Assalamualaikum dan Selamat Datang ke Blog Saya

Blog ini diadakan khas untuk penulis berkongsi idea, pendapat dan kepakaran untuk pembaca semua. Diharap blog ini bermanfaat kepada semua khususnya kepada pelajar dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang ingin mendapat info yang berkaitan.

Ingin berkongsi info? bole emailkan ke hasnah@ump.edu.my. Saya merasa bangga kerana dapat berkongsi ilmu yang Allah berikan kepada saya untuk dikongsi dengan orang lain. Saya cuma berharap mereka yang membacanya turut sama mendoakan agar saya sentiasa sihat dan tidak berhenti meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan.




Sunday 18 October 2015

SEJARAH: WACANA NEGARA YANG SEMAKIN DILUPAI





 

Era globalisasi serta kemajuan teknologi terkini menyaksikan tidak kira golongan kanak-kanak, remaja dan orang berumur begitu leka dengan gajet masing-masing. Paling membimbangkan adalah golongan remaja yang kebanyakannya masih di bangku sekolah dan juga penuntut IPT. Generasi kini dilihat lebih banyak menghabiskan masa dengan gajet canggih mereka berbanding dengan membaca buku mencari ilmu. Ini jelas menunjukkan tradisi ilmu sudah semakin pupus dalam kalangan generasi muda. Apabila membincangkan tentang ilmu ini, antara ilmu yang dilihat semakin dipinggirkan adalah ilmu sejarah. Inilah nasib yang perlu dilalui oleh ilmu sejarah dalam era globalisasi hari ini. Keadaan alam sekeliling sedikit sebanyak menjadi penyumbang mengapa subjek sejarah semakin dipinggirkan dan dilupakan selari dengan peredaran zaman.

Generasi Baru dan Sejarah
Meneliti catatan-catatan sejarah negara sebagaimana yang dipaparkan dalam buku sejarah ia memperlihatkan kegigihan datuk nenek orang Malaysia pada masa dahulu berjuang mempertahankan negara dari cengkaman penjajahan. Bagi generasi hari ini mereka tidak berpeluang meniti zaman-zaman yang penuh mencabar itu sebaliknya hanya mampu membaca dan mengetahuinya melalui bahan bacaan seperti buku-buku sejarah di samping melalui mata pelajaran sejarah yang diwajibkan di sekolah. Sejauh mana generasi muda sekarang berminat mengenai sejarah negara ini adalah suatu persoalan yang sangat subjektif dan sukar digambarkan. Malah, jika kita membuat kajian terhadap sekumpulan anak muda zaman ini untuk menguji kecerdikan dan pengetahuan mereka mengenai sejarah negara pastinya akan lebih menjurus kepada rumusan yang cukup mengecewakan.

Penulis berani mengatakan bahawa kebanyakan anak muda sekarang langsung tidak mengetahui fakta dan peristiwa penting yang membabitkan sejarah negara seperti nama-nama pejuang kemerdekaan. Misalnya masih ada yang tidak tahu siapa Tunku Abdul Rahman, tidak tahu tarikh-tarikh penting seperti bila Tanah Melayu diserang Jepun, kejadian berdarah Bukit Kepong serta tahap kezaliman Komunis yang cukup mengerikan. Mereka bukan saja tidak tahu malah juga tidak mahu mengambil tahu ataupun berusaha untuk mempelajarinya atas alasan tidak perlu dan tidak membawa apa-apa manfaat. Jelas mereka masih tidak memahami kepentingan untuk menghayati sejarah negara sendiri. Ini menunjukkan mereka lebih berminat untuk menumpukan perhatian kepada masa depan kerjaya, keluarga dan kewangan berbanding masa depan negara kita. Namun, satu perkara yang mereka lupa ialah segala perancangan masa depan mereka itu akan hancur dan musnah andai masa depan negara ini tidak terus dipelihara.


British Banyak Mengajar Erti Kelemahan Bangsa Tanah Melayu
Topik mengenai penjajahan British di Tanah Melayu sebenarnya sarat dengan pengajaran. Ia tidak boleh dipandang sebelah mata dengan menganggap ia sekadar memenuhi silibus dalam mata pelajaran Sejarah di sekolah. Secara amnya, penjajahan British telah membuka pekung masyarakat Tanah Melayu pada waktu itu yang selama ini sangat mudah menerima pujukan, membuat sesuatu tanpa memikirkan masa depan negara, tahap pemikiran dan pendidikan yang masih rendah, serta kelemahan mental dan fizikal adalah asas kepada penjajahan British ke atas Tanah Melayu pada waktu itu.

Sejarah boleh merancang masa depan
Negara maju mereka rajin mengkaji perkembangan sesuatu masyarakat. Dari situ mereka boleh mengagak apa yang masyarakat akan guna, akan pakai, akan buat pada masa depan. Ini kerana masa depan boleh dirancang berdasarkan apa yang telah berlaku iaitu sejarah. Sebab itu mereka boleh maju ke depan berbanding bangsa-bangsa lain. Mereka mampu cipta teknologi untuk masyarakat yang lain. Dan Malaysia merupakan sebuah negara pengguna teknologi luar yang terbesar kerana apa kerana orang Malaysia tak boleh nak cipta teknologi, tidak tahu teknologi apa yang hendak di buat dan untuk apa teknologi itu dicipta dan teknologi itu untuk siapa?

Sejarah Mempunyai Nilai Yang Tersendiri
Negara kita telah dijajah selama lebih kurang 447 tahun suatu masa yang sangat lama. Pelbagai maklumat dan dokumen ttg negara ini telah dipegang oleh penjajah. Dokumen lama mempunyai nilai yang sangat tinggi. Justeru itu, penjajah telah membawa balik segala dokumen negara ini ke negara mereka dan menyimpan semua dokumen tersebut di Arkib mereka. Semua sudah sedia maklum bahan sejarah atau tinggalan sejarah bernilai ratusan ribu atau juta ringgit. Sejarah mempunyai nilai yang sangat tinggi jika dibandingkan dengan wang ringgit. Di Malaysia pada hari ini terdapat monument, tugu dam bangunan lama dan bersejarah yang masih terbiar begitu sahaja. Ini menjadi antara tarikan utama pelancong luar negara jika mereka melawat negara luar. Dan dalam hal ini Malaysia antara negara yang paling banyak tinggalan bahan sejarah yang belum dipulih sepenuhnya.

Fakta masyarakat majmuk
Sudah diketahui umum bahawa Malaysia merupakan sebuah masyarakat majmuk yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India dan beberapa kaum minoriti seperti Singh, Siam, dan etnik-etnik di Sabah dan Sarawak. Cuba kita lihat masyarakat Malaysia pada hari ini? siapa ? Malaysia ada rakyat Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Uganda, Vietnam, Myanmar dan banyak lagi. Jika kita tidak buta sejarah dan masih ingat tentang sejarah kewujudan masyarakat majmuk di Tanah Melayu sudah pasti kita boleh meramalkan apa yang akan berlaku pada masa akan datang jika sejarah lama berulang kembali. Bukan kita ingin menyesali kedatangan orang Cina dan India ke Tanah Melayu pada masa dahulu, tetapi Malaysia perlu menjadikan ini sebagai sempadan kepada kebebasan terhadap keluar masuk rakyat asing ke negara ini. Jika tiada sekatan, tidak mustahil fakta tentang masyarakat majmuk Malaysia yang dulunya terdiri dari Melayu, Cina, India, Siam, Singh akan berubah. Rasanya pembaca yang bijak mengetahui apa yang saya maksudkan itu.

Saya mencadangkan agar sejarah negara perlu menjadi subjek wajib di IPT sepertimana subjek pengajian Malaysia, Hubungan Etnik dan TITAS. Mungkin timbul persoalan kenapa perlu belajar lagi sedangkan di sekolah mereka sudah belajar ini semua? Jawapannya adalah kita kena tengok kenapa bahasa Inggeris masih menjadi subjek wajib sehingga ke IPT pada hari ini sedangkan bahasa Inggeris sudah diajar di tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah? Untuk apa? Sudah tentu untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar kan? Jadi, usaha tidak salah jika subjek sejarah juga di wajibkan sehingga ke IPT untuk memperkukuhkan penguasaan mereka terhadap sejarah negara dan pada masa yang sama dapat memperkukuhkan semangat jati diri dan patriotisma generasi yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment