Assalamualaikum dan Selamat Datang ke Blog Saya

Blog ini diadakan khas untuk penulis berkongsi idea, pendapat dan kepakaran untuk pembaca semua. Diharap blog ini bermanfaat kepada semua khususnya kepada pelajar dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang ingin mendapat info yang berkaitan.

Ingin berkongsi info? bole emailkan ke hasnah@ump.edu.my. Saya merasa bangga kerana dapat berkongsi ilmu yang Allah berikan kepada saya untuk dikongsi dengan orang lain. Saya cuma berharap mereka yang membacanya turut sama mendoakan agar saya sentiasa sihat dan tidak berhenti meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan.




Sunday, 18 October 2015

HAYATI SEJARAH PEMERINTAHAN NEGARA BANGSA MELAYU PADA ZAMAN DAHULU






Perumpamaan “rakyat dan pemerintah berpisah tiada” merupakan satu kata keramat yang menggambarkan keakraban hubungan golongan yang memerintah dengan golongan yang diperintah pada suatu masa dahulu. Asas utama  yang mendasari  pemerintahan negara bangsa antara rakyat dan Raja atau pemerintah zaman dahulu terlahir berdasarkan kepatuhan kepada wadah (perjanjian) yang termeterai antara Seri Teri Buana dengan Demang Lebar Daun. Dalam hal ini, Demang Lebar Daun mewakili rakyat jelata manakala Seri Teri Buana mewakili Raja/pemerintah. Antara isi perjanjian tersebut adalah:
Titah baginda Seri Teri Buana,
“Barang siapa hamba Melayu derhaka mengubah perjanjiannya, dibalikkan Allah bumbungan rumahnya ke bawah kaki ke atas”.

Sembah Demang Lebar Daun,
“Jikalau Raja Melayu itu mengubahkan perjanjian dengan hamba Melayu, dibinasakan Allah negerinya dan takhta kerajaannya”.
            (Sejarah Melayu)

Melalui perjanjian ini, kedua-dua pihak iaitu rakyat dan Raja berjanji akan sentiasa menjaga kedudukan masing-masing serta tidak menganiaya atau memalukan antara satu sama lain dan jika sesuatu pihak mengkhianati perjanjian ini, maka setiap pihak akan menerima balasan daripada Allah s.w.t.

Bermula daripada perjanjian tersebut, dapat dilihat ianya telah memberikan kejayaan kepada negeri Melayu. Antaranya peristiwa semasa Raja Suran hendak menyerang negeri China. Apabila mendengarkan raja hendak menyerang negeri China, maka seluruh  rakyat jelata bersatu untuk menolong raja mereka menentang negara China. Sebagaimana yang diceritakan dalam Sejarah Melayu, seluruh lapisan rakyat jelata datang untuk mempertahankan negara tidak kira yang sempurna, cacat, berpenyakit, tinggi, rendah dan sebagainya. Ini menunjukkan bahawa masyarakat Melayu pada waktu itu tidak kira tua muda bahkan seluruh rakyat jelata datang untuk membantu raja mereka menentang negara  China. Kesungguhan mereka ini bolehlah dijelaskan sebagai kesedaran bahawa demi untuk kepentingan negara, semua rakyat perlu bersatu padu dan berkorban apa saja walaupun mereka serba kekurangan.

Kegemilangan pemerintahan Melaka pada abad ke-15 bukan kerana pemerintahnya tetapi kerana adanya perpaduan antara pemerintah dan rakyat serta peranan pembesar Melaka yang sentiasa mengadakan musyawarah bersama dari semasa ke semasa mengenai perjalanan sistem pemerintahan negara. Kegemilangan kerajaan Melayu Melaka banyak bergantung kepada kerjasama antara raja, pembesar dan rakyat jelata. Ini ditegaskan oleh Tun Sri Lanang (pengarang Sejarah Melayu) di mana tiga unsur yang mendasari penubuhan kerajaan Melayu Melaka ialah Raja/Sultan, para pembesar dan rakyat. Secara kasarnya, walaupun tiga unsur tadi telah mendasari kegemilangan tamadun Melayu Melaka, tetapi kita  tidak boleh menafikan  kehadiran kerja sama, saling sokong – menyokong sama ada secara langsung atau tidak langsung di antara ketiga-tiga pihak di atas. Pernah suatu masa diceritakan peranan seorang pembesar Melaka iaitu Seri Maharaja pada waktu itu yang sangat mengambil berat tentang keamanan negara di mana beliau sendiri telah keluar menyamar pada waktu malam untuk menangkap pencuri. Hasil penyamaran beliau, menyebabkan negeri Melaka  bebas dari masalah kecurian. Ini sepatutnya dijadikan contoh kepada generasi masa kini di mana seorang pembesar Melayu yang sanggup turun padang melakukan perkara yang dianggap di luar dari tugas beliau, tetapi sanggup bergadai nyawa untuk kepentingan rakyat jelata.

Keutuhan konsep kerjasama dalam kegemilangan kerajaan Melayu Melaka tergugat apabila Portugis menyerang Melaka pada 1511. Kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka ke tangan Portugis bukan disebabkan faktor luaran semata-mata, malahan faktor dalaman juga perlu diambil kira. Masalah dalaman yang paling ketara selain ketidakjujuran dan penderhakaan rakyat Melaka sendiri, ialah kelunturan semangat kerjasama di kalangan rakyat Melaka yang selama ini begitu patuh dalam kerja berpasukan, bersatu padu dan tolong menolong. Pada masa ini dapat dilihat hubungan antara rakyat dan pemerintah telah terputus sama sekali. Pada waktu ini juga dapat dilihat tiga unsur yang mendasari kerjasama masyarakat Melayu iaitu raja, pembesar dan rakyat tidak lagi diamalkan. Masing-masing membawa haluan mereka  sendiri. Pengajaran yang boleh dikutip hasil dari serangan Portugis ke atas Melaka ini ialah tanpa kerjasama yang erat, negara boleh musnah dalam sekelip mata. Ini kerana kekuatan negara bangsa adalah hasil perpaduan antara pemerintah, pembesar dan rakyat.

Apabila membincangkan tentang penjajahan, perkara yang selalu digembar gemburkan oleh banyak pihak ialah mengenai faktor penjajahan serta kesan penjajahan ke atas sesebuah negara. Tidak ramai yang berfikir kenapa Tanah Melayu yang pada asalnya kuat perkasa dan digeruni musuh dengan mudah ditawan dan dijajah oleh kuasa luar. Pada masa ini kawan yang dulunya menjadi rakan dagang telah bertukar menjadi harimau yang membahang mangsanya. Kenapa? Tidakkah kita terfikir apakah rahsia disebalik penjajahan kuasa asing (Portugis, Belanda, British dan Jepun) ke atas Tanah Melayu? Dalam hal ini kita perlu melihat bagaimanakah keadaan atau apa yang sedang berlaku di Tanah Melayu sebelum kedatangan kuasa penjajah tersebut. Dari peringkat awal lagi sejak jatuhnya kerajaan Melaka ke tangan Portugis adalah kerana rakyatnya tidak bersatu padu dengan kata lain tiada lagi perpaduan antara pemerintah dan rakyat. Keadaan ini berkesinambungan sehinggalah semasa British mula nak mengintai menjejakkan kaki ke bumi Melayu pada awal abad ke 18. Pada abad ke-18 sehinggalah ke awal abad ke 19, masyarakat Melayu di bumi Melayu ini asyik bertelagah sehingga melupakan semangat perpaduan dan kerjasama yang menjadi pegangan dan budaya orang Melayu sebelum ini. Contohnya seperti di Selangor, Perak, dan Pahang, para pembesar bertelagah sesama sendiri merebut kawasan lombong. Penentangan terhadap sistem Residen di negeri Tanah Melayu juga hanya dimainkan oleh para pembesar sahaja dan beberapa orang rakyat jelata. Dengan lain perkataan, hanya orang-orang tertentu yang sedar akan campurtangan asing sahaja yang bangun berjuang. Semangat kerjasama antara negeri-negeri Melayu semakin sukar diamalkan apabila pihak British mula membahagikan negeri-negeri Melayu ini kepada 3 unit yang terpisah iaitu Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-negeri Selat. Pemisahan ini sebenarnya lebih menyenangkan British untuk menjajah Tanah Melayu.

Antara pengajaran yang dapat diambil daripada sejarah kebangkitan dan kejatuhan kerajaan Melayu zaman dahulu adalah disebabkan runtuhnya ikatan antara pemerintah dan rakyat. Pemerintah dan rakyat telah tidak bekerjasama dalam pentadbiran negara menyebabkan kerajaan Melayu pada masa itu dengan mudah diganggu gugat oleh musuh negara.  Hasilnya negara ini telah terjajah selama beberapa ratus tahun. Tidak mustahil sejarah lama akan berulang semula jika sesuatu masyarakat itu tidak menjadikan sejarah lampau sebagai panduan untuk mentadbir dan menguruskan negara pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment