Umpama
kata orang siapa yang tak sayangkan rumahnya. Apatah lagi jika sudah lama
seseorang itu menyimpan hasrat untuk membeli rumah, akhirnya setelah pelbagai
halangan dan dugaan akhirnya dia berjaya memiliki sebuah rumah. Lalu dihiasnya
rumah itu dengan pelbagai hiasan luaran dan dalaman sehingga rumah itu menjadi
satu kediaman yang tersergam indah mengikut kreativiti dan keselesaan si
pemilik. Rumah menjadi tempat untuk beristirehat dan menenangkan jiwa setelah
seharian penat bekerja. Sebab itulah wujudnya perumpamaan Inggeris yang
berbunyi "home sweet home".
Jika kita aplikasikan rumah itu sebagai negara, apa yang terlintas di pemikiran
anda? Bayangkan negara yang kita diami sekarang ini adalah rumah kita.Sudah
tentunya akan timbul rasa sayang dan jika kita seorang pejuang kemerdekaan
dahulu sudah pasti negara ini akan dijaga serapi-rapinya bagi memastikan
pengkhianat negara tidak lagi menjejakkan kakinya dan menggadai maruah negara
yang tercinta ini. Bagi generasi baru, apakah yang boleh anda lakukan bagi
menunjukkan anda adalah warga yang sayangkan negaranya?
Jangan sekali-kali
rosakkan nama negara
Kepada
generasi baru pada hari ini mereka hendaklah sentiasa memastikan segala
perbuatan dan pemikiran mereka sentiasa mendatangkan impak positif kepada
negara. Mereka tidak boleh melakukan sesuatu yang mana akan memberi kesan buruk
kepada nama negara, pemerintah dan rakyat negara ini. Antara perbuatan yang
dikira boleh merosakkan dan mencemarkan negara di mata dunia atau di kalangan
negara luar adalah dengan cara memburukkan pemimpin, rakyat, sistem
pemerintahan dan segala yang berkaitan dengan negara kepada negara luar. Selain
itu, mereka juga tidak boleh melakukan sebarang tingkah laku yang negatif di
negara luar seperti jenayah, penipuan, pengedaran dadah dan sebagainya. Ini
akan memudahkan nama negara ini tercemar dek kerana anda seorang warganegara
Malaysia yang melakukan jenayah di luar negara.
Lakukan
Sesuatu Untuk mengharumkan nama negara kita
Sebagai seorang
warganegara Malaysia, sama ada kita berada di luar negara kerana bekerja atau
sebagai pelajar dan juga sebagai rakyat negara ini, mereka perlu melakukan sesuatu
yang bukan sahaja untuk negara, tetapi pada suatu masa mereka juga perlu
menghasilkan sesuatu yang boleh mengharumkan nama negara. Ini boleh dilakukan
dengan mencipta teknologi baru, penyelidikan terkini, penemuan terbaru dan
sebagainya. Jika anda boleh lakukan sesuatu yang boleh mengharumkan nama
negara, sudah tentu negara juga akan bangga dengan anda.
Menimba
Ilmu Sebanyak Mungkin
Kekuatan, kedaulatan
serta jatuh bangun sesebuah negara banyak bergantung kepada anak bangsanya.
Dalam hal ini, setiap individu dalam sesebuah masyarakat itu perlu mempunyai
pengetahuan dan ilmu tentang bagaimana untuk membangunkan negara dan pada masa
yang sama memastikan negaranya diakui dan disegani oleh negara lain. Negara
memerlukan individu yang mempunyai ilmu kemahiran, ilmu berfikir pada aras yang
tinggi. Tanpa ini semua sesebuah negara tidak boleh membangun dan maju selari
dengan negara maju yang lain. Justeru itu, dalam aspek ini rakyat Malaysia
perlulah berusaha mencari apa saja ilmu bagi memenuhi permintaan pasaran
pekerjaan. Perlu ditekankan disini bahawa ilmu yang dimiliki itu tidak boleh
terhenti setakat itu sahaja, malahan mereka perlu mencari ilmu-ilmu tambahan
yang boleh menjadikan diri mereka diperlukan oleh negara dalam semua aspek
pembangunan negara.
Jangan
Musnahkan Negara
Negara kita adalah
tempat tumpah darah kita. Kehidupan kita bermula di sini malahan di sinilah
tempat kita mencari ilmu, membina keluarga dan menyemai bakti. Lihat sahaja
saudara kita di negara yang bertelagah dan berkonflik, walaupun mereka ada
tanahair, mereka tidak dapat memberikan pendidikan yang sempurna kepada
anak-anak mereka malahan mereka tidak mampu untuk membangunkan negara mereka
sendiri. Tetapi kita ada tanah dan kita ada negara, sanggupkah kita sendiri
yang musnahkan negara kita? Sanggupkan kita berkompromi dan bekerjasama dengan
musuh untuk menjatuhkan dan merungkai keamanan negara kita? Jangan sekali-kali
menjual maruah negara hanya kerana sedikit ketidakpuasan hati kita terhadap
beberapa perkara atau isu dalam negara.
Pastikan
negara terus bebas dan tidak dijajah semula
Semua orang pernah
belajar sejarah Malaysia. Semua orang tahu negara kita pernah dijajah dan
akhirnya kita merdeka. Justeru itu, setiap 31 Ogos kita meraikan Hari
Kemerdekaan negara. Ini sebagai peringatan kepada kita semua tentang negara
kita pada suatu masa dahulu berada di bawah pengaruh kuasa besar seperti
Portugis, Belanda, British dan juga Jepun. Berada di bawah penguasaan asing
sangatlah memeritkan dan jika tidak mungkin datuk nenek moyang kita tidak
berjuang sehingga ketitisan darah terakhir. Berapa ramai pula yang gugur kerana
mempertahankan negara. Justeru itu, kita sebagai generasi yang sudah merdeka,
perlu memastikan bahawa kuasa yang ingin menjajah dan menaungi negara kita sama
ada dari aspek pemikiran dan penjajahan fizikal tidak akan berlaku lagi.
Sejarah pasti akan berulang jika generasi kini hidup dalam kelekaan dan alpa
terhadap anasir luar yang sentiasa mengintai peluang untuk memasuki negara ini
bila-bila masa dan di mana jua.
Hargai
Keamanan dan Keharmonian yang dikecapi kini
Negara Malaysia kini
telah dikenali di seluruh pelusuk dunia kerana keamanan, keharmonian serta
kesejahteraan rakyat dan negaranya. Ini berlainan sekali jika dibandingkan
dengan 30 atau 40 tahun dahulu di mana tidak banyak negara yang mengenali
negara Malaysia. Tidak hairan jika mereka juga tidak tahu di mana letaknya peta
negara Malaysia. Tetapi lihatlah pada hari ini, sebut saja Malaysia banyak
negara maju, kurang maju, miskin, negara Barat, Timur Asia, Asia Selatan
semuanya kenal Malaysia. Apa yang membuatkan Malaysia terkenal dan unik di mata
masyarakat dunia? Tidak lain dan tidak bukan kerana keharmonian masyarakatnya
walaupun Malaysia terdiri dari pelbagai kaum, agama dan bangsa, tetapi kita
boleh hidup aman dan damai bukan? Dalam hal ini penulis merasa sangat terkesan
dengan kata-kata yang pernah dilontarkan oleh seseorang yang berasal dari Timur
Tengah mengatakan beliau sangat kagum dengan masyarakat Malaysia kerana
walaupun mereka ada banyak bangsa dan agama serta budaya yang berbeza, orang
Cina, India, Melayu dan bangsa-bangsa lain boleh hidup aman dan makmur, boleh
tinggal sebelah menyebelah, boleh makan bersama, boleh bermain bersama dan
sebagainya. Bagi beliau, beliau tidak melihat semua perkara ini berlaku di
negara beliau walaupun di negaranya hanya ada satu bangsa dan ada satu agama
yang besar. Lihatlah rakyat Malaysia semua, jangan kita mencalarkan pujian dari
orang luar ini, janganlah kita mencalarkan hubungan baik pelbagai kaum di
negara ini kerana inilah kunci Malaysia menjadi sebuah negara yang sifar konflik
etnik. Sayangilah dan hormatilah semua kaum di negara kita ini kerana tanpa
kerjasama semua kaum negara Malaysia takkan terbina seperti yang ada sekarang
ini
Menghormati
Undang-undang dan Perlembagaan Negara
Sebagai seorang
warganegara Malaysia, kita sudah diasuh agar memahami bait-bait dalam
Rukunegara dan antaranya ialah mengenai Kedaulatan Undang-undang. Ini merupakan
intipati penting yang perlu dilakukan oleh rakyat Malaysia iaitu mengakui dan
memahami tentang kedaulatan undang-undang. Dalam hal ini, setiap rakyat
Malaysia adalah tertakluk kepada Perlembagaan yang menjadi sumber utama
undang-undang negara. Sebagai warganegara kita hendaklah mematuhi segala
peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh negara bagi memastikan negara
ini bebas dari gejala yang boleh merosakkan nama agama, bangsa dan negara.
Setiap orang adalah tertakluk kepada perlembagaan. Percayalah jika rakyat
negara ini menolak undang-undang negara, maka sekelip mata negara boleh hilang
kedaulatan dan kemerdekaan yang kita kecapi kini. Tanpa perlembagaan juga,
negara, bangsa dan agama juga akan lenyap dari bumi Malaysia.
Hey
ReplyDeleteHey
DeleteHey
Delete