Assalamualaikum dan Selamat Datang ke Blog Saya

Blog ini diadakan khas untuk penulis berkongsi idea, pendapat dan kepakaran untuk pembaca semua. Diharap blog ini bermanfaat kepada semua khususnya kepada pelajar dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang ingin mendapat info yang berkaitan.

Ingin berkongsi info? bole emailkan ke hasnah@ump.edu.my. Saya merasa bangga kerana dapat berkongsi ilmu yang Allah berikan kepada saya untuk dikongsi dengan orang lain. Saya cuma berharap mereka yang membacanya turut sama mendoakan agar saya sentiasa sihat dan tidak berhenti meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan.




Sunday 2 June 2013

Peranan Sejarah Dalam Pembangunan Soft Skills Pelajar



Apakah kemahiran soft skills yang boleh dibangunkan melalui pendidikan sejarah? Di antara kemahiran diri yang mana pelajar sejarah boleh bangunkan adalah:
a.       Kebolehan untuk berkomunikasi sama ada dalam percakapan dan penulisan
b.      Kemahiran untuk bekerja dengan orang lain
c.       Kemahiran dalam mencari sebab, menyusun dan menganalisa maklumat
d.      Keyakinan diri
e.       Kemahiran penyelidikan
Kebolehan untuk berkomunikasi sama ada dalam percakapan dan penulisan
Sejarah akan membantu seseorang pelajar untuk memperbaiki kemahiran dalam bidang penulisan dan percakapan yang mana sangat diperlukan dan begitu relevan apabila bekerja di sektor awam atau swasta. Dalam hal ini kebolehan untuk mengenalpasti, mentafsir dan menerangkan mengenai sesuatu trend/peristiwa adalah sangat diperlukan. Tidak dinafikan semua sektor pekerjaan memerlukan kebolehan tersebut, dan melalui sejarah, seseorang itu dididik dari awal untuk mencari, menganalisa, mengintepretasi data dan mempersembahkan data tersebut berdasarkan bukti-bukti yang diperolehi. Pengalaman ini secara tidak langsung akan memberikan pelajar keyakinan untuk mempraktikkannya dalam dunia pekerjaan yang sebenar.
Kemahiran untuk bekerja dengan orang lain
            Mempelajari sejarah mengenai latarbelakang masyarakat lain akan memberikan pelajar kemahiran untuk bekerja dengan orang lain daripada pelbagai bangsa, budaya dan latarbelakang. Kemahiran ini sangat diperlukan oleh majikan pada masa kini memandangkan dunia pekerjaan pada hari ini melibatkan pelbagai bangsa dan budaya, apatah lagi negara Malaysia yang terdiri dari masyarkat majmuk. Pada masa ini kebanyakan syarikat antarabangsa yang ada di Malaysia juga menggunakan pekerja dari pelbagai bangsa dan ugama. Oleh itu para pelajar perlu bersiap sedia untuk bekerja dalam syarikat multinasional serta berupaya untuk berinteraksi dan bekerjasama dengan orang lain.

Kemahiran dalam mencari sebab, menyusun dan menganalisa maklumat
            Melalui pembelajaran sejarah, seseorang itu akan diberikan tugasan untuk mengkaji sesuatu peristiwa atau perkara yang telah berlaku. Bagi menjayakan tugasan ini, beberapa perkara yang perlu diambil kira adalah pelajar perlu mencari apakah sebab berlakunya peristiwa, menyusun data dan menganalisa maklumat tersebut untuk dijadikan sebagai isi perbincangan. Melalui tugasan ini pelajar akan dinilai sejauhmanakah mereka mampu mencari, menyusun, menganalisa serta mempersembahkan hasil kajian mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

Kebolehan Untuk Mengakses Bukti

      Pembelajaran sejarah sebenarnya boleh memberikan pengalaman dalam mencari bahan bukti yang terdiri dari pelbagai sumber. Selain daripada itu pelajar sejarah juga akan belajar mengenai bagaimana untuk menterjemahkan sesuatu fakta menjadi satu bukti yang kukuh. Pelajar juga akan belajar bagaimana untuk menggabungkan pelbagai bukti yang berbagai-bagai jenis dan berbeza seperti kenyataan umum, rekod-rekod rahsia, data-data yang terdiri dari periodisasi dan sebagainya akan menolong membolehkan pelajar membuat hujah yang tepat berdasarkan pelbagai jenis data yang ada. Kemahiran seperti ini juga boleh digunakan dalam pekerjaan dan kegiatan seharian kita. Keadaan ini juga membolehkan seseorang itu menaksirkan kebenaran dalam setiap kerja yang dilakukan terutamanya dalam bidang pekerjaan.

Kebolehan Untuk Mentafsirkan Konflik
            Mempelajari sejarah bermakna kita akan mendapat kemahiran untuk memilih melalui kepelbagaian, terutamanya dalam mengintepretasi konflik yang berlaku. Memahami bagaimana sesuatu masyarakat berfungsi serta mempelajari bagaimana untuk mengenalpasti dan mentafsir konflik merupakan kemahiran yang sangat penting. Dalam sejarah banyak berlaku peristiwa konflik dan hampir seluruh dunia menghadapi masalah tersebut. Setiap konflik yang berlaku dalam sesuatu masyarakat mempunyai sebab yang tersendiri berdasarkan budaya dan tamadun negara tersebut. Tetapi kesemua konflik yang berlaku mempunyai sebab, kesan dan jalan penyelesaiannya. Justeru itu pelajar sejarah berpeluang untuk mempelajari berbagai aspek mengenai konflik yang berlaku dan ini memberikan mereka keyakinan untuk menyelesaikan sesuatu konflik yang timbul berdasarkan kepada sejarah konflik yang pernah berlaku.

Pengalaman Dalam Mentafsir Perubahan Lampau
            Pengalaman dalam mentafsir perubahan dalam perkara atau peristiwa lampau sangat penting untuk kita memahami perubahan masyarakat pada hari ini. Ia merupakan kemahiran yang sangat diperlukan dalam dunia yang sentiasa berubah. Analisa mengenai perubahan bermaksud membangunkan beberapa keadaan untuk menentukan saiz dan kepentingan perubahan yang berlaku pada masa tersebut. Membezakan perubahan di masa lalu dengan masa kini akan menolong pelajar sejarah membangunkan kemahiran mentafsir masa lampau untuk kegunaan di masa kini. Contohnya perubahan dalam inovasi teknologi, pengenalan polisi-polisi baru, perubahan cuaca dan sebagainya perlu melihat kepada mengapakah perubahan perlu dilakukan bagi memastikan sesuatu ciptaan atau teknologi diterima oleh masyarakat. Sejarah juga memberikan kita maklumat mengenai latar belakang sesuatu institusi politik, nilai-nilai dan masalah-masalah yang memberi kesan kepada kesejahteraan masyarakat kita pada hari ini Ia juga membantu kita menggunakan kebolehan yang ada untuk menggunakan bukti, mentaksir intrepretasi dan menganalisis perubahan dan kesinambungan. Dalam hal ini hanya sejarah yang boleh mengaitkan masa dahulu dengan masa kini


Keyakinan diri
            Mempelajari sejarah akan memberi peluang kepada pelajar untuk membentangkan hasil kajian dan melahirkan pendapat di sebalik sesuatu peristiwa yang berlaku di dalam kelas. Di peringkat yang lebih tinggi, pelajar sejarah dapat membentangkan hasil kajian tersebut kepada masyarakat massa dan ini secara tidak langsung akan melatih pelajar mengenai keyakinan diri dalam mengeluarkan idea dan pendapat. Apa yang penting dalam hal ini adalah kebolehan pelajar untuk membentangkan sesuatu isu berdasarkan bukti dan fakta yang sahih. Apatah lagi sejarah adalah bidang yang memerlukan kita berhujah berdasarkan fakta, dan kebolehan mengakses serta menyampaikan fakta dengan berkesan memberikan keyakinan diri yang tinggi apabila berhadapan dengan situasi yang sukar.

Kemahiran penyelidikan
            Sejarah banyak melibatkan penyelidikan, kerana melalui penyelidikanlah terbitnya banyak kajian-kajian sejarah mengenai negara ini seawal abad ke-13. Semua pelajar yang mengambil subjek sejarah terutamanya di peringkat pengajian tinggi, dimestikan membuat kajian atau penyelidikan mengenai sejarah. Walaupun kajian sejarah berbeza antara kajian di peringkat sarjana muda, sarjana dan Doktor Falsafah namun ia tetap memberikan pengalaman kepada pelajar sejarah untuk membuat penyelidikan. Membuat penyelidikan merupakan satu pengalaman yang sangat berharga memandangkan melalui penyelidikan seseorang itu dapat merasakan bagaimana untuk mencari data sebagai bukti, mengumpul, menganalisis dan seterusnya membuat intrepretasi terhadap kajian tersebut. Ini penting kerana penyelidikan berperanan untuk menaikkan nama seseorang individu dan juga institusi terhadap penemuan-penemuan baru hasil kajian yang telah mereka jalankan. Penyelidikan sebenarnya bukan sahaja dapat menghasilkan ilmu-ilmu baru bahkan ia juga dapat memberikan pengalaman dan kemahiran dalam menjalankan penyelidikan.

Kesimpulan
            Tidak kira apa jua bidang, seseorang pelajar akan membina beberapa kemahiran yang diperlukan semasa proses pembelajaran dan semasa memasuki alam pekerjaan. Semua kemahiran ini perlu dipelajari sejak dari awal lagi dan yang lebih penting semasa proses pembelajaran. Dalam hal ini sepertimana subjek-subjek lain, sejarah juga berupaya mendidik dan membina beberapa kemahiran soft skills yang diperlukan oleh majikan pada hari ini sama ada di peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa. Kemahiran soft skills yang dibina oleh pendidikan sejarah ini juga telah diiktiraf diperingkat antarabangsa. Justeru itu, kemahiran soft skills yang didapati dari pendidikan sejarah ini diharapkan dapat menambah nilai kepada kemahiran-kemahiran lain yang diperlukan di alam pekerjaan nanti.

No comments:

Post a Comment