Assalamualaikum dan Selamat Datang ke Blog Saya

Blog ini diadakan khas untuk penulis berkongsi idea, pendapat dan kepakaran untuk pembaca semua. Diharap blog ini bermanfaat kepada semua khususnya kepada pelajar dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang ingin mendapat info yang berkaitan.

Ingin berkongsi info? bole emailkan ke hasnah@ump.edu.my. Saya merasa bangga kerana dapat berkongsi ilmu yang Allah berikan kepada saya untuk dikongsi dengan orang lain. Saya cuma berharap mereka yang membacanya turut sama mendoakan agar saya sentiasa sihat dan tidak berhenti meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan.




Sunday, 2 June 2013

Apa Yang Ada Dalam Sejarah Malaysia?



Sebenarnya dari aspek akademik, segala peristiwa sejarah negara yang telah berlaku perlu digali dari semasa ke semasa. Ini memandangkan ada di antara fakta sejarah yang masih belum dibincangkan dan diperdebatkan secara terbuka. Di antara peristiwa-peristiwa utama dalam sejarah negara Malaysia adalah:



1. Sejarah Kedatangan Bangsa Asing
            Umum telah mengetahui mengenai kedatangan kuasa asing ke negara ini yang telah pun berlaku seawal abad ke-13. Kedatangan bangsa asing ini menjadi lebih dominan sejak masuknya penjajah British ke Tanah Melayu. Walaupun sebelum ini Tanah Melayu pernah dikuasai oleh Portugis dan Belanda, tetapi penjajah British paling berjaya dalam menakluki negara ini. Apa tidaknya mereka telah berjaya mengubah sistem politik, ekonomi dan sosial negara ini. Apabila membincangkan tentang penjajahan British di Tanah Melayu, seringkali kita menjumpai pandangan yang mengatakan British telah mengamalkan sistem “pecah dan perintah”. Persoalannya adakah benar British mengamalkan sistem tersebut atau masyarakat pada waktu itu yang memang sengaja untuk hidup terasing. Perkara seperti ini juga belum dibincangkan dengan secara meluas. Selain daripada itu banyak kisah-kisah sejarah negara ini telah ditulis oleh bangsa asing dan ini juga memerlukan kajian semula dibuat bagi memastikan tulisan tersebut tidak memihak kepada pihak-pihak yang berkepentingan. Perbincangan mengenai kedatangan bangsa asing ke Tanah Melayu selalunya bertumpu kepada masyarakat Cina dan India, sangat sedikit kajian dilakukan terhadap kaum minoriti yang lain seperti masyarakat Siam, Sikh, Jawa, Jepun dan sebagainya.

2. Sejarah Perkembangan Masyarakat Melayu
            Umum telah mengetahui mengenai asal usul keturunan masyarakat Melayu iaitu mereka merupakan kumpulan manusia yang berasal dari Kepulauan Melayu. Suatu masa dahulu dikatakan nenek moyang orang Melayu berasal dari Yunnan. Fakta ini telah digunakan untuk sementara dalam sejarah Melayu. Tetapi dengan adanya kajian terbaru kenyataan yang mengatakan nenek orang Melayu berasal dari Yunnan adalah salah dan apa yang nyata adalah mereka berasal dari Kepulauan Melayu. Dalam hal ini kajian yang mendalam berdasarkan sumber sejarah yang sahih adalah perlu dalam menegakkan sesuatu fakta sejarah. Selain daripada itu pandangan penulis barat juga mengatakan bahawa orang Melayu adalah bangsa yang malas dan tidak suka bekerja di bawah orang lain dan ini menjadi faktor kenapa orang Melayu mundur. Kenyataan ini juga telah berjaya disangkal oleh beberapa orang penulis tempatan bahawa pihak penulis barat menulis berdasarkan pemerhatian mereka dan ada juga terselit perasaan buruk sangka di kalangan mereka terhadap orang Melayu. Ini juga perlu diperjelaskan kepada generasi masa kini agar mereka tidak terpengaruh dengan dakyah barat.

3. Sejarah Pembentukan Masyarakat Majmuk
            Pembentukan masyarakat Malaysia pada hari ini mempunyai sejarah yang panjang. Penduduk Malaysia yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama, perlu dilihat dari aspek perkembangan sesuatu masyarakat itu sendiri. Masyarakat Cina dan India misalnya kehadiran mereka ke Tanah Melayu adalah kesan daripada kedatangan penjajah British. Pihak British mahu memperkembangkan sistem ekonomi kapitalis mereka lalu membawa masuk buruh dari China dan India untuk bekerja di Tanah Melayu. Daripada sinilah bermulanya masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Aspek yang sering kali dilihat apabila membincangkan tentang sejarah masyarakat majmuk di negara ini adalah perpaduan kaum, jarang sekali perbincangan ditumpukan kepada melihat peranan dan sumbangan setiap kaum kepada pembangunan negara.
4. Sejarah Perkembangan Ekonomi
            Dari segi sejarah, ekonomi negara ini telah banyak berubah daripada tradisi kepada moden. Kemodenan ekonomi juga telah menjadikan Tanah Melayu pada suatu masa dahulu sebagai pengeluar utama bijih timah dan getah dunia. Walaupun ekonomi moden ini kebanyakannya dipelopori oleh bangsa asing berbanding bangsa Melayu yang menjadi penduduk asal negara ini, kemodenan ekonomi telah banyak membantu memberi kemakmuran kepada negara ini. Ekonomi moden juga walaupun tidak banyak mengubah kedudukan orang Melayu pada peringkat awal, namun perubahan semakin terasa terutamanya beberapa dekad yang lalu. Perbincangan yang selalu dicanangkan mengenai ekonomi Malaysia adalah berkisar kepada keadilan ekonomi untuk semua kaum, dan jarang sekali kita membincangkan tentang sejarah kemelesetan ekonomi yang pernah berlaku di negara ini. Kemelesetan ekonomi yang berlaku pada tahun-tahun 1930-an dan 1996/1997 perlu dibuat perbandingan untuk kita melihat tahap kegawatan pada tahun bilakah yang begitu memberi kesan mendalam kepada penduduk negara ini. Ini sangat penting untuk kita belajar bagaimana untuk menghadapi saat kegawatan ekonomi. Setiap peristiwa kegawatan ekonomi mempunyai pengajaran disebaliknya.
            Selain daripada itu kajian juga boleh dilakukan untuk kita melihat bagaimana Kerajaan merancang perbelanjaan negara, siapakah yang mendominasi perbelanjaan negara dan boleh dilihat apakah perkara yang sentiasa mendapat peruntukan yang lebih dalam perbelanjaan negara.

5. Sejarah Perkembangan Politik
            Sejarah perkembangan politik negara ini sangat banyak dan begitu kompleks. Bermula dari zaman Kesultanan Melayu Melaka sehinggalah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, perkembangan politik rakyat negara ini memperlihatkan kematangannya terutamanya apabila rakyat negara ini yang terdiri dari pelbagai kaum mempunyai parti politik mereka sendiri yang mewakili kepentingan setiap kaum, perjuangan parti yang berbeza-beza, serta kepentingan kaum menjadi lebih penting daripada kepentingan negara. Secara amnya perbincangan mengenai perkembangan politik di negara ini lebih berkisarkan kepada sistem politik itu sendiri tanpa mengadakan lebih banyak kajian terhadap pemikiran rakyat terhadap politik. Kajian sepatutnya dilakukan bagi mengenal pasti bagaimana arus politik berubah disebabkan oleh perubahan pemikiran rakyat. Selain daripada itu, kajian juga perlu melihat kepada apakah isu-isu politik yang menjadi penghalang kepada pembangunan negara secara keseluruhannya.

6. Sejarah Sosial Rakyat Malaysia
            Pada masa kini sudah ada kesedaran untuk mengangkat sejarah sosial di Malaysia. Ada banyak aspek yang boleh kita kaji dari sudut sosial. Antara yang telah banyak diperbincangkan sebelum ini adalah mengenai sejarah perkembangan pendidikan daripada pendidikan pondok, agama sehinggalah ke pendidikan vernacular. Selain daripada itu ada juga tulisan mengenai sejarah perkembangan infrastruktur, sejarah kesihatan, serta sejarah mengenai peranan wanita. Sebenarnya ada banyak perkara lagi yang boleh kita kaji dalam aspek sejarah sosial ini seperti sejarah jabatan kebajikan masyarakat, warga tua, hospital bahagia, perkahwinan dan perceraian, pelacuran dan sebagainya. Semua ini dapat memberikan kita fakta tentang pembangunan sosial di negara ini daripada sebelum merdeka hinggalah selepas merdeka.

7. Sejarah Perkembangan Pendidikan
            Pendidikan di negara ini juga merupakan suatu aspek yang menarik untuk dikaji. Justeru itu kita lihat telah banyak kajian yang dibuat mengenai sistem pendidikan di Malaysia daripada zaman penjajahan hinggalah ke zaman selepas merdeka. Ada yang melihat perkembangan pendidikan Tamil, Pendidikan Cina dan Pendidikan Melayu. Tidak ketinggalan juga pendidikan agama yang memfokuskan kepada persekolahan pondok. Ada juga kajian yang menjuruskan kepada peranan individu tertentu dalam pembangunan pendidikan. Walau apa pun aspek yang dikaji mengenai pendidikan, satu perkara yang kita tidak boleh lupa adalah sejauhmanakah sistem pendidikan di negara ini mampu memupuk perpaduan rakyat di negara ini dan sejauhmanakah sistem pendidikan negara perlu berubah selari dengan tuntutan zaman.

8. Sejarah Kemerdekaan Negara
            Antara intipati dalam perbincangan mengenai sejarah kemerdekaan negara adalah seperti proses-proses yang berlaku sebelum kemerdekaan seperti pembentukan Malayan Union, Perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu, Rundingan Baling, penubuhan parti-parti politik, pilihanraya serta Rombongan Tunku ke London. Sejarah mengenai kemerdekaan negara ini juga telah dirakamkan oleh Tunku Abdul Rahman melalui bukunya “The Road to Independence”.. Satu perkara yang perlu dibuat kajian semula adalah adakah pihak British ingin memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada tahun 1957 tersebut ataupun British telah membuat keputusan untuk membebaskan Tanah Melayu lebih awal dari itu? Adakah British yang telah memberi laluan untuk Tanah Melayu merdeka ataupun disebabkan oleh usaha Tunku Abdul Rahman?

9. Sejarah Penubuhan Malaysia
            Dalam konteks sejarah penubuhan Malaysia pada tahun 1963, pengisiannya adalah mengenai mengapakah Malaysia hendak ditubuhkan serta kelebihan ditubuhkan Malaysia yang mengandungi Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Tidak ketinggalan juga perbincangan dilakukan terhadap tentangan dan halangan-halangan yang dihadapi dalam usaha untuk menubuhkan Malaysia. Ada juga kajian yang dilakukan terhadap isu-isu yang berbangkit selepas Malaysia ditubuhkan serta pengeluaran Singapura daripada Malaysia. Sebenarnya masih banyak kajian perlu dilakukan mengenai sejarah penubuhan Malaysia. Antaranya kita melihat bagaimanakah sambutan masyarakat Tanah Melayu secara keseluruhannya serta kajian mengenai isu-isu penubuhan Malaysia dalam akhbar-akhbar Melayu pada tahun 1963. Jika dilihat terdapat banyak perbincangan mengenai isu ini dalam akhbar seperti Berita Harian dan Utusan Melayu.

10. Sejarah Pembentukan Perlembagaan
            Dari aspek sejarah pembentukan Perlembagaan Malaysia, perbincangan biasanya ditumpukan kepada bagaimanakah terbentuknya Perlembagaan yang memang berkait rapat dengan kemerdekaan negara. Selain daripada itu perbincangan juga melihat kepada pembentukan perkara-perkara yang terdapat dalam Perlembagaan, serta Peruntukan Utama dalam Perlembagaan. Antara perkara baru yang perlu dikaji mengenai Perlembagaan negara Malaysia adalah sejauhmanakah pindaan-pindaan terhadap Perlembagaan telah memberi kesan kepada pembangunan negara dan masyarakat serta penerimaan masyarakat terhadap pindaan perlembagaan.

11. Sejarah Pilihanraya di Malaysia
            Sejarah pilihanraya di Malaysia sangat menarik untuk dikaji dan dipelajari. Sejak Tanah Melayu merdeka sehingga kini, Malaysia boleh dijadikan negara contoh pengamalan pilihanraya yang aman. Perbincangan mengenai sejarah pilihanraya di Malaysia biasanya berkisar tentang faktor-faktor diperkenalkan pilihanraya, permulaan pilihanraya di Tanah Melayu, parti-parti yang bertanding serta pembentukan Kerajaan yang memerintah. Antara perkara yang perlu kita selitkan dalam perbincangan mengenai sejarah pilihanraya di Malaysia adalah mengenai perjalanan pilihanraya di Malaysia daripada pilihanraya pertama sehinggalah ke hari ini. Beberapa aspek perlu dilihat dalam perjalanan pilihanraya adalah apakah kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh parti-parti yang bertanding dalam setiap pilihanraya, kempen-kempen pilihanraya, isu-isu pilihanraya serta penglibatan rakyat dalam pilihanraya. Perkara penting seperti sejauhmanakah isu dan kempen memainkan peranan dalam meningkatkan bilangan undi untuk sesuatu parti. Kajian sebegini mungkin boleh membantu parti-parti yang akan bertanding mengatur strategi untuk menghadapi pilihanraya yang akan datang.     

12. Sejarah Kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka
Sejarah mengenai kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka sudah biasa dan banyak dibincangkan terutamanya di dalam buku. Antaranya seperti Mohd. Yusoff Hashim, ”Wira Melayu Dalam Konteks Patriotisme Zaman Kesultanan Melaka” dan Kesultanan Melayu Melaka. Perbincangan mengenai sejarah kesultanan Melayu Melaka adalah berkisar kepada sistem politik, ekonomi dan sosial masyarakat pada zaman tersebut, faktor-faktor kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka, peranan pembesar dan bendahara Melaka, Kejatuhan Kerajaan Melaka dan kedatangan Portugis serta Belanda ke Melaka, Melaka sebagai pusat perkembangan agama Islam, Puteri Hang Li Po, konsep Taat Setia dan Derhaka, dan beberapa watak wanita dalam Kerajaan Melayu Melaka. Tidak ketinggalan ada juga yang mengkaji mengenai keturunan Baba dan Nyonya di Melaka. Beberapa perkara lain yang masih lagi belum digali secara mendalam adalah kemajuan Melaka semasa berada di bawah penjajahan British iaitu negeri Melaka sebagai anggota negeri-negeri Selat.

13. Sejarah Pendudukan Jepun di Tanah Melayu
            Sejarah mengenai pendudukan Jepun di Tanah Melayu adalah berkisar kepada faktor-faktor yang menyebabkan Jepun ingin menduduki Tanah Melayu, Strategi jepun menduduki Tanah Melayu, bentuk pentadbiran di bawah pemerintahan Jepun, penyeksaan penduduk tempatan oleh tentera-tentera Jepun dan yang paling menghairankan kita semua adalah bagaimana mereka boleh memasuki Tanah Melayu dalam masa yang sungguh singkat dan sangat terancang. Tetapi ada satu aspek yang perlu kita lihat dan kaji adalah bagaimana hubungan Jepun dan Tanah Melayu selepas pendudukan Jepun selepas itu maksudnya selepas kemerdekaan. Ini penting sebenarnya untuk kita melihat perubahan dalam hubungan persahabatan dan perdagangan antara Malaysia dan Jepun. Umum telah mengetahui bahawa Jepun pada masa ini merupakan rakan dagang utama Malaysia. Kajian juga perlu melihat bagaimana musuh boleh berubah menjadi rakan dagang.

14. Sejarah Kedatangan Agama Islam di Tanah Melayu
            Sejarah kedatangan agama Islam ke Tanah Melayu juga sangat menarik. Kedatangan Islam ke alam Melayu merupakan satu anugerah yang tidak ternilai harganya kerana ia telah berjaya mengubah pemikiran masyarakat di negara ini khususnya masyarakat Melayu yang sebelum itu sangat kuat dipengaruhi oleh kepercayaan anamisme dan karut yang mana ia telah membantutkan orang Melayu untuk terus maju ke hadapan. Walaubagaimanapun setelah kedatangan Islam, pada peringkat awal masyarakat Melayu masih lagi mengamalkan kepercayaan karut. Ada juga di sesetengah kawasan berlaku perselisihan pendapat dan pemikiran seperti perbalahan antara Kaum Tua dan Kaum Muda. Walaupun ada cabaran dan halangan, agama Islam tetap berkembang di Tanah Melayu. Satu persoalan mengenai Islam di Tanah Melayu adalah, adakah Islam itu hanya kepunyaan orang Melayu semata-mata? Bagaimana penerimaan masyarakat Cina dan India? Adakah mereka tidak diberi peluang untuk menerima ajaran Islam sebagaimana orang Islam. Apakah ada masyarakat Cina dan India muslim yang datang ke negara ini menyebarkan agama Islam pada waktu itu? Persoalan-persoalan seperti ini sangat menarik dalam perbincangan kita mengenai sejarah perkembangan Islam di Tanah Melayu.

15. Sejarah Pemerintahan British di Tanah Melayu
            Sebagaimana sejarah pendudukan Jepun di Tanah Melayu, pemerintahan dan penjajahan British di negara ini juga sangat penting dalam pembelajaran mengenai sejarah Malaysia. Pada peringkat awal sejarah mengenai penjajahan British di Tanah Melayu banyak ditulis oleh penulis atau pentadbir British seperti Stamford Raffles, R. O Winstedt, R.J. Wilkinson, W.R. Roff, dan banyak lagi. Justeru itu kita khuatir mungkin ada bias di sana sini. Ini adalah suatu masalah dalam pengkajian mengenai sejarah awal Tanah Melayu, tetapi dengan adanya beberapa kajian yang dibuat oleh penulis tempatan, beberapa perkara/fakta telah dibuktikan kebenarannya. Salah satu perkara yang perlu kita fikirkan bersama mengenai penjajahan British di Tanah Melayu adalah adakah mereka sengaja membiarkan masyarakat Tanah Melayu yang terdiri dari bangsa Melayu, Cina dan India hidup berasingan atau masyarakat itu sendiri yang memilih untuk hidup berasingan dan melakukan kegiatan ekonomi dan sosial mengikut kehendak dan minat mereka dan bukannya atas arahan pemerintah British. Perkara ini juga perlu dibincangkan secara lebih mendalam bagi memperbetulkan fakta yang mengatakan British mengamalkan sistem pemerintahan pecah dan perintah.

Kesimpulan
            Sebenarnya masih ada banyak lagi elemen-elemen sejarah negara yang belum diketengahkan kepada umum. Untuk itu sejarawan di Malaysia sentiasa berusaha untuk menggali kisah-kisah sejarah untuk tatapan masyarakat Malaysia terutamanya generasi muda. Malaysia sebenarnya masih kekurangan sejarawan untuk menggali kisah-kisah sejarah negara. Sejarah sebenarnya sangat penting untuk kita mendidik masyarakat agar mereka boleh meramalkan apa yang akan berlaku di masa hadapan berdasarkan fakta-fakta sejarah. Ramalan mengenai apa yang akan berlaku di masa hadapan adalah sangat penting dalam usaha negara merangka pembangunan negara pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment