Cuba kita lihat
kehidupan masyarakat negara lain sama ada negara jiran dan negara-negara lain
di luar sana. Boleh dikatakan saban hari kita mendengar letupan bom,
pembunuhan, peperangan, penganiayaan, jenayah, gempa bumi, permusuhan, bencana
alam, penghapusan etnik, kekurangan makanan dan sebagainya. Cuba bandingkan
dengan negara kita Malaysia. Bekalan makanan bukan suatu masalah bahkan
berlebih-lebih. Makanan berada di mana-mana iaitu di pasar malam, kopitiam,
restoran fast food, food court, restoran, gerai, warung, kafe dan lain-lain
lagi. Orang Malaysia cuma tepuk dada tanya selera. Begitu besar nikmat dan
rezeki yang Allah bagi kepada rakyat Malaysia. Persoalannya pernahkah kita
bersyukur dan mensyukuri nikmat yang Allah berikan kepada rakyat Malaysia
selama ini.
Kepada rakyat Malaysia,
adakah kita merasa aman, selamat dan selesa tanpa cuba memahami dan mengetahui
penderitaan masyarakat lain di luar sana? Kebanyakan mereka adalah saudara
kita. Tidakkah terbit sedikit rasa bersalah jika saudara kita merempat,
kelaparan, kesejukan di sebelah kita sedangkan kita dengan ghairahnya menghirup
kopi, minum teh tarik dan menyuap nasi yang penuh dengan lauk pauk. Seluruh
rakyat Malaysia perlu tahu bahawa negara kita juga akan terdedah dengan masalah
yang sama jika kita tidak pernah berterima kasih dan syukur dengan rezeki yang
Allah beri pada kita selama ini.
Selain itu, seluruh
dunia mengetahui akan penderitaan rakyat Palestin. Penderitaan mereka bukan
sehari dua bahkan berpuluh tahun mereka hidup sengsara akibat kekejaman Zionis.
Warga emas, wanita, kanak-kanak mangsa utama rejim Zionis. Banyak nyawa yang
tidak berdosa menjadi korban. Lontaran bom tidak mengenal tempat di luar sana,
di dalam rumah, di bilik tidur, dan di halaman rumah. Tidak ada lagi tempat
yang selamat bagi mereka. Tidak ada tempat untuk kanak-kanak bermain dengan
aman seperti di Malaysia. Dari hari ke hari ada saja nyawa yang tidak berdosa
ini melayang. Sudah tidak ada apa-apa lagi untuk mereka tangisi melainkan
merelakan sahaja ahli keluarga terlebih dahulu mengadap Illahi. Mereka juga
seakan sudah tahu mereka juga akan menyusul kemudian. Tidakkah apa yang berlaku
ini menjadi keinsafan kepada rakyat Malaysia ? Walaupun kita tidak tahu bila
masalah ini akan selesai, tetapi kita semua perlu berdoa untuk kesejahteraan
mereka. Dalam hal ini sikap rakyat Malaysia harus dipuji kerana bantuan tidak
putus-putus diberikan kepada rakyat Palestin sama ada bantuan dari segi derma
wang ringgit, makanan, pakaian, perubatan serta sokongan moral. Walaupun
penduduk Malaysia terdiri dari pelbagai bangsa dan agama tetapi perbezaan agama
tidak menjadi masalah. Ini memandangkan penderitaan rakyat Palestin adalah
masalah kemanusiaan bukannya masalah keagamaan. Ini merupakan salah satu tanda
kesyukuran masyarakat Malaysia.
Seterusnya lihat pula
kepada masalah etnik Rohingya di Myanmar yang menjadi pelarian politik di
beberapa buah negara. Mereka juga menjadi mangsa konflik di negara mereka
sendiri. Kampung halaman mereka sudah tidak selamat lagi untuk dihuni apabila
rumah mereka di bakar, saudara mereka dibunuh dan kehidupan mereka terancam.
Mengapa jadi begini sedangkan mereka juga adalah anak bangsa Myanmar tetapi
mereka disisihkan dan tidak diberi taraf kerakyatan yang sewajarnya bahkan
dinafikan segala hak mereka. Bayangkan mereka terpaksa menjadi pelarian ke
negara asing tanpa sebarang dokumen. Nyawa mereka dihujung tanduk, tanpa
keperluan asas dan makanan, hanya mampu meraih simpati masyarakat lain. Bagaimana
dengan kehidupan kita di Malaysia? Rakyat Malaysia bebas untuk ke mana sahaja
untuk melancong dalam dan luar negara kerana ada lebihan pendapatan, tetapi
rakyat Rohingya ke luar negara kerana menjadi pelarian politik. Tidakkah ini
menginsafkan kita semua. Ini memandangkan di Malaysia semua kaum mendapat hak
yang sama sebagai warganegara. Tidak ada kaum yang disisihkan dalam pembangunan
negara. Bahkan membangunnya Malaysia adalah hasil kerjasama dan sumbangan semua
kaum. Sudah tiba masanya untuk masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai
fahaman politik bersatu mencari penyelesaian mengenai permasalahan kemanusiaan di luar sana.
Isu-isu lain yang
seharusnya menjadi renungan kita semua adalah tentang penganiayaan terhadap
kanak-kanak dan wanita. Dunia pada hari ini sering menyaksikan isu penggunaan
buruh dalam kalangan kanak-kanak. Di beberapa buah negara, kanak-kanak sudah
biasa menjadi buruh demi mendapatkan sesuap nasi. Itu di negara luar, tetapi
perkara ini tidak menjadi isu besar di Malaysia. Ini kerana kanak-kanak di
Malaysia dijaga dan diberi pendidikan yang sewajarnya. Kanak-kanak di Malaysia
sangat beruntung kerana dapat menikmati kehidupan alam kanak-kanak dengan baik.
Tetapi tidak bagi sesetengah negara yang tidak bernasib baik di mana seawal
usia 5 tahun sudah mengusung dan memecah batu di kawasan pembinaan. Mereka
terpaksa melakukannya demi mendapat sesuap nasi. Rasanya orang Malaysia mesti
terharu apabila terpandang anak mereka yang seusia 5 tahun sudah dipaksa
bekerja. Manakala baru-baru ini kita dikejutkan pula dengan kejadian tidak
berperikemanusiaan terhadap wanita iaitu di India. Penganiayaan terhadap wanita
sebenarnya masih berlaku di beberapa negara. Mereka tidak diberikan hak yang
sewajarnya dan sering ditindas oleh masyarakat. Cuba kita lihat di Malaysia. Di
manakah kaum wanita mereka pada masa ini? Sudah tentulah ada antara mereka
bekerja di pejabat kerajaan, swasta, menjadi pendidik, jurutera, ahli politik,
pakar ekonomi, doktor dan lain-lain lagi. Apa yang jelas di zaman ini, kaum
wanita dan kanak-kanak mudah menjadi mangsa tidak berperikemanusiaan
pihak-pihak tertentu. Jadi, sudah tiba masanya negara dunia pada hari ini mencari
langkah-langkah tertentu agar penganiayaan terhadap kanak-kanak dan wanita
tidak menjadi wabak di era globalisasi ini.
Sebenarnya, masih ada
banyak isu-isu yang mana boleh dijadikan pengajaran kepada masyarakat Malaysia agar
keuntungan, kekayaan, kesejahteraan dan keamanan hidup ini bukan untuk diri
kita dan keluarga kita sahaja. Masyarakat Malaysia perlu belajar bagaimana
untuk berkongsi rezeki dan keamanan dengan negara-negara lain yang tidak
bernasib baik. Walaupun kita mempunyai fahaman politik yang berbeza, keamanan
dan kesejahteraan negara perlu dikongsi bersama. Jadikan pilihanraya kali ini
paling aman, selamat dan bermaruah.
No comments:
Post a Comment