Assalamualaikum dan Selamat Datang ke Blog Saya

Blog ini diadakan khas untuk penulis berkongsi idea, pendapat dan kepakaran untuk pembaca semua. Diharap blog ini bermanfaat kepada semua khususnya kepada pelajar dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang ingin mendapat info yang berkaitan.

Ingin berkongsi info? bole emailkan ke hasnah@ump.edu.my. Saya merasa bangga kerana dapat berkongsi ilmu yang Allah berikan kepada saya untuk dikongsi dengan orang lain. Saya cuma berharap mereka yang membacanya turut sama mendoakan agar saya sentiasa sihat dan tidak berhenti meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan.




Friday 31 May 2013

Jom Selongkar Gaya Hidup Orang Dulu-dulu.......

Apa yang boleh kita kategorikan zaman yang kita hadapi sekarang? Sudah pastinya zaman globalisasi, zaman sains dan teknologi, zaman manusia menuju kemajuan dan kemodenan serta lahirnya generasi Y. Walau apapun, negara tidak boleh lari daripada tsunami sains dan teknologi yang melanda seluruh dunia pada hari ini. Pernahkan generasi kini terfikir bagaimanakah agaknya kehidupan manusia sebelum ini tanpa teknologi canggih, Facebook, Twitter, laptop dan bermacam-macam peralatan moden kini. Di sini penulis ingin merungkaikan semula beberapa nilai dan corak kehidupan masyarakat dahulu yang mana ia seakan hilang dan sudah tidak dapat dilihat lagi oleh generasi muda masa kini.

Semangat Kejiranan yang kuat

Masyarakat zaman dahulu dilihat mempunyai semangat kejiranan yang tinggi. Apa tidaknya mereka saling kenal mengenali di antara satu sama lain walaupun mereka mendiami sebuah kampung yang besar dan rumah mereka terletak beberapa kilometer di antara sebuah rumah dengan rumah yang lain. Tetapi ini tidak berlaku dalam masyarakat hari ini yang tinggal di kawasan kejiranan. Bukan sesuatu yang pelik apabila kita tidak kenal jiran sebelah rumah kita. Itu fenomena biasa di zaman ini. Orang zaman dahulu sebut saja nama apa dan tinggal di kampung mana akan ada orang yang kenal si polan si polan. Jadi tidak hairanlah alamat surat menyurat mereka hanya meletakkan nama dan alamat kampung sahaja sudah memadai dan mereka tidak perlu meletakkan no rumah dan lorong apa. Sebut saja nama dan kampung anda, satu kampung tahu. Biasanya pada zaman dahulu, posmen akan meletakkan semua surat di rumah penghulu dan akan ada individu tertentu yang pergi menghantar surat tersebut atau individu itu sendiri yang datang ke rumah penghulu untuk mengambil surat. Keadaan ini tidak berlaku pada zaman ini. Ini kerana pada zaman sekarang, kebanyakan orang lebih suka tidak mengambil tahu pasal orang lain. Jadi, tidak hairanlah jiran sebelah pun mereka tidak kenal walaupun telah tinggal di situ bertahun-tahun. Apatah lagi dengan wujudnya email, facebook, twitter, telefon canggih telah memudahkan lagi perhubungan sesama manusia. Begitu juga kemajuan sains dan teknologi telah mempercepatkan lagi pergerakan manusia dari satu tempat ke satu tempat. Kalau pada zaman dulu-dulu, jika orang Kuantan hendak ke Selangor, mereka perlu berjalan berhari-hari untuk sampai ke sana. Mereka juga perlu membawa bekal makanan yang cukup sepanjang perjalanan. Tetapi tengoklah pada hari ini perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur mengambil masa lebih kurang dua jam sahaja.


Gotong-royong

Masyarakat zaman dahulu juga sangat terkenal dengan sikap suka melakukan kerja secara gotong royong. Malahan gotong royong telah menjadi trade mark orang Melayu pada waktu itu. Ini memandangkan apa-apa sahaja pekerjaan yang membabitkan perkahwinan, kenduri-kendara, sambutan keagamaan, membuat rumah dan sebagainya dilakukan secara bekerjasama. Bagi mereka berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, cubit peha kanan, peha kiri pun terasa. Begitu kuat amalan kerjasama masyarakat zaman dahulu. Tetapi amalan gotong royong ini semakin terhakis dan kurang diamalkan oleh masyarakat zaman kini. Apa yang dapat dilihat ialah kebanyakan majlis perkahwinan dan kenduri-kendara pada masa kini dilakukan oleh pihak catering. Kuat berpegang kepada adat dan adab Masyarakat zaman dahulu sangat terkenal dengan budi bahasa dan sopan santun. Bahkan masyarakat zaman dahulu sanggup bermati-matian mempertahankan budaya mereka. Tetapi tidak pada masa kini. Generasi masa kini pula yang meniru budaya orang lain. Kuatnya pegangan terhadap budaya adab sopan ini menyebabkan lahirnya perumpamaan “biar mati anak jangan mati adat”. Biar betul orang zaman dahulu sanggup anak mati demi mempertahankan budaya. Tanggapan sebegini tidak betul. Apa yang ingin dimaksudkan melalui perumpamaan ini ialah orang Melayu dulu akan memukul anak mereka jika anak-anak tidak mengikuti adab yang betul atau tidak mempunyai adab. Mengapa orang Melayu dulu sangat mempertahankan adat dan adab ini ialah kerana ia melambangkan identiti masyarakat itu sendiri. Antara adat yang ditekankan pada zaman dahulu ialah menghormati orang yang lebih tua dan juga wanita, adab makan, adab semasa mengandung, adab bertandang ke rumah orang, adab dalam keluarga dan lain-lain lagi.


Hormat Guru

Pada zaman dahulu tidak ramai masyarakat Melayu yang berpendidikan tinggi. Antara golongan yang berpendidikan tinggi pada masa itu ialah guru-guru sama ada yang berpendidikan Inggeris, Melayu dan Agama. Kedudukan guru dalam masyarakat zaman dahulu amat tinggi memandangkan fungsinya untuk mendidik anak bangsa dan tempat untuk orang kampung meminta apa-apa nasihat daripada mereka. Mereka akan memberikan sepenuh kepercayaan kepada guru-guru untuk mendidik anak mereka. Mereka tidak kisah jika guru memukul anak mereka dengan tujuan untuk mendidik anak-anak mereka. Dalam hal ini, murid-murid juga sangat menghormati guru-guru. Tetapi ini tidak berlaku pada zaman kini di mana jika guru memukul murid sekolah mereka mungkin akan berdepan dengan pelbagai kemungkinan seperti saman, atau ugutan daripada murid mereka sendiri.


Amalkan gaya hidup sihat

Masyarakat zaman dahulu sangat kuat mengamalkan petua tradisi dan mengamalkan cara atau gaya hidup sihat terutamanya dari segi pemakanan. Jadi tidak hairanlah orang zaman dahulu mempunyai jangka hayat yang panjang dan jarang mengidap penyakit kronik. Ini memandangkan pemakanan orang dahulu sangat simple seperti memakan ulam-ulaman, memasak menggunakan teknik kukus/rebus, tiada penambah perisa dan pewarna dan bebas daripada makanan yang terawet. Semuanya segar dari ladang. Apa tidaknya kebanyakan masyarakat zaman dahulu menanam sayur-sayuran sendiri, tanam padi di tanah sendiri dan tidak lupa juga menjadi nelayan. Oleh itu, ada antara mereka boleh menyara hidup walau pun mereka tidak mempunyai wang yang banyak. Fenomena ini tidak dapat dilihat lagi pada masa kini kerana taraf hidup yang amat tinggi dan manusia memerlukan wang ringgit setiap hari untuk menyara kehidupan.


Daripada perbincangan ini satu perkara yang penulis ingin sampaikan ialah mengenai perubahan yang sangat besar dalam sistem pendidikan. Orang zaman dahulu juga sangat pentingkan pendidikan. Tetapi mereka susah untuk mendapatkan pendidikan. Sekolah orang Melayu zaman dahulu hanyalah berlantaikan tanah, beratapkan rumbia dan berbukukan papan batu. Untuk ke sekolah mereka terpaksa mengharungi sungai dan denai. Mereka juga tidak berkasut seperti pelajar zaman sekarang. Tetapi semangat untuk belajar sangat tinggi dalam jiwa mereka. Generasi masa kini sangat beruntung kerana peluang untuk mereka mendapatkan pendidikan sangat luas dan mempunyai pelbagai kemudahan. Jadi janganlah kita mempersiakan peluang yang ada, marilah kita menggunakan peluang pendidikan yang ada untuk kita menjadi pelajar cemerlang dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment