Kegawatan ekonomi
merupakan satu igaun ngeri bagi sesebuah negara bangsa sama ada ia sebuah
negara maju, membangun apatah lagi negara kurang maju. Walaupun ia memberikan
reaksi dan kesan yang berbeza bagi sesebuah negara, tetapi perasaan rakyat
tetap sama iaitu sudah pasti ia akan memberikan kesan negatif kepada kehidupan
mereka. Dalam hal ini, Malaysia sebagai sebuah negara bangsa tidak terkecuali
terkena tempias kegawatan ekonomi dunia yang berlaku di sekitar tahun 1997.
Sebagai rakyat Malaysia dan juga sebagai seorang mahasiswa pada masa itu,
penulis ingin berkongsi pengalaman pahit manis mengalami sendiri suasana semasa
negara ditimpa kegawatan ekonomi. Pendedahan pengalaman berharga ini bukan
bermaksud untuk mengatakan kegawatan ekonomi itu tidak baik, tetapi lebih
kepada untuk menyedarkan para pembaca di luar sana bahawa di sebalik kegawatan
ekonomi, ada rahsia dan hikmah yang terbaik untuk sesiapa sahaja. Diharap
dengan pendedahan pengalaman ini akan menjadikan pembaca di luar sana lebih
bersedia dan berlapang dada jika sekiranya negara ini ditimpa kegawatan
ekonomi.
Apa yang dapat saya
lihat sebagai seorang mahasiswa yang baru tamat pengajian, kegawatan ekonomi
yang melanda telah menyebabkan banyak sektor pekerjaan membekukan pengambilan
pekerja. Pelbagai kerja telah saya mohon semuanya tidak berjaya disebabkan
kebanyakan majikan ingin mengurangkan kos dan mereka begitu selective dalam memilih pekerja. Disebabkan
itu, saya memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang pendidikan agar saya
dapat diserap menjadi guru. Memang saya meminati bidang perguruan sejak kecil
dan saya memang bercita-cita tinggi untuk menjadi guru. Walau bagaimanapun,
bidang pengkhususan yang saya minati sudah penuh dan permohonan saya telah
ditolak. Akhirnya saya ditawarkan untuk menyambung pengajian ke peringkat
Sarjana di salah sebuah universiti awam tempatan yang juga universiti tempat
saya menghabiskan pengajian peringkat Sarjana Muda. Saya akhirnya akur,
walaupun saya lebih berminat untuk mengenggam diploma pendidikan, tetapi
nampaknya itu bukan rezeki saya. Bermula dari sini, saya telah diberikan
peluang untuk menjadi Tutor/pengajar dan akhirnya apabila tamat pengajian
peringkat Sarjana saya telah ditawarkan pula menjadi pensyarah di beberapa IPTS
dan juga universiti awam tempatan. Seterusnya saya menyambung lagi pengajian ke
peringkat Doktor Falsafah dan kini saya mempunyai kerjaya yang tidak pernah
saya impikan iaitu sebagai pensyarah yang mempunyai status dan tanggungjawab
yang tersendiri. . Apa yang berlaku telah menjadi iktibar kepada saya bahawa,
kegawatan ekonomi yang lalu telah meletakkan diri saya ke peringkat yang lebih
tinggi dari apa yang saya cita-citakan selama ini. Sejak dari itu, saya tidak
lagi melihat kegawatan ekonomi sebagai satu musibah tetapi ia terkandung seribu
hikmah yang boleh mengubah kehidupan seseorang menjadi yang lebih baik dari
sebelumnya.
Apa yang pasti masa
depan adalah terletak atas kebijaksanaan seseorang itu menguruskan kehidupannya.
Dalam hal ini, semasa kegawatan ekonomi, rakyat Malaysia perlu bijak bukan
sahaja dalam menguruskan kewangan keluarga malahan mereka juga harus bijak
mencari peluang untuk menambahkan pendapatan. Saya katakan begitu kerana masa
kini tidak sama dengan zaman dahulu. Dunia hari ini menuntut setiap dari kita
untuk bekerja keras dan perlu mencari pendapatan tambahan disebabkan taraf
hidup yang semakin meningkat dan ia telah memberi kesan kepada penduduk yang
tinggal di bandar mahupun di luar bandar.
Sebenarnya ada banyak
pekerjaan di dunia ini yang tidak memerlukan modal atau modal yang banyak
tetapi boleh memberikan hasil yang lumayan. Di sini saya gariskan beberapa
pekerjaan yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja asalkan berminat serta boleh
berkorban masa dan tenaga. Langkah pertama adalah tanyalah diri anda apa minat
anda atau hobi anda? Adakah anda seorang yang suka menjahit, menulis, memasak,
melukis dan sebagainya? Sebenarnya daripada hobi atau minat tersebutlah yang
perlu kita pupuk dan jadikan ia sebagai hobi yang boleh mendatangkan pendapatan
kepada anda. Di sinilah saya katakan rakyat Malaysia perlu bijak cari
pendapatan tambahan.
Saya ambil satu contoh
hobi yang boleh dikomersilkan iaitu menulis. Jika seseorang itu bekerja atau
bekerjaya serta mempunyai masa yang suntuk untuk mencari pendapatan sampingan,
menulis adalah jalan yang terbaik. Ini kerana menulis tidak memerlukan masa
yang spesifik cuma ia bergantung kepada kebolehan seseorang mengaturkan masa terluang
untuk menulis. Menulis membuatkan anda fleksibel, kerana anda boleh mencanai
idea untuk menulis bila-bila masa di mana jua yang anda selesa. Mungkin ada di
antara kita yang tidak tahu bahawa menulis boleh mendatangkan pendapatan yang
lumayan. Pada hari ini sudah terdapat dalam kalangan wanita terutamanya yang
sanggup berhenti kerja makan gaji semata-mata ingin menumpukan perhatian kepada
kerja-kerja menulis.
Dunia penulisan kini
telah mendapat tempat dan sambutan yang menggalakkan seperti penulisan kreatif,
novel, bahan akademik dan bukan akademik. Justeru itu, tidak hairanlah ada yang sanggup
berhenti kerja semata-mata mahu menulis. Ingat!!! ada individu yang sudah
menjadi jutawan hanya dengan menulis. Tengok sahaja novel Harry Potter yang
telah membuatkan penulisnya jadi billionaire. Perkara ini tidak mustahil untuk
rakyat Malaysia mencipta sesuatu karya penulisan yang boleh diterima di seluruh
dunia. Malaysia juga telah mempunyai beberapa orang penulis yang telah berjaya
menjana pendapatan lumayan hanya dengan menulis novel.
Mungkin ramai di antara
kita yang ingin menulis tetapi tidak tahu bagaimana hendak bermula, di mana
harus bermula dan nak menulis pasal apa. Sebenarnya setiap orang pasti ada
sesuatu yang ingin diperkatakan dan dikongsi bersama orang lain. Ada juga yang
tidak perasan bahawa setiap orang pasti ada cerita sepanjang hidupnya. Ayuhlah
berkongsi dengan orang di luar sana sama ada ia dalam bentuk pengalaman hidup,
pengalaman rumahtangga, alam pekerjaan, travelog, dan sebagainya. Di kesempatan
ini saya ingin berkongsi dengan sesiapa sahaja yang baru belajar hendak
menulis. Ada banyak peluang untuk kita menulis sama ada di suratkhabar, majalah,
novel, buku dan sebagainya. Di sini saya berikan sedikit tips secara umum
bagaimana untuk seseorang itu memulakan penulisan.
Perkara yang pertama, idea
akan datang bila-bila masa dan di mana jua. Oleh itu, kita mesti pandai
menguruskan idea tersebut. Tidak perlu menyimpan idea itu mengikut susunan.
Yang penting simpan sahaja idea tersebut secara lakaran di sana sini yang anda
selesa. Secara amnya, apabila seseorang itu menyimpan hasrat untuk menulis
sesuatu, idea itu akan datang sama ada semasa anda bekerja, memandu, berehat,
bersembang bersama rakan, membeli belah dan sebagainya. Tugas anda adalah
mencatat apa jua idea yang datang.
Perkara yang kedua, tidak perlu memikirkan apakah yang hendak
ditulis untuk intro atau permulaan cerita, andainya anda ada idea untuk bab pertama
atau bab akhir tulis sahaja. Ini kerana idea yang datang tidak mengikut susunan
seperti mana yang kita inginkan. Tidak perlu khuatir kerana suatu masa kita
akan susun semula idea itu mengikut turutan. Ada sesetengah penulis terpaksa
berhenti di tengah jalan atau tidak mahu meneruskan penulisan disebabkan tidak
mendapat idea hendak memulakan penulisan. Jadi dalam hal ini, menulis tidak
perlu mengikuti proses yang rigid kerana pada peringkat awal sudah memadai
seseorang itu sekadar melakarkan idea.
Seterusnya, tulislah apa sahaja yang anda suka sama ada ia
berbentuk pendapat, buku rujukan andainya seseorang itu guru atau pensyarah dan
novel atau penulisan kreatif berdasarkan pengalaman hidup anda atau pengalaman
orang lain, atau berdasarkan keadaan dan isu masyarakat sekeliling. Semua itu
boleh kita bukukan kerana pengalaman dan kisah hidup setiap manusia adalah
berbeza-beza. Terpulanglah kepada diri individu itu sendiri untuk menggarapnya
menjadi sesuatu yang menarik untuk dibaca oleh orang di luar sana.
Akhir sekali, tulislah atau catatlah di mana sahaja anda
selesa sama ada komputer riba atau dalam buku dan sentiasa membawa buku nota
untuk mencatat. Dewasa kini terlalu banyak gajet-gajet yang boleh membantu anda
menyimpan idea penulisan walaupun tidak membawa buku nota. Jadi gunakanlah
gajet-gajet ini untuk membantu anda menyimpan memori atau idea penulisan anda.
Berdasarkan pengalaman penulis sendiri, jika kita sudah berniat untuk menulis
sesuatu perkara, Yang Maha Kuasa akan melontarkan idea kepada kita di mana-mana
sahaja dan bila-bila masa sahaja seperti semasa memandu, dalam bas, semasa
melepak, masa tengah bercuti, tengah bershopping, tengah bersembang dengan
member, semasa mandi dan sebagainya. Jom tambah pendapatan dengan menulis
kerana menulis tidak memerlukan modal, cuma perlukan sedikit masa dan tenaga.
Jika kena dengan gaya, pendapatan lumayan menanti anda. Walau bagaimanapun,
untuk menjadi penulis yang versatile,
anda perlu sentiasa menambah ilmu didada kerana garapan idea juga memerlukan
ilmu dan pengetahuan.
Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian, 12 ogos 2015.
No comments:
Post a Comment