Assalamualaikum dan Selamat Datang ke Blog Saya

Blog ini diadakan khas untuk penulis berkongsi idea, pendapat dan kepakaran untuk pembaca semua. Diharap blog ini bermanfaat kepada semua khususnya kepada pelajar dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang ingin mendapat info yang berkaitan.

Ingin berkongsi info? bole emailkan ke hasnah@ump.edu.my. Saya merasa bangga kerana dapat berkongsi ilmu yang Allah berikan kepada saya untuk dikongsi dengan orang lain. Saya cuma berharap mereka yang membacanya turut sama mendoakan agar saya sentiasa sihat dan tidak berhenti meneruskan usaha menyampaikan ilmu kepada mereka yang memerlukan.




Sunday 18 October 2015

MALAYSIA PERLU ADAKAN SAMBUTAN HARI ETNIK








Baru-baru ini kita mendengar berita dari orang Sarawak iaitu Bandaraya Kuching diisytiharkan sebagai Bandaraya Perpaduan. Sebagai rakyat semenanjung, saya merasa terpanggil dengan isu ini apatah lagi dari aspek sejarah, Semenanjung Malaysia merupakan tempat asal wujudnya masyarakat majmuk di Malaysia. Di sinilah masyarakat majmuk bermula. Di sinilah pemerintahnya melancarkan pelbagai program dan dasar untuk perpaduan rakyat negara ini dari sejak sebelum merdeka sehingga kini. Walau bagaimanapun, isu perkauman sentiasa wujud walaupun ia tidak serius. Kini setelah berpuluh tahun pihak kerajaan menangani isu perpaduan, negeri Sarawak telah “mengangkat tangan” menandakan mereka telah berjaya dan berbangga kerana mereka telah menjadi contoh kepada perdamaian dan perpaduan kaum di negara ini.

Sejarah telah mentakdirkan negara ini sebagai sebuah negara bermasyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai etnik, bangsa, agama, kepercayaan, budaya dan adat. Lipatan sejarah telah menceritakan bagaimana wujudnya masyarakat majmuk di negara ini. Ianya bermula dengan kedatangan bangsa asing ke Tanah Melayu seawal abad ke-13. Zaman Kesultanan Melayu Melaka, memperlihatkan begitu banyak pedagang asing yang berdagang dengan negeri Melaka seperti pedagang dari India, China, Jepun, Arab, Acheh, Kemboja, Thailand dan banyak lagi. Perlu dinyatakan di sini bahawa kedatangan bangsa asing pada masa ini adalah lebih bertumpu kepada perdagangan tetapi tidak dinafikan ada antara pedagang ini yang berkahwin dengan penduduk tempatan. Sejarah kedatangan orang Cina dan India secara besar-besaran untuk bekerja di Tanah Melayu hanya berlaku setelah penjajahan British. Keamanan dan kedamaian mencari rezeki di sini telah menarik perhatian orang Cina dan India untuk terus menetap di Tanah Melayu. Hasil tolak ansur dengan orang Melayu, akhirnya mereka diterima menjadi warganegara Tanah Melayu pada waktu itu dengan syarat-syarat tertentu. Dari sinilah mula wujudnya masyarakat majmuk yang terdiri dari orang Melayu sebagai kaum majoriti dan orang Cina dan India sebagai kaum minoriti.

Masyarakat majmuk telah mewarnai siapa negara Malaysia sekarang ini. Sememangnya jika bercerita tentang negara Malaysia, sudah pastinya pengenalan tentang Malaysia akan dimulakan dengan Malaysia terdiri dari pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina, India, Sikh dan golongan minoriti di Sabah dan Sarawak  seperti Iban, Bidayuh, Melanau, Dusun dan lain-lain lagi. Dalam hal ini, mengapa Malaysia tidak meraikan kepelbagaian ini dengan mengadakan sambutan khas sebagaimana kita menyambut Hari Kemerdekaan, Hari Malaysia, Hari Ibu, Hari Bapa, serta beberapa sambutan khas yang lain. Sambutan Hari Etnik juga memerlukan cuti khas seperti cuti peristiwa yang lain bagi memberikan penghormatan kepada sambutan ini. Mengapa selama ini kita terlupa untuk memperingati sejarah wujudnya kepelbagaian yang telah mencorakkan negara Malaysia pada hari ini?

Meraikan Hari Etnik Malaysia akan memberi ruang kepada generasi baru hari ini mengetahui tentang sejarah kewujudan kepelbagaian etnik dan masyarakat di Malaysia. Ini secara tidak langsung akan menyedarkan etnik masing-masing akan asal usul diri mereka, keluarga mereka dan negara mereka. Kesedaran tentang asal usul diri dan bangsa adalah sangat penting agar setiap etnik menghargai kedudukan dan nikmat yang didapati hasil menjadi penduduk negara ini. Apabila sesuatu etnik itu mengetahui asal usul mereka maka tidak akan timbul sikap tidak puas hati serta mempersoalkan kedudukan pihak-pihak yang lain.

Meraikan Hari Etnik Malaysia juga akan memberikan gambaran kepada masyarakat di negara lain akan keunikan negara Malaysia. Ia juga secara tidak langsung akan menjadi “trademark” kepada negara Malaysia yang sememangnya sudah dikenali di mata dunia sebagai negara yang bermasyarakat majmuk. Malahan sambutan sebegini juga boleh dijadikan sebagai acara tahunan yang akan menarik pelancong asing ke negara ini.

Sambutan Hari Etnik juga berperanan memberi ruang kepada rakyat Malaysia untuk menghargai keamanan dan perpaduan kaum yang dikecapi kini. Perlu disedari bahawa keamanan, kedamaian, kemakmuran negara yang dinikmati oleh semua kaum di negara ini adalah hasil kerjasama semua kaum tidak kira bangsa atau agama. Negara ini tidak boleh maju hanya dengan sumbangan satu kaum sahaja. Sejak sebelum merdeka sehingga kini Malaysia membangun hasil tangan-tangan pelbagai bangsa yang ada di sini. Walau pun ada yang terlebih atau terkurang, perlu diterima seadanya kerana bukan mudah untuk menyamakan penglibatan semua kaum dalam pelbagai aspek kehidupan disebabkan perbezaan budaya, kepercayaan serta pemikiran.



Sambutan Hari Etnik akan menjadi agenda besar negara kerana pembentukan masyarakat majmuk merupakan salah satu episod penting dalam sejarah negara ini. Jika diteliti dalam sejarah negara,  antara episod sejarah negara Malaysia adalah tentang zaman pra sejarah, zaman Kedatangan Islam ke Alam Melayu, Kesultanan Melayu, penjajahan Portugis, Belanda, British dan Jepun, Pembentukan Masyarakat Majmuk, Kemerdekaan, Penubuhan Malaysia dan banyak lagi. Jadi meraikan sambutan hari etnik merupakan satu langkah yang sangat baik kerana ia merupakan sejarah penting dalam pembentukan negara bangsa Malaysia. Ia juga menunjukkan apa yang dipelajari dalam sejarah negara itu tetap relevan sehingga kini.

Sambutan hari etnik merupakan wadah untuk kerajaan menghargai etnik-etnik di Malaysia. Sambutan Hari Etnik adalah perlu bagi menunjukkan keprihatinan kerajaan serta penghargaan kerajaan terhadap kepelbagaian etnik di negara ini. Ini memandangkan corak pemerintahan negara ini juga adalah tercorak  hasil  sokongan padu pelbagai etnik. Merekalah yang menjadi penyokong kepada segala dasar-dasar kerajaan yang berkaitan. Jadi sudah tiba masanya, pihak kerajaan negara ini meneliti semula agar kepelbagaian kaum yang ada di negara ini diraikan pada hari yang khas bagi memperingati segala jasa setiap kaum yang telah mewarnai negara bangsa Malaysia dari pelbagai aspek kehidupan pada hari ini.

No comments:

Post a Comment