Kaitan Sejarah Negara dan Generasi Masa Kini
a. Pengetahuan Mengenai
Sejarah Latarbelakang Pembentukan Negara
Setiap
warganegara Malaysia
tidak kira keturunan, faktor usia, ataupun apa jua profesion dan tingkat
pendidikan seseorang, mereka perlu mengetahui sejarah latar belakang
pembentukan negara. Ini kerana peristiwa sejarah yang telah berlaku sebenarnya
banyak menyimpan pengajaran yang boleh dijadikan iktibar kepada generasi masa
kini agar tidak mengulangi kesilapan yang telah dilakukan sebelum ini. Banyak
peristiwa sejarah negara sejak zaman kesultanan Melayu Melaka, zaman penjajahan
sehinggalah ke perjuangan menuntut kemerdekaan serta peristiwa penubuhan Malaysia ada
kisah dan pengajaran yang tersendiri. Antaranya ialah konsep kerjasama dalam
mengukuhkan kedudukan bangsa. Dalam sejarah perjuangan bangsa, Sultan, pembesar
negeri, pemimpin pertubuhan dan rakyat jelata semuanya berganding bahu
membebaskan tanahair dari penjajahan. Generasi masa kini sepatutnya menghayati
dan menghargai pengorbanan yang telah dilakukan oleh beberapa tokoh terkenal
seperti Datuk Bahaman (Pahang), Abdul Rahman Limbong (Terengganu), Tok Janggut
(Kelantan), Mat Kilau (Pahang), Dato’ Maharaja Lela (Perak), Mat Salleh (Sabah),
manakala perjuangan oleh golongan yang berpendidikan tinggi seperti Ibrahim
Yaakub , Ahmad Boestamam, Za’ba dan sebagainya perlu dipelajari oleh generasi
masa kini akan corak perjuangan mereka dalam membebaskan tanahair dari
penjajahan dan pada masa yang sama berjuang memajukan bangsa sendiri. Bukan itu
sahaja, akhbar dan majalah juga menjadi medan
untuk menyebarkan semangat patriotik kepada rakyat jelata. Ini dapat dilihat
pada peranan yang dimainkan oleh akhbar Warta Malaya, Majlis, Majalah Guru, dan
beberapa akhbar dan majalah yang tidak dapat disebutkan di sini. Peristiwa
penjajahan di Tanah Melayu pula memberi pengajaran agar kita tidak mengulangi
kesilapan masa lampau. Salah satu kelemahan negara ini dijajah pada waktu itu
adalah disebabkan oleh kelemahan bangsa negara ini sendiri iaitu lemah dari
segi minda, perpendidikan rendah, perpecahan antara kaum dan bangsa serta
kelemahan dari segi politik dan ekonomi. Generasi masa kini perlu mempelajari
kebijaksanaan pemimpin terdahulu menggunakan minda untuk memerdekakan negara dari
penjajah. Ini menunjukkan betapa pentingnya rakyat zaman dahulu menggunakan
akal fikiran untuk menawan hati penjajah demi membebaskan tanahair yang
tercinta. Selain daripada itu, peristiwa
proses kemerdekaan tanahair juga memperlihatkan bangsa dahulu memperjuangkan
pembinaan sebuah negara bangsa melalui usaha menyatupadukan kaum. Contohnya
Dato’ Onn yang telah menggembelingkan usaha mengumpul semua bangsa dan agama
yang ada di Tanah Melayu untuk berjuang menentang Malayan Union. Malahan usaha
ini telah disambung oleh Tunku Abdul Rahman dalam usaha untuk memerdekakan
Tanah Melayu dengan cara mengadakan rundingan dengan pihak British dan Komunis.
Justeru itu, generasi masa kini tidak kira apa profession sama ada golongan
professional atau tidak professional semuanya ada peranan masing-masing. Siapa
kata golongan professional seperti jurutera misalnya tidak ada kaitan
mempelajari sejarah negara dengan profesion mereka? Sebenarnya jurutera
mempunyai tempat dalam sejarah negara sejak dulu lagi. Lihat saja kepada
pembangunan negara dari segi infrastrukturnya dari dulu sehingga sekarang.
Siapakah yang telah membina dan merekacipta lanskap bangunan-bangunan di negara
ini kalau bukan jurutera. Seseorang jurutera yang mempunyai semangat patriotik
dan tahu tanggungjawabnya kepada negara akan membina infrastruktur dan
bangunan-bangunan yang akan menjadi kebanggaan negara dan pada masa yang sama
memberi faedah kepada pembangunan bangsa dan negara dan bukannya mencipta
sesuatu yang boleh merosakkan dan meruntuhkan negara. Selain daripada itu
dengan mempelajari sejarah negara, seseorang jurutera itu akan dapat memahami
konsep perkembangan dan perubahan masyarakat. Ini secara tidak langsung akan
memberi panduan kepada jurutera untuk menghasilkan ciptaan yang memenuhi citarasa
dan keperluan negara pada masa akan datang.
b. Pengetahuan mengenai Dasar-dasar Negara
Semua generasi
golongan professional atau tidak professional perlu memahami dan mengetahui
dasar-dasar pembangunan Negara yang telah dirancangkan oleh kerajaan sebelum
ini. Melalui dasar-dasar ini rakyat akan mengetahui hala tuju kerajaan dalam pembangunan
negara. Semua generasi sebenarnya terlibat dengan dasar-dasar kerajaan kerana
dasar-dasar ini tidak akan berjaya tanpa sokongan daripada semua rakyat.
Golongan professional misalnya jurutera perlu memahami apa yang ingin
dibangunkan kerajaan melalui dasar perindustrian negara khususnya dalam usaha
memajukan sektor perindustrian di Malaysia. Dengan mempelajari dan menghayati
objektif dasar tersebut akan membantu jurutera merangka sesuatu projek
berdasarkan kerangka yang ditetapkan oleh kerajaan dan negara. Manakala
golongan pendidik pula perlu mengetahui dan memahami dasar pendidikan negara
yang menjadi teras kepada pembangunan sistem pendidikan di Malaysia dari dahulu
hingga sekarang. Begitu juga dengan pekerja di sektor kerajaan semuanya adalah
tertakluk kepada dasar awam yang telah digariskan oleh pemimpin kita sebelum
ini. Golongan pekerja swasta juga tidak terkecuali di mana mereka juga perlu
memahami apakah yang hendak dicapai oleh negara melalui dasar penswastaan,
dasar persyarikatan, Dasar Pandang ke Timur dan sebagainya.
c. Pengetahuan Mengenai Sejarah Pembentukan Perlembagaan
Negara
Setiap
warganegara Malaysia
perlu memahami bahawa negara ini adalah sebuah negara yang berdaulat. Segala
perlakuan adalah tertakluk kepada undang-undang negara. Teras kepada
pembentukan undang-undang negara adalah dengan lahirnya Perlembangaan
Persekutuan Malaysia.
Sejarah pembentukan Perlembagaan negara juga mempunyai sejarah yang panjang
dimana pembentukannya adalah hasil dari tolak ansur antara kaum di Tanah Melayu
pada waktu itu yang terdiri dari orang Melayu, Cina dan India. Semua pihak saling menerima
di antara satu sama lain. Melalui perjanjian ini juga setiap bangsa tidak akan
mempersoalkan lagi apa yang telah dipersetujui bersama seperti perkara mengenai
bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, Agama Islam sebagai agama rasmi
negara serta hak-hak istimewa orang Melayu dan begitulah sebaliknya orang
Melayu juga menerima hak –hak istimewa kaum lain di negara ini. Justeru itu,
generasi yang lahir selepas pembentukan Perlembagaan ini tidak boleh
mempersoalkan semula perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama. Segala
bangkangan atau penolakan semula terhadap isu-isu tersebut oleh generasi
selepasnya dianggap mencabuli perjanjian yang telah ditetapkan bersama. Perlu
diketahui umum bahawa segala hal yang berkait dengan isu tersebut jika
dibangkitkan semula akan menimbulkan banyak masalah kepada negara dan pada masa
yang sama akan menggugat keamananan negara. Generasi masa kini perlu ingat
bahawa pergolakan dan perbalahan antara kaum akan menyebabkan negara menjadi
lemah dan tidak stabil dan faktor ini akan digunakan oleh musuh negara untuk
campurtangan hal ehwal politik negara ini. Generasi yang celik sejarah akan
dapat melihat bahawa kelemahan ini akan digunakan oleh pihak tertentu untuk
menjajah negara ini semula kerana sejarah penjajahan di negara ini berlaku
disebabkan setiap bangsa dan kaum negara ini yang tidak bersatu padu dan
berpecah belah. Sejarah telah membuktikan sebelum kemerdekaan orang Melayu,
Cina dan India
hidup dalam kelompok mereka sendiri dan tidak bercampur di antara satu sama
lain. Justeru itu, generasi baru yang bakal menjadi pemimpin negara perlu bijak
menguruskan negara yang terdiri dari pelbagai kaum agar setiap bangsa memahami
kedudukan dan peranan masing-masing.
d. Waspada Terhadap Kesan Globalisasi
Abad
ini menyaksikan kepesatan arus globalisasi yang terpaksa dihadapi dan diharungi
oleh semua negara di dunia tidak kira ia negara maju, membangun atau mundur.
Apakah maksud globalisasi? Sehingga kini kebanyakan ahli akademik dan
penyelidik masih belum menemui definisi yang jelas dan disepakati umum mengenai
maksud globalisasi. Walaubagaimanapun maksud globalisasi boleh diringkaskan
sebagai suatu proses pengantarabangsaan politik, ekonomi, budaya, ideologi,
sosio-budaya dan sebenarnya banyak benda lagi boleh diglobalisasikan seperti knowledge,
money, goods, services, human rights, institutions dan sebagainya ( Prof. Datuk Osman Bakar,
“Pengaruh Globalisasi Terhadap Peradaban”). Bagaimana pula dengan kesan
globalisasi ke atas negara kita? Apa kaitan globalisasi dengan sejarah? Ini
adalah persoalan yang baru dan kita perlu melihatnya dalam konteks yang lebih
luas tetapi tidak lari dari skop negara Malaysia. Sebenarnya globalisasi jika
tidak diuruskan dengan baik akan memberi kesan yang kurang baik kepada rakyat
Malaysia. Mengapa dikatakan begitu? Ini kerana globalisasi yang membolehkan
berlakunya pengantarabangsaan politik, ekonomi dan sosial tidak syak lagi akan
memberi kesan kepada pemikiran dan perlakuan rakyat negara ini. Melalui
globalisasi, masyarakat mudah didedahkan dengan apa yang berlaku di negara luar
yang sememangnya asing dan tidak sama dengan apa yang berlaku di negara ini.
Kita ambil saja contoh negara jiran yang sentiasa bergaduh mengenai persoalan
etnik, dengan sekelip mata merebak ke negara ini dan mempengaruhi rakyat negara
ini yang juga terdiri dari pelbagai etnik. Ini adalah tidak baik dari segi
perpaduan dan boleh mengancam keamanan negara. Sebenarnya ada banyak lagi
perkara yang globalisasi bawa dan telah mempengaruhi rakyat negara ini sama ada
dari segi politik, ekonomi dan sosial tetapi apa yang ditakuti adalah dari segi
pemikiran. Berbalik kepada persoalan sejarah dan globalisasi tadi, dengan
adanya pengetahuan sejarah yang padu di kalangan rakyat Malaysia, ia akan
berupaya mengelakkan rakyat negara ini daripada mudah terpengaruh dengan
perkara negative kerana ia sedar akan siapa diri mereka, negara, agama dan
bangsa mereka sendiri. Globalisasi akan memberikan ruang untuk rakyat negara
ini berpaling semula kepada sejarah perkembangan negara mereka yang sarat
dengan pengajaran dan sempadan.
e. Sejarah Membentuk
Jatidiri
Pengetahuan
dan pendidikan sejarah akan membentuk generasi negara ini yang mempunyai
jatidiri sebagai rakyat Malaysia yang taat kepada agama, bangsa dan negaranya.
Sejarah sebenarnya berupaya membentuk jiwa dan pemikiran rakyat yang sayangkan
negaranya, walau di mana ia berada dan ini sangat sesuai dengan negara Malaysia
yang terdiri dari pelbagai agama dan bangsa. Harus disedari bahawa dewasa ini
bukan mudah untuk mendidik jiwa terutamanya generasi muda untuk taat setia
kepada negara disebabkan arus globalisasi yang melanda bila-bila masa sahaja
mereka boleh berpaling tadah. Lihat sahajalah muda mudi pada hari ini yang
begitu mudah terpengaruh dengan budaya asing dan mengagungkan budaya tersebut.
Justeru itu dengan adanya pendidikan sejarah sebenarnya ia akan menanamkan
sikap bangga akan diri yang menjadi rakyat negara ini yang mempunyai sejarahnya
yang unik. Apa yang paling penting adalah sejarah membentuk individu yang rela
berkorban mempertahankan negara, agama dan bangsanya daripada dirampas oleh
bangsa asing.
No comments:
Post a Comment