Assalamualaikum dan Selamat Datang ke Blog Saya

Blog ini diadakan khas untuk penulis berkongsi idea, pendapat dan kepakaran untuk pembaca semua. Diharap blog ini bermanfaat kepada semua khususnya kepada pelajar dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang ingin mendapat info yang berkaitan.

Ingin berkongsi info? bole emailkan ke hasnah@ump.edu.my. Saya merasa bangga kerana dapat berkongsi ilmu yang Allah berikan kepada saya untuk dikongsi dengan orang lain. Saya cuma berharap mereka yang membacanya turut sama mendoakan agar saya sentiasa sihat dan tidak berhenti meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan.




Tuesday 4 June 2013

Subjek Hubungan Etnik Pecahkan Benteng Perkauman



Peranan pihak Kementerian Pengajian Tinggi menjadikan Kursus Hubungan Etnik sebagai kursus wajib di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) merupakan satu langkah yang bijak dan patut dipuji. Ia dilihat sangat penting dalam memupuk kesedaran etnik dalam  masyarakat pelbagai kaum kepada generasi muda di negara ini. Ini kerana ia bukan sahaja melibatkan aspek teori malahan praktikal untuk diamalkan dalam kehidupan harian. Selain itu, kursus ini dapat memenuhi keperluan masyarakat dan aspirasi kerajaan bagi membentuk masyarakat yang harmoni dan bersatu. Bagi merealisasikan cita-cita tersebut peranan IPT amatlah penting sebagai batu asas untuk memperkasakan hubungan etnik di negara ini pada masa akan datang.
Di Universiti Malaysia Pahang (UMP), pelaksanaan pnp (pengajaran dan pembelajaran) bagi subjek ini dijalankan secara menyeluruh dan bersepadu melalui beberapa aktiviti. Langkah pertama adalah dengan cara memperkenalkan pelajar mengenai konsep-konsep dan teori-teori berkaitan hubungan etnik di dalam kelas. Pendedahan pelajar terhadap konsep-konsep ini telah membantu pelajar-pelajar untuk memahami nilai-nilai kemanusiaan yang wujud dalam hubungan antara manusia yang berbilang kaum, budaya dan agama. Pembelajaran mengenai teori-teori dan konsep hubungan etnik tidak berhenti di dalam kelas sahaja, malah para pelajar dikehendaki menyelidik dan membuat tugasan mengenai kewujudan konsep-konsep tersebut dalam masyarakat seharian rakyat Malaysia. Aktiviti ini dilakukan bagi mendidik pelajar-pelajar di sini bahawa apa yang mereka pelajari walaupun setakat teori ianya amat berguna dalam memahami situasi sebenar yang berlaku dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Pelaksanaan pnp bagi subjek ini tidak sahaja berdasarkan kepada teori di dalam kelas, malahan para pelajar juga didedahkan dengan tugasan berkumpulan. Dalam aspek ini para pensyarah akan membahagikan pelajar kepada kumpulan-kumpulan tertentu. Kumpulan-kumpulan yang dibentuk ini pula haruslah terdiri dari tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. Setiap kumpulan akan diberikan tajuk tugasan masing-masing. Semasa menjalankan tugasan berkumpulan inilah para pelajar dididik untuk bekerja dalam kumpulan yang terdiri dari pelbagai kaum. Dalam hal ini, mereka bukan sahaja akan bergerak membuat tugasan itu bersama-sama, malahan mereka akan bersama-sama berbincang mengeluarkan buah fikiran, bertukar pandangan dan pendapat, serta memberi dan menerima idea dari rakan yang berlainan bangsa. Kerjasama ini tidak terhenti setakat itu malahan setiap kumpulan dilatih untuk membuat short video mengenai tajuk yang diberikan. Dalam short video ini setiap kumpulan hendaklah memaparkan elemen-elemen perpaduan dan teori serta konsep hubungan etnik yang telah mereka pelajari. Sekali lagi para pelajar didedahkan secara amali bagi mereka merasai suasana sebenar dalam hubungan antara etnik. Jadi di UMP, para pelajar tidak sahaja perlu menguasai teori hubungan etnik malahan mereka juga didedahkan dengan latihan amali bagi memastikan objektif perpaduan kaum dan dasar kerajaan tercapai. Setelah itu, short video itu pula perlu dipersembahkan di dalam kelas untuk dikongsi bersama dengan pelajar etnik yang lain. Aktiviti ini sangat menarik perhatian pelajar kerana pelajar lain dapat melihat hubungan etnik dari pelbagai perspektif yang berbeza dan ini secara tidak langsung akan memupuk kesedaran hidup di negara yang bermasyarakat majmuk seperti di Malaysia. Di UMP, pelaksanaan pnp sebegini akan memberikan ruang kepada para pelajar mendalami dan merasai sendiri realiti hubungan etnik di negara ini. 


 



Perkongsian idea di dalam kelas

Aktiviti seterusnya adalah para pelajar akan didedahkan dengan tayangan video yang bertemakan hubungan etnik. Melalui aktiviti ini para pelajar dikehendaki menghayati tema, persoalan dan teori-teori yang terdapat dalam hubungan etnik. Tidak sahaja perlu menonton dan menghayati video tersebut malahan para pelajar juga perlu merekod apa yang mereka dapati daripada video tersebut dan markah akan diberikan berdasarkan garapan idea yang bernas dan menarik.
Selain daripada membincangkan mengenai hubungan etnik di dalam negara Malaysia, para pelajar juga telah didedahkan dengan suasana hubungan etnik di luar negara. Dalam hal ini para pelajar akan berpeluang untuk melihat corak dan perjalanan hubungan etnik di negara lain. Pendedahan sebegini akan membolehkan para pelajar mengetahui pergolakan dan isu-isu berkaitan hubungan etnik di luar negara. Aspek penting yang dapat dipelajari daripada hubungan etnik di luar negara adalah para pelajar akan dapat menilai dan menghargai keharmonian kaum di negara sendiri. Inilah masanya UMP berpeluang mendidik para pelajar untuk menghargai keamanan dan keharmonian kaum yang dikecapi oleh negara sejak sekian lama.






Sesi berkongsi pendapat dan idea

Selain apa yang dinyatakan di atas, melalui subjek hubungan etnik para pelajar juga didedahkan dengan perbincangan mengenai kehidupan seharian masyarakat di Malaysia. Dalam hal ini, para pelajar berpeluang mengetahui dan berbincang mengenai bagaimana kehidupan seharian boleh memupuk perpaduan kaum termasuklah kehidupan seharian mereka di kampus. Antara yang boleh dijadikan contoh bagi pemupukan perpaduan kaum melalui kegiatan seharian pelajar di kampus ialah dari segi pergaulan, pembelajaran, perbincangan, kawan sebilik, pemakanan dan sebagainya.
Pengenalan subjek hubungan etnik di UMP dilihat sebagai penyeri kepada pelajar yang berlatarbelakangkan bidang kejuruteraan. Pelaksanaan subjek ini walaupun dilihat sebagai subjek sokongan, namun impaknya amatlah besar terutamanya dari segi memberi pendedahan kepada para pelajar untuk bekerja dalam masyarakat pelbagai kaum. Ini selaras dengan objektif KPT iaitu bukan sahaja untuk memastikan siswazah dapat menyesuaikan diri dalam sektor pekerjaan bahkan dalam menghadapi kehidupan seharian melalui penerapan nilai-nilai murni.

 

Wajah perpaduan di UMP

No comments:

Post a Comment