Melihatkan kepada
gejala negatif, perbuatan melanggar undang-undang negara serta perlakuan di
luar norma-norma kemanusiaan, timbul persoalan di manakah letaknya nilai-nilai
patrotisma dalam diri generasi muda pada hari ini? Tindak tanduk generasi kini
jelas memperlihatkan mereka tidak lagi patriotik dan sayangkan negara.
Baru-baru ini ada beberapa pihak yang akan melaksanakan pengukuran indeks
patriotisma rakyat Malaysia. Langkah ini patut dipuji kerana negara kini telah
berada dalam satu fasa di mana rakyatnya sudah hampir hilang hormat dan tidak
cintakan kepada negaranya sendiri. Ini adalah berdasarkan kepada beberapa
perbuatan generasi kini yang mencerminkan kecintaan terhadap negara sendiri
semakin terhakis mungkin disebabkan aliran globalisasi yang tidak diurus dan
tidak difahami dengan betul.
Menghina
Pemimpin Negara
Sejak akhir-akhir ini,
rakyat negara ini kelihatan begitu berani sehingga mereka sanggup menghina
institusi beraja dan pemimpin negara. Pemimpin bukan lagi untuk dihormati,
disegani, sebagai lambang perpaduan dan penyatuan masyarakat negara ini.
Institusi ini telah dihina disebabkan ada sesetengah pihak yang tidak menyukai
gaya dan corak pentadbiran pemimpin. Perbuatan sebegini boleh disamakan dengan
perumpamaan “marahkan nyamuk kelambu di bakar’. Apa yang tidak kena dengan cara
mereka ini ialah perbuatan memijak gambar pemimpin, menggunakan medan sosial
bagi menghina pemimpin, melakukan perbuatan “super imposed” ke atas
gambar-gambar pemimpin dan sebagainya. Perbuatan ini sebenarnya sangat tidak
digalakkan oleh agama, tidak bermoral serta memalukan individu atau pemimpin
tersebut. Seharusnya rasa ketidakpuasan hati terhadap pemerintah perlu
menggunakan saluran dan jalan yang betul kerana negara ini menyediakan pelbagai
saluran untuk rakyat membuat sebarang aduan. Mungkin juga generasi akan datang
perlu dididik akan cara-cara bagaimana hendak menyalurkan idea-idea bernas
untuk pembangunan negara serta bagaimana untuk menyumbang idea bagi kepentingan
bersama. Manakala di pihak pemimpin pula, mereka perlu sentiasa membuat “check
and balance” bagi memastikan semua lapisan masyarakat sama ada kaya atau susah
mendapat pembelaan yang sewajarnya di bawah pembangunan negara.
Menghina agama
dan bangsa lain
Isu agama sebenarnya
adalah benda sensitif yang jika tidak diuruskan dengan baik boleh mencetuskan
konflik antara kaum di negara ini. Tetapi akibat kemajuan yang pesat dalam
bidang sains dan teknologi serta kewujudan laman-laman sosial tanpa batasan,
menyebabkan ada antara masyarakat atau individu di negara ini bertindak
menggunakan kemudahan ini untuk menyebarkan perkara yang tidak baik mengenai
agama dan kaum yang lain. Tanpa diketahui mengapa dan apa motif sesetengah
kumpulan dan individu bertindak untuk menghina agama sehingga boleh menyebabkan
timbulnya sensitiviti penganut agama lain. Mereka mempersendakan ajaran dan
perbuatan agama orang lain. Apakah mereka ini tidak kasihkan saudara sesama
bangsa Malaysia? Datuk nenek moyang mereka telah lama hidup bersama tanpa
sengketa, tetapi mengapa generasi baru bertindak memperlekehkan agama itu dan
agama ini yang boleh menimbulkan kemarahan penganut sesuatu agama lain? Apakah
mereka tidak cintakan kedamaian dan kerukunan yang dikecapi selama ini.? Adakah
mereka mahu negara ini menjadi seperti beberapa buah negara jiran yang lain
yang sering bersengketa disebabkan isu agama?
Menghina Negara Sendiri
Pepatah lama ada
mengatakan “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, tapi
negara sendiri tetap yang terbaik. Tetapi sejak kebelakangan ini, kita banyak
dikejutkan dengan beberapa insiden atau kejadian rakyat negara ini yang
menghina negara sendiri di negara luar sama ada dengan menterbalikkan bendera
negara dan bertindak menceritakan perihal hal ehwal negara ini di negara luar.
Paling parah ada yang tidak mahu kembali ke tanahair disebabkan merasakan
negara Malaysia tidak mampu memberikan mereka pulangan atau persekitaran
pekerjaan yang lebih baik. Secara logiknya, bendera Malaysia atau apa-apa
sahaja yang menjadi symbol negara Malaysia tidak bersalah, tetapi rasa
ketidakpuasan hati pihak-pihak tertentu terhadap negara menyebabkan mereka
menggunakan simbol atau lambang negara sebagai mangsa untuk melepaskan
kemarahan mereka terhadap negara sendiri.
Merosakkan Diri
Sendiri
Melihatkan kepada
statistik gejala sosial, penagihan dadah serta jenayah kebanyakannya dilakukan
oleh golongan remaja dan dewasa rakyat Malaysia. Semua perbuatan ini bukan
sahaja salah di sini undang-undang, malahan ia boleh merosakkan diri dan masa
depan individu itu sendiri. Statistik penagihan dan penyalahgunaan dadah
mencerminkan betapa ramai golongan belia yang sepatutnya menyumbang tenaga
kepada pembangunan negara tetapi terlibat dengan perkara yang merosakkan negara
dan bangsa. Jika lebih ramai lagi golongan muda belia terlibat dalam perkara
seperti ini, agaknya siapa yang akan memegang tampuk pemerintahan negara nanti?
Perkara ini perlu difikirkan kerana negara memerlukan ramai tenaga mahir dan
separuh mahir untuk bersama membangunkan politik, ekonomi dan sosial negara
ini. Perbuatan ini seolah-olah golongan belia itu tidak sayangkan diri mereka
sendiri dan juga negara memandangkan negara terpaksa menghabiskan berbillion
ringgit untuk membaik pulih mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah
serta jenayah.
Memperlekehkan
Sejarah Negara
Generasi yang lahir
pada zaman sains dan teknologi tidak sama dengan zaman sebelum pengenalan
smartphone, whatssup, facebook dan sebagainya. Pemikiran generasi baru masa
kini sudah diprogramkan dengan gadjet-gadjet canggih di mana ia telah berjaya memprogramkan
minda remaja dan generasi belia agar leka dengan permainan, video,
gambar-gambar dan sebagainya. Jadi tidak hairanlah generasi baru kurang minat
untuk mempelajari dan mengetahui sesuatu yang berbentuk fakta apatah lagi untuk
mengambil tahu tentang sejarah negara. Sejarah dianggap sudah lapuk,
memberatkan pemikiran mereka dan bagi mereka ini sejarah tidak ada nilai dalam
dunia sains dan teknologi. Perlu diketahui bahawa sejarah adalah asas untuk
membina negara bangsa, memacu pembangunan negara pada masa akan datang,
mengambil iktibar dan menaikkan semangat kebangsaan dalam jiwa generasi pelapis
negara. Tetapi jika pemikiran generasi kini disuapkan dengan permainan dalam
talian, gambar-gambar selfie, menonton hiburan hip hop, kpop dan sebagainya
adakah ini semua boleh menaikkan semangat mereka untuk lebih sayangkan negara? Lebih
parah lagi kebanyakan generasi kini sudah tidak minat untuk mengetahui
perkara-perkara yang berlaku di sekeliling mereka kerana mereka selesa hidup
bersendiri bertemankan telefon dan gadget pintar mereka.
Menghalang
pembangunan negara
Dewasa
ini juga dapat kita saksikan di mana ada sesetengah rakyat negara ini yang
tidak senang melihat pembangunan yang dikecapi oleh negara. Bagi golongan ini
apa sahaja yang pemerintah buat semuanya tidak kena di mata dan hati mereka. Seharusnya
mereka bersama membantu pemimpin membangunkan negara dengan hanya memberikan
sokongan mereka dan bukannya merosakkan harta benda awam.
Tidak ada
semangat perpaduan dan kekitaan
Sebagaimana
yang telah diketahui umum, Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri dari
pelbagai kaum, agama dan bangsa. Sejarah telah membuktikan rakyat negara ini
telah hidup aman dan damai dari sejak awal merdeka sehingga kini. Tetapi
disebabkan ada beberapa kumpulan yang tidak memahami sifat-sifat kebersamaan
dan perbezaan, tidak bertoleransi serta tidak boleh bertolak ansur menyebabkan
timbulnya konflik perkauman. Kemajuan dunia digital telah memburukkan lagi keadaan
apabila ada kumpulan dan individu tertentu dengan terang-terang menyebarkan
penghinaan terhadap agama dan bangsa lain di media-media sosial. Keadaan ini
akan menambahkan lagi ketegangan antara kaum dan agama. Golongan seperti ini
dilihat tidak mempunyai rasa sayangkan negara kerana mereka lebih gemar melihat
rakyat negara ini berprasangka buruk antara satu sama lain yang mungkin akan
menjadi benih kepada perpecahan dalam masyarakat.
Ini merupakan
sebahagian daripada penganiaan yang dilakukan oleh anak bangsa yang mengaku
dirinya rakyat Malaysia. Jika diselidiki, terdapat banyak lagi percubaan dan
perbuatan yang melanggar batasan agama dan undang-undang negara yang
mencerminkan seseorang itu tidak sayangkan negara, agama dan bangsanya sendiri.
Walau bagaimanapun, diharap dengan adanya pendedahan isu ini akan membuka mata
pihak-pihak tertentu agar merenung kembali andainya perkara ini terus dibiarkan
apakah negara Malaysia masih boleh berdiri teguh dalam peta dunia pada masa
akan datang?
No comments:
Post a Comment