RELEVANSI PERPADUAN KAUM DAN REALITI
MASA KINI
PENGENALAN
Malaysia
adalah sebuah negara contoh kepada negara membangun yang lain. Malahan tidak
keterlaluan jika dikatakan Malaysia kini sedang menuju zaman kemodenan dan
kemajuan seperti juga negara-negara maju yang lain. Modenisasi dan kemajuan
yang berlaku di Malaysia adalah tidak sama dengan apa yang berlaku di negara
lain memandangkan adat-adat ketimuran masih menjadi asas kepada nilai
masyarakat Malaysia. Selain daripada nilai ketimuran, perpaduan kaum juga
merupakan satu perkara yang tidak pernah dipisahkan daripada arus kemajuan pada
hari ini. Bahkan perpaduan kaum sentiasa relevan dengan arus peredaran zaman.
Dalam bab ini akan dibincangkan relevannya perpaduan kaum walaupun zaman telah
berubah.
GLOBALISASI
Zaman ini adalah zaman globalisasi. Di
mana-mana sahaja orang menyebut tentang globalisasi. Walau apa pun perkara
penting yang perlu kita awasi adalah kesan globalisasi. Sebagaimana yang telah
kita ketahui globalisasi adalah satu proses pengantarabangsaan ekonomi, politik
dan juga sosial dan Malaysia tidak tekecuali dari menerima tempias globalisasi.
Antara perkara yang perlu dijaga adalah perpaduan kaum. Ini kerana perpecahan
etnik di negara luar boleh mempengaruhi pelbagai etnik di negara ini bila-bila
masa. Globalisasi dengan mudah dan cepat menyebarkan perbalahan dan
persengketaan kaum di negara luar dan ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi
rakyat negara ini. Globalisasi juga pada bila-bila masa boleh menarik pelbagai
bangsa di negara ini untuk meninggalkan Malaysia dan tinggal di negara luar,
selain daripada itu globalisasi juga pada bila-bila masa akan memusnahkan
keamanan yang dinikmati oleh negara ini. Justeru itu, perpaduan kaum di zaman globalisasi
sebenarnya lebih banyak berhadapan dengan cabaran yang boleh merapuhkan
hubungan antara kaum. Pihak yang berwajib perlu memastikan globalisasi yang
berlaku adalah terkawal dan pada masa yang sama memastikan perpaduan kaum
semakin rapat dan kuat.
Perpaduan Kaum Elemen Penting Untuk Menjamin Keamanan Dunia
Dunia pada hari ini menghadapi pelbagai
cabaran dan pergolakan. Kita sering mendengar huru hara, peperangan, rusuhan
kaum, keganasan dan sebagainya berlaku di seluruh dunia. Nampaknya keamanan
begitu sukar dicapai pada masa kini. Sedar atau tidak kebanyakan rusuhan yang
berlaku di seluruh dunia adalah melibatkan bangsa dan kaum yang berbeza. Ini
menunjukkan kepelbagaian kaum dan agama jangan dipandang ringan. Malaysia
sebagai sebuah negara majmuk yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama juga
perlu berwaspada agar perkara ini tidak berlaku di Malaysia. Semua orang
inginkan keamanan dan kedamaian tidak kira apa bangsa mereka. Masyarakat pada
hari ini perlu sedar perpaduan kaum adalah elemen penting bagi menjamin
keamanan negara dan dunia. Perlulah disedari bahawa perpaduan kaum tidak datang
dengan sendiri, ia perlu dipupuk dan dididik setiap masa. Dalam hal ini
pemerintah sebenarnya memainkan peranan penting di mana segala polisi dan dasar
pentadbiran negara perlu melibatkan semua kaum dan paling penting adalah semua
kaum perlu mempunyai hak di dalam pentadbiran negara. Justeru itu semua negara
di dunia perlu menjaga hak-hak kaum tertentu dan tidak boleh menganatirikan
kehadiran mereka.
Memantapkan Hubungan Luar Negara
Dari segi
sejarah, Malaysia telah lama menjalinkan hubungan dengan pelbagai negara bangsa
sejak sewal abad ke-19 lagi. Hubungan perdagangan ini semakin berjaya lagi
semasa zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15. Pada masa
ini banyak negara telah datang berdagang ke Melaka seperti China, Jepun, Asia
Barat, Asia Timur, India, Sumatera, Gujerat dan lain-lain lagi. Ramainya
pedagang yang datang berdagang di sini dapat digambarkan melalui bahasa yang
dipertuturkan pada masa ini iaitu terdapat lebih 80 bahasa dipertuturkan.
Pembentukan masyarakat majmuk di negara ini juga mempunyai sejarah yang panjang
terutamanya orang Cina dan India pada awalnya adalah merupakan pendatang
daripada negara China dan India. Justeru itu hubungan baik Malaysia dengan
negara-negara terutamanya China dan India sebenarnya dapat mempereratkan lagi
hubungan kaum di negara ini. Tambahan pula kedua-dua negara berkenaan sentiasa
membuat hubungan yang baik dengan Malaysia sejak berabad lamanya. Hubungan
antarabangsa sebegini sebenarnya amat baik untuk pembangunan ekonomi, politik
dan sosial antara negara tersebut. Hubungan antarabangsa sebegini juga akan
memberikan masyarakat Cina dan India terutamanya merasa lebih selamat dan
dihargai.
Perubahan Masa Pengaruhi Hubungan Kaum
Secara amnya perubahan iklim dunia akan
mempengaruhi iklim di negara ini, perubahan ekonomi dunia juga mempengaruhi
negara ini dan begitu jugalah segala pergolakan kaum di negara lain juga akan
mempengaruhi negara ini. Sebenarnya antara Malaysia dan dunia luar yang lain
sangat berkaitan di antara satu sama lain. Jika diteliti semua negara di dunia
ini seharusnya duduk semeja berbincang mengenai cara bagaimana untuk
menguruskan masyarakat majmuk di negara mereka. Daripada sini mereka akan dapat
bertukar-tukar pendapat dan pengalaman daripada pelbagai negara agar pergaduhan
kaum tidak lagi berlaku dan dapat membendung daripada terus menular ke negara
lain. Ini kerana apa yang berlaku terhadap saudara mereka di tempat lain akan
memberi kesan kepada mereka juga. Kita ambil saja contoh pergolakan yang
berlaku di Thailand dan juga di Indonesia sedikit sebanyak akan menyentuh
perasaan masyarakat di negara ini. Tetapi disebabkan kebijaksanaan pemerintah
Malaysia, kejadian seperti itu tidak terjadi di Malaysia. Daripada sini dapat
dilihat pentingya peranan pemerintah dan peranan rakyat negara itu sendiri
dalam memastikan perkara yang tidak diingini tidak berlaku terutamanya
perbalahan kaum.
Mempolitikkan Isu Etnik/Kaum
Dewasa ini isu-isu yang berkaitan etnik
begitu mudah diucapkan semasa kempen-kempen pilhanraya dan juga digunakan oleh
pihak-pihak tertentu untuk kepentingan sesuatu pihak. Bahkan isu seperti ini
seakan menjadi kegemaran pihak tertentu kerana penggunaan isu kaum/etnik boleh
dikatakan mudah memancing pengundi dan rakyat. Ini sebenarnya tidak baik dan
tidak sihat bagi negara Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan bangsa.
Sikap sebegini sebenarnya akan menguntungkan sesuatu pihak sahaja dan yang
ruginya adalah rakyat kerana mereka akan saling bermasam muka dan saling
berprasangka di antara satu sama lain. Isu mempolitikkan isu etnik ini bukanlah
satu perkara baru dalam politik Malaysia bahkan ia telah lama berlaku sejak
selepas kemerdekaan lagi. Tetapi pada masa kini ia menjadi lebih hebat lagi
kerana kemajuan teknologi dan maklumat akan memudahkan lagi pihak yang tidak
bertanggungjawab menyebarkan isu-isu yang berupa fitnah dan hasutan yang boleh
merosakkan hubungan kaum.
Kepelbagaian Parti Politik
Sebagai sebuah negara yang mengamalkan
sistem demokrasi berparlimen semestinya penubuhan parti politik merupakan satu
elemen penting. Jika tidak ada parti politik maka demokrasi sukar dilaksanakan.
Di Malaysia kepelbagaian parti politik merupakan satu petanda kesedaran
masyarakat terhadap politik sudah maju, tetapi tidakkah kita terfikir penubuhan
parti-parti politik tanpa kawalan akan mendatangkan masalah kepada negara? Dari
segi luaran kita akan nampak penubuhan parti-parti politik yang mewakili
pelbagai kaum adalah satu kemajuan tetapi dapatkah ia berperanan merapatkan
hubungan antara kaum? Perkara ini perlu dikaji dengan lebih mendalam bagi
memastikan perpaduan kaum tidak akan pudar kerana penubuhan parti politik yang
pelbagai. Dalam hal ini kawalan daripada pihak bertanggungjawab adalah perlu
bagi memastikan parti-parti politik yang ditubuhkan adalah berjalan di atas
landasan yang betul dan tidak menggunakan isu-isu tertentu sewenang-wenangnya
yang boleh mempengaruhi pemikiran rakyat serta untuk kepentingan pihak-pihak tertentu.
Sistem Pendidikan Yang Pelbagai
Dewasa ini
memperlihatkan tumbuhnya institusi-institusi pendidikan bagaikan cendawan
tumbuh selepas hujan. Ada IPTS tempatan yang baru ditubuhkan lebih memfokuskan
kepada kaum-kaum tertentu sahaja. Ini sangat tidak sihat dan usaha perpaduan
kaum akan sukar dicapai. Tidak dinafikan lebih banyak institusi pendidikan di
bina akan memberi pilihan kepada rakyat memilih mana yang mereka suka. Tetapi
sejauhmanakah pemantauan dilakukan terhadap institusi-institusi pendidikan baru
ini agar ianya tidak menyeleweng daripada polisi negara yang amat mementingkan
perpaduan kaum. Pemisahan pendidikan mengikut kaum ini sebenarnya akan
membesarkan lagi jurang perpaduan kaum yang sepatutnya duduk sebumbung dalam
institusi pendidikan yang sama. Justeru itu institusi pendidikan sama ada yang
baru atau yang lama jangan sekali-kali memandang ringan akan hal ini, kerana
kita tidak mahu berlaku pula pengenalan kaum mengikut institusi pendidikan.
Fenomena seperti ini tidak sepatutnya berlaku seperti pada zaman penjajahan di
mana di waktu ini telah berlaku pengenalan kaum mengikut sistem ekonomi dan
tempat tinggal.
Kesimpulan
Perpaduan kaum dan realiti masa kini
sememangnya tidak dapat dipisahkan di antara satu sama lain. Perpaduan kaum
akan terus relevan meskipun untuk berabad-abad yang akan datang kerana
masyarakat majmuk di negara ini akan terus berkembang. Justeru itu, segala
polisi dan dasar pemerintahan negara perlu sentiasa relevan dengan kehendak dan
permintaan masyarakatnya dan ini perlu seiring agar negara sentiasa aman dan
makmur. Kita patut menjadi contoh yang baik kepada negara luar yang lain bahawa
kita mampu menguruskan masyarakat majmuk dengan berhemah dan tidak ada pihak
yang tertinggal dan terpinggir dalam arus pembangunan negara.