Assalamualaikum dan Selamat Datang ke Blog Saya

Blog ini diadakan khas untuk penulis berkongsi idea, pendapat dan kepakaran untuk pembaca semua. Diharap blog ini bermanfaat kepada semua khususnya kepada pelajar dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang ingin mendapat info yang berkaitan.

Ingin berkongsi info? bole emailkan ke hasnah@ump.edu.my. Saya merasa bangga kerana dapat berkongsi ilmu yang Allah berikan kepada saya untuk dikongsi dengan orang lain. Saya cuma berharap mereka yang membacanya turut sama mendoakan agar saya sentiasa sihat dan tidak berhenti meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan.




Monday 7 October 2013

Nota Hubungan Etnik - FAHAMI BUDAYA DAN AGAMA LAIN ELAK SENSITIVITI KAUM



Salam semua.....

Terimakasih kerana mengunjungi lagi blog saya. Di sini saya sertakan esei pendek untuk pelajar yang mengambil subjek Hubungan Etnik atau sesiapa sahaja yang ingin mendapat idea untuk membuat homework Pengajian Am atau karangan Bahasa Melayu. Harap dapat membantu.




Dewasa kini kita sering dikejutkan dengan isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama penduduk di negara ini. Sama ada ia dilakukan oleh orang luar atau kalangan masyarakat di Malaysia sendiri, ia tetap merupakan satu isu yang perlu diberi perhatian dan tidak boleh dibiarkan bermaharajalela. Seiring dengan perkembangan teknologi, maka pendedahan mengenai perkara yang boleh menimbulkan sensitiviti masyarakat juga terus berleluasa. Isu agama merupakan perkara yang sensitif justeru itu, ia perlu dipantau setiap masa bagi mengelak daripada berlakunya konflik kaum apatah lagi ia boleh memecahkan benteng integrasi kaum di negara ini.

Secara amnya, terdapat beberapa langkah bagi mengelak daripada sesuatu pihak berterusan melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan sensitiviti kaum yang lain. Langkah pihak Kementerian Pengajian Tinggi memperkenalkan subjek Hubungan Etnik di Institusi Pengajian Tinggi harus dipuji. Pelaksanaan kursus ini di seluruh IPT telah diterima baik oleh pelajar dan juga para pensyarah. Ini kerana mahasiswa tidak boleh disogokkan dengan ilmu teknikal semata-mata, malahan mereka juga diberi kesedaran bahawa negara ini terdiri dari pelbagai kaum dan mereka perlu belajar untuk memahami dan menghormati kaum-kaum yang lain.

Selain daripada itu, peranan masyarakat sangatlah penting. Semua masyarakat di negara ini memainkan peranan untuk memastikan perpaduan rakyat di negara ini sentiasa terjamin. Dalam hal ini, tugas menjaga iklim perpaduan tidak terletak di bahu pihak kerajaan semata-mata. Rakyat juga ada peranan mereka tersendiri. Antara langkah yang dilihat sangat baik dilakukan adalah perlunya setiap anggota masyarakat pada hari ini cuba memahami agama dan budaya kaum lain. Dengan cara ini perbuatan mempersendakan agama kaum lain sukar untuk berlaku. Tidak keterlaluan jika dikatakan agamalah yang boleh menyatukan dan agamalah yang boleh meruntuhkan benteng perpaduan kaum di negara ini. Rakyat di negara ini perlulah mengambil peluang untuk belajar dan memahami agama-agama lain. Tidak susah untuk sesuatu kaum itu memahami ajaran agama yang lain kerana agama menjadi penentu kepada budaya hidup penganutnya.

Ada agama yang mempunyai pantang larang dan halal haram. Kita ambil saja contoh yang ringkas seperti makanan. Setiap kaum ada jenis makanan yang mereka boleh makan dan ada makanan yang mereka tidak boleh makan. Antaranya yang boleh dijadikan contoh ialah bagi orang Islam adalah haram memakan daging khinzir, ayam atau lembu yang tidak disembelih dengan cara yang dibenarkan oleh Islam dan lain-lain makanan yang diharamkan oleh Islam. Begitu juga dengan agama Hindu yang melarang penganutnya memakan daging lembu. Dengan cara memahami ajaran agama lain sebegini ia akan memberikan garis panduan kepada penganut-penganut agama lain agar tidak melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan sensitiviti kaum yang lain.
Dalam hal ini, penulis begitu tertarik dengan cara hidup dan amalan masyarakat Melayu dan bukan Melayu di negeri Kelantan. Melalui pengalaman penulis, di suatu tempat di negeri Kelantan yang mana masyarakatnya terdiri dari etnik Melayu dan Siam, mereka dapat hidup aman damai dari dahulu sampai sekarang. Apa yang dipraktikkan oleh masyarakat ini walaupun mereka berbeza agama, mereka sangat menghormati agama masyarakat lain. Antara aktiviti yang berjaya menyatukan mereka ialah semasa perkahwinan. Masyarakat Siam akan mengadakan kenduri khas untuk orang Melayu sahaja bagi memberi peluang kepada masyarakat Melayu turut sama menghadiri majlis perkahwinan tersebut dan satu hari khas untuk masyarakat Siam pula. Untuk itu, mereka juga telah menggunakan tukang masak khas orang Melayu untuk memasak juadah untuk masyarakat Melayu. Apa yang masyarakat di sini lakukan ialah apa sahaja yang mereka lakukan, mereka tidak akan lupakan rakan-rakan mereka yang bukan sebangsa mereka. Bagi mereka apa sahaja perlu dikongsi bersama dan tidak boleh hidup berpuak-puak walaupun berlainan agama.

Selain itu, keunikan masyarakat pelbagai bangsa di negeri ini juga dapat dilihat apabila mereka kuat mengamalkan semangat kerjasama dan tolong menolong. Secara amnya, kebanyakan penduduk di negeri ini bekerja sebagai petani dan nelayan. Justeru itu, kebanyakan mereka sentiasa bantu membantu apabila rakan mereka yang tidak sebangsa dengan mereka mengalami masalah. Ini mungkin disebabkan proses asimilasi kaum yang telah lama berlaku di sini menyebabkan mereka tidak terasa yang mereka berbeza agama. Asimilasi yang kuat juga menyebabkan ada kalangan masyarakat Siam tersebut yang ada dua nama iaitu nama Siam dan nama Melayu. Penggunaan nama Melayu dalam kalangan masyarakat Siam telah mengeratkan lagi hubungan mereka dengan orang Melayu.

Perkara seterusnya yang melambangkan keunikan perbezaan agama di negeri ini ialah setiap kaum dilihat sangat menghormati agama kaum lain. Di negeri ini setiap penganut agama bebas mempraktikkan agama masing-masing. Adakalanya rumah ibadat masyarakat Siam di sini mempunyai patung-patung Buddha yang sangat besar, tetapi tidak pernah pula masyarakat sekeliling yang terdiri daripada orang Melayu menganggu atau merosakkan rumah ibadat kaum lain. Di sinilah peri pentingnya toleransi agama dalam kalangan masyarakat di negeri ini yang menjadikan mereka begitu unik.

Perkara yang paling besar adalah bertolak ansur. Dalam hal yang berkaitan dengan keagamaan, semua kaum perlulah bersikap tolak ansur. Ini selaras dengan apa yang telah dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia melalui Perkara 3 (1), agama rasmi Persekutuan adalah Agama Islam tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di negara ini. Dalam hal ini, setiap agama di Malaysia boleh diamalkan dengan aman dan tidak boleh menimbulkan kekacauan terhadap agama-agama lain.
Secara ringkasnya, semua kaum di negara ini perlu mengadakan sedikit masa untuk belajar dan memahami budaya dan agama lain. Ini sangat penting bagi mengelakkan persengketaan atau konflik kaum berlaku disebabkan oleh sesuatu pihak yang tidak menghormati agama orang lain. Kita tidak mahu keamanan yang kita kecapi kini berkecai disebabkan perbalahan agama.

3 comments:

  1. Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Saya mohon kebenaran untuk menggunakan sedikit sebanyak maklumat yang ada di artikel ni bagi menyiapkan tugasan saya berkaitan hubungan etnik di Malaysia. Terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Saya mohon kebenaran untuk menggunakan sedikit makumat yang dinyatakan pada artikel ini bagi membantu kajian kertas kerja saya yang bertajuk Tahap Perpaduan Kaum dalam subjek Hubungan Etnik Terima kasih.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum dan selamat sejahtera, saya meminta kebenaran untuk menggunakan sedikit maklumat yang ada dalam artikel ini bagi membantu saya untuk membuat sedikit pembentangan untuk silibus CTU555 yang bertajuk Toleransi dan Adab Pergaulan Antara Etnik. Terima Kasih

    ReplyDelete