Assalamualaikum dan Salam sejahtera semua.....Kepada semua mahasiswa yang saya sayangi berikut ini antara perkara yang boleh kita lakukan untuk menjadi seorang mahasiswa yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Antaranya ialah:
a. Terima kekuatan dan kelemahan diri seadanya
Dewasa ini kita sering melihat golongan remaja yang suka menggayakan pelbagai fesyen, budaya, nyanyian, perlakuan, tarian dan sebagainya yang sangat bertentangan dengan adat-adat ketimuran kita. Mengapakah perkara ini berlaku. Ada juga yang mengatakan ini disebabkan oleh itu dan ini, dan tidak kurang juga yang menyalahkan ibu bapa. Apa sudah jadi pada remaja zaman kemerdekaan ini dan di manakah letaknya nilai-nilai kemerdekaan jika pemikiran dan perlakuan kita masih berpaksikan kepada nilai-nilai penjajah. Justeru itu kepada para remaja semua yang kebanyakannya masih di bangku sekolah dan universiti sedarilah siapa diri kita dan di mana bumi kita berpijak.
Bercakap mengenai pentingnya kita menjadi diri kita ini, kita juga perlulah terima kekuatan dan kelemahan yang ada pada diri kita. Ini kerana itulah diri kita. Kita juga tidak boleh menyamakan kekuatan dan kelemahan kita dengan kelemahan dan kekuatan orang lain kerana antara kita adalah berbeza. Kesediaan dan kebolehan kita menerima seadanya kelemahan dan kekuatan yang diberikan akan menjadikan kita seorang manusia sejati. Sebagai seorang pelajar jika kita lemah dalam melakukan sesuatu kerja anggaplah ia sebagai asas untuk kita lebih berusaha dan jika kita mempunyai kekuatan tertentu gunakanlah ia sebaik mungkin untuk kebaikan diri, agama dan masyarakat.
b . Ketahui peranan masing-masing
Kita harus sedar bahawa kelahiran kita di dunia ini ada peranan yang perlu kita mainkan. Kita tidak dijadikan Allah untuk sia-sia. Setiap manusia ada peranan yang perlu yang dia jalankan bagi memakmurkan lagi bumi ini. Jadi dalam hal ini tidak usahlah kita hendak mengikut perbuatan dan hal ehwal orang lain. Ini kerana pada suatu masa nanti kita akan ditanya tentang apakah yang telah kita lakukan di dunia ini. Sebagai seorang pelajar kita patut tahu apakah peranan kita setelah ibu bapa berkorban wang ringgit untuk menyekolahkan kita. Jadi apabila bersekolah kita mempunyai kewajipan iaitu harus memainkan peranan kita untuk menuntut ilmu sebanyak yang mungkin bagi membalas segala jasa ibu dan bapa kita. Jika dilantik sebagai ketua darjah, ketua pasukan, ketua kokurikulum dan sebagainya kita perlu menghayati apakah peranan kita dalam pasukan tersebut kerana orang telah memberikan kita kredit dengan melantik kita.
c. Bertanggungjawab
Sebagai seorang pelajar kita sememangnya mempunyai tanggungjawab yang berat untuk diri sendiri, ibu bapa, pihak sekolah dan pihak universiti. Tanggungjawab kita dengan tanggungjawab orang lain juga berbeza-beza. Jadi tak payahlah kita cuba hendak meniru dan mengambil tanggungjawab orang lain. Tanggungjawab kita untuk diri sendiri adalah kita perlu belajar rajin-rajin, sentiasa berusaha untuk lulus dan mendapat markah yang tinggi dalam pelajaran. Jika kita sebagai ketua pasukan kita juga ada tanggungjawab untuk memastikan pasukan kita menang dan terbilang dan sebagainya. Manakala tanggungjawab kita kepada ibu bapa adalah di samping kita belajar bersungguh-sungguh kita juga perlu sentiasa “keep in touch” dengan mereka. Itulah tanggungjawab paling besar yang kita sebagai anak-anak perlu lakukan walau di mana kita berada. Selain daripada itu kita memerlukan mereka untuk mendapat restu di atas apa yang kita lakukan.
d. Jangan sesekali meniru orang lain
Perkara paling penting dalam bab kita adalah kita dan bukan orang lain ini adalah jangan sesekali kita meniru orang lain. Dewasa ini begitu ramai para remaja kita yang suka meniru budaya dan gaya hidup orang lain yang langsung tidak selari dengan budaya dan gaya hidup kita sebagai orang Melayu dan beragama Islam. Ada di kalangan remaja pada hari ini merasa bangga apabila menggayakan cara hidup masyarakat lain terutamanya masyarakat orang Barat yang sangat bertentangan dengan ajaran Islam. Ini dapat dilihat pada budaya skin head, rap, punk, black metal, minum minuman keras, pergaulan bebas lelaki dan perempuan, hubungan sesama jenis dan sebagainya. Mengapakah ini berlaku dalam masyarakat kita yang penuh dengan adab sopan dan kuat pegangan agama. Dalam hal ini jika kita menjadi pengikut budaya dan cara hidup barat kita sebenarnya rugi kerana kita tidak akan mendapat apa-apa keuntungan tetapi akan berlaku kerosakan diri dan masyarakat . Oleh itu amalkanlah budaya dan cara hidup masyarakat kita yang jauh lebih murni dan kita perlu berbangga dengan budaya kita kerana tanpa budaya kita siapalah kita.
e. jangan ubah kejadian Tuhan
Selain daripada di atas, sebagai seorang remaja dan pelajar, juga sebagai seorang yang beragama Islam, kita dilarang keras daripada melakukan sesuatu yang tidak baik ke atas diri kita. Salah satu perkara yang tidak boleh kita lakukan pada diri kita adalah mengubah kejadian Tuhan dan ini sangatlah dilaknat oleh Allah. Sesungguhnya kejadian Allah terhadap hamba-hambaNya adalah yang paling sempurna dan kita tidak boleh mengubahnya sesuka hati mengikut kehendak kita. Sebagai contohnya ada golongan pelajar atau remaja lelaki yang ingin mengubah dirinya menjadi perempuan dan sebaliknya. Ada juga yang memberanikan diri melakukan pembedahan plastik terhadapa bahagian pada badan mereka untuk tampak lebih menarik dan cantik. Sedarlah wahai pelajar dan remaja semua itu semua tidak kekal lama dan ia juga akan memberikan kita pelbagai kesan sampingan dalam jangka masa pendek atau panjang. Sebenarnya jika kita amati segala perbuatan manusia yang cuba mengubah sesuatu pada dirinya akan memperlihatkan suatu keganjilan dan sangat pelik kerana apa yang Allah sudah beri kepada kita adalah sudah sesuai dengan kita dan kita tidak boleh mengubah kerana kita tidak ada kuasa untuk mengubah melainkan Allah.
f. Kita dan orang lain tidak sama
Sebagaimana yang dikatakan tadi setiap manusia mempunyai kekuatan dan kelemahan yang tersendiri. Justeru itu antara kita dan orang lain adalah tidak sama dan kita tidak boleh nak membandingkan dengan kejadian orang lain. Sehubungan dengan ini juga kita tidak boleh mengubah diri kita untuk menjadi orang lain. Dewasa kini kita dapat lihat ramai di kalangan remaja dan pelajar yang sangat meminati seseorang seperti artis dan menjadikan artis tersebut sebagai idola mereka. Bukan setakat menjadikan seseorang artis itu idola malahan mereka sanggup mengubah diri mereka agar menjadi seperti artis yang mereka minati. Keadaan ini perlulah dijauhi dan jangan sekali-kali diamalkan oleh para remaja khususnya para pelajar kerana mereka perlu mencari seseorang yang berkaitan dengan mereka untuk dijadikan idola kerana kerjaya artis sangat tidak berkaitan dengan dunia mereka sebagai pelajar. Kita patut bangga menjadi diri kita kerana Allah menjadikan kita hanya satu sahaja di dunia ini jadi ini merupakan satu kelebihan yang perlu kita hargai. Jadi mengapa perlu kita menukar diri kita menjadi seperti orang lain. Haruslah disedari bahawa kita tidak akan mampu untuk menjadi orang lain kerana apa yang Allah berikan kepada kita adalah hak kita dan kita sebenarnya tidak akan berjaya untuk menjadi orang lain jika berlaku pun hanya sedikit sahaja.Jadi dalam hal ini terimalah diri kita seadanya dan jagalah diri dan hiasilah diri kita dengan kebaikan dalam hidup ini.
Sentiasa Menambah Ilmu di Dada
Tidak dinafikan bahawa ilmu itu sangat penting bagi manusia. Tanpa ilmu seseorang manusia itu tidak akan menjadi manusia. Ilmu itu sangat luas di mana Allah telah mengatakan bahawa ilmu itu sangat luas dan tidak terhitung banyaknya dan jika diambil semua air sungai dan laut di dunia ini untuk dijadikan dakwat pun tidak mampu untuk menulis semua ilmu Allah. Ini menunjukkan bahawa ilmu itu sangat banyak yang perlu digali dan dicari oleh manusia.
Sekian pesanan dari saya untuk mahasiswa semua, semoga hidup kita sentiasa diberkati Allah.
Assalamualaikum dan Selamat Datang ke Blog Saya
Blog ini diadakan khas untuk penulis berkongsi idea, pendapat dan kepakaran untuk pembaca semua. Diharap blog ini bermanfaat kepada semua khususnya kepada pelajar dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang ingin mendapat info yang berkaitan.
Ingin berkongsi info? bole emailkan ke hasnah@ump.edu.my. Saya merasa bangga kerana dapat berkongsi ilmu yang Allah berikan kepada saya untuk dikongsi dengan orang lain. Saya cuma berharap mereka yang membacanya turut sama mendoakan agar saya sentiasa sihat dan tidak berhenti meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan.
Ingin berkongsi info? bole emailkan ke hasnah@ump.edu.my. Saya merasa bangga kerana dapat berkongsi ilmu yang Allah berikan kepada saya untuk dikongsi dengan orang lain. Saya cuma berharap mereka yang membacanya turut sama mendoakan agar saya sentiasa sihat dan tidak berhenti meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan.
No comments:
Post a Comment