarian Melayu Asli, Mak Yong, Dikir Barat, Boria, seni halus pembuatan songket dan batik, ukiran tangan dank hat dan banyak lagi. Apa yang nyata dapat dilihat orang Melayu mempunyai budaya dan seni yang halus berbanding dengan bangsa lain. Tidak hairanlah kalau Mat Salleh mengagumi adat dan budaya Melayu tersebut. Persoalannya di manakah kita hendak meletakkan seni halus kepunyaan masyarakat Melayu dahulu di negara yang rakyatnya tidak mahu lagi mewarisi seni tersebut. Lalu, jangan kita terkejut jika beberapa seni dan budaya kepunyaan orang Melayu diangkat oleh UNESCO sebagai antara kesenian yang perlu dipertahankan pada hari ini seperti Mak Yong.

Artikel ini telah disiarkan di akhbar Berita Harian pada 6/12/2012. Terima kasih Berita Harian.

No comments:

Post a Comment